Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

April 9, 2026

Info X Reporters

Sumbang mahram: Usaha pencegahan babitkan keluarga, komuniti dan institusi agama – Julita

KOTA KINABALU: Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KWKKR) memandang serius pendedahan kes rogol, terutama membabitkan sumbang mahram di negeri ini. Menterinya, Datuk Julita Majungki, berkata kes seorang bapa merogol dua anaknya sebelum dihukum penjara 165 tahun dan sebat di Lahad Datu, menunjukkan perlunya memperkukuh usaha pencegahan di peringkat keluarga, komuniti dan institusi agama. Beliau berkata, langkah pencegahan yang lebih menyeluruh, termasuk penglibatan keluarga, komuniti dan institusi keagamaan, perlu diperkasa bagi menangani isu sosial berkenaan. “Perkara ini amat menyedihkan dan sepatutnya tidak berlaku. Walaupun pelaku perlu berdepan tindakan undang-undang, pencegahan adalah sama penting,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kes itu. Laporan berita sebelum ini menyatakan seorang bapa merogol dua anak perempuannya selama beberapa tahun di kediaman mereka di Lahad Datu. Lelaki berusia 54 tahun itu dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 165 tahun dan 24 sebatan selepas mengaku bersalah terhadap 11 pertuduhan. Julita turut menggesa mangsa penderaan agar tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa, sambil menegaskan bantuan sentiasa tersedia. “Sekiranya persekitaran mereka bersifat mendera dan memerlukan bantuan, mereka tidak perlu teragak-agak untuk tampil mendapatkan pertolongan. “Kita mempunyai pusat perlindungan di bawah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) yang menyediakan tempat perlindungan dan sokongan kepada mangsa penderaan,” katanya. Antara inisiatif utama, katanya ialah Rumah Perlindungan Wanita (RUPAWAN) yang menyediakan perlindungan sementara, keselamatan serta sokongan pemulihan kepada wanita dalam situasi krisis. Katanya, orang ramai yang memerlukan bantuan boleh menghubungi RUPAWAN melalui WhatsApp di talian 011-27918840. Selain itu, katanya Pusat Bantuan Guaman Wanita (PBGW) turut menyediakan khidmat nasihat dan bantuan guaman dalam kes seperti keganasan rumah tangga, perceraian dan hak penjagaan anak, bagi memastikan wanita mendapat perlindungan dan pembelaan di sisi undang-undang. Pusat itu katanya boleh dihubungi melalui WhatsApp di talian 010-5831891. Melalui JHEWA pula, katanya kementerian juga melaksanakan program advokasi berkaitan pencegahan keganasan rumah tangga serta literasi undang-undang bagi meningkatkan kesedaran dan menggalakkan intervensi awal. “Usaha ini dilengkapi dengan program kesedaran berterusan serta penglibatan komuniti yang menumpukan kepada pengukuhan nilai kekeluargaan. “Kementerian juga akan terus bekerjasama rapat dengan pemimpin komuniti dan institusi berkaitan bagi memperluas capaian, khususnya dalam membimbing ibu bapa dan keluarga mewujudkan persekitaran yang selamat untuk anak-anak,” katanya. – Info X

April 9, 2026

Info X Reporters

Ekonomi Biru pemacu baharu ekonomi Sabah – KM

KOTA KINABALU: Ekonomi Biru bakal menjadi pemacu strategik dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi mentransformasi struktur ekonomi negeri ke arah pertumbuhan bernilai tambah tinggi, inklusif dan mampan. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pendekatan itu berteraskan kelebihan maritim dan kekayaan biodiversiti Sabah yang merangkumi pelbagai sektor strategik termasuk perikanan moden, akuakultur, bioteknologi marin, logistik maritim dan pelancongan berasaskan alam semula jadi. “Pendekatan ini selari dengan teras pemerkasaan ekonomi rakyat, keseimbangan wilayah, inovasi dan kelestarian alam sekitar yang menjadi tunjang SMJ 2.0,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis TERAJU Aspirasi Outreach Sabah 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC), pada Khamis. Hajiji berkata, pelan berkenaan diunjurkan mampu menjana pendapatan hasil laut sehingga RM3.25 bilion setahun menerusi sektor perikanan dan akuakultur, sekali gus membuka ruangpertumbuhan baharu kepada ekonomi negeri. Katanya, sektor itu juga terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila menyumbang sebanyak RM9.18 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga suku ketiga 2025, dengan pengeluaran hasil laut melebihi 1.91 juta tan metrik bernilai kira-kira RM6.05 bilion. Mengulas pencapaian pembangunan negeri, beliau berkata pelaksanaan SMJ 1.0 (2021–2025) berjaya meletakkan asas kukuh kepada pemulihan ekonomi Sabah serta meningkatkan kesejahteraan rakyat, walaupun berdepan ketidaktentuan global. “Sepanjang tempoh itu, Sabah mencatat sejarah apabila kutipan hasil negeri hampir RM7 bilion buat pertama kali, dengan RM6.96 bilion pada 2022, RM6.97 bilion pada 2023 dan kekal kukuh dengan pungutan hasil sebanyak RM6.76 bilion pada 2025,” katanya. Jelasnya, prestasi itu turut disokong peningkatan KDNK negeri yang mencapai RM84.3 bilion pada 2024 berbanding RM77.8 bilion pada 2020, sekali gus menempatkan Sabah sebagai penyumbang ketujuh terbesar kepada ekonomi negara. “Unjuran KDNK bagi 2025 juga dijangka terus berkembang sekitar 1.5 peratus, mencerminkan momentum pertumbuhan ekonomi negeri yang kekal stabil,” katanya. Ketua Menteri berkata, kejayaan SMJ 1.0 memberi keyakinan bahawa Sabah berada pada landasan tepat, seterusnya mendorong pelaksanaan SMJ 2.0 yang menuntut anjakan menyeluruh termasuk perubahan cara berfikir, bekerja dan mencipta nilai baharu untuk rakyat. “Hala tuju ini juga diselaraskan dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memastikan kesinambungan pembangunan negeri sehingga 2030,” katanya. Dalam pada itu, Hajiji berkata penganjuran program TERAJU Aspirasi Outreach Sabah 2026 membuktikan peranan penting Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) sebagai pemudah cara dalam memperkasa pembangunan ekonomi Bumiputera di Sabah. Beliau berkata, program outreach berkenaan bukan sahaja menyediakan akses kepada pembiayaan dan pembangunan kapasiti, malah membuka peluang jaringan perniagaan yang lebih luas kepada usahawan tempatan. “Platform ini juga menjadi jambatan yang menghubungkan dasar kerajaan dengan pelaksanaan di peringkat akar umbi, sekali gus memastikan manfaat pembangunan dapat disampaikan secara lebih menyeluruh,” katanya. Sehubungan itu, beliau menyeru usahawan Bumiputera di negeri ini agar memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan, termasuk meneroka sektor baharu seperti Ekonomi Biru yang mempunyai potensi besar jika diterokai secara strategik. – Info X

April 9, 2026

Info X Reporters

Remaja dipenjara selama diperkenan TYT kerana bunuh kekasih

TAWAU: Mahkamah Tinggi Tawau pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara terhadap seorang remaja lelaki warga Indonesia selepas didapati bersalah membunuh kekasih yang juga rakan senegaranya di sebuah ladang kelapa sawit di Kalabakan, pada 2023. Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos, memerintahkan tertuduh berusia 16 tahun itu menjalani hukuman penjara selama tempoh yang diperkenankan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah. Perkara itu selaras dengan peruntukan Seksyen 97(2)(b) Akta Kanak-Kanak 2001. Steve membuat keputusan itu selepas mahkamah meneliti laporan akhlak yang dikemukakan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tawau memandangkan tertuduh masih di bawah umur ketika kejadian. Pada prosiding itu, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap kes berkenaan, sebelum mensabitkan kesalahan terhadap tertuduh. Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang berusia 13 tahun ketika kejadian didakwa membunuh mangsa yang seumur dengannya, antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang pada 4 Januari 2023. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif manakala tertuduh diwakili peguam, Liew Hon Min. Ends

April 9, 2026

Info X Reporters

Dr Mary terajui Unduk Ngadau Kaamatan 2026

KOTA KINABALU: Tokoh wanita dari Telupid, Dr Mary Gambidau, diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 (UNK 2026), sekali gus mengetuai penganjuran acara kebudayaan ikonik negeri ini. Pelantikan itu dilihat sebagai langkah memperkukuh lagi kedudukan Unduk Ngadau Kaamatan sebagai platform penting dalam usaha memelihara dan mengangkat warisan budaya masyarakat, selain memperkasa peranan wanita muda sebagai pewaris tradisi. Pada masa sama, Datuk Joanna Datuk Kitingan dilantik sebagai penasihat bagi membantu memberikan hala tuju strategik serta sokongan kepimpinan kepada jawatankuasa penganjur. Bagi memastikan kelancaran penganjuran, satu Jawatankuasa Induk dibentuk dengan Mandy Nandu sebagai Timbalan Pengerusi, Audrey Wilson Rantau (Setiausaha) dan Maureen J. Kananong (Bendahari), selain dibantu barisan ahli jawatankuasa berpengalaman. Persiapan penganjuran telah dimulakan sejak Februari lalu dengan pelaksanaan beberapa pendekatan baharu termasuk penilaian awal finalis yang diselaraskan bersama Kadazandusun Cultural Association (KDCA) bagi meningkatkan ketelusan serta mutu pemilihan peserta. Acara kemuncak dijadual berlangsung dari 26 hingga 31 Mei ini sempena Minggu Unduk Ngadau Kaamatan, melibatkan 52 finalis dari seluruh Sabah termasuk yang menetap di Semenanjung Malaysia. Sepanjang tempoh itu, pelbagai aktiviti kebudayaan, program rasmi serta sesi penilaian akan diadakan secara bersepadu bagi memperkukuh jati diri peserta. Dalam pada itu, Hilton Kota Kinabalu dipilih sebagai hotel rasmi bagi penganjuran tahun ini. UNK 2026 dijangka terus menjadi medan penting dalam memartabatkan warisan budaya negeri, di samping mengukuhkan identiti masyarakat Sabah serta memperluas pengiktirafan di peringkat lebih tinggi. – Info X

April 9, 2026

Info X Reporters

Op Tiris 4.0: Lelaki ditahan bawa 800 liter diesel di Pulau Banggi

KUDAT: Kegiatan penyelewengan bahan api di perairan Sabah terus dibanteras apabila seorang lelaki tempatan dicekup bersama 800 liter minyak diesel dalam Operasi Bersepadu Inter Agensi (Op Tiris 4.0), di Pulau Banggi, semalam. Operasi yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Kudat dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Kudat dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kudat itu berjaya menahan suspek di kawasan jalan utama Karakit – Batu Layar. Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Cawangan Kudat, Nazatul Shima Karim berkata, sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux Single Cab berwarna putih dikesan dalam keadaan mencurigakan. Katanya, pemeriksaan lanjut kemudian menemukan empat tong drum berisi minyak diesel dengan anggaran kuantiti 800 liter. “Suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan pemilikan atau pengangkutan bahan api berkenaan sebelum ditahan bagi membantu siasatan. “Kenderaan serta minyak diesel terbabit turut disita dan dirampas untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, pihaknya komited membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan khususnya bahan api yang memberi kesan langsung kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat. “Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan secara berterusan dan lebih agresif terutama di kawasan Pulau Banggi yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi berlakunya aktiviti penyeludupan bahan api,” katanya. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pasukan Polis Marin dan APMM atas kerjasama strategik dalam menjayakan operasi berkenaan. “Orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa melalui saluran rasmi yang disediakan,” katanya. – Info X

April 9, 2026

Info X Reporters

Mayat terbelit tali jangkar kapal ditemukan di pelabuhan

TAWAU: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbelit pada tali jangkar sebuah kapal di Pelabuhan Pasar Ikan, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 3.35 pagi itu, mangsa berusia 40 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau yang memohon bantuan mengeluarkan mangsa. Katanya, sepasukan tujuh anggota bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 1.1 kilometer dari balai. “Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 3.38 pagi dan mendapati mangsa terbelit pada tali jangkar kapal. “Operasi dijalankan dengan memotong tali berkenaan menggunakan peralatan khas sebelum mangsa berjaya dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, mangsa kemudian dibawa turun dari kapal menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. “Operasi yang turut dibantu tiga anggota polis itu tamat sepenuhnya pada jam 5.01 pagi,” katanya. ‘ Info X

April 9, 2026

Info X Reporters

Lelaki ditahan bawa petrol tanpa dokumen

SEMPORNA: Cubaan seorang lelaki membawa sejumlah besar minyak petrol tanpa dokumen sah terbongkar apabila dia ditahan dalam Operasi Bersepadu Intra/Inter (Op Taring ESSZONE – Op Taring Bravo 1), di perairan daerah ini, hari ini. Menerusi kenyataan media di Facebook Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak, operasi dijalankan pasukan Komtak Mabul Kompeni A Batalion 22 PGA Kunak dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna, hasil maklumat risikan. Dalam operasi itu, anggota bertugas mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan sebelum memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan menjalankan pemeriksaan ke atas seorang lelaki yang berada di atas bot berkenaan. Hasil pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, sebelum pemeriksaan lanjut ke atas bot menemukan 69 gelen berisi minyak petrol serta satu gelen mengandungi campuran petrol dan minyak 2T. Suspek juga gagal menunjukkan sebarang dokumen kelulusan untuk menyimpan, memiliki atau membawa bahan berkenaan. Lelaki itu kemudian ditahan bersama barang rampasan dan diserahkan kepada pihak KPDN Cawangan Semporna untuk tindakan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM75,000 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. Pihak Batalion 22 PGA Kunak menegaskan komitmen untuk terus mempergiat risikan serta membanteras kegiatan menyalahi undang-undang di kawasan ESSZONE, sekali gus memastikan perairan negara kekal selamat daripada ancaman dan aktiviti haram. – Info X

April 8, 2026

Info X Reporters

80 disyaki ‘scammer’ menyamar polis China diberkas di resort

TAWAU: Kegiatan sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai anggota polis China terbongkar apabila polis menyerbu sebuah resort, di sini malam tadi. Dalam operasi kira-kira jam 9.20 malam itu, seramai 80 individu dipercayai terbabit berjaya ditahan dalam serbuan bersepadu yang dijalankan Bahagian Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) IPK Sabah bersama BSJK Tawau, Sandakan dan Keningau. Sumber berkata, majoriti tangkapan membabitkan warga asing dengan 78 daripadanya rakyat China termasuk empat wanita, selain masing-masing seorang dari Myanmar dan Laos, berusia antara 17 hingga 46 tahun. “Sindiket ini dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu dengan menjadikan premis berkenaan sebagai pusat operasi bagi menjalankan penipuan secara dalam talian. “Lokasi itu bukan sahaja berfungsi sebagai pusat panggilan, malah turut digunakan sebagai tempat latihan, kediaman serta lokasi rehat ahli sindiket,” katanya. Menurutnya, sasaran utama kumpulan itu adalah warga Amerika Syarikat berketurunan Cina, dengan taktik menyamar sebagai pegawai polis dari China bagi memperdaya mangsa. Dalam serbuan sama, pihak berkuasa turut merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah termasuk telefon bimbit, komputer, skrip penipuan, pasport, modem, sepanduk serta pakaian seragam polis China. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan. Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti peranan setiap suspek serta rangkaian sindiket terbabit. Sementara itu, seramai 77 suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Tawau, pagi ini bagi permohonan reman. Permohonan reman selama tiga hari yang dikemukakan pegawai penyiasat BSJK IPD Tawau, Inspektor Siti Dayana Adillah, diluluskan oleh Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin. Tiga lagi suspek yang sedang menerima rawatan di hospital turut dibenarkan direman selama tempoh sama. Bagaimanapun, enam individu termasuk seorang warga Laos dibebaskan, namun masih diperlukan bagi membantu siasatan lanjut. – Info X