Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

July 28, 2026

Info X Reporters

Remaja maut motosikal terbabas ke dalam parit

TAWAU: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditungganginya terbabas sendiri ke dalam parit dalam kejadian di Kampung Tinagat, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi itu mangsa, Jaar Patilona, 16, warga asing maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 10.59 pagi. Katanya, sepasukan empat anggota bersama sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai sebelum tiba pada jam 11.12 pagi. “Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah motosikal yang dipercayai terbabas sendiri ke dalam parit. “Terdapat seorang mangsa lelaki di lokasi dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, pasukan bomba kemudian membantu mengangkat mangsa sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. “Selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.10 petang,” katanya. – Info X

July 28, 2026

Info X Reporters

LRA Kogopon dan loji muka sauk Kabang mula operasi pada Ogos, November

PAPAR: Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon berkapasiti 80 juta liter sehari (MLD) dan loji muka sauk Kabang yang baharu, di sini dijangka mula beroperasi masing-masing pada November dan Ogos tahun ini. Kedua-dua projek itu dijangka dapat mengatasi masalah kekurangan bekalan air di kawasan Papar, Putatan dan Kimanis. Sehubungan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) supaya memantau rapi kedua-dua projek berkenaan dan memastikan ia disiapkan tanpa sebarang kelewatan lagi. Beliau turut menggesa jabatan itu supaya lebih proaktif dalam menangani isu gangguan bekalan air dengan menghantar lori tangki air ke kawasan terjejas, bukan sahaja di daerah ini tetapi juga di seluruh negeri. “Masalah bekalan air adalah isu legasi, namun sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab kita komited untuk menyelesaikannya. “Saya sendiri menerima banyak aduan. Saya berharap jabatan akan memberi perhatian serius terhadap semua isu ini dan memastikan rakyat tidak terus berdepan masalah bekalan air,” katanya. Beliau berkata demikian ketika mendengar taklimat mengenai kedua-dua projek itu di Langkah Syabas Resort, Kinarut, dekat sini, pada Selasa. Hadir sama Timbalan Ketua Menteri selaku Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang juga Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali. Terdahulu, Pengarah JANS, Chee Chun Chieh, memaklumkan kepada Ketua Menteri bahawa LRA Kogopon bernilai RM365.9 juta dijadualkan mula membekalkan air menjelang akhir November depan. Keseluruhan projek LRA Kogopon dijangka siap sepenuhnya pada 2028, namun Chee berkata loji itu dijangka mula membekalkan air bagi memenuhi keperluan di Papar, Putatan hingga Kimanis sebelum akhir tahun ini. Mengenai loji muka sauk Kabang bernilai RM39.73 juta, Ketua Menteri dimaklumkan bahawa projek itu kini siap 90 peratus dan dijangka mula beroperasi pada September depan. Loji muka sauk baharu itu, yang dijangka meningkatkan kapasiti daripada sembilan MLDkepada 30 MLD, dibina lebih jauh di hulu Sungai Papar di kawasan Kabang bagi mengatasi masalah kemasinan air yang kerap menjejaskan operasi Loji Rawatan Air di bawah Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) serta kemudahan pengambilan air sedia ada di Limbahau.- Info X

July 28, 2026

Info X Reporters

Di sebalik kubu musuh, saksikan ‘serangan briged’ tiga negara

KOTA BELUD: Bunyi letupan bertalu-talu memecah kesunyian hutan, disusuli tembakan yang tidak putus-putus ketika ratusan anggota tentera Malaysia, Amerika Syarikat dan Australia mara menawan kubu musuh di puncak bukit. Dari sebalik kubu Red Force, hanya beberapa meter daripada anggota yang sedang “bertempur”, penulis menyaksikan sendiri bagaimana operasi serangan briged dilaksanakan dalam Eksais Keris Strike Siri 31/2026. Walaupun sekadar latihan, suasananya cukup menggetarkan sehingga seolah-olah berada di medan perang sebenar. Segalanya bermula seawal jam 4 pagi apabila penulis dijemput pegawai perhubungan raya Markas 5 Divisyen menggunakan kenderaan pacuan empat roda Tentera Darat Malaysia. Turut bersama ialah jurugambar kombat yang juga menjadi idola penulis, Kamarul Azizi. Perjalanan hampir 30 minit menuju Lapang Sasar Udara (LASARUD) 2, Kota Belud menjadi permulaan pengalaman yang tidak mungkin dilupakan. Laluan tanah merah bertukar becak selepas hujan sepanjang hari sebelumnya, memaksa kenderaan bergerak perlahan meredah lumpur sebelum tiba di titik permulaan. Tanpa membuang masa, kami memulakan perjalanan meredah denai hutan dengan hanya ditemani cahaya lampu kepala. Dalam gelap, setiap langkah perlu diatur berhati-hati kerana laluan licin selain dikelilingi hutan yang sunyi. Selepas berjalan hampir 500 meter, kami berhenti seketika pada jam 5.40 pagi. Di hadapan kami terbentang pemandangan Gunung Kinabalu yang mula disimbahi cahaya matahari. Penulis sempat merakam beberapa keping gambar di lokasi yang jarang dikunjungi orang awam kerana berada dalam kawasan latihan tentera. Perjalanan diteruskan kira-kira 300 meter sebelum tiba di kubu Red Force, iaitu pasukan yang bertindak sebagai musuh dalam senario latihan. Dari situ, penulis menunggu ketibaan Blue Force, gabungan Tentera Darat Malaysia (TDM), United States Army Pacific (USARPAC) dan Australian Defence Force (ADF) yang diberi misi menawan kubu berkenaan. Tepat jam 7.15 pagi, letupan simulasi memecah kesunyian. Tidak lama kemudian, deruan helikopter UH-60 Black Hawk milik Tentera Amerika Syarikat dan Tiger Armed Reconnaissance Helicopter (ARH) milik Tentera Darat Australia memenuhi ruang udara sambil melakukan tinjauan dan memberi sokongan kepada pasukan penyerang. Jam 7.30 pagi, operasi serangan bermula. Dari kubu Red Force, penulis dapat melihat anggota Blue Force bergerak secara berperingkat mendaki bukit. Mereka mara menggunakan perlindungan muka bumi, berlindung di sebalik pokok dan cerun sebelum melepaskan tembakan ke arah kubu musuh. Walaupun hanya menggunakan peluru kosong (blank ammunition) dan bahan letupan simulasi, bunyi tembakan yang berselang-seli dengan letupan cukup memberikan gambaran sebenar suasana peperangan. Asap memenuhi kawasan bukit manakala arahan daripada komander kedengaran jelas ketika setiap seksyen bergerak mengikut peranan masing-masing. Sebagai jurugambar, saya bukan sekadar mencari sudut terbaik untuk merakam gambar. Pada masa sama, saya perlu sentiasa peka dengan setiap pergerakan anggota bagi mengelakkan berada di laluan serangan atau mengganggu operasi yang sedang berlangsung. Ada ketika penulis terpaksa meniarap di tanah berlumpur, berlari menukar kedudukan dan memanjat cerun kecil bagi mendapatkan visual terbaik. Setiap kali bunyi tembakan kedengaran semakin hampir, saya hanya mampu memastikan kamera terus merakam setiap detik penting tanpa mengabaikan aspek keselamatan. Hampir sejam operasi berlangsung sebelum anggota Blue Force berjaya menembusi pertahanan dan menawan kubu Red Force seperti dirancang dalam senario eksais. Walaupun semuanya adalah simulasi, disiplin, komunikasi dan koordinasi yang dipamerkan jelas menunjukkan bagaimana operasi briged sebenar dilaksanakan. Tugasan kami bagaimanapun belum selesai. Bersama anggota tentera Malaysia, Amerika Syarikat dan Australia, saya sekali lagi meredah denai berlumpur, mendaki serta menuruni bukit sebelum berjalan hampir 900 meter menuju menara tinjau bagi menamatkan liputan hari itu. Bagi penulis, pengalaman mengikuti serangan briged ini jauh lebih bermakna daripada sekadar menghasilkan gambar yang menarik. Ia memberi peluang melihat sendiri bagaimana operasi ketenteraan moden dirancang dan dilaksanakan, selain menyedarkan bahawa di sebalik setiap kejayaan sesebuah misi, terdapat disiplin, ketahanan fizikal dan kerjasama yang dibina melalui latihan berterusan. Setiap letupan yang bergema, setiap langkah mendaki bukit dan setiap bingkai gambar yang berjaya dirakam menjadi pengalaman paling berharga sepanjang saya bergelar jurugambar. – Info X

July 27, 2026

Info X Reporters

Dua lelaki ditahan disyaki peras ugut mangsa

TAWAU: Tindakan dua lelaki tempatan dipercayai memeras ugut seorang lelaki dengan mengancam mahu mendedahkan kejadian tertentu berakhir apabila kedua-duanya ditahan polis dalam satu operasi di kawasan kaki lima sebuah pusat beli-belah, di sini. Kedua-dua suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau susulan laporan polis yang dibuat mangsa. Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai meminta wang daripada mangsa dengan ugutan akan mendedahkan kejadian tertentu kepada pihak lain sekiranya bayaran tidak dibuat. “Susulan tangkapan itu, polis turut merampas dua telefon bimbit milik suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan. “Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, malam ini. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan. – Info X

July 27, 2026

Info X Reporters

Siasat segera dakwaan palsu ‘Sultan Sulu’ terhadap kerajaan Sabah – PAKAS

TUARAN: Satu laporan polis dibuat berhubung hantaran di media sosial yang didakwa mengandungi kenyataan dan bahan visual mengelirukan berkaitan Sabah yang disifatkan berpotensi menjejaskan keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara jika tidak ditangani segera. Laporan itu dibuat Pengerusi Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah (PAKAS) selaku Pengasas TigaSatuTiga Channel, Keyafatullah Malik Aman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran, di sini, pada Isnin. Laporan polis itu berkaitan satu hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook menggunakan nama ‘Sultan Muedzul-Lail Tan Kiram’, dipercayai milik individu yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu dan waris Kesultanan Sulu. Berdasarkan laporan beliau, hantaran itu didakwa mengandungi beberapa tuduhan berhubung operasi penahanan dan penghantaran pulang warga Filipina dari Sabah, selain mendakwa berlaku kematian dalam pusat tahanan akibat kesesakan serta mengaitkan komuniti Tausug dengan hak sejarah terhadap Sabah. Turut dibangkitkan ialah penggunaan sekeping gambar yang diberikan kapsyen ‘Tausug inside the detention cell in Sabah’. Bagaimanapun, katanya berdasarkan semakan awal yang dibuat beliau melalui sumber terbuka, gambar berkenaan disyaki bukan dirakam di mana-mana pusat tahanan di Sabah, sebaliknya adalah gambar lama dari Penjara Quezon City, Manila yang digunakan di luar konteks. Berikutan itu, beliau memohon supaya perkara berkenaan disiasat bagi menentukan kesahihannya. Kefayatullah berkata, walaupun siasatan lanjut perlu dijalankan oleh pihak berkuasa, penyebaran kandungan sedemikian tidak boleh dipandang ringan memandangkan ia menyentuh isu yang sensitif berkaitan Sabah. “Ini bukan sekadar perbezaan pandangan di media sosial. Apabila sesuatu kandungan membawa dakwaan yang belum dipastikan kesahihannya, disertakan dengan gambar yang didakwa tidak menggambarkan keadaan sebenar dan dikaitkan dengan naratif sejarah Sabah, ia berpotensi membentuk persepsi yang salah dalam kalangan masyarakat, termasuk di peringkat antarabangsa,” katanya. Beliau berkata, kandungan yang tular tanpa pengesahan mampu mempengaruhi sentimen masyarakat, menghakis keyakinan terhadap institusi penguatkuasaan serta membuka ruang kepada pihak tertentu untuk mengeksploitasi isu berkenaan bagi kepentingan tertentu. Katanya, Sabah bukan asing daripada ancaman keselamatan yang mempunyai kaitan dengan tuntutan Kesultanan Sulu dan atas sebab itu setiap naratif yang menyentuh kedaulatan negeri ini perlu dinilai secara serius dan berasaskan fakta. Beliau menjelaskan, laporan polis itu bukan bertujuan membuat sebarang tuduhan terhadap mana-mana pihak, sebaliknya bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap kesahihan dakwaan, penggunaan gambar, sumber penyebaran kandungan serta mengenal pasti sama ada wujud sebarang unsur penyebaran maklumat mengelirukan yang boleh menjejaskan keselamatan negara. Beliau turut berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta agensi berkaitan dapat meneliti perkara itu mengikut bidang kuasa masing-masing. “Kita tidak boleh menunggu sehingga sesuatu naratif berkembang menjadi konflik yang lebih besar. Jika terdapat unsur penyebaran maklumat yang mengelirukan atau cubaan mempengaruhi persepsi awam terhadap Sabah dan Malaysia, tindakan perlu diambil lebih awal. Pencegahan sentiasa lebih baik daripada berdepan implikasi yang sukar dikawal pada masa hadapan,” katanya. Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah berkongsi kandungan yang belum disahkan kesahihannya, khususnya yang membabitkan isu keselamatan, hubungan diplomatik dan kedaulatan negara. Dalam masa sama, beliau berharap siasatan yang dijalankan nanti dapat memberikan penjelasan menyeluruh kepada masyarakat dan memastikan sebarang tindakan diambil berdasarkan fakta serta bukti yang sah di sisi undang-undang. – Info X

July 27, 2026

Info X Reporters

Segerakan langkah tangani isu parking di HQE, HQE2 dan Klinik Kesihatan Luyang

KOTA KINABALU: Kerajaan digesa mempercepatkan pelaksanaan langkah penyelesaian jangka pendek masalah letak kereta di Hospital Queen Elizabeth (HQE), HQE2 dan Klinik Kesihatan Luyang, di sini seperti dijelaskan pada Persidangan DUN minggu lalu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook, berkata langkah jangka pendek seperti penyediaan ruang letak kereta sementara, penambahbaikan aliran trafik dan pengangkutan awam ke fasiliti kesihatan perlu disegerakan. Katanya, langkah penyelesaian jangka pendek itu penting sementara menunggu projek besar disiapkan bagi memastikan kesukaran dihadapi pesakit, pelawat dan kakitangan kesihatan di hospital terbabit dapat ditangani. “Sebagai wakil rakyat Likas, saya akan terus memantau perkembangan pelaksanaan semua cadangan yang diumumkan dan memastikan kepentingan rakyat sentiasa diberikan keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. Katanya, beliau mengalu-alukan jawapan Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah berhubung soalannya pada Persidangan DUN baru-baru ini mengenai masalah kekurangan tempat letak kereta di HQE, HQE2 dan Klinik Kesihatan Luyang. “Kementerian telah mengakui bahawa isu ini memberi kesan kepada pesakit, pelawat dan kakitangan kesihatan, serta memerlukan penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang,” katanya. Katanya, berdasarkan jawapan kementerian terbabit, beberapa langkah telah dan sedang dilaksanakan bagi menangani isu kesukaran letak kereta di fasiliti kesihatan terbabit. Kementerian antara lain menyebut mengenai penyediaan lot parkir bertingkat di HQE menerusi Projek Naik Taraf HQE dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) serta pengasingan laluan kenderaan kritikal seperti ambulans dan kenderaan kecemasan bagi mengurangkan kesesakan dalam kawasan hospital. Turut dilakukan ialah perbincangan dengan Qhazanah Sabah Berhad bagi menyediakan tapak letak kersta sementara berhampiran HQE2 dan penambahan 419 petak letak kereta di HQE2 melalui Projek Pusat Jantung Sabah. Selain itu, kementerian juga membuat penilaian terhadap pembinaan fasiliti kesihatan baharu di kawasan bersempadan antara Kota Kinabalu dan Penampang bagi menampung peningkatan permintaan perkhidmatan kesihatan. Tham menyatakan harapannya agar semua perancangan itu dapat diterjemahkan kepada tindakan yang nyata dalam tempoh yang munasabah. “Penduduk Likas, Luyang dan kawasan sekitar telah lama berdepan masalah kesesakan yang bukan sahaja menjejaskan keselesaan tetapi juga boleh menjejaskan akses kepada rawatan kesihatan, khususnya dalam keadaan kecemasan,” katanya. – Info X

July 27, 2026

Info X Reporters

Agensi teknikal buat penilaian cadangan mitigasi banjir di DUN Lumadan

BEAUFORT: Tiga agensi teknikal turun padang meninjau cadangan kerja mitigasi banjir di beberapa lokasi yang sering terjejas akibat bencana itu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan, di sini, pada Isnin. Agensi terbabit, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) turun padang bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Lumadan. Tinjauan itu diketuai sendiri Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Ruslan Muharam selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan. Mengulas mengenai program turun padang itu, Ruslan berkata ia bagi membuat penilaian awal terhadap keadaan sistem saliran, jajaran sungai dan keperluan penambahbaikan infrastruktur berkaitan. Katanya, cuaca hujan ketika lawatan itu memberi peluang kepada pihaknya bersama agensi teknikal melihat sendiri keadaan aliran air dan sistem saliran sedia ada di beberapa kawasan yang sering terjejas apabila berlaku hujan berterusan dan banjir. “Lawatan ini penting bagi membolehkan agensi teknikal membuat penilaian lebih menyeluruh terhadap keperluan di lapangan, termasuk cadangan pembinaan box culvert, pembesaran dan pendalaman jajaran sungai sedia ada serta cadangan jajaran sungai baharu bagi membantu meningkatkan kelancaran aliran air,” katanya. Beliau berkata, antara lokasi yang diberi perhatian ialah Jalan Bangkalalak, Jalan Suasa dan Jalan Batandok Lubak yang sering berdepan masalah apabila berlaku banjir, bukan saja menyebabkan laluan terjejas malah meningkatkan risiko keselamatan pengguna jalan raya akibat arus air yang deras. Dalam masa sama, Ruslan berkata penglibatan JTU amat penting bagi memastikan cadangan jajaran sungai yang dikenal pasti melalui laluan yang bersesuaian dan sedapat mungkin mengelakkan gangguan terhadap tanah milik persendirian. “Hasil lawatan ini akan membantu agensi berkaitan menyediakan penilaian teknikal dan anggaran kos untuk dikemukakan kepada pihak kerajaan bagi pertimbangan selanjutnya,” katanya. Beliau berharap usaha bersepadu bersama agensi teknikal itu dapat membantu memperkukuh sistem saliran serta mengurangkan impak banjir demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat DUN Lumadan. – Info X

July 27, 2026

Info X Reporters

Dua stor barangan elektrik terbakar di Inanam

KOTA KINABALU: Dua stor penyimpanan barangan elektrik di tingkat satu dan tingkat dua sebuah premis kedai di hadapan sebuah stesen minyak di Inanam, di sini, terbakar dalam kejadian awal pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 3.44 pagi itu, kebakaran membabitkan stor penyimpanan barangan elektrik di premis kedai jenis kekal, namun tiada mangsa dilaporkan terbabit. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.44 pagi. Katanya, seramai 11 anggota bersama sebuah Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah Revo kemudian digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai. Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi pada jam 3.51 pagi, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan dua stor penyimpanan barangan elektrik di tingkat satu dan tingkat dua premis berkenaan. “Stor di tingkat satu terbakar kira-kira 30 peratus, manakala stor di tingkat dua terbakar sekitar 80 peratus. “Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 61 meter dengan dua pancutan. Bekalan air diperoleh daripada jentera bomba serta pili bomba berhampiran,” katanya ketika dihubungi hari ini. Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.10 pagi dan operasi pemadaman serta kerja-kerja pemeriksaan diteruskan bagi memastikan tiada lagi punca yang boleh mencetuskan kebakaran semula. Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – Info X