March 8, 2026
Info X Reporters
Remaja lelaki cedera, dua rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Suang Parai
KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki cedera dalam kebakaran membabitkan dua buah di Kampung Suang Parai, Jalan Sepanggar, di sini, malam ini. Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 14 tahun itu dihantar ke Hospital Likas menggunakan ambulans Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan rawatan lanjut. Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.09 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu bersama bantuan BBP Lintas dikejarkan ke lokasi. Katanya, pasukan bomba dari BBP Kota Kinabalu tiba di tempat kejadian yang terletak kira-kira 15 kilometer dari balai bomba pada jam 7.26 malam. Komander Operasi, PBK I Awang Saiful Rahmat berkata, kebakaran melibatkan dua rumah jenis tidak kekal masing-masing berkeluasan kira-kira 25×30 kaki dan 25×25 kaki yang terbakar 100 peratus. “Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi pemadaman sejurus tiba di lokasi kejadian. “Operasi berjaya dikawal pada jam 7.43 malam dan tindakan pantas anggota bomba turut berjaya menyelamatkan dua buah rumah berhampiran daripada turut terbakar,” katanya dalam kenyataan, malam ini. Operasi pemadaman melibatkan seramai 29 anggota daripada dua balai iaitu BBP Kota Kinabalu dan BBP Lintas dengan kekuatan enam jentera termasuk dua Fire Rescue Tender (FRT), dua Emergency Response Motorcycle (ERMS), sebuah lori tangki air dan sebuah kenderaan pacuan empat roda. Setakat ini, punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba. – Info X
March 8, 2026
Info X Reporters
‘Tompok’ diselamatkan selepas dua hari terperangkap
KOTA KINABALU: Seekor kucing dikenali sebagai Tompok yang dipercayai terperangkap hampir dua hari di tingkat tiga bangunan kosong berhampiran Hotel Sheraton, di sini, berjaya diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), petang tadi. Operasi menyelamat terpaksa dilakukan menggunakan tangga kerana tiada laluan untuk naik ke bahagian belakang bangunan berkenaan. Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.41 tengah hari sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi. Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, pengadu memaklumkan terdapat seekor kucing berada di bahagian belakang bangunan kosong di tingkat tiga. “Dua anggota kemudian memakai peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap termasuk full harness sebelum menaiki bahagian belakang bangunan menggunakan tangga. “Kucing berkenaan berjaya diselamatkan sebelum diturunkan menggunakan tali dengan selamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, kucing kampung jantan berwarna putih dan hitam itu kemudian diserahkan kepada pengadu. Menurutnya, operasi berkenaan membabitkan seorang pegawai dan enam anggota lain-lain pangkat dari APM Kota Kinabalu. “Tiada kecederaan dilaporkan sepanjang operasi dan semua anggota selamat,” katanya. – Info X
March 8, 2026
Info X Reporters
60 tong gas bersubsidi cuba diseludup digagalkan
TAWAU: Cubaan menyeludup keluar 60 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi ke negara jiran berjaya digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tawau dalam operasi di perairan Tawau, semalam. Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan Op Pagar Laut dan Op Tiris menerima maklumat risikan mengenai pergerakan mencurigakan sebuah bot kargo di kawasan berkenaan. Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Ariffin Ghazali, berkata bot peronda kemudian diarahkan ke lokasi sebelum mengesan bot terbabit bergerak keluar dari Jeti Batu 3, Tawau menuju ke Pulau Sebatik. “Ketika cuba dipintas, juragan bot berkenaan bertindak berpatah balik ke pesisir pantai sebelum terjun meninggalkan bot bersama muatan bagi melarikan diri. “Hasil pemeriksaan ke atas bot kargo itu menemukan 60 tong gas LPG berisi yang dipercayai cuba diseludup keluar tanpa sebarang permit kebenaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, bot serta semua muatan kemudian dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk tindakan lanjut. Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. Katanya, keseluruhan rampasan membabitkan bot kargo, enjin bot serta muatan gas LPG dianggarkan bernilai RM53,800. Ariffin berkata, menjelang musim perayaan permintaan terhadap barangan tertentu di pasaran luar negara meningkat sekali gus mendorong sindiket menjalankan aktiviti penyeludupan. “Modus operandi sindiket adalah menjalankan aktiviti pada waktu sunyi bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa. “Maritim Malaysia memandang serius sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan dan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan di perairan Tawau,” katanya. Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah di laut diminta menyalurkannya kepada Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera. – Info X
March 8, 2026
Info X Reporters
Pencawang baharu atasi gangguan elektrik beberapa kampung di Papar
PAPAR: Gangguan bekalan elektrik disebabkan kesusutan voltan yang dialami penduduk beberapa kampung, di sini diatasi menerusi pembinaan pencawang baharu bagi menggantikan pencawang lama yang tidak mampu menampung beban permintaan tenaga. Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata sepanjang tahun lalu empat pencawang baharu disiapkan Sabah Electricity Sdn Bhd (SE), masing-masing di Pencawang di Kampung Beringgis, Sekayan, Kawakahan dan Sagang. Terkini, katanya pencawang baharu di Kampung Takis baru saja siap pada 26 Februari lalu dan dijangka dapat beroperasi sepenuhnya mulai April depan. Beliau berkata, pembinaan baharu pencawang di Kampung Takis adalah susulan aduan yang diterima berhubung isu kesusutan voltan di bawah paras nominal 216V bagi kediaman dan premis di sekitar kampung itu sejak sekian lama. Keadaan itu, katanya memberi kesan kepada kelancaran penggunaan elektrik harian, malah dalam beberapa keadaan menyebabkan kerosakan peralatan, selain risiko berlaku litar pintas hingga mengganggu aktiviti perniagaan dan urusan harian penduduk. “Dengan beroperasi sepenuhnya pencawang baharu ini kelak, isu-isu yang dinyatakan dijangka dapat diatasi sekali gus memastikan bekalan elektrik yang lebih stabil, memudahkan urusan harian penduduk serta dapat menampung kapasiti penggunaan elektrik yang semakin meningkat di kawasan sekitar. “Saya harap penduduk dapat menyambut Aidilfitri tahun ini dengan bekalan elektrik yang lebih stabil,” katanya dalam perkongsian di Facebook beliau. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata, beliau sendiri meninjau pelaksanaan projek pencawang bersama SE selepas pembinaannya dimulakan susulan aduan mengenai isu gangguan bekalan daripada penduduk. “Saya sendiri telah turun padang bersama kakitangan SE bagi meninjau pelaksanaan projek-projek ini serta memohon agar pembinaannya dapat disegerakan dan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan. “Sekiranya terdapat isu yang sama berlaku di kawasan kampung anda, mohon agar aduan rasmi disalurkan kepada pihak SE mahupun Pejabat Parlimen Papar agar semakan dan tindakan lanjut dapat dilakukan. “Saya merakamkan penghargaan kepada pihak SE atas komitmen dan kerjasama dalam memastikan keperluan asas rakyat seperti bekalan elektrik sentiasa diberi perhatian. “Usaha berterusan ini merupakan antara komitmen kerajaan memastikan kemudahan infrastruktur asas terus diperkukuh demi kesejahteraan bersama,” katanya. – Info X
March 8, 2026
Info X Reporters
APMM tahan bot pam disyaki guna bom ikan di perairan Kunak
LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot pam yang disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan Kunak, semalam. Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, penahanan dilakukan kira-kira jam 1.15 pagi pada kedudukan satu batu nautika di timur laut perairan Kunak oleh anggota bot ronda yang sedang melaksanakan Op Pluto Timur 2/2023, Op Tiris 3.0 dan Op Khas Pagar Laut 1/2026. Katanya, pemeriksaan awal mendapati bot berkenaan dikendalikan dua kru lelaki suku Palauh berusia antara 18 hingga 23 tahun yang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri. “Hasil pemeriksaan lanjut mendapati vesel yang tidak mempunyai nombor pendaftaran itu disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan. “Tindakan itu adalah satu kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, pemeriksaan turut menemukan kira-kira 15 kilogram ikan serta beberapa peralatan menyelam termasuk hos udara di dalam bot berkenaan. Dzulfikhar menjelaskan bahawa aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan atau bom ikan adalah kesalahan serius kerana bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh memusnahkan habitat marin termasuk terumbu karang serta menjejaskan sumber perikanan negara. Sehubungan itu, katanya, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti bom ikan di perairan negara. “Kesemua kru, vesel serta hasil tangkapan kemudiannya dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya. Dalam masa sama, katanya, pihak Maritim Malaysia turut menggesa komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi undang-undang laut selain menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan melalui WhatsApp 016-9305727 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera. – Info X
March 8, 2026
Info X Reporters
Buaya dikesan di Pantai Tanjung Aru
KOTA KINABALU: Pengunjung di Pantai Tanjung Aru 2, di sini, dikejutkan dengan penampakan seekor buaya di perairan pantai berkenaan, pagi tadi. Dalam kejadian jam 7.50 pagi itu, reptilia berkenaan dikesan oleh anggota Menara Penyelamat Pantai (MPP) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ketika sedang menjalankan tugas memasang bendera di kawasan pantai. Pegawai APM Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, anggota bertugas ternampak satu objek bergerak di dalam air sebelum mendapati ia adalah seekor buaya. Menurutnya, susulan penemuan itu, anggota penyelamat pantai segera melakukan pemantauan berterusan di kawasan berkenaan bagi memastikan keselamatan pengunjung. “Bendera merah turut dipasang sebagai amaran dan pengunjung dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti di dalam air buat sementara waktu. “Hebahan mengenai penampakan buaya juga dilakukan di sekitar kawasan pantai bagi memaklumkan orang awam,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, maklumat berhubung penampakan reptilia berkenaan turut dimaklumkan kepada Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kota Kinabalu serta Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah untuk tindakan lanjut. Katanya, setakat ini pemantauan masih dijalankan oleh petugas MPP APM di kawasan berkenaan bagi memastikan keselamatan pengunjung pantai. – Info X
March 8, 2026
Info X Reporters
Jafry sokong bekas ahli kembali ke pangkuan UMNO
KOTA KINABALU: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin menyokong kenyataan presiden parti itu berhubung penerimaan bekas ahli kembali ke pangkuan UMNO. Beliau berkata, kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu menunjukkan kematangan politik dan kerendahan diri UMNO dalam mengembalikan kekuatan parti itu. “Saya menyokong dan menyanjung tinggi kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membuka ruang kepada bekas ahli untuk kembali bersama parti. “Pendekatan ini bukan sahaja menunjukkan kematangan politik UMNO, malah mencerminkan kerendahan diri parti dalam usaha menyatukan kembali kekuatan dan perpaduan rakyat demi masa depan negara. “Dalam konteks politik semasa yang semakin mencabar, usaha penyatuan ini merupakan langkah penting untuk menguatkan organisasi serta menghimpunkan semula pengalaman dan kekuatan politik dalam UMNO,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menyatakan kesediaan UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada bekas ahli yang pernah dipecat dan digantung keahlian untuk kembali ke parti itu tanpa syarat. Keterbukaan UMNO itu katanya dibuat di bawah inisiatif ‘Rumah Bangsa’ yang turut dibuka kepada mana-mana individu yang mahu bersama dengan perjuangan parti itu. Mengulas lanjut, Jafry berkata bagi Sabah, kestabilan politik dan hubungan dengan parti nasional yang mempunyai pengalaman pentadbiran amat penting bagi memastikan kepentingan negeri terus dipertahankan dalam kerangka Persekutuan. “Pendekatan terbuka ini juga mencerminkan kematangan UMNO sebagai sebuah institusi politik yang sentiasa bersedia memperkukuh semula saf perjuangan secara matang, inklusif dan berpandangan jauh ke hadapan. “Saya berharap usaha ini dapat memperkukuh kesatuan dalam kalangan ahli serta memperluas peranan UMNO dalam agenda pembangunan negara,” katanya. Sabah adalah antara negeri yang mempunyai ramai pemimpin bekas ahli UMNO, termasuk yang pernah dipecat dan digantung. Ketika ini, dua pemimpin parti itu, iaitu Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy juga masih digantung. Penggantungan mereka bermula selepas kedua-duanya menyatakan sokongan kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ketika UMNO Sabah menarik sokongan kerjasama dengan gabungan itu pada 2023. Bagaimanapun, UMNO kembali menyokong kerajaan pimpinan GRS selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada 29 November lalu. – Info X
March 8, 2026
Info X Reporters
Klinik Kesihatan Tangkarason perlu pembaikan akibat banjir
PAITAN: Kerosakan dialami Klinik Kesihatan Tangkarason, di sini, akibat banjir baru-baru ini akan dibawa ke perhatian pihak yang berkaitan untuk diambil tindakan lanjut. Menjelaskan perkara itu, Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KWKKR), Datuk Julita Majungki, berkata pembaikan segera perlu dilaksanakan bagi memastikan komuniti di sekitarnya mendapat kemudahan kesihatan selesa. “Saya telah berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengenai kerosakan dan keperluan di klinik ini. “Perkara ini akan dibawa ke perhatian pihak berkaitan supaya bantuan yang sewajarnya dapat disalurkan,” katanya ketika tinjauan ke klinik berkenaan pada Sabtu. Pada tinjauan itu, Julita turut menyerahkan bantuan kepada klinik dan kakitangannya yang turut terjejas akibat banjir besar yang melanda daerah ini bulan lalu. “Sumbangan yang disampaikan hari ini adalah untuk membantu memenuhi keperluan segera di sini sementara usaha mendapatkan bantuan lanjut sedang dijalankan,” katanya. Julita juga menyampaikan pek makanan, bekalan perubatan serta keperluan asas lain kepada Pegawai Kesihatan Kawasan Beluran, Dr Nafsah Dulajis. Sumbangan itu termasuk barangan yang disalurkan melalui Kelab Kebajikan dan Sosial Hospital Queen Elizabeth. Lawatan kerja itu turut disertai Pengarah JKNS, Dr William Gotulis, pegawai dari ibu pejabat jabatan berkenaan serta wakil dari Pejabat Kesihatan Daerah Beluran. Julita turut memuji dedikasi petugas kesihatan di klinik itu yang terus berkhidmat kepada masyarakat walaupun laluan ke klinik tersebut terjejas akibat banjir. “Saya dimaklumkan laluan ke klinik ini terjejas ketika banjir, namun kakitangan di sini saling membantu dan terus menjalankan tugas masing-masing. “Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua atas ketabahan dan komitmen yang ditunjukkan,” katanya. Beliau juga memuji usaha Dr Nafsah yang mengendalikan kawasan perkhidmatan yang luas dan mencabar. “Untuk seorang doktor mengendalikan kawasan yang begitu luas sememangnya mencabar, lebih-lebih lagi di kawasan pedalaman seperti ini,” katanya. Tambah beliau, kerajaan negeri terus membangkitkan keperluan kesihatan Sabah ke pelbagai platform di peringkat Persekutuan, termasuk Jawatankuasa Kesihatan Kabinet serta perbincangan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). “Kerajaan Sabah akan terus memperjuangkan penambahbaikan supaya kemudahan yang ada di sini dapat ditingkatkan dan setanding dengan kemudahan di kawasan lain di negara ini,” katanya. Klinik Kesihatan Tangkarason memberi perkhidmatan kepada kawasan luar bandar yang luas di utara Sabah, dengan pekan utama terdekat beberapa jam perjalanan melalui jalan darat. – Info X