Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

March 7, 2026

Info X Reporters

Polis tahan lima individu gaduh di bazar ramadan

TAWAU: Polis menahan lima individu bagi membantu siasatan susulan video tular pergaduhan hingga mencetuskan kekecohan di Bazar Ramadan Sabindo, di sini, petang tadi. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya turut membuka kertas siasatan berhubung insiden berkenaan dan masih dalam proses mengesan beberapa lagi suspek yang sudah dikenal pasti. “Setakat ini lima tangkapan dibuat dan usaha mengesan suspek lain sedang dijalankan. “Punca pergaduhan sedang disiasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Terdahulu, video pergaduhan berdurasi 37 saat itu tular di media sosial dipercayai berlaku di kawasan Bazar Ramadan Sabindo. Kekecohan itu mencetuskan kebimbangan orang ramai yang berada di lokasi berkenaan. Menerusi video berkenaan, sekumpulan individu dilihat menyerang dan bertumbuk antara satu sama lain di tengah laluan Bazar berkenaan. Turut dilihat seorang lelaki menggunakan tali pinggang bagi memukul individu lain. – Info X

March 6, 2026

Info X Reporters

Penjawat awam mengaku tidak bersalah cadang nama saudara penerima Rumah Mesra SMJ

SANDAKAN: Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menyalah guna jawatan dengan mencadangkan dua individu yang mempunyai talian saudara dengannya sebagai penerima bantuan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) pada 2022. Tertuduh, Herman Idris, 52, yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) DUN Elopura, didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. Herman membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Elsie Primus ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Sandakan, di sini, pada Jumaat. Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencadangkan nama Amir Bin Ismail, 70, sebagai penerima bantuan kemiskinan Rumah Mesra SMJ dalam Mesyuarat Focus Group Daerah Sandakan di Bilik Persidangan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) pada 26 September 2022. Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mencadangkan nama Siti Nor Amira Binti Amir, 31, sebagai penerima bantuan yang sama di tempat dan pada tarikh yang sama. Kedua-dua nama yang dicadangkan tertuduh berjaya dipilih sebagai penerima bantuan rumah berkenaan yang masing-masing bernilai RM70,000 sebuah. Berikutan itu, tertuduh berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama. Hakim kemudian menetapkan jaminan RM20,000 dengan RM6,000 sebagai deposit terhadap tertuduh dan memerintahkan pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah. Tertuduh turut diperintah melapor diri dua bulan sekali di Pejabat SPRM Sandakan, manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 1 April depan. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasbi, manakala tertuduh diwakili peguam Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon. – Info X

March 6, 2026

Info X Reporters

Abang bomba berjaya pujuk

PENAMPANG: Seorang remaja perempuan diselamatkan anggota bomba daripada cubaan terjun dari tingkat lima sebuah pusat beli belah di Donggongon, di sini, petang ini. Dalam kejadian kira-kira 5.10 petang itu, remaja perempuan berusia 17 tahun dilihat berdiri di luar bangunan sebelum orang awam yang menyedari tindakannya segera menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.19 petang sebelum sepasukan enam anggota bomba digerakkan ke lokasi kejadian. Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira 5.22 petang dan mendapati mangsa berada di tingkat lima bangunan berkenaan dipercayai cuba terjun. “Pasukan bomba kemudian menjalankan usaha memujuk mangsa dan mengambil masa kira-kira 15 minit sebelum remaja terbabit berjaya ditenangkan. “Operasi berjaya dikawal pada 5.45 petang dan mangsa berada dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, operasi itu turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan keadaan di lokasi terkawal. – Info X

March 6, 2026

Info X Reporters

5 rumah, 4 premis termasuk taska musnah dalam kebakaran

SEMPORNA: Lima rumah serta empat premis termasuk sebuah taska musnah dalam kebakaran di Kampung Air di sini, petang tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, sebuah lagi rumah turut terjejas apabila terbakar kira-kira 10 peratus. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Rastam Keladi, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.43 petang. Katanya, sepasukan 24 anggota bomba bersama lima jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi pemadaman. “Operasi pemadaman membabitkan anggota BBP Semporna dengan bantuan BBP Air Semporna dan BBP Kunak. “Kebakaran melibatkan lima rumah jenis tidak kekal yang terbakar 100 peratus manakala sebuah lagi rumah terbakar kira-kira 10 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini. Menurutnya, kebakaran itu turut memusnahkan empat premis iaitu kedai runcit, kedai makan, kedai bundle serta sebuah bangunan Taska ABIM yang tidak lagi beroperasi sejak 2017. Beliau berkata, pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 600 kaki dengan empat pancutan air daripada jentera bomba dan pili bomba berhampiran. “Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.51 petang dan tiada mangsa dilaporkan terbabit,” katanya. Rastam berkata, tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan kira-kira 50 rumah berhampiran daripada turut terbakar. “Operasi memadam sisa bara masih dijalankan dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

March 6, 2026

Info X Reporters

Penipuan dalam talian, 13 warga China ditahan di Labuan

LABUAN: Polis menahan 13 warga China selepas menyerbu sebuah rumah dua tingkat yang dijadikan pusat panggilan penipuan di kawasan Jalan Pulau Buah, di sini, pada 28 Februari lalu. Serbuan jam 12.45 tengah malam itu dijalankan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Labuan susulan aduan awam mengenai aktiviti mencurigakan di premis berkenaan. Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, hasil serbuan mendapati premis terbabit dipercayai dijadikan pusat panggilan bagi menjalankan aktiviti penipuan dalam talian. Menurutnya, seramai 13 warga China terdiri daripada 12 lelaki dan seorang wanita berusia antara 26 hingga 47 tahun diberkas dalam operasi berkenaan. “Siasatan awal mendapati semua suspek memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial. “Bagaimanapun, empat daripada mereka tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah ketika tangkapan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, pemeriksaan pasukan operasi turut membawa kepada rampasan 21 set komputer dan 83 unit telefon bimbit yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan berkenaan. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420/120B Kanun Keseksaan dan semua suspek direman sehingga hari ini. Katanya, kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Negeri Sabah bagi tindakan lanjut. “Hasil semakan mendapati empat lelaki didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah. “Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun serta sebatan tidak lebih enam kali,” katanya. Mohd Hamizi berkata, dua lelaki dan seorang wanita pula didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia melebihi tempoh sah dibenarkan. “Kesalahan itu membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. “Enam lagi lelaki diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan untuk tindakan lanjut,” katanya. Beliau berkata, semua suspek sudah didakwa di Mahkamah Majistret Labuan pada jam 9 pagi tadi mengikut pertuduhan masing-masing. Katanya, polis akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau sindiket yang terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian. “Orang ramai juga digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras jenayah komersial dan siber,” katanya. – Info X

March 6, 2026

Info X Reporters

Pelajar MRSM maut, adik parah motosikal dirempuh kereta

TAWAU: Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas motosikal dinaiki bersama adiknya dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Merotai – Tawau, petang semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa yang juga bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tawau disahkan meninggal dunia pada jam 4.08 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Tawau. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kemalangan membabitkan motosikal jenis Honda C100 yang dinaiki dua beradik itu dengan sebuah kereta Proton Wira dipandu lelaki tempatan berusia 44 tahun. Katanya, hasil siasatan awal mendapati kereta berkenaan dalam perjalanan dari bandar Tawau menuju ke Felda Umas. “Pada masa sama, motosikal yang ditunggang pelajar Kolej Vokasional berusia 17 tahun bersama kakaknya berumur 18 tahun sedang dalam perjalanan dari Kampung Manggaris, Merotai menuju ke bandar Tawau. “Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta dipercayai tertidur ketika memandu lalu hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal dinaiki kedua-dua mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut serta ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU). “Bagaimanapun, pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia pada awal pagi tadi ketika menerima rawatan, manakala penunggang motosikal masih menerima rawatan di hospital. “Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. Menurutnya, pemandu kereta terbabit ditahan dan akan direman bagi membantu siasatan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian,” katanya. Sehubungan itu, Jasmin menasihatkan orang ramai supaya tidak meneruskan perjalanan sekiranya berada dalam keadaan mengantuk atau terlalu letih. “Keadaan ini boleh menyebabkan ‘micro sleep’ yang sangat berbahaya dan berisiko mengakibatkan kemalangan jalan raya. “Orang ramai disarankan berhenti di kawasan selamat untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain,” katanya. – Info X

March 6, 2026

Info X Reporters

Orang ramai gempar mayat telungkup dalam longkang

TENOM: Orang ramai gempar selepas menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan telungkup di dalam longkang berhampiran bangunan Alliance Bank di Pekan Tenom, pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira 8.50 pagi itu, penemuan mayat berkenaan disedari orang awam yang melalui laluan pintas menuju ke Hospital Tenom sebelum memaklumkan kepada pihak polis. Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu selepas seorang lelaki tampil membuat laporan di Balai Polis Tenom. Menurutnya, pengadu memaklumkan bahawa rakannya melihat satu objek menyerupai mayat berada di dalam longkang di jalan pintas menuju ke Hospital Tenom, berhadapan bangunan Alliance Bank. “Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari jambatan pejalan kaki yang menghubungkan kawasan kedai di Pekan Tenom. “Mangsa kemudian ditemui di dalam longkang berhampiran hadapan bangunan Alliance Bank,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, identiti mangsa dikenal pasti sebagai lelaki tempatan berusia 61 tahun. “Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya. – Info X

March 6, 2026

Info X Reporters

Tiga beranak cedera lompat selamatkan diri dalam kebakaran

TONGOD: Pasangan suami isteri dan anak lelaki mereka cedera ketika cuba menyelamatkan diri dalam kebakaran di Kampung Entilibon, di sini, awal pagi tadi. Mangsa dikenali sebagai Hujan Simbul, 53, dan isterinya, Julia Ahmad, 53, masing-masing cedera di bahagian tengkuk dan pinggang akibat melompat, manakala anak mereka, Syahnizan, 20, melecur di tapak kaki dan muka. Turut terbakar dalam kejadian itu adalah lima kenderaan dan tiga motosikal. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Hairi Utoh, berkata bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 2.09 pagi dan hanya tiba di lokasi pada jam 4.19 pagi susulan kedudukan balai yang jauh iaitu 121 kilometer (km). Katanya, sebuah masjid yang terletak berhampiran turut terkena bahang api. “Kita menggunakan sumber air terbuka dan air graviti untuk memadam kebakaran. “Ketiga-tiga mangsa yang cedera dihantar ke Klinik Kesihatan Entilibon oleh orang awam bagi mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Hairi berkata, operasi itu membabitkan enam anggota bomba selain turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Katanya, api hanya dapat dikawal daripada merebak pada jam 6.34 pagi sebelum operasi ditamatkan pada jam 7 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi. – Info X