Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

July 12, 2026

Info X Reporters

Lelaki dilapor hilang ditemui maut dipercayai terkena tembakan

SIPITANG: Misteri kehilangan seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar memancing dan memburu di kawasan hutan Kampung Takula, di sini, sejak 3 Julai lalu, terungkai apabila mayatnya ditemukan dalam keadaan dibalut dengan kanvas selepas polis menahan dua rakannya yang dipercayai terbabit. Mangsa dipercayai terkena tembakan ketika menjalankan aktiviti memburu sebelum mayatnya ditemukan di kawasan hutan kira-kira satu kilometer dari Kampung Takula hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek pada Jumaat lalu. Ketua Polis Daerah Sipitang, Superintendan Awang Anak Suand, berkata, kes itu pada mulanya diklasifikasikan sebagai kes orang hilang sebelum siasatan lanjut membawa kepada penahanan kedua-dua suspek. “Hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek membawa kepada penemuan mayat mangsa yang dibalut menggunakan kanvas di lokasi kejadian. “Siasatan awal mendapati tindakan membungkus mayat itu dipercayai dilakukan suspek kerana panik dan takut selepas kejadian berlaku,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, polis turut merampas dua laras senjata api buatan sendiri jenis bakakuk daripada suspek semalam bagi membantu siasatan. “Kedua-dua suspek yang juga lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. “Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya. Terdahulu, mangsa keluar bersama dua rakannya ke kawasan hutan Kampung Takula pada 3 Julai lalu untuk memancing dan memburu. Bagaimanapun, dua rakannya pulang pada 5 Julai, manakala mangsa gagal pulang menyebabkan ahli keluarganya membuat laporan polis pada 8 Julai sebelum kes itu disiasat sebagai kes orang hilang. – Info X

July 12, 2026

Info X Reporters

Suara masyarakat awam penting sebagai rakan strategik kerajaan – Azrul

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengakui kepentingan suara dan pembabitan masyarakat awam sebagai rakan strategik dalam memastikan dasar dan inisiatif kerajaan terus memberi manfaat kepada rakyat. Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim, berkata atas sebab itu kerajaan negeri bersikap terbuka terhadap pandangan, cadangan dan idea membina berkaitan pembangunan negeri daripada pelbagai pihak. Katanya, selain menyampaikan kepada rakyat dasar yang dilaksanakan kerajaan, khususnya mengenai hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kerajaan juga mahu mendengar kehendak rakyat berkaitan pembangunan negeri. Perkara itu, katanya antara pendekatan yang diambil menerusi program bertemu wakil badan bukan kerajaan (NGO) Sabah yang dihadirinya di Lemvah Klang, Kuala Lumpur, baru-baru ini. “Hadir menjayakan Bicara Santai Hala Tuju SMJ: Aspirasi Kerajaan Negeri anjuran Pejabat Perhubungan Negeri Sabah Kuala Lumpur (PPNSKL) yang berlangsung di Tingkat 24, 3 Towers PPNSKL, Kuala Lumpur. “Saya kongsikan pencapaian Kerajaan Negeri di bawah kerangka Sabah Maju Jaya (SMJ), di samping aspirasi serta harapan kerajaan dalam meneruskan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat Sabah. “Perbincangan turut membuka ruang kepada wakil-wakil NGO Sabah di Lembah Klang untuk menyampaikan pandangan, cadangan dan idea membina berkaitan pembangunan negeri. “Suara serta penglibatan masyarakat awam amat penting sebagai rakan strategik dalam memastikan dasar dan inisiatif kerajaan terus memberi manfaat kepada rakyat,” katanya menerusi perkongsian di Facebook. Sempena program itu, katanya penyampaian sumbangan kepada NGO Sabah dari sekitar Lembah Klang turut dilaksanakan sebagai tanda penghargaan atas komitmen memperkukuh kebajikan dan semangat kebersamaan anak-anak Sabah di perantauan. “Semoga jalinan kerjasama antara kerajaan dan masyarakat terus diperkukuh demi merealisasikan aspirasi Sabah yang lebih maju, makmur dan sejahtera,” katanya. – Info X

July 12, 2026

Info X Reporters

Lelaki ditemukan rentung dalam bilik

SANDAKAN: Seorang lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran di Lorong 3, Kampung Batu Putih, di sini, awal pagi tadi. Mangsa yang rentung dikenali sebagai Mohd Zarman Salamat, 30. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung, berkata bomba menerima panggilan pada jam 5.05 pagi dan menghantar sepasukan 12 anggota bersama tiga jentera ke lokasi itu. Katanya, kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis tidak kekal dan sebuah kedai dengan api cuma dapat dikawal pada jam 5.34 pagi. “Mangsa ditemui kira-kira 30 minit selepas api berjaya dikawal di bahagian tengah rumah dipercayai bilik tidur mangsa. “Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini. – Info X

July 12, 2026

Info X Reporters

Gaduh di restoran, dua wanita diberkas polis

TAWAU: Pergaduhan membabitkan dua pelanggan wanita di sebuah restoran di Bandar Fajar, di sini, berakhir dengan penahanan kedua-dua suspek selepas insiden itu turut menyebabkan kerosakan harta benda premis berkenaan. Dalam kejadian pada Sabtu, dua wanita berusia 19 dan 20 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bagi membantu siasatan. Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, polis menerima laporan daripada wakil restoran selepas berlaku pergaduhan antara dua pelanggan wanita di premis itu. Menurutnya, akibat pergaduhan terbabit, beberapa harta benda milik restoran mengalami kerosakan sebelum pihak premis tampil membuat laporan polis. “Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari BSJ IPD Tawau berjaya mengesan dan menahan kedua-dua suspek di tepi Jalan Haji Karim, Tawau. “Hasil pemeriksaan lanjut mendapati seorang daripada suspek adalah warga asing yang berada di negara ini tanpa memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan. Beliau berkata, suspek warga asing itu turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Katanya, semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah lampau dan tiada rampasan dibuat ketika tangkapan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana gaduh gempar dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat,” katanya. – Info X

July 12, 2026

Info X Reporters

Bekas suami ditahan ugut bekas isteri dengan senjata tajam

TAWAU: Seorang lelaki dipercayai mengugut bekas isterinya menggunakan senjata tajam ditahan polis dalam serbuan di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas, di sini, semalam. Suspek warga asing berusia lingkungan 26 tahun itu diberkas sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau tidak lama selepas polis menerima laporan daripada mangsa. Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, kejadian berlaku apabila suspek yang juga bekas suami mangsa datang ke rumah untuk mengambil anak mereka. Menurutnya, mangsa mendakwa ternampak suspek membawa senjata tajam sebelum lelaki terbabit mengeluarkan ugutan yang menyebabkan wanita itu bimbang terhadap keselamatan dirinya. “Susulan laporan diterima, sepasukan polis dari BSJ IPD Tawau menjalankan siasatan sebelum berjaya mengesan dan menahan suspek di tepi jalan Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas. “Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek adalah seorang warga asing yang berada dan menetap di negara ini tanpa memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen sah. Katanya, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya IPD Tawau, dalam mengambil tindakan tegas terhadap sebarang bentuk jenayah yang mengancam keselamatan masyarakat. “Orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat kepada polis serta segera membuat laporan sekiranya menjadi mangsa atau mengetahui sebarang kejadian jenayah bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan komuniti sentiasa terpelihara,” katanya. – Info X

July 11, 2026

Info X Reporters

BN kembali kuasai Johor

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) kembali membentuk kerajaan negeri Johor selepas memenangi lebih 40 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) Johor, pada Sabtu. Setakat jam 10 malam ini, info tidak rasmi yang dilaporkan media nasional menyatakan BN memenangi 48 kerusi, manakala baki lapan kerusi dimenangi calon Pakatan Harapan (PH). Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini menyandang beberapa kerusi dilaporkan gagal memenangi atau mempertahankan sebarang kerusi. Nasib sama turut menimpa parti baharu, BERSAMA pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli yang gagal dalam cubaan pertama mereka bertanding pada pilihan raya negara ini. Turut gagal memenangi sebarang kerusi ialah parti MUDA. BN pada sidang media menyatakan kepuasan hati mereka dapat memenangi lebih banyak kerusi pada kali ini berbanding 40 kerusi pada PRN-15, lima tahun lalu. PH pula menyatakan akur terhadap pilihan pengundi Johor apabila hanya keputusan tidak rasmi menunjukkan gabungan itu hanya memenangi lapan kerusi. – Info X

July 11, 2026

Info X Reporters

Kurang lapan jam, suspek rogol remaja dicekup

PAPAR: Tindakan pantas polis berjaya menahan seorang lelaki kurang lapan jam selepas menerima laporan berhubung kes rogol membabitkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di daerah ini. Suspek warga tempatan berusia 24 tahun itu ditahan di kawasan Kinarut kira-kira jam 11.30 malam tadi, hanya beberapa jam selepas mangsa tampil membuat laporan polis pada jam 4.20 petang. Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa mendakwa menjadi mangsa perbuatan itu dalam beberapa kejadian yang dipercayai berlaku antara Mac hingga Julai lalu. Katanya, sebaik laporan diterima, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar terus menggerakkan siasatan sebelum berjaya mengesan dan menahan suspek pada malam yang sama. “Kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan. “Mangsa telah dirujuk ke hospital untuk menjalani pemeriksaan perubatan, manakala suspek akan dipohon reman bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, polis turut merakam percakapan saksi serta menjalankan pemeriksaan di lokasi berkaitan bagi melengkapkan siasatan. Menurutnya, polis memandang serius sebarang kesalahan seksual, khususnya yang membabitkan kanak-kanak dan remaja bawah umur. “Ibu bapa serta penjaga disaran sentiasa memantau pergaulan anak-anak, termasuk aktiviti mereka di media sosial, selain segera membuat laporan polis sekiranya mengesyaki berlaku sebarang bentuk jenayah atau eksploitasi seksual. “Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan identiti mangsa kerana perbuatan itu boleh menjejaskan siasatan serta melanggar hak privasi mangsa,” katanya. Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Desmond Tanggapan di talian 019-4883322 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – Info X

July 11, 2026

Info X Reporters

Abidin Madingkir sertai Gagasan Rakyat

KOTA KINABALU: Bekas Naib Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Abidin Madingkir yang meninggalkan parti itu sebelum Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada November lalu, membuat keputusan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat). Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan bersama 30 bekas Ahli Jawatankuasa STAR bahagian Paginatan menyerahkan permohonan keahlian Gagasan Rakyat kepada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun, di sini. Majlis itu disaksikan Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan. Turut mengemukakan borang permohonan menyertai Gagasan Rakyat ialah bekas Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk NordinSiman. Yang lain termasuk bekas Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Paginatan, Hisyamuddin Harun; bekas Timbalan Ketua Bahagian STAR Paginatan, Jius Konsuling dan bekas Ketua Pemuda STAR Paginatan, Hillary Salmeon. Abidin berkata, lebih 3,000 pengikut STAR di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan dijangka akan mengikut jejak beliau menyertai Gagasan Rakyat kerana yakin parti itu menjadi wadah terbaik untuk memperkukuh perjuangan parti tempatan di Sabah. Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas pertimbangan yang teliti demi meneruskan perjuangan politik melalui sebuah parti yang mengutamakan kepentingan Sabah dan rakyatnya. “Gagasan Rakyat membawa aspirasi rakyat Sabah di samping memperkukuhkan kestabilan politik yang menjadi asas kepada pembangunan dan kemajuan negeri,” katanya. Abidin turut menyatakan komitmen untuk memperluaskan pengaruh Gagasan Rakyat di peringkat akar umbi dan bekerjasama rapat dengan kepimpinan parti bagi memastikan agenda pembangunan Sabah terus dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat. Sementara itu, Masidi yang juga Timbalan Presiden Gagasan Rakyat menyifatkan keputusan Abidin menyertai parti pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor itu dapat memperkukuhkan lagi perjuangan parti tempatan itu dalam mendukung agenda pembangunan, kestabilan politik negeri serta memperluaskan sokongan terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Pada PRN17 lalu, Abidin bertanding atas tiket GRS di kerusi DUN Paginatan, namun tewas di tangan calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Rusdin Riman dalam pertembungan 10 penjuru. – Info X