April 16, 2026
Info X Reporters
RM437.9 juta untuk pembangunan modal insan tahun ini – Hajiji
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan RM437.93 juta bagi memperkasa dan membangunkan modal insan yang merangkumi aspek akademik dan spiritual pada tahun ini. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata penyediaan peruntukan itu sejajar komitmen kerajaan negeri mengutamakan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi untuk meningkatkan ekonomi Sabah. “Ia adalah platform terbaik untuk membawa ekonomi Sabah beralih kepada aktiviti bernilai tinggi dan berorientasikan pengetahuan serta kemahiran. “Ini termasuk memberi keutamaan kepada program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selain Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik (STEM) serta inovasi dan teknologi digital,” katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia Ke-10 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Khamis. Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam. Seramai 1,000 graduan dari Kolej Vokasional Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menerima diploma masing-masing pada majlis konvokesyen itu. Sementara itu, Hajiji mengucapkan syabas kepada barisan pendidik kolej vokasional yang menjadi pemacu utama dalam agenda pemerkasaan TVET negara. “Komitmen dan kerja keras tenaga pengajar bukan saja besar dalam melonjakkan ketamadunan masyarakat untuk terus teguh mendepani cabaran global. “Komitmen ini seiring dengan kepentingan TVET pada masa kini, di mana TVET bukan lagi pilihan kedua atau alternatif, tetapi TVET ini sudah berada dalam arus perdana pendidikan negara dan menjadi pilihan utama untuk anak-anak kita berjaya dan memiliki kemahiran, sekali gus memenuhi kehendak industri,” katanya. Ketua Menteri berkata peningkatan permohonan masuk ke kolej vokasional daripada 28,098 pada 2022 kepada 58,263 pada 2026, berbanding kapasiti pengambilan berjumlah 17,912 orang pelajar jelas menunjukkan keyakinan rakyat terhadap nilai pendidikan kemahiran. “Berdasarkan Laporan The Future of Jobs Report 2025 oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) jelas menunjukkan pasaran kerja global sedang mengalami transformasi besar,” katanya. Menjelang 2030, katanya dianggarkan 170 juta pekerjaan baharu akan tercipta, khususnya dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui, dan ekonomi hijau. “Di peringkat domestik, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) meletakkan tumpuan utama kepada sektor berimpak tinggi dan bernilai tinggi. “Ini bermakna, negara memerlukan tenaga kerja yang bukan saja mahir secara teknikal, tetapi juga tangkas digital dan peka terhadap kelestarian,” katanya. Sesuai dengan keperluan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia telah merangka ekosistem TVET yang lebih dinamik dan responsif melalui Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035. Hajiji berkata, dalam hal itu, kerajaan Sabah turut tidak terkecuali dengan pengutamaan terhadap pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, katanya. – Info X
April 16, 2026
Info X Reporters
Dua kes petrol disyaki diseleweng di Semporna, lebih 1,300 liter dirampas
SEMPORNA: Lebih 1,300 liter minyak petrol disyaki cuba diseleweng dirampas dalam dua kes berasingan di sini, pada 15 April lalu. Rampasan itu membabitkan nilai keseluruhan dianggarkan lebih RM55,000 hasil tindakan penguatkuasaan dijalankan oleh beberapa agensi sebelum diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Semporna. Dalam kes pertama, tangkapan dilakukan oleh Batalion N22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak di kawasan Jeti Kayu, Jalan Kastam, membabitkan seorang individu bersama rampasan bot laju, enjin sangkut serta 175 liter minyak disyaki petrol. Nilai keseluruhan rampasan dalam kes itu dianggarkan sebanyak RM50,747.25. Sementara itu, kes kedua melibatkan rampasan tanpa tuan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna di sebuah rumah atas air di Kampung Srijaya. Rampasan berkenaan membabitkan 1,175 liter minyak disyaki petrol dengan nilai anggaran RM5,017.25. KPDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. Menurutnya, pihaknya akan terus mempergiat operasi bagi membanteras penyelewengan barang kawalan termasuk bahan api bersubsidi bagi memastikan bekalan sampai kepada golongan sasar. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menyalurkan aduan melalui WhatsApp 019-848 8000, talian 1-800-886-800, e-mel [email protected] atau aplikasi Ez ADU KPDN. – Info X
April 16, 2026
Info X Reporters
Kereta hilang kawalan rempuh pelanggan kedai kopi
PENAMPANG: Dua pelanggan sebuah kedai kopi di Nambazan, di sini, cedera ringan selepas dirempuh kenderaan yang hilang kawalan ketika sedang menikmati hidangan, dalam kejadian yang tular di media sosial. Kejadian jam 5.27 petang, pada Selasa itu berlaku di Jalan Papar Lama, Uptown Nambazan itu melibatkan dua kenderaan. Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada sebuah kenderaan dipandu wanita tempatan. “Wanita itu dipercayai sedang mengundur keluar dari kawasan parkir sebelum melanggar sebuah kenderaan lain di belakangnya. “Akibat pelanggaran itu, pemandu kenderaan yang dilanggar dipercayai tersalah menekan pedal minyak sehingga menyebabkan kenderaan hilang kawalan dan naik ke kaki lima premis makanan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, kedua-dua pemandu yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan. “Manakala dua pelanggan yang berada di lokasi hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar. “Kes disiasat mengikut Kaedah 17 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959,” katanya. Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika memandu selain tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian yang telah tular di media sosial. Semalam, tular video berdurasi 43 saat memaparkan kejadian berkenaan di media sosial. Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikongsikan kepada Info X, mangsa dilihat sedang duduk di ruang kaki lima premis sebelum sebuah kereta tiba-tiba merempuh kawasan itu.
April 16, 2026
Info X Reporters
Polis beri amaran, calling centre penipuan terus diburu
KOTA KINABALU: Polis Sabah memberi amaran tegas akan terus memburu dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan pusat panggilan (calling centre) penipuan atas talian di negeri ini. Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, amaran itu susulan kejayaan polis menumpaskan sindiket yang beroperasi di sebuah resort di sini, awal bulan ini. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pusat panggilan penipuan diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan dan usaha membanteras jenayah ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Dalam perkembangan sama, beliau berkata, seramai 80 warga asing yang sebelum ini ditahan dalam serbuan berkenaan sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau, semalam. Katanya, semua tertuduh membabitkan 78 warga China, seorang warga Myanmar dan seorang warga Laos itu didakwa mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama. “Selain itu, 22 daripada mereka turut didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen sah, manakala seorang lagi didakwa mengikut Seksyen 5(1)(c) akta sama,” katanya. Mahkamah menetapkan 25 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes. Terdahulu, dalam serbuan kira-kira jam 9.25 pagi pada 7 April lalu, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Tawau, Sandakan dan Keningau menyerbu premis berkenaan yang dijadikan pusat panggilan penipuan. Serbuan itu membawa kepada penahanan 80 individu berusia antara 17 hingga 45 tahun yang dipercayai menjalankan kegiatan penipuan dengan menyamar sebagai pegawai penguat kuasa luar negara bagi memperdaya mangsa, khususnya warga asing di luar Malaysia. Polis turut merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan itu termasuk tiga set komputer, 36 unit telefon bimbit, 15 skrip penipuan dalam bahasa Mandarin, lapan dokumen mengandungi nombor telefon serta tiga pasang pakaian seragam menyerupai pegawai penguat kuasa luar negara. Siasatan lanjut mendapati sindiket berkenaan menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial sebagai ‘tiket masuk’ ke Sabah sebelum menjalankan aktiviti penipuan secara terancang sejak beberapa bulan lalu. – Info X
April 16, 2026
Info X Reporters
Lelaki memandu bawah pengaruh alkohol ditahan
PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk di Jalan Bundusan, di sini, awal pagi tadi. Dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang itu, suspek ditahan selepas pemeriksaan mendapati kandungan alkohol dalam badannya melebihi had dibenarkan. Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Erwansyah Abdul Basir berkata, lelaki terbabit ditahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. “Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara sehingga dua tahun dan didenda tidak kurang RM10,000 hingga RM30,000 serta hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, dalam operasi sama, polis turut mengeluarkan enam saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas. “Operasi diketuai Ketua BSPT IPD Penampang, Inspektor Rozami Ahmad bersama tujuh anggota. “Sepanjang operasi, seramai 57 individu dan 52 kenderaan diperiksa,” katanya. Beliau berkata, operasi berkenaan dilaksanakan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang serta meningkatkan tahap keselamatan di daerah ini. – Info X
April 15, 2026
Info X Reporters
Anak ugut bakar ibu, menantu ditahan
TAWAU: Hanya kerana ditegur pulang lewat malam, seorang lelaki tergamak mengugut untuk membakar serta memukul ibu kandungnya yang berusia kira-kira 80 tahun dalam kejadian di Kampung Sungai Imam, di sini. Dalam kejadian itu, mangsa yang berada di rumah menegur anak lelakinya yang kerap pulang lewat, namun teguran berkenaan menimbulkan kemarahan suspek. Situasi menjadi tegang apabila lelaki terbabit didakwa mengugut untuk mencederakan mangsa dan menantunya sehingga menyebabkan warga emas itu ketakutan. Bimbang keselamatan diri dan ahli keluarga, mangsa kemudian membuat laporan di balai polis berhampiran. Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sebelum menjalankan operasi mengesan suspek. “Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau bersama Balai Polis Bombalai berjaya mengesan dan menahan suspek di kawasan Jalan Perikanan Kampung Sungai Imam. “Suspek lelaki tempatan berusia 49 tahun itu kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, semakan rekod lampau mendapati suspek pernah ditahan dan dihukum di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan sebelum ini. “Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya. – Info X
April 15, 2026
Info X Reporters
Tiga penjawat awam termasuk 2 pegawai direman kes rasuah RM500,000
TAWAU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga penjawat awam sebuah agensi penguatkuasaan di sebuah daerah di negeri ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM500,000. Rasuah itu dipercayai sebagai balasan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap lori milik syarikat yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. Perintah reman sehingga 22 April itu dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Tawau, pagi tadi. Menurut sumber, ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 40 hingga 50-an itu ditahan antara jam 4 hingga 5 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM cawangan Tawau. “Siasatan awal mendapati semua suspek disyaki melakukan perbuatan itu antara 2022 hingga 2024 dengan menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan ke akaun bank peribadi masing-masing. “Mereka yang terdiri daripada dua pegawai dan seorang anggota penguat kuasa dipercayai telah menerima wang rasuah secara bulanan bernilai kira-kira RM500 hingga RM30,000 seorang daripada beberapa syarikat kenderaan berat,” katanya. Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan (Kawalan dan Penyelarasan Operasi) Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – Info X
April 15, 2026
Info X Reporters
31 PATI ditahan dalam operasi dua hari di Kundasang
RANAU: Seramai 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di sekitar Kundasang, di sini, semalam hingga pagi tadi. Operasi dijalankan di empat lokasi berasingan itu membabitkan 18 pegawai JIM Sabah dari Pejabat Imigresen Daerah Ranau dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) daerah berkenaan. Menurut kenyataan JIM Sabah, hasil pemeriksaan terhadap 78 individu, seramai 31 warga asing ditahan kerana disyaki melanggar pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. “Daripada jumlah itu, 16 adalah lelaki dewasa, 10 wanita dewasa, tiga kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan. “Semua yang ditahan terdiri daripada warganegara Indonesia dan Filipina,” kata kenyataan itu, hari ini. Tambah kenyataan itu lagi, semua individu berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 36 Akta Imigresen 1959/63. “Mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut dan tindakan susulan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya. Sementara itu, JIM Sabah menegaskan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI. “Pada masa sama, orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan mereka,” katanya. – Info X