March 6, 2026
Info X Reporters
‘Tiada pasukan dapat tewaskan Sabah FC dengan mudah’ – Juan Torres Garrido
KOTA KINABALU: Pengendali Sabah FC, Juan Torres Garrido enggan memikirkan kekalahan lalu pasukannya di tangan Kuching City apabila sekali lagi berdepan skuad negeri jiran itu dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri, Kuching, malam esok. Beliau yang baru membimbing skuad Sang Badak sejak akhir Februari lalu berkata, fokusnya hanya terhadap perlawanan yang bakal dihadapi anak buahnya, tanpa terlalu memikirkan apa yang pernah dilakar pasukan bimbingannya pada masa lalu. Walaupun mengakui pertemuan dengan Kuching City kali ini bukan sesuatu yang mudah, namun beliau tetap bertegas tiada pasukan yang boleh menewaskan Sabah FC dengan mudah. “Saya tidak suka bercakap mengenai masa lalu. Sejak awal lagi objektif kami adalah memastikan tiada pasukan yang boleh menewaskan kami (Sabah FC) dengan mudah. “Perlawanan ini pasti sengit kerana kami menentang pasukan yang kuat dan bermain di tempat lawan,” katanya mengulas persiapan skuad Sang Badak berdepan Kuching City yang ketika ini berada di tangga keempat carta liga musim ini. Kuching City hanya memerlukan satu kemenangan lagi untuk naik ke tangga ketiga carta liga dan sasaran mereka sudah pasti untuk melakar detik itu ketika melayan kunjungan Sang Badak, esok. Sebelum ini, pasukan bimbingan Aidil Sharin Sahak itu berjaya menewaskan Sabah FC 1-0 ketika berkunjung ke Stadium Likas dalam pertemuan pertama Liga Super kedua-dua pasukan musim ini pada 4 Oktober lalu. Garrido turut menyatakan keyakinannya terhadap semangat anak buahnya untuk memberikan aksi terbaik pada perlawanan malam esok berikutan pertemuan kedua-dua pasukan Derby Borneo itu yang sering menjadi tumpuan peminat bola sepak di Sabah dan Sarawak. “Ini adalah perlawanan yang semua orang mahu bermain. Ia memberi motivasi kepada pasukan,” katanya sambil menegaskan tekad pasukannya untuk bangkit pada perlawanan itu nanti. Katanya, skuad Sang Badak kini berada di landasan yang tepat untuk kembali menyengat walaupun berdepan jadual perlawanan yang padat selain beberapa pemain utama masih dalam proses pemulihan akibat kecederaan. Beliau mengakui situasi itu memerlukan beberapa pemain memikul tanggungjawab lebih besar apabila terpaksa beraksi penuh selama 90 minit dalam dua perlawanan setiap minggu, termasuk perlawanan di tempat lawan. “Pasukan semakin menunjukkan peningkatan setiap hari. Perkara paling penting ketika ini adalah memastikan pemain pulih secara fizikal dengan baik walaupun sesi latihan agak terhad kerana jadual yang padat. “Namun saya sangat gembira dengan sikap dan komitmen yang ditunjukkan pemain menjelang perlawanan ini,” katanya. – Info X
March 6, 2026
Info X Reporters
QEH2 cari waris jenazah lelaki
KOTA KINABALU: Pihak Hospital Queen Elizabeth 2 (QEH2) sedang mengesan waris bagi satu jenazah lelaki dewasa yang tidak dikenal pasti identitinya selepas disahkan meninggal dunia di wad hospital berkenaan pada 25 Februari lalu. Jenazah lelaki terbabit disahkan meninggal dunia di Medical Extension Ward hospital berkenaan kira-kira jam 1.33 petang. Sehingga kini, tiada waris tampil bagi tujuan pengecaman atau menuntut jenazah berkenaan. Pengarah hospital, Dr Ferro Firdaus Ibrahim, berkata orang ramai yang kehilangan ahli keluarga lelaki dalam tempoh terdekat atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu pihak hospital. Beliau berkata, kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi memudahkan proses pengecaman serta penuntutan jenazah oleh waris yang sah. “Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga lelaki dalam tempoh terdekat atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan dimohon untuk menghubungi pihak hospital bagi membantu proses pengecaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai jenazah atau waris diminta menghubungi Unit Mortuari Hospital Queen Elizabeth II di talian 088-234600 sambungan 4000 atau 4001. Orang ramai juga diminta tampil segera bagi memastikan urusan pengendalian jenazah dapat dilakukan dengan sewajarnya. – Info X
March 6, 2026
Info X Reporters
PGA Sabah rampas makanan sejuk beku RM20.88 juta, 21 ditahan
KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah menahan 21 individu dengan rampasan makanan sejuk beku dianggarkan bernilai RM20.88 juta dalam Op Bersepadu Chiller yang dijalankan serentak di tujuh daerah di negeri ini, kelmarin. Operasi bermula jam 8 pagi hingga 6 petang itu dijalankan di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Beluran, Keningau, Lahad Datu dan Kunak membabitkan seramai 204 pegawai dan anggota pelbagai agensi. Komander Briged Sabah PGA, Senior Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, operasi bersepadu berkenaan dijalankan hasil maklumat risikan berhubung kegiatan penyeludupan ayam, daging serta makanan sejuk beku. Menurutnya, operasi itu turut disertai Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan pematuhan undang-undang berkaitan keselamatan serta kebersihan makanan. “Seramai 21 individu berusia antara 22 hingga 40 tahun ditahan dalam operasi ini. “Daripada jumlah itu, 17 lelaki dan seorang wanita warga tempatan serta seorang lelaki dan seorang wanita warga asing,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, semua individu yang ditahan didapati tidak mempunyai rekod kesalahan lampau. Menurutnya, rampasan meliputi pelbagai barangan makanan sejuk beku termasuk ayam beku, daging beku dan daging babi beku dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM20,883,909.85. Nor Omar berkata, antara kesalahan yang dikesan termasuk Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan 2015, Seksyen 13 Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Ordinan Perlesenan Perdagangan 1948, Undang-Undang Kecil 1981 serta Peraturan 38(1)(c) Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. Katanya, semua tangkapan dan rampasan sudah diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan serta siasatan lanjut. “PDRM akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi memastikan setiap premis mematuhi peraturan ditetapkan. “Langkah ini juga bagi membanteras penjualan ayam, daging dan makanan sejuk beku yang diragui status halal serta kebersihannya, terutama ketika umat Islam melaksanakan ibadah puasa dan menyambut Aidilfitri,” katanya. Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau penjualan makanan sejuk beku meragukan supaya menyalurkannya kepada pihak polis. – Info X
March 6, 2026
Info X Reporters
Bekalan ayam, daging untuk Aidilfitri di Sabah cukup – DVS
KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah menyatakan komitmen bagi memastikan bekalan ayam dan daging lembu serta kerbau di negeri ini mencukupi untuk menampung permintaan pengguna menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi. Pengarahnya, Dr Zul Bahar Abdul Rashid, berkata berdasarkan unjuran jabatan bagi tempoh lima bulan pertama 2026, pengeluaran tempatan bagi ayam dianggarkan mencecah 29,916.65 tan metrik, manakala daging ruminan (lembu dan kerbau) sebanyak 3,185 tan metrik. “Sebagai langkah proaktif bagi menampung sebarang peningkatan permintaan ayam bulat dalam tempoh perayaan, pihak jabatan membenarkan kemasukan import ayam bulat seawal Disember 2025 bagi memastikan bekalan di pasaran sentiasa mencukupi dan stabil untuk keperluan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat. Sementara itu, mengulas mengenai rampasan produk hasilan haiwan sejuk beku di sebuah gudang di Penampang pada 3 Mac lalu yang membabitkan produk berasaskan ruminan dan ayam, beliau berkata tiada sitaan dilakukan setakat ini. “DVS ingin memaklumkan bahawa kita mengesahkan tiada sitaan dibuat ke atas 542,519.16 kilogram produk tersebut di bawah Enakmen Haiwan 2015 kerana kesemua produk mempunyai lesen import yang sah. “Pihak jabatan akan terus memantau perkembangan bekalan dan permintaan semasa bagi memastikan kestabilan bekalan makanan serta kelangsungan industri ternakan di negeri ini sentiasa terjamin,” katanya. – Info X
March 6, 2026
Info X Reporters
Lelaki ditahan, ketamin RM8,193 dirampas
PENAMPANG: Seorang lelaki diberkas selepas dipercayai memiliki dadah jenis ketamin seberat 54.62 gram bernilai kira-kira RM8,193 dalam operasi dijalankan di daerah ini, awal pagi tadi. Suspek warga tempatan berusia 29 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pemeriksaan lanjut kemudian menemui 19 paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih yang disyaki dadah jenis ketamin. “Hasil pemeriksaan lanjut menemui 19 paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis ketamin yang dianggarkan seberat 54.62 gram dengan nilai pasaran kira-kira RM8,193. “Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap suspek juga mendapati lelaki itu positif dadah jenis ketamin dan tetrahydrocannabinol (THC),” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup (30 tahun) dan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan. “Kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan. Beliau berkata, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah serta segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti dadah. – Info X
March 5, 2026
Info X Reporters
Notis usul tangguh Geran Khas 40 peratus Sabah bukti ketidakikhlasan Kerajaan Persekutuan – Madius
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menyifatkan tindakan Kerajaan Persekutuan memfailkan notis usul untuk menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan tuntutan Geran Khas 40 peratus Sabah sebagai bukti ketidakikhlasan yang nyata dalam menangani isu hak negeri itu. Beliau berkata, dokumen Notis Usul yang difailkan pada Februari 2026 itu memohon supaya pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bertarikh 17 Oktober 2025 yang memihak kepada Sabah Law Society (SLS) dalam tuntutan Geran Khas 40 peratus ditangguhkan. Menurutnya, tindakan berkenaan bercanggah dengan kenyataan sebelum ini yang memberi gambaran bahawa kerajaan tidak berniat menghalang pelaksanaan keputusan mahkamah. “Ini memperlihatkan satu corak ketidakikhlasan yang nyata. Pada 11 November 2025, Perdana Menteri menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan hanya memfailkan rayuan terhadap alasan penghakiman Mahkamah Tinggi, bukan terhadap keputusan mengenai hak 40 peratus Sabah. “Namun, tindakan memfailkan notis usul untuk menangguhkan pelaksanaan perintah mahkamah ini menimbulkan persoalan besar terhadap kenyataan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini. Madius berkata, walaupun kerajaan berulang kali menafikan cubaan menghalang pelaksanaan keputusan mahkamah, permohonan untuk menggantung perintah itu menunjukkan sebaliknya. Katanya, tindakan tersebut seolah-olah memperlihatkan bahawa di hadapan rakyat kerajaan memberi jaminan berhubung komitmen terhadap hak Sabah, namun pada masa sama menggunakan saluran undang-undang untuk menangguhkan pelaksanaannya. Beliau turut mempersoalkan mengapa langkah penting itu dilakukan tanpa pemakluman terbuka kepada rakyat Sabah. “Jika kerajaan benar-benar serius untuk memulangkan hak Sabah, mengapa perlu memohon untuk menggantung pelaksanaan perintah mahkamah? Persoalan ini wajar dijelaskan secara telus kepada rakyat,” katanya. Menurutnya lagi, keengganan melaksanakan keputusan mahkamah serta usaha berterusan untuk menangguhkannya boleh dilihat sebagai satu bentuk penghinaan terhadap institusi kehakiman. Tangau menegaskan bahawa Mahkamah Tinggi telah mendengar hujah berkaitan perkara itu dan membuat keputusan yang menyentuh hak Sabah berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, khususnya Perkara 112C dan 112D. Beliau berkata, tuntutan Geran Khas 40 peratus bukan isu politik semata-mata, sebaliknya berkaitan hak yang termaktub dalam perlembagaan serta dipersetujui ketika pembentukan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). “Mahkamah telah mengeluarkan perintah dan kerajaan seharusnya melaksanakannya. Sabah hanya menuntut keadilan dan hak yang telah dijamin dalam perlembagaan,” katanya. – Info X
March 5, 2026
Info X Reporters
Panjat pokok kelapa pun tidak selamat
KOTA KINABALU: Cubaan seorang lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) bersembunyi dengan memanjat pokok kelapa bagi mengelak dicekup pihak berkuasa akhirnya gagal apabila dia berjaya ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, hari ini. Lelaki terbabit dipercayai bertindak demikian selepas menyedari kehadiran pegawai penguat kuasa yang menjalankan pemeriksaan di kawasan berkenaan sebelum berjaya dipujuk turun dan ditahan untuk siasatan lanjut. Menerusi kenyataan di Facebook rasmi malam ini, JIM Sabah memaklumkan seramai 81 warga asing termasuk lelaki berkenaan ditahan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan menerusi Ops Sapu, Ops Mahir dan Ops Belanja. Katanya, operasi itu dilaksanakan di beberapa lokasi sekitar Kota Kinabalu, Sandakan, Lahad Datu dan Sipitang. “Dalam operasi berkenaan seramai 202 individu telah diperiksa dan hasil pemeriksaan mendapati 81 daripadanya melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63. “Daripada jumlah yang ditahan, 74 individu merupakan warganegara Filipina membabitkan 27 lelaki dewasa, 22 perempuan dewasa, 10 kanak-kanak lelaki dan 15 kanak-kanak perempuan. Selain itu, turut ditahan tiga lelaki dewasa dan dua perempuan dewasa warga Indonesia, serta dua lelaki dewasa warga Pakistan. Semua individu berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah, selain Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan. Menurut JIM Sabah, kesemua tahanan telah dihantar ke Depot Imigresen bagi menjalani proses dokumentasi sebelum tindakan lanjut diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. JIM Sabah turut menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara konsisten tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen negara. “Operasi akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu. – Info X
March 5, 2026
Info X Reporters
JKNS siasat kemalangan kereta api di Tenom
KOTA KINABALU: Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) mengaktifkan siasatan dalaman melalui Board OfEnquiry (Badan Penyiasatan Dalam) berhubung kemalangan kereta api dan motosikal troli di laluan Tenom-Pangi, baru-baru ini. Menerusi satu kenyataan pada Khamis, JKNS menjelaskan siasatan dalaman itu selaras dengan prosedur penyiasatan yang sedang berkuat kuasa. Katanya, JKNS juga sudah membuat laporan polis di Balai Polis Tenom berhubung insiden untuk makluman dan tindakan lanjut pihak berkuasa. “Sebarang tindakan susulan Pihak JKNS adalah berdasarkan hasil laporan Board Of Enquiry, selaras dengan peruntukan yang termaktub dalam Enakmen Keretapi 2017. “Insiden tersebut bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa. Pihak JKNS berasa kesal atas insiden yang berlaku. “Pada masa ini, siasatan dalaman oleh pihak JKNS dan siasatan pihak Polis sedang giat dijalankan,” kata kenyataan itu. Sebelum ini, tular di media sosial mengenai kemalangan membabitkan sebuah kereta api membawa guru dari pekan Tenom ke Kampung Pangi, dipercayai akibat masalah brek. Kereta api terbabit dilaporkan merempuh enam motosikal troli yang dijadikan penghadang oleh penduduk kampung bagi menghentikan gerabak kereta api. Insiden itu berlaku di landasan Tenom-Pangi pada 3 Mac lalu. Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick, berkata pihaknya sudah meminta laporan berhubung insiden itu daripada Pengarah JKNS. Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan negeri, berkata laporan itu akan dibentangkannya pada Mesyuarat Jemaah Menteri 11 Mac ini. “Laporan siasatan awal telah diberikan kepada saya, dan laporan ini juga telah dipanjangkan kepada pejabat YAB Ketua Menteri Sabah hari ini. “Saya akan membentangkan laporan siasatan ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri Sabah pada 11 Mac 2026, minggu hadapan. “JKNS juga telah mengeluarkan kenyataan berkaitan dengan kejadian tersebut,” katanya.-Info X