Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

July 14, 2026

Info X Reporters

Pondok doa di Putatan diceroboh, polis siasat unsur khianat

PENAMPANG: Polis menjalankan siasatan berhubung kejadian khianat membabitkan sebuah pondok doa di kawasan Sinundu Miracle Hill, Kampung Duvanson, Putatan yang ditemui dalam keadaan berselerak dan dipercayai dirosakkan individu tidak dikenali. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu semalam sebelum siasatan segera dijalankan. Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati beberapa barangan di dalam pondok doa berkenaan dipercayai dirosakkan, namun setakat ini tiada tangkapan dilakukan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kerosakan harta benda dan Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan atau merosakkan tempat ibadat atau objek suci dengan niat menghina agama. “Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Sammy berkata, pihaknya memandang serius sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat, ketenteraman awam serta sensitiviti agama. Sementara itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh mengganggu siasatan dan ketenteraman awam. Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Anis Abdullah di talian 013-636 5734 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – Info X

July 14, 2026

Info X Reporters

Ketua Geng Upik didakwa terbabit pengubahan wang haram berjumlah RM821,950

KOTA KINABALU: Ketua kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai ‘Geng Upik’ berdepan sembilan pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah keseluruhan RM821,950 ketika dihadapkan ke mahkamah, di sini, pada Selasa. Tertuduh, Maslan Sani, didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta yang sama. Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang hasil daripada aktiviti haram melalui deposit tunai ke dalam akaun CIMB Islamic miliknya di beberapa cawangan di seluruh Sabah antara Januari hingga Disember 2016. Tertuduh antara lain didakwa menerima dalam akaunnya sebanyak RM284,400 di CIMB cawangan Tawau, RM175,090 di cawangan Inanam, RM139,700 di Lahad Datu dan RM129,200 melalui satu akaun berasingan. Maslan turut berdepan beberapa pertuduhan membabitkan deposit tunai di cawangan Api-Api Centre, Bundusan, Jalan Sagunting, 1Borneo Hypermall dan City Mall di Kota Kinabalu. Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram terbabit, atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul dari Unit Jenayah Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Hasil Jenayah, Jabatan Peguam Negara, manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Fikry Jaafar dan Azhier Farhan Arisin. Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula pada 11 Ogos 2026 di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Zaini Fishir @ Fisal. Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak Oktober 2021 mengaitkan tertuduh dengan sebuah kumpulan jenayah terancang yang disiasat mengikut peruntukan di bawah Kanun Keseksaan. – Info X

July 14, 2026

Info X Reporters

Dua wanita diselamatkan selepas terperangkap dalam lif

SANDAKAN: Dua wanita berdepan detik cemas apabila terperangkap lebih 30 minit dalam lif dalam kejadian di Wisma Persekutuan, Batu 7, di sini, hari ini. Kedua-dua wanita itu dipercayai menaiki lif sebelum berlaku gangguan bekalan elektrik menyebabkan mereka terperangkap dalam lif ketika berada di tingkat enam bangunan berkenaan, kira-kira jam 7.30 pagi. Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sandakan, Sulaiman Salama, berkata pihaknya menerima aduan daripada orang awam sebelum menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi itu bagi menjalankan operasi menyelamat. “Ketika anggota tiba, bekalan elektrik sudah pulih, namun pintu lif gagal dibuka dan kedua-dua mangsa masih terperangkap. “Menurut seorang daripada mangsa, mereka berada di dalam lif selama 35 minit,” katanya ketika dihubungi di sini. Sulaiman berkata, anggotanya terpaksa menggunakan peralatan pemotong bagi membuka pintu lif yang tersekat sebelum berjaya mengeluarkan mangsa pada jam 8.04 pagi. Sepanjang operasi itu, katanya, anggota sentiasa berkomunikasi dengan kedua-dua mangsa bagi menenangkan mereka dan memastikan keadaan terkawal sementara usaha membuka lif dilakukan. Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa kekal tenang sekiranya berdepan situasi seperti itu pada masa akan datang serta segera menghubungi pihak pengurusan bangunan atau talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan. – Info X

July 13, 2026

Info X Reporters

Pelaksanaan Budi Diesel perlu ambil kira realiti geografi, struktur ekonomi Sabah – Nizam

KOTA KINABALU: Pelaksanaan subsidi bersasar BUDI MADANI Diesel perlu terus diperhalusi dengan mengambil kira realiti geografi, corak pergerakan penduduk dan struktur ekonomi Sabah yang berbeza dengan negeri lain. Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, aspek itu perlu diteliti berikutan kedudukan Sabah sebagai negeri yang luas dengan jarak perjalanan antara daerah, bandar dan kawasan pedalaman yang jauh. Jelasnya, bagi sebahagian besar rakyat, perjalanan untuk mendapatkan rawatan, pendidikan, berurusan dengan jabatan kerajaan, menjual hasil pertanian atau mendapatkan bekalan keperluan asas boleh mengambil masa berjam-jam. “Dalam keadaan ini, penggunaan diesel bukan sekadar untuk perjalanan harian, malah menjadi nadi kepada kelangsungan kehidupan dan aktiviti ekonomi rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. Katanya, usaha Kerajaan Persekutuan mengekalkan harga diesel bersubsidi bagi pemilik kenderaan yang layak di Sabah wajar dihargai, termasuk beberapa penambahbaikan seperti peluasan kelayakan kepada pemilik kenderaan pikap dan jip tertentu, pemindahan kelayakan kepada ahli keluarga serta pengecualian fi pertukaran hak milik, namun aspek berkaitan realiti di lapangan perlu juga diambil kira. Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukab dan Ekonomi Kreatif Sabah itu, berkata sektor pertanian, perikanan, pengangkutan, pembinaan, perusahaan kecil dan pelbagai aktiviti ekonomi luar bandar di Sabah masih bergantung kepada penggunaan kenderaan dan peralatan berasaskan diesel. Sehubungan itu, beliau berharap kuota pembelian diesel bersubsidi dan syarat kelayakan sedia ada dapat dinilai secara berkala berdasarkan corak penggunaan sebenar rakyat di Sabah. Jelasnya, pendekatan yang lebih fleksibel juga perlu dipertimbangkan khususnya bagi penduduk pedalaman, petani, nelayan, pengusaha kecil serta mereka yang menggunakan diesel untuk bot, generator dan keperluan ekonomi setempat. Dalam masa sama, beliau turut menegaskan bahawa peningkatan kos pengangkutan akibat pelaksanaan subsidi bersasar boleh memberi kesan langsung kepada golongan belia yang sedang membina kehidupan dan kerjaya. “Ramai belia Sabah bergantung kepada kenderaan pikap dan pacuan empat roda untuk bergerak antara daerah, membawa peralatan, mengurus program komuniti, menjalankan perniagaan, menghantar hasil jualan, mengikuti latihan kemahiran serta menyertai aktiviti sukan dan ekonomi kreatif. “Jika kos operasi meningkat, ia secara tidak langsung akan mengecilkan peluang mereka untuk berkembang dan menjana pendapatan,” katanya. Beliau yakin sebarang isu berbangkit dapat ditangani melalui rundingan berterusan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dengan mengambil kira pandangan rakyat, pemimpin setempat, persatuan industri serta komuniti luar bandar. “Kita menyokong usaha kerajaan memastikan subsidi lebih bersasar. Namun, pelaksanaannya mestilah adil, praktikal dan mengambil kira keunikan Sabah agar tidak menambah beban kepada rakyat yang benar-benar memerlukan. “Keperluan Sabah tidak boleh dinilai berdasarkan angka penggunaan semata-mata, sebaliknya perlu dilihat dalam konteks keluasan negeri, jarak perjalanan yang jauh, kekurangan pengangkutan awam serta kebergantungan ekonomi tempatan terhadap diesel,” katanya. Katanya, usaha Kerajaan Persekutuan mengekalkan harga diesel bersubsidi bagi pemilik kenderaan yang layak di Sabah memang wajar dihargai, termasuk beberapa penambahbaikan seperti peluasan kelayakan kepada pemilik kenderaan pikap dan jip tertentu, pemindahan kelayakan kepada ahli keluarga serta pengecualian fi pertukaran hak milik, Beliau berharap Kerajaan Persekutuan akan terus memantau pelaksanaan BUDI MADANI Diesel dan bersedia melakukan penyesuaian dari semasa ke semasa bagi memastikan matlamat membendung ketirisan subsidi dapat dicapai tanpa menjejaskan kesejahteraan serta kelangsungan ekonomi rakyat Sabah. Beliau mengakui pelaksanaan subsidi bersasar BUDI MADANI Diesel adalah langkah yang baik dalam memastikan bantuan kerajaan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak, di samping mengurangkan ketirisan serta penyalahgunaan subsidi. – Info X

July 13, 2026

Info X Reporters

Empat ditahan kes peras ugut pelajar perempuan

BEAUFORT: Polis menahan empat individu yang disyaki terbabit dalam kes memeras ugut dan membuli seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di daerah Membakut, minggu lalu. Kejadian dipercayai berlaku pada 8 Julai lalu apabila mangsa mendakwa dipaksa menyerahkan wang secara berulang sebelum turut menerima ugutan jenayah daripada suspek. Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, susulan laporan diterima, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Beaufort membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Katanya, hasil tindakan pantas dan risikan yang dijalankan, polis berjaya menahan empat suspek pada 9 Julai lalu bagi membantu siasatan. “Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai menjadi sasaran perbuatan meminta wang secara berulang sebelum turut menerima ugutan jenayah. “Semua suspek sudah diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dan siasatan masih diteruskan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk arahan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, polis memandang serius sebarang bentuk buli, pemerasan, ugutan jenayah atau gangguan yang boleh mengancam keselamatan serta kesejahteraan pelajar. “Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan mengikut undang-undang tanpa mengira latar belakang atau status,” katanya. Champin turut menggesa murid, pelajar, ibu bapa, penjaga dan pihak sekolah supaya sentiasa peka terhadap sebarang perlakuan buli atau ugutan serta segera membuat laporan polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan. Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial kerana ia boleh mengganggu siasatan dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat. – Info X

July 13, 2026

Info X Reporters

Pelabur yang serius dipelawa ke Sabah untuk wujudkan kerjasama menguntungkan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengalu-alukan pelabur yang serius untuk datang dan mewujudkan kerjasama saling menguntungkan di Sabah. Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, berkata Sabah terbuka untuk pelaburan sejajar transformasi ekonomi yang berkembang daripada berteraskan sektor primer kepada ekonomi yang pelbagai dan dinamik. “Selaras dengan matlamat ekonomi Malaysia secara keseluruhannya, komitmen kita terhadap pertumbuhan kekal teguh. Sabah terbuka untuk pelaburan,” katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Sidang Kemuncak Pelaburan Impak Asia Pasifik bagi Pembangunan Mampan Sabah di Magellan Sutera, di sini, pada Isnin. Teks ucapannya disampaikan Timbalan Ketua Menteri selaku Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun. Ketua Menteri berkata sidang kemuncak itu amat bertepatan kerana menyediakan platform kepada pemimpin pemikiran untuk membincangkan satu tonggak penting iaitu pelaburan impak dalam konteks pembangunan mampan. “Kita mengiktiraf bahawa pelaburan impak pada asasnya melibatkan penyaluran modal kepada pelaburan yang menjana manfaat sosial dan alam sekitar yang boleh diukur, di samping memberikan pulangan kewangan. “Sabah menantikan pelabur yang mampu menggabungkan kepakaran, pengalaman dan pembiayaan bagi memacu pembangunan yang inklusif dari segi sosial dan ekologi dengan hasil yang nyata,” katanya. Hajiji berkata, sidang kemuncak itu menandakan satu langkah penting dalam perjalanan Sabah untuk muncul sebagai antara hab utama pembangunan mampan dan pelaburan impak di rantau Asia Pasifik. Beliau berkata, hanya dua bulan lalu beliau berucap pada Sidang Kemuncak Kelestarian, dan menjelaskan bahawa Sabah sudah melindungi hutan, lautan, hidupan liar dan antara ekosistem terkaya di rantau ini. “Sabah telah menyumbang bukan sekadar melalui kata-kata, tetapi menerusi dasar, pengurusan tanah yang bertanggungjawab serta pengorbanan yang nyata. “Hari ini, kita berbangga kerana hampir 30 peratus keluasan tanah Sabah berada di bawah Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA). “Kita juga mengekalkan status sebagai penyerap karbon bersih berdasarkan data inventori gas rumah hijau, disokong oleh kawasan hutan yang luas yang memperkukuh kapasiti negara menyerap karbon. “Pendekatan pengurusan hutan secara inklusif yang dibangunkan bersama komuniti tempatan membolehkan kita mengekalkan keseimbangan antara pemuliharaan alam sekitar dan kesejahteraan sosioekonomi rakyat. “Keluar sahaja dari bangunan ini, anda akan dapat merasainya. Jiwa dan semangat Sabah berakar umbi daripada warisan semula jadi kita. Itulah identiti kita,” katanya. Pada masa sama, Ketua Menteri menegaskan bahawa keperluan pembangunan Sabah masih nyata dan mendesak. “Kita memerlukan jalan raya yang lebih baik, bekalan elektrik yang lebih stabil, bekalan air yang lebih bersih serta peluang ekonomi yang lebih luas. Rakyat memerlukan peningkatan taraf hidup yang nyata. “Pendirian kita jelas, kita tidak boleh mengejar pertumbuhan dengan mengorbankan alam sekitar yang menjadi sandaran kita untuk jangka panjang. “Persoalan yang perlu kita jawab bukanlah sama ada memilih kelestarian atau pembangunan. Sebaliknya, bagaimana kita membina dan mengamalkan satu model baharu yang belum diterokai, di mana kelestarian menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi sebenar. “Itulah tema sidang kemuncak ini dan menjadi cabaran utama serta peluang terbesar bagi pentadbiran saya,” katanya. Menurut beliau, rantau Asia Pasifik berada pada landasan pertumbuhan yang memberangsangkan, didorong oleh ekonomi yang dinamik, proses pembandaran yang pesat serta potensi pasaran yang semakin berkembang, sekali gus menjadikannya destinasi utama peluang pelaburan. “Dunia kini memandang ke arah Asia Pasifik bukan sahaja kerana potensi ekonominya, tetapi juga kerana kepimpinan pemikiran dalam sektor-sektor utama seperti teknologi, M tenaga hijau dan pembangunan mampan. “Forum seperti sidang kemuncak ini menyediakan platform terbaik kepada pemimpin industri untuk menjalin kerjasama global serta memperkenalkan penyelesaian yang bersifat transformatif,” katanya. Ketua Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi George Town Institute of Open and Advanced Studies (GIOAS) di Wawasan Open University, Pulau Pinang, Tan Sri Andrew Sheng, dan pasukannya kerana bersama-sama menganjurkan sidang kemuncak itu dengan Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar. – Info X

July 13, 2026

Info X Reporters

Misteri bau pelik terungkai

KOTA KINABALU: Bau kurang menyenangkan yang dihidu penghuni sebuah bilik sewa di Sadong Jaya, di sini, membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki di dalam bilik yang berkunci, malam tadi. Mangsa berusia 31 tahun ditemukan tidak sedarkan diri selepas pasukan bomba memecahkan sebahagian dinding bilik sebelum berjaya membuka pintu yang berkunci bagi mendapatkan akses masuk. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan meminta bantuan membuka pintu bilik yang berkunci pada jam 9.25 malam. Katanya, sepasukan 10 anggota bersama sebuah jentera dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai. “Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba dimaklumkan terdapat seorang lelaki berada di dalam bilik yang berkunci dan tidak memberikan sebarang tindak balas, selain penghuni premis menghidu bau kurang menyenangkan dari bilik berkenaan. “Bagi mendapatkan akses masuk, anggota bomba bertindak memecahkan sebahagian dinding sebelum berjaya membuka pintu bilik yang berkunci,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, mayat mangsa kemudian dikeluarkan sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut. “Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 9.50 malam. “Kes berkenaan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya. – Info X

July 12, 2026

Info X Reporters

‘Kuota 200 liter diesel hanya cukup sehari ulang alik dari Kuamut ke KK’ – Masiung

BELURAN: Kuota 200 liter diesel sebulan yang ditetapkan menerusi pelaksanaan subsidi bersasar BUDI Diesel habis digunakan sehari hanya untuk perjalanan ulang alik Kuamut-Kota Kinabalu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, mendakwa keadaan itu berikutan jarak yang jauh dan muka bumi yang mencabar di kawasan pedalaman negeri ini. Sehubungan itu, katanya kuota BUDI Diesel yang hanya 200 liter sebulan adalah kurang praktikal berdasarkan keadaan muka bumi dan jarak perjalanan yang jauh dari kampung ke bandar utama. “Contohnya, jarak perjalanan lima hingga enam jam dari Kuamut untuk berurusan ke Kota Kinabalu terpaksa menggunakan kira-kira 100 liter diesel untuk perjalanan sehala dan 200 liter jika berulang alik. “Harus diingat kawasan Kuamut (daerah Tongod) lebih besar berbanding negeri Kedah dan hampir sama keluasan negeri Johor,” katanya. Beliau ditemui pada majlis Kesyukuran Pengundi Luar Kemenangan GRS DUN Kuamut di Dewan Kampung Tonoting Ulu Sapi Nangoh, pada Sabtu. Masiung berkata, ramai pengguna terutama warga petani di kawasan luar bandar juga memiliki kenderaan bukan atas nama sendiri kerana dibeli secara pinjaman syarikat atau kaedah sambung bayar. Keadaan itu, katanya menyebabkan mereka tidak layak memohon subsidi BUDI Diesel bagi mendapatkan harga yang lebih rendah di stesen minyak. Selain itu, katanya ramai penduduk pedalaman yang tiada kenderaan diesel tetapi menggunakan diesel untuk menghidupkan janakuasa sensdiri juga terpaksa membeli bahan api itu pada harga yang tinggi tanpa subsidi. “Sebahagian besar kawasan pedalaman tiada kemudahan jalan raya dan elektrik, jadi penduduk terpaksa menggunakan bot untuk pengangkutan dan generator pengganti tenaga elektrik tidak dapat menikmati subsidi BUDI Diesel dan terpaksa membeli dengan kadar ditetapkan di stesen minyak,” katanya. Berikutan situasi itu, katanya pelaksanaan subsidi bersasar BUDI Diesel di Sabah dan Sarawak boleh mencetuskan isu serius jika polisi baharu itu tidak diperincikan semula selaras keperluan rakyat. Masiung yang juga Pengerusi Backbencers Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, menegaskan ia adalah isu kritikal yang tidak boleh dipandang ringan kerana boleh mengundang kebencian rakyat wilayah Borneo terhadap dasar baharu Persekutuan. Tegasnya, kuota 200 liter diesel sebulan bagi keluasan muka bumi jauh di pedalaman ke bandar tidak sesuai bagi kedua-dua negeri. “Kita mahu kerajaan Persekutuan menaikan kuota diesel itu pada kadar 300 hingga 500 liter bagi setiap kenderan diesel. “Bentuk muka bumi yang luas Sabah dan Sarawak tidak boleh disamakan dengan negeri-negeri kecil di Semenanjung,” katanya. Katanya, suara rakyat Borneo tidak boleh dipandang sebelah mata kerana kedua-dua wilayah itu adalah pengeluar terbesar minyak negara. Tegasnya, kesukaran rakyat menikmati subsidi diesel bersasar akibat syarat kelayakan terlalu ketat perlu diperhalusi. Masiung mencadangkan supaya kerajaan melonggarkan syarat penjualan diesel kembali pada harga pukal dan diseragamkan seperti syarat subsidi petrol. “Subsidi bersasar Budi Diesel lebih banyak memberi tekanan kepada pengguna kenderaan individu terutama di kawasan pedalaman. “Kita menghormati usaha kerajaan Persekutuan mengurangkan ketirisan subsidi diesel, namun jarak rangkaian jalan raya kedua-dua negeri itu jauh berbeza berbanding di Semenanjung,” katanya. – Info X