March 31, 2026
Info X Reporters
SPM 2025: 605 pelajar di Sabah catat semua kombinasi A
RANAU: Seramai 605 pelajar di Sabah mencatat keputusan semua A pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025. Jumlah itu merangkumi pelajar yang mencatat semua kombinasi A, iaitu A+, A dan A-, meningkat 25 orang berbanding SPM 2024. Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Dr Raisin Saidin, berkata jumlah itu mewakili 1.63 peratus daripada 37,036 jumlah calon SPM Kementerian Pendidikan (KPM) 2025 di Sabah. Bagaimanapun, katanya hanya tiga pelajar mencatat keputusan semua A+ pada SPM 2025, berbanding enam pelajar pada SPM 2024. “Sukacita saya memaklumkan bahawa bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang iaitu semua gred A+ dalam semua mata pelajaran adalah seramai tiga orang pada SPM 2025 berbanding enam orang pada SPM 2024. “Bilangan calon yang memperolehkombinasi gred A+, A dan A- pula seramai 605 orang (1.63%) pada SPM 2025 berbanding dengan 580 orang (1.64%) pada SPM 2024.Angka ini menunjukkan peningkatan seramai 25 orang (0.01%),” katanya. Beliau berkata demikian pada pengumuman keputusan SPM 2025 bagi negeri Sabah di SMK Agama Mohamad Ali, di sini, pada Selasa. Sementara itu, katanya seramai 6,150 orang (16.61%) calon memperolehi sekurang-kurangnya kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran padaSPM 2025 berbanding 3,437 orang (9.74%) pada SPM 2024. Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan seramai 2,713 orang (6.87%). “Calon yang memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau gred E dalamsemua mata pelajaran adalah seramai 14,533 orang (39.24%) pada SPM 2025 berbanding 13,265 orang (37.64%) pada SPM 2024. “Angka ini menunjukkan peningkatan seramai 908 orang (1.60%),” katanya. Sementara itu, katanya indeks Gred Purata Negeri (GPN) bagi Sabah pada SPM 2025 lebih baik dengan nilai 4.85 mata, berbansing 5.00 mata pada SPM 2024. “Sukacita saya memaklumkan bahawa secara keseluruhannya, pencapaian calon SPM 2025 bagi negeri Sabah berdasarkan indeks GPN adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya. “Nilai GPN SPM 2025 bagi negeri Sabah ialah 4.85 mata berbandingdengan 5.00 mata pada SPM 2024, iaitu mengecil sebanyak 0.15 mata,” katanya. Secara keseluruhan, katanya seramai 34,737 orang (95.60%) calon sekolah KPM di Sabah layak dianugerahkan sijil pada SPM 2025 berbanding 32,501 orang (94.68%) pada SPM 2024. Angka itu, katanya menunjukkanpeningkatan seramai 2,236 orang (0.92%). – Info X
March 31, 2026
Info X Reporters
Suspek berang dengar adik ‘mengumpat’ sebelum menembaknya
TENOM: Suspek kes tembak adik dikatakan naik angin selepas mendengar mangsa dan isterinya bercakap buruk mengenainya sebelum menembak mangsa dengan bakakuk dari jendela rumahnya di Kampung Kangkawang, Jalan Kemabong, di sini, kelmarin. Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak berkata, suspek sejak sekian lama dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental, terutama selepas perceraian dengan isterinya dan salah seorang anak perempuannya turut dipelihara oleh mangsa. “Pada pagi kejadian, suspek tiba-tiba naik angin apabila menuduh mangsa bersama isterinya bercakap buruk mengenai dirinya di hadapan rumah mangsa yang boleh didengari dari rumahnya yang terletak bersebelahan. “Suspek kemudian bertindak agresif dengan menetak pokok buah naga milik mangsa menggunakan parang sebelum tidak berpuas hati lalu mengambil senjata api buatan sendiri jenis bakakuk miliknya. “Suspek dipercayai melepaskan tembakan dari tingkap rumahnya yang bersebelahan ke arah mangsa hingga menyebabkan adiknya itu maut di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Azmir berkata, siasatan forensik masih dijalankan di lokasi dan beberapa barangan kes termasuk senjata bakakuk, peluru serta kelongsong peluru sudah dirampas untuk dianalisis lanjut. “Sementara itu, pegawai penyiasat kes turut giat mengambil keterangan daripada semua saksi berkaitan bagi membantu siasatan. “Antara yang sudah dirakam percakapan termasuk isteri mangsa, anak suspek yang dipelihara oleh mangsa berikutan suspek mempunyai masalah kesihatan mental serta beberapa saksi dalam kalangan anggota polis,’ katanya. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, manakala siasatan lanjut masih diteruskan. Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa berusia 54 tahun disahkan meninggal dunia selepas dipercayai ditembak oleh suspek yang juga abang kandungnya. Suspek berusia 57 tahun dilaporkan menggunakan senjata buatan sendiri jenis bakakuk miliknya sebelum dia ditembak mati polis selepas enggan menyerah diri dan mengancam keselamatan anggota polis. – Info X
March 31, 2026
Info X Reporters
Kerajaan negeri komited laksanakan pelbagai usaha pembangunan – KM
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor megulangi komitmen Kerajaan Negeri untuk melaksanakan pelbagai usaha pembangunan yang menyeluruh. Katanya, ia termasuk penekanan kepada pengukuhan ekonomi negeri, pembangunan infrastruktur dan peningkatan kemudahan kesihatan, pendidikan, keselamatan seeta pelbagai aspek lain demi kesejahteraan rakyat. “Dalam menjayakan agenda ini, anggota perkhidmatan awam hendaklah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, jujur dan berintegriti bagi memastikan setiap dasar serta inisiatif kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan berkesan,” katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Jamuan Negeri sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri di Dewan Bankuasi, Dewan Undangan Negeri (DUB) Sabah, pada malam Isnin. Katanya, dengan terbentuknya Kerajaan Negeri yang baharu bagi penggal kedua pada November lalu, agenda pembangunan yang holistik berteraskan Hala Tuju SMJ 2.0 iaitu lanjutan daripada Dasar Hala Tuju SMJ 1.0, akan menjadi panduan dan landasan dalam membawa negeri ini ke mercu kejayaan. “Kejayaan pelaksanaan Pelan Pembangunan SMJ 1.0 memberi kita keyakinan bahawa pendekatan pentadbiran kerajaan sejak lima tahun lalu berada pada landasan yang tepat. “Justeru, Pelan Pembangunan SMJ 2.0 adalah lanjutan yang menuntut perubahan berterusan dalam meningkatkan keupayaan diri, merangkumi perubahan cara berfikir dan bekerja serta mencipta nilai baharu untuk kemajuan dan pembangunan yang berterusan,” katanya. Beliau menyeru semua pihak agar memainkan berperanan masing-masing dalam menjunjung tinggi nilai profesionalisme, memelihara disiplin dan berpegang teguh kepada integriti dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. “Saya yakin pentadbiran yang berteraskan integriti dan tadbir urus yang baik mampu meningkatkan keyakinan pelabur, memperkukuh daya saing ekonomi negeri serta mewujudkan persekitaran yang kondusif ke arah pembangunan yang mampan,” katanya. Hajiji berkata segala usaha dan inisiatif murni kerajaan hendaklah dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab bagi memastikan Sabah terus bergerak maju dan mencapai pembangunan yang mampan selaras dengan aspirasi pembangunan negeri. Ketua Menteri turut berkata bahawa beliau dan seluruh anggota pentadbiran negeri amat menghargai kepimpinan, kebijaksanaan serta naungan TYT Yang di-Pertua Negeri yang menjadi lambang perpaduan, kestabilan dan keharmonian rakyat di negeri ini. – Info X
March 31, 2026
Info X Reporters
Kes tembak adik kandung: Polis teruskan siasatan, ambil keterangan saksi
TENOM: Siasatan kes seorang lelaki yang menembak adik kandungnya hingga maut sebelum dia sendiri ditembak mati polis di Kampung Kangkawang, Jalan Kemabong, di sini, kelmarin tertumpu kepada siasatan forensik serta pengambilan keterangan saksi. Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak berkata, siasatan forensik masih dijalankan di lokasi dan beberapa barangan kes termasuk senjata bakakuk, peluru serta kelongsong peluru sudah dirampas untuk dianalisis lanjut. “Sementara itu, pegawai penyiasat kes turut giat mengambil keterangan daripada semua saksi berkaitan bagi membantu siasatan. “Antara yang sudah dirakam percakapan termasuk isteri mangsa, anak suspek yang dipelihara oleh mangsa berikutan suspek mempunyai masalah kesihatan mental serta beberapa saksi dalam kalangan anggota polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, siasatan awal juga mendapati senjata api buatan sendiri jenis bakakuk itu dipercayai milik suspek. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, manakala siasatan lanjut masih diteruskan. “Polis turut menasihatkan orang ramai agar segera menyalurkan maklumat sekiranya mengesan individu yang memiliki senjata api buatan sendiri seperti bakakuk atau ginsok. “Langkah itu penting bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang pada masa hadapan,” katanya. Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa berusia 54 tahun disahkan meninggal dunia selepas dipercayai ditembak beberapa kali oleh suspek yang juga abang kandungnya. Suspek berusia 57 tahun dilaporkan menggunakan senjata buatan sendiri jenis bakakuk miliknya sebelum dia ditembak mati polis selepas enggan menyerah diri dan mengancam keselamatan anggota polis. Suspek juga dikatakan mempunyai masalah kesihatan mental. – Info X
March 31, 2026
Info X Reporters
Kebakaran pusat pelupusan sampah di Kayu Madang berjaya dikawal
KOTA KINABALU: Kebakaran longgokan tayar di Pusat Pelupusan Sampah Kayu Madang, Telipok, awal pagi tadi berjaya dikawal oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah tanpa membabitkan sebarang mangsa. Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 pagi itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah menerima panggilan kecemasan sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran tiba di lokasi pada jam 12.36 pagi, kira-kira 19 kilometer dari balai. Ketua Balai BBP Tuaran, TPgB II Kurong Ak Beki, berkata kebakaran membabitkan longgokan tayar dengan anggaran keluasan kira-kira tiga ekar di kawasan pusat pelupusan berkenaan berjaya dikawal pada jam 5.32 pagi. “Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati kebakaran sedang marak melibatkan longgokan tayar. Pasukan segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 400 kaki dengan empat pancutan. “Sumber air diperoleh daripada jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Water Tanker bomba bagi memastikan operasi pemadaman berjalan lancar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau berkata, bagi mengelakkan kebakaran daripada terus merebak, anggota bomba turut melaksanakan teknik ‘fire break’ di sekeliling kawasan longgokan tayar dengan bantuan dua jentera berat jenis excavator. Operasi itu membabitkan seramai 30 anggota daripada beberapa balai iaitu BBP Tuaran, BBP Kota Kinabalu dan BBP Lintas, selain dibantu Unit Komunikasi serta agensi lain iaitu Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK). Katanya, pelbagai aset digunakan dalam operasi berkenaan termasuk jentera FRT, Water Tanker, kenderaan utiliti serta unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS). “Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan terlibat dan operasi pemadaman masih diteruskan sehingga api dipadam sepenuhnya serta keadaan benar-benar selamat,” katanya. Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau lokasi kejadian dan maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa. – Info X
March 31, 2026
Info X Reporters
Abang tembak adik hingga mati, akhirnya maut ditembak polis
TENOM: Seorang lelaki menembak adik kandungnya hingga maut sebelum dia sendiri ditembak mati polis dalam kejadian di Kampung Kangkawang, Jalan Kemabong, di sini, kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa berusia 54 tahun, seorang pekebun, disahkan meninggal dunia selepas mengalami lapan kesan tembakan di bahagian belakang badan. Suspek berusia 57 tahun yang juga abang mangsa dilaporkan menggunakan senjata buatan sendiri jenis bakakuk dan dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental. Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 8.54 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota digerakkan ke lokasi. Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, penduduk kampung memaklumkan suspek berada di dalam rumah sambil memegang senjata api dan mengugut akan menembak sesiapa yang menghampiri kawasan itu. “Polis kemudian membuat kepungan dan mengarahkan suspek menyerah diri sebanyak tiga kali, namun dia enggan keluar. “Beberapa das gas pemedih mata dilepaskan ke dalam rumah bagi memaksa suspek keluar, namun dia masih tidak memberikan kerjasama,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Azmir berkata, situasi bertukar tegang apabila suspek berlari ke arah dapur sambil mengacukan senjata ke arah anggota polis yang berada berhampiran tingkap rumah. Katanya, bagi mempertahankan diri, seorang pegawai polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan yang mengenai lengan kanan, dada kiri dan rusuk kiri suspek. “Suspek kemudian rebah di bahagian dapur rumah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. “Pemeriksaan lanjut mendapati senjata bakakuk milik suspek masih mengandungi satu butir peluru hidup dalam chamber,” katanya. Beliau berkata, polis turut merampas beberapa barangan termasuk laras senjata api bakakuk, peluru, kelongsong peluru serta sebilah parang panjang di lokasi kejadian. “Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. “Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya. – Info X
March 30, 2026
Info X Reporters
Polis siasat taktik penipuan guna nama PDRM kutip derma untuk Hari Raya
KOTA KINABALU: Orang ramai diingatkan supaya lebih berwaspada terhadap taktik penipuan terbaharu yang menyamar sebagai pegawai polis untuk meminta sumbangan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kegiatan penipuan itu yang kononnya bagi kutipan sumbangan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Trafik dan Pengangkutan IPK Sabah bagi tahun 2026. Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan surat palsu dengan kepala surat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah bagi memperdaya mangsa. “Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. “Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mudah mempercayai sebarang permintaan sumbangan terutama yang diterima melalui aplikasi WhatsApp tanpa pengesahan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, orang ramai disaran membuat semakan dengan pihak polis terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan. “PDRM menyeru semua lapisan masyarakat supaya sentiasa cakna dengan pelbagai taktik jenayah penipuan yang semakin berleluasa ketika ini,” katanya. – Info X
March 30, 2026
Info X Reporters
Penunggang motosikal maut dalam kemalangan dengan kenderaan pacuan empat roda
TAWAU: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Airport Baru, di sini, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa lelaki berusia 29 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan akibat kecederaan parah yang dialami. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 2.30 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan. Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah pikap jenis Toyota Hilux dan motosikal jenis Honda Wave Alpha. “Pada masa kejadian, pemandu pikap berusia 45 tahun dalam perjalanan dari Sin On menuju ke Lapangan Terbang Tawau. “Apabila tiba di lokasi, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai keluar dari arah kiri jalan dan memasuki laluan hadapan pikap berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, akibat jarak yang terlalu dekat, pemandu pikap tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal berkenaan pada bahagian tepi sebelah kanan. Menurutnya, impak pelanggaran menyebabkan penunggang motosikal bersama kenderaannya tercampak ke laluan bertentangan sebelum terjatuh ke dalam longkang di bahu kiri jalan. “Pemandu pikap tidak mengalami sebarang kecederaan manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan. “Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian,” katanya. Jasmin menasihatkan semua pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal agar sentiasa memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum memasuki jalan utama bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – Info X