Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

March 23, 2026

Info X Reporters

Ibu, tiga anak selamat dalam kebakaran rumah

PUTATAN: Seorang ibu dan tiga anak terselamat dalam kebakaran rumah di Program Perumahan Rakyat (PPR) Sri Serigai Ketiau, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, wanita berkenaan bertindak pantas membawa keluar tiga anaknya yang masih kecil iaitu berusia lima dan tiga tahun serta seorang bayi lelaki berusia enam bulan sebaik menyedari rumah mereka di Blok C, tingkat dua, terbakar. Ketika kejadian, suaminya dipercayai tiada di rumah kerana berada di dobi berhampiran bagi mencuci pakaian. Turut berada di dalam rumah ketika kejadian ialah dua anak saudaranya berusia 13 tahun yang juga sempat menyelamatkan diri. Kebakaran membabitkan sebuah unit rumah jenis kekal berkeluasan kira-kira 28 meter persegi yang terbakar 70 peratus. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Musran Jabri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.07 pagi sebelum jentera dari BBP Putatan dan bantuan BBP Penampang digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai. “Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 6.12 pagi dan mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah di tingkat dua yang terbakar 70 peratus. “Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu mula (hose reel) dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.19 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan cedera dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.50 pagi selepas pemeriksaan memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian. Bagaimanapun, kejadian itu menyebabkan keluarga berkenaan hilang tempat berteduh dan menjadikan sambutan Aidilfitri mereka tahun ini dalam suasana penuh kesedihan. – Info X

March 22, 2026

Info X Reporters

Chunk & Dunk tembusi pasaran Filipina, lebih 2,000 pengunjung saksikan pelancaran bersejarah

KOTA KINABALU: Jenama makanan segera tempatan, Chunk & Dunk mencipta sejarah apabila rasmi melangkah ke pasaran Filipina, sekali gus menjadi rangkaian makanan segera milik anak Sabah pertama berkembang ke peringkat antarabangsa. Pelancaran itu disempurnakan menerusi Majlis Menandatangani Perjanjian Awam antara rakan kongsi Malaysia dan Filipina yang berlangsung di ruang legar utama Suria Sabah, hari ini. Lebih 2,000 pengunjung membanjiri lokasi acara bagi menyaksikan detik bersejarah berkenaan, sekali gus mencerminkan sokongan padu masyarakat terhadap jenama tempatan yang semakin berkembang pesat. Chunk & Dunk diasaskan oleh usahawan muda Sabah, Adam Shamil, yang memulakan perniagaan berkenaan dengan menggunakan simpanan peribadi sebelum berjaya membawa jenama itu ke pentas global. Beliau berkata, kejayaan menembusi pasaran luar negara membuktikan bahawa jenama tempatan dari Sabah mampu bersaing di peringkat antarabangsa. “Ini bukan sekadar pengembangan, tetapi bukti bahawa impian yang dibina di Sabah mampu melangkaui batas. “Chunk & Dunk bermula hanya sebagai idea yang dibiayai dengan simpanan peribadi saya. Hari ini, ia berkembang ke peringkat antarabangsa dan menjadi simbol bahawa keberanian mengambil risiko mampu menghasilkan sesuatu yang luar biasa,” katanya. Chunk & Dunk yang bermula di daerah Penampang kini berkembang dalam tempoh kurang dua tahun dengan enam cawangan, masing-masing lima di Sabah dan satu di Sarawak. Jenama itu turut dikenali dengan menu unik seperti croffle serta identiti jenama yang kreatif dan dekat dengan generasi muda. Majlis pelancaran itu dimeriahkan dengan persembahan artis terkenal seperti Stacy Anam, Akim Ahmad, Yazmin Aziz, Elica Paujin dan Dabra Sia.Acara itu turut dikendalikan oleh pengacara terkenal, Daphne Iking, selain disiarkan secara langsung oleh TV Sabah dengan sokongan Kupikupi FM sebagai rakan media rasmi. Chunk & Dunk menyifatkan pelancaran itu sebagai langkah pertama dalam strategi pengembangan globalnya, selain berharap kejayaan berkenaan menjadi inspirasi kepada lebih ramai usahawan muda Sabah untuk berani menembusi pasaran antarabangsa. Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Ketua Pegawai EksekutifInstitut Kajian Pembangunan (IDS), Datuk Dr Ramzah Dambul; Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sawit Kinabalu Sdn Bhd, Datuk Victor Ationg; Pengarah Eksekutif Life Water Berhad(Sasa & K2 Drinking Water, 2More), Chin Lee Ling; CEO Sabah Convention Bureau, Noredah Othman dan CEO Ooga X Sdn Bhd, Lester Calvin Miol. – Info X

March 22, 2026

Info X Reporters

Lelaki keluar menoreh getah tidak pulang, polis mohon bantuan kesan mangsa

KOTA MARUDU: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah untuk ke kebun bagi menoreh getah di Kampung Masuit, Pitas, sejak 16 Mac lalu. Mangsa Syivience Mogudal, 52, berbangsa Rungus, yang bekerja sebagai pekebun dan menetap di kampung berkenaan. Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, mangsa keluar dari rumah kira-kira jam 2 petang untuk ke kebun tanpa membawa telefon bimbit. “Lazimnya, mangsa akan bermalam di rumah kebun selama beberapa hari, namun kali ini dia tidak pulang seperti kebiasaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, kali terakhir mangsa dilihat adalah pada 18 Mac lalu oleh ahli keluarga ketika mangsa berada di kebun dalam keadaan menebas semak dan menoreh getah sebelum beredar. “Sehingga kini, mangsa masih belum pulang ke rumah walaupun usaha pencarian oleh ahli keluarga sudah dijalankan,” katanya. Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan mangsa diminta untuk tampil membantu dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran. “Kerjasama dan keprihatinan orang ramai amat dihargai dalam usaha mengesan mangsa,” katanya. – Info X

March 22, 2026

Info X Reporters

Bas elak motosikal, terbabas di Paris 2

KINABATANGAN: Sebuah bas ekspres membawa 39 penumpang terbabas ke bahu jalan di Jalan Kampung Paris 2, Jalan Sandakan – Lahad Datu, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian jam 11.40 pagi itu, bas jenis Scania yang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju ke Semporna dipercayai hilang kawalan selepas cuba mengelak sebuah motosikal yang keluar secara mengejut dari simpang kiri. Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Ravi Duraisamy berkata, tindakan mengelak itu menyebabkan bas berkenaan terbabas ke bahu jalan di kawasan berumput. “Bagaimanapun, pemandu bas dan kesemua 39 penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan dan dilaporkan selamat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 12.21 tengah hari sebelum anggota trafik digerakkan ke lokasi untuk siasatan lanjut. “Kes disiasat mengikut Kaedah Lalulintas 10 LN166/59,” katanya. – Info X

March 22, 2026

Info X Reporters

Dua rumah musnah dalam kebakaran di Kota Belud

KOTA BELUD: Dua buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Labuan, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 12.03 tengah malam. Menurut kenyataan JBPM, jentera bomba tiba di lokasi kira-kira jam 12.11 tengah malam selepas menempuh jarak sejauh enam kilometer. Komander Operasi, PBK II Clarice Jimoh, berkata kebakaran melibatkan dua rumah berkeluasan 60×40 kaki setiap satu, yang diperbuat daripada binaan tidak kekal dan separuh kekal. “Keseluruhan struktur kedua-dua rumah terbakar 100 peratus. Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan air,” katanya. Beliau berkata, sumber air diperoleh daripada pili bomba yang terletak kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian, sekali gus menyebabkan operasi pemadaman mengambil masa lebih lama. Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.Operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 1.53 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.23 pagi. Seramai tujuh anggota bersama dua jentera, masing-masing satu Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Emergency Medical Rescue Services (EMRS) terlibat dalam operasi berkenaan. Turut membantu di lokasi adalah dua petugas dari Sabah Electricity. – Info X

March 22, 2026

Info X Reporters

Ibu bersama anaknya 7 tahun mau kemalangan

SANDAKAN: Seorang ibu bersama anak perempuannya maut selepas motosikal dinaiki terbabit dalam kemalangan di Batu 23, Jalan Labuk, di sini, semalam. Kanak-kanak berusia tujuh tahun dilaporkan maut di lokasi kejadian, manakala ibunya yang berumur 28 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent, di sini. Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, motosikal terbabit dinaiki oleh tiga sekeluarga dikatakan dalam perjalanan menuju ke arah Beluran. Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal itu cuba memotong kenderaan lain dengan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Wira. Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman, berkata akibat perlanggaran itu, kanak-kanak yang membonceng motosikal maut di tempat kejadian. “Penunggang motosikal dan pemandu kereta yang turut cedera menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent. “Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke unit forensik hospital yang sama untuk proses bedah siasat,” katanya. George berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati serta mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. – Info X

March 20, 2026

Info X Reporters

‘UMS tiada kaitan dengan Suara Mahasiswa UMS’

KOTA KINABALU: ‘Suara Mahasiswa UMS’ bukan entiti berdaftar di bawah universiti atau suara rasmi Universiti Malaysia Sabah (UMS). Perkara itu dijelaskan UMS melalui satu kenyataan bagi menjawab beberapa hantaran tular di media sosial oleh entiti yang menggunakan nama ‘Suara Mahasiswa UMS’, termasuk dakwaan berkaitan perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). “Sehubungan itu, UMS ingin menegaskan bahawa ‘Suara Mahasiswa UMS’ bukan merupakan entiti berdaftar di bawah universiti atau suara rasmi UMS. “Oleh yang demikian, sebarang kenyataan atau komentar yang dikemukakan oleh pihak berkenaan adalah tidak mewakili pendirian rasmi universiti,” kata kenyataan itu pada Jumaat. Dalam masa yang sama, katanya UMS memandang serius penggunaan logo universiti tanpa kebenaran oleh pihak terbabit. Jelasnya, ia satu tindakan yang tidak sah dan mengelirukan khalayak awam. “Orang ramai dinasihatkan untuk merujuk kepada saluran rasmi UMS bagi mendapatkan maklumat yang sahih serta mengelakkan sebarang kekeliruan,” katanya. – Info X

March 20, 2026

Info X Reporters

Lelaki pengsan terkunci dalam Hilux, bomba bertindak pantas

KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 37 tahun ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai terkunci di dalam kenderaan jenis Toyota Hilux berhampiran Bumi Kekal Kepayan, di sini, hari ini. Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Zainuddin Saidi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 2.49 petang. Menurutnya, seramai 11 anggota dari BBP Putatan dan Kota Kinabalu segera dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat. “Setibanya di lokasi, pihaknya mendapati mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kenderaan yang berkunci. “Pasukan bomba bertindak membuka kenderaan sebelum mengeluarkan mangsa dan menyerahkannya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut,” katanya. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.11 petang selepas keadaan disahkan selamat dan terkawal. – Info X