Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

April 19, 2026

Info X Reporters

Remaja mabuk dirogol, suspek 28 tahun ditahan

TAWAU: Seorang remaja perempuan menjadi mangsa rogol selepas dipercayai dibawa keluar dari sebuah kelab malam di kawasan Kubota Central, di sini sebelum dibawa ke sebuah hotel, semalam. Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan berada dalam keadaan mabuk dan lemah sebelum dibawa seorang lelaki menaiki kenderaan pacuan empat roda. Mangsa kemudian menyedari dirinya dirogol ketika berada di hotel berkenaan sebelum membuat laporan polis. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau berjaya mengesan dan menahan suspek dalam tempoh kurang 24 jam. “Suspek ditahan di Kampung Pukat dan merupakan lelaki tempatan berusia 28 tahun. “Semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau turut menasihatkan golongan wanita agar sentiasa menjaga keselamatan diri, tidak bersendirian serta berwaspada dengan persekitaran. “Suspek kini ditahan dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya. – Info X

April 19, 2026

Info X Reporters

Bot terbalik ketika memancing, dua lelaki hilang enam rakan selamat

KOTA BELUD: Dua lelaki dikhuatiri lemas, selepas bot dinaiki mereka terbalik ketika keluar memancing di perairan Kampung Tamau Batu Gadung, di sini, petang tadi. Dalam kejadian jam 5.20 petang itu, bot membawa lapan individu dipercayai dipukul ombak sebelum terbalik di muara sungai, dengan dua mangsa berusia 23 dan 18 tahun dikhuatiri lemas. Enam mangsa bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke pesisir pantai. Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, PPgB Elgie Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.19 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian. “Setibanya di lokasi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dijalankan dengan menyusuri sepanjang tebing sungai di kawasan bot karam. “Kedua-dua mangsa yang hilang masih belum ditemui setakat ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, operasi SAR masih diteruskan bagi mengesan mangsa yang dipercayai hanyut di sekitar kawasan berkenaan. “Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X

April 19, 2026

Info X Reporters

Kanak-kanak 5 tahun hilang, dikhuatiri dibaham buaya

LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dikhuatiri hilang selepas dipercayai dibaham buaya dalam kejadian di Jalan Felda Sahabat 16, Desa Kencana, di sini, pagi tadi. Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Mohd Hamka Mustamin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.27 pagi melalui talian MERS999. Katanya, berdasarkan maklumat awal, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 pagi ketika mangsa sedang mandi-manda di kawasan tepi pantai sebelum tiba-tiba disambar reptilia berkenaan. “Mangsa dilaporkan telah dibaham buaya dan diseret ke dalam laut. Identiti penuh mangsa masih belum diperoleh setakat ini. “Sepasukan anggota dari BBP Lahad Datu telah digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya ketika dihubungi. Beliau berkata, operasi SAR kini sedang dijalankan dengan bantuan pihak polis bagi mengesan mangsa yang masih belum ditemui. Katanya, pasukan bomba menghadapi cabaran berikutan jarak lokasi kejadian yang agak jauh, iaitu kira-kira 101 kilometer dari balai, selain keadaan persekitaran yang berisiko. “Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X

April 19, 2026

Info X Reporters

Mayat lelaki ditemui di Jalan Gaya, polis kesan waris

KOTA KINABALU: Polis memohon kerjasama orang ramai bagi mengesan waris seorang lelaki yang ditemui meninggal dunia di hadapan sebuah premis di Jalan Jati berhampiran kawasan Jalan Gaya, di sini, semalam. Menerusi kenyataan di Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini, pihaknya memaklumkan menerima panggilan kecemasan pada jam 9.38 pagi melalui MERS 999 mengenai seorang lelaki tidak sedarkan diri di hadapan Wisma Inti Utama. Menurut kenyataan itu, sepasukan polis digerakkan ke lokasi sebelum menemui lelaki berusia lingkungan 40-an terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri. “Pemeriksaan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa. “Si mati juga didapati mempunyai kecacatan pada jari tangan kanan,” menurut kenyataan itu. Katanya, kematian disahkan pegawai perubatan sebelum mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian. Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali si mati diminta tampil membantu siasatan bagi tujuan pengecaman dan pengurusan lanjut. Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – Info X

April 19, 2026

Info X Reporters

SK Simpangan, Paitan dipindah ke lokasi bebas banjir – James Ratib

PAITAN: Sekolah Kebangsaan (SK) Simpangan, di sini, yang mengalami kerosakan teruk akibat banjir awal tahun ini akan dipindahkan ke lokasi baharu yang lebih selamat. Pemindahan tapak sekolah itu disahkan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, selepas meninjau keadaan sekolah itu pada Sabtu. Katanya, pemindahan ke tapak baharu itu penting bagi memastikan masalah banjir yang sekian lama menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah itu diatasi. Beliau berkata, tapak baharu sekolah itu sudah dikenal pasti di kawasan Korporasi Pembangunan Desa (KPD) Kampung Simpangan. Jelasnya, cadangan itu mengambil kira faktor keselamatan dan keperluan jangka panjang murid serta warga sekolah yang sering berdepan risiko banjir di lokasi sedia ada. “Adalah wajar SK Simpangan yang sering dilanda banjir dipindahkan ke kawasan yang lebih tinggi berhampiran Kampung Simpangan iaitu di tapak KPD yang dicadangkan oleh JKKK, berbanding tapak asal sangat rendah dan berhampiran dengan sungai. “Pada masa sama, saya juga mencadangkan agar tapak asal pembinaan SK Simpangan di pekan Paitan dijadikan sebagai SK Pekan Paitan,” katanya. James berkata, cadangan pemindahan akan melalui proses pewartaan tanah yang akan dikemukakan kepada Jabatan Tanah dan Ukur sebelum dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk kelulusan selanjutnya. Dalam pada itu, beliau berkata bagi memastikan sesi pembelajaran murid tidak terganggu, penempatan sementara akan disediakan di Dewan Terbuka SMK Simpangan dengan pembinaan ‘partition’ yang sesuai. “Langkah ini penting bagi memastikan murid terus mendapat akses kepada pendidikan dalam suasana yang kondusif sementara menunggu pembinaan sekolah baharu diselesaikan,” katanya. Dalam lawatan yang sama, beliau turut mengunjungi SMK Simpangan dan menerima taklimat daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mengenai perkembangan semasa pendidikan di kawasan itu. – Info X

April 19, 2026

Info X Reporters

Hampir 11 jam bergelut padam kebakaran Kampung Bahagia, 1,000 rumah musnah

SANDAKAN: Hampir 11 jam bertarung dengan api, kebakaran besar yang memusnahkan penempatan atas air Kampung Bahagia di sini, akhirnya berjaya dipadamkan sepenuhnya tengah hari tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, dianggarkan 1,000 rumah tidak kekal musnah sepenuhnya, sekali gus menyebabkan ribuan penduduk hilang tempat tinggal. Ketua Zon 6 Sandakan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Jasri Ab Jal berkata, operasi pemadaman berdepan pelbagai cabaran termasuk laluan sempit serta keadaan air laut surut yang menyukarkan sumber bekalan air. “Struktur rumah yang rapat selain angin kencang menyebabkan api merebak dengan cepat. “Selain itu, keadaan air laut yang surut menyukarkan usaha mendapatkan sumber air terbuka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman secata offensive dan defensive di bahagian kiri dan kanan kawasan kebakaran dengan menggunakan empat aliran sepanjang 1,000 kaki dengan 12 pancutan. “Jentera FRT bantuan daripada BBP Kinabatangan turut menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 400 kaki dengan empat pancutan. “kebakaran berjaya dikawal kira-kira jam 8.43 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12 tengah hari selepas kerja-kerja overhaul selesai. “Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pemeriksaan mendapati tiada lagi bahaya lain di lokasi,” katanya. Operasi membabitkan anggota BBP Sandakan dan BBP Kinabatangan dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela serta beberapa agensi lain termasuk PDRM, APM dan Sabah Electricity. – Info X

April 19, 2026

Info X Reporters

8,000 hilang tempat tinggal, 1,000 rumah musnah

SANDAKAN: Sekurang-kurangnya 8,000 penduduk hilang tempat tinggal selepas kira-kira 1,000 rumah musnah dalam kebakaran di penempatan atas air Kampung Bahagia, Batu Sapi, di sini, awal pagi tadi. Ketua Kampung Bahagia, Sharif Hashim Sharif Titing berkata, hampir 90 peratus kediaman di kampung itu terbakar, sekali gus menjadikannya kebakaran paling besar pernah direkodkan di kawasan berkenaan. Menurutnya, ini kejadian ketiga selepas insiden sama pada 1994 dan 2001, namun kali ini hampir keseluruhan kampung terjejas. “Syukur tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Kami berharap bantuan segera dapat disalurkan termasuk daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). “Kami juga berharap pusat penempatan sementara dapat disediakan untuk menempatkan mangsa,” katanya ketika ditemui. Sementara itu, Ketua Zon 6 Sandakan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Jasri Ab Jal berkata, kebakaran hanya dapat dikawal sepenuhnya kira-kira jam 8 pagi. Katanya, operasi pemadaman berdepan pelbagai cabaran termasuk laluan sempit ke lokasi selain kenderaan yang menghalang pergerakan jentera. “Struktur rumah yang rapat serta angin kencang menyebabkan api merebak dengan sangat cepat,” katanya. Dalam perkembangan sama, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi diaktifkan sebagai pusat penempatan sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa terjejas. Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan, Datuk Walter Kenson berkata, langkah itu diambil selepas pemeriksaan mendapati kawasan terlibat tidak selamat untuk didiami buat masa ini. – Info X

April 19, 2026

Info X Reporters

Bantuan segera disalur kepada mangsa kebakaran Kampung Bahagia, Sandakan – KM

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menggerakkan semua agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan dan menyediakan bantuan segera kepada mangsa kebakaran Kampung Bahagia, Batu Sapi di Sandakan. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menerusi perkongsian di Facebook beliau, berkata tindakan segera itu demi kebajikan lebih 400 mangsa dalam kebakaran besar itu. “Saya amat berdukacita menerima laporan kebakaran besar yang melibatkan ratusan buah rumah di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan. Kerajaan Negeri telah menggerakkan semua agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan mangsa sentiasa terjamin disamping menyediakan bantuan segera agar mereka berada dalam keadaan selamat dan selesa. “Keutamaan kita ketika ini adalah untuk memastikan kebajikan semua mangsa dijaga termasuk penyediaan tempat perlindungan sementara, makanan serta keperluan asas,” katanya. Hajiji berkata, Kerajaan Negeri akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan memastikan segala bentuk bantuan disalurkan dengan segera dan berkesan. Berdasarkan laporan tidak rasmi dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), setakat jam 9.15 pagi Ahad, Pusat Pemindahan (PP) PPR Batu Sapi, Sandakan mendaftarkan seramai 89 Ketua Isi Rumah (KIR) dengan jumlah keseluruhan seramai 445 mangsa. Kebakaran perkampungan atas air itu dilaporkan berlaku pada jam 1.30 pagi dengan laporan awal membabitkan kira-kira 200 rumah jenis tidak kekal. – Info X