February 22, 2026
Info X Reporters
65 calon STPM terperangkap banjir, operasi khas digerakkan di Pitas
PITAS: Seramai 65 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang terperangkap banjir di beberapa kampung sekitar daerah ini sedang dipindahkan menerusi operasi khas bagi memastikan mereka dapat menghadiri sesi peperiksaan. Operasi diselaraskan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Pitas itu membabitkan pelajar dari dua sekolah iaitu SMK Pitas dan SMK Pitas 2 yang terjejas akibat laluan dinaiki air. Lima lokasi dikenal pasti terlibat iaitu Paitan, Pinapak, Kanibongan, Pandan Mendamai dan Kusilat. Operasi dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta RELA. Pegawai APM Pitas, Leftenan (PA) Norman Bigol berkata, ketika ini, APM menggerakkan dua pegawai dan 20 anggota bersama tiga bot untuk mengeluarkan semua 65 pelajar yang terperangkap. “Operasi masih giat dijalankan dan beberapa pelajar sudah berjaya dibawa keluar bagi memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan mengikut jadual,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, kerjasama semua agensi keselamatan membolehkan proses pemindahan dilaksanakan secara tersusun walaupun berdepan laluan yang ditenggelami air. Beliau berkata, operasi akan diteruskan sehingga kesemua pelajar berjaya dipindahkan dengan selamat, manakala laporan perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Kesemua pelajar terbabit bakal menduduki peperiksaan STPM pada Isnin dan perlu kembali ke sekolah pada Ahad bagi memastikan mereka tidak terlepas menduduki peperiksaan berkenaan. – Info X
February 22, 2026
Info X Reporters
OKU sesak nafas diselamatkan bomba dalam banjir
PITAS: Seorang mangsa kurang upaya (OKU) terpaksa dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan rawatan selepas terperangkap akibat banjir di Kampung Kusilad, di sini, hari ini. Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa berusia 64 tahun itu dilaporkan mengalami sesak nafas dan perlu segera mendapatkan rawatan di Hospital Pitas. Bagaimanapun, keadaan jalan perhubungan di kampung berkenaan terputus akibat dinaiki air dan tidak boleh dilalui kenderaan kecil. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas, Noor Jali Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada keluarga mangsa pada jam 1.19 petang. Katanya, sepasukan anggota JBPM terus dikerah ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 10 kilometer dari BBP Pitas, untuk membantu. “Pasukan bomba bertindak pantas membawa mangsa keluar dari lokasi banjir dengan selamat sebelum diserahkan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk dibawa ke Hospital Pitas bagi rawatan lanjut. “Operasi penyelamatan berjalan lancar dan pasukan bomba seterusnya memastikan tiada bahaya lain di lokasi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, mangsa sudah dihantar ke Hospital Pitas dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan operasi ditamatkan pada jam 2.42 petang tadi. – Info X
February 22, 2026
Info X Reporters
Mangsa banjir di PPS turun, semua PPS di Kota Marudu ditutup
KOTA KINABALU: Mangsa banjir di utara Sabah yang masih berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menurun kepada 3,266 orang berikutan penutupan sepenuhnya empat PPS di Kota Marudu pada Ahad. PPS yang masih dibuka setakat jam 4 petang Ahad ialah di Pitas dengan seramai 2,171 mangsa daripada 1,078 keluarga masih berlindung di 10 PPS dan di Paitan dengan seramai 850 mangsa daripada 268 keluarga di 12 PPS. Turut kekal ialah seramai 245 mangsa daripada 55 keluarga yang dipindahkan ke sebuah PPS akibat banjir di Tawau. Terdahulu, semua empat PPS di Kota Marudu yang menempatkan 1,929 mangsa banjir di daerah itu ditutup sepenuhnya pada jam 11 pagi Ahad selepas keadaan banjir di semua kampung terjejas dilaporkan pulih. – Info X
February 22, 2026
Info X Reporters
APM Paitan bantu calon STPM terjejas banjir kembali ke sekolah
PAITAN: Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) Paitan membantu membawa keluar sembilan calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dari kawasan terjejas banjir, di sini, untuk kembali ke sekolah mereka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Salaping, Kota Marudu, pada Ahad. Kesemua pelajar terbabit bakal menduduki peperiksaan STPM pada Isnin dan perlu kembali ke sekolah pada Ahad bagi memastikan mereka tidak terlepas menduduki peperiksaan berkenaan. Bagaimanapun, pelajar terbabit berdepan kesukaran untuk keluar dari kawasan kediaman masing-masing berikutan paras banjir yang meningkat dan menjejaskan laluan utama. Berikutan itu, anggota APM Paitan yang diketuai Pegawai Pertahanan Awam Daerah Paitan, Lt (PA) Bakrin Samsudin bertindak pantas membantu mengeluarkan pelajar terbabit dari kawasan banjir menggunakan kaedah pemindahan yang selamat dan terkawal. Ia bagi memastikan mereka dapat hadir ke sekolah tanpa sebarang risiko keselamatan dengan menggunakan kenderaan jabatan. Tindakan itu juga sebagai maklum balas segera terhadap permintaan guru Tingkatan Enam SMK Salaping, Kota Marudu yang meminta kerjasama APM bagi membantu pelajar sekolah berkenaan yang terjejas akibat banjir untuk kembali ke sekolah bagi memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan. Menerusi kenyataan dikeluarkan APM Paitan, operasi itu berjalan lancar hasil kerjasama anggota bertugas yang mengutamakan keselamatan dan kebajikan pelajar sepanjang proses pemindahan dijalankan. Katanya, bantuan itu memberi impak besar kepada pelajar kerana ia memastikan mereka tidak tercicir daripada sesi pembelajaran serta persediaan peperiksaan penting. “Selain menjamin keselamatan, tindakan itu turut memberi ketenangan kepada pelajar dan ibu bapa dalam menghadapi situasi bencana. “Usaha berkenaan membuktikan bahawa sokongan agensi penyelamat memainkan peranan penting dalam memastikan kesinambungan pendidikan walaupun berdepan cabaran bencana alam. “Pengorbanan dan komitmen anggota APM yang sentiasa bersedia membantu masyarakat tanpa mengira masa dan keadaan wajar diberikan penghargaan tinggi. “Kecekalan serta semangat perkhidmatan mereka menjadi inspirasi kepada masyarakat, khususnya generasi muda. “Diharapkan anggota APM terus kekal bersemangat dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab sebagai barisan hadapan bantuan kemanusiaan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya. APM menyifatkan tindakan pantas itu menunjukkan kepentingan kesiapsiagaan pasukan penyelamat dalam menghadapi bencana serta memastikan kebajikan masyarakat sentiasa terpelihara. – Info X
February 22, 2026
Info X Reporters
Wanita GRS beri sumbangan bakul makanan kepada asnaf
KOTA KINABALU: Sempena keberkatan bulan Ramadan, Pergerakan Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 30 asnaf dalam satu program kebajikan, di sini baru-baru ini. Sumbangan itu disampaikan Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Azizah Mohd Dun, yang menzahirkan komitmen berterusan pergerakan itu dalam membantu golongan memerlukan, khususnya ketika umat Islam menjalani ibadah puasa. Beliau berkata, Ramadan bukan sekadar bulan ibadah tetapi juga bulan untuk memperkukuh semangat kebersamaan dan solidariti dalam masyarakat. “Kita mahu memastikan golongan asnaf tidak terpinggir, lebih-lebih lagi dalam suasana kos sara hidup yang semakin mencabar. Bantuan ini mungkin kecil tetapi besar maknanya kepada mereka yang memerlukan,” katanya. Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian bakul makanan kepada 30 orang asnaf di Dewan Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS), Sembulan, di sini, baru-baru ini. Hadir sama Setiausaha Wanita GRS, Salmah Sait; Timbalan Bendahari Wanita GRS, Datuk Surinam Sadikun dan Ketua Penerangan Wanita GRS, Datin Belynda Buntot. Azizah turut menyeru syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar tampil bersama menghulurkan bantuan kepada golongan asnaf dan keluarga kurang berkemampuan. “Selain menyumbang dalam bentuk kewangan atau barangan, syarikat-syarikat termasuk GLC juga digalakkan memperbanyakkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bersifat berterusan, agar amalan kebajikan ini menjadi budaya dan bukan sekadar bermusim,” katanya. Azizah berkata syarikat korporat harus berusaha membantu golongan kurang bernasib baik dan tidak seharusnya digalas oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan sokongan menyeluruh daripada semua lapisan masyarakat demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela. “Bantuan yang diberikan oleh syarikat korporat dan NGO bukan saja mampu mengurangkan penderitaan golongan kurang berkemampuan, malah turut meringankan bebanan kerajaan dalam menyediakan kemudahan untuk tujuan itu,” katanya. Pada majlis itu, Azizah turut menyerahkan bakul makanan kepada Surinam mewakili Parlimen Beaufort (50), Sipitang (50) dan Kimanis (50) manakala Salmah mewakili Parlimen Putatan (50), manakala Perkumpulan Perempuan Sabah (100). – Info X
February 22, 2026
Info X Reporters
Kerjasama kerajaan, FCAS kukuhkan kesejahteraan negeri – KM
KOTA KINABALU: Semangat kerjasama yang kukuh di antara kerajaan dan pertubuhan masyarakat seperti Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) mampu membantu memelihara kesejahteraan negeri Sabah. Menyuarakan keyakinan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau percaya melalui semangat kerjasama, ia dapat memperkukuh kestabilan sosial dan memajukan ekonomi rakyat. “Ini sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang sentiasa menitikberatkan pembangunan yang inklusif dan seimbang agar semua kaum dan komuniti mendapat manfaat daripada kemajuan negeri,” katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Pesta Angpau FCAS di Dewan Hakka, di sini pada Sabtu. Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam. Ketua Menteri berkata, FCAS yang menghimpunkan 160 persatuan Cina dari seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan memainkan peranan penting dalam memelihara budaya, memperkukuh perpaduan masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan sosial serta ekonomi Sabah. “Pesta Angpau seperti yang dianjurkan FCAS bukan sekadar acara perayaan tetapi lambang perpaduan, muhibah dan semangat kebersamaan masyarakat berbilang kaum di negeri ini. “Kehadiran kita pada malam ini mencerminkan keharmonian yang telah sekian lama menjadi kekuatan Sabah. “Justeru, kerajaan negeri amat menghargai kerjasama erat yang terjalin di antara kerajaan dan Gabungan Persatuan Cina Sabah dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, kebajikan masyarakat, kebudayaan dan pembangunan komuniti di negeri ini,” katanya. – Info X
February 22, 2026
Info X Reporters
5,141 mangsa banjir di empat daerah
KOTA KINABALU: Seramai 5,141 mangsa banjir kini berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di empat daerah berikutan pengisytiharan Tawau sebagai kawasan bencana banjir terbaharu, malam tadi. Tawau mencatat 245 mangsa daripada 55 keluarga berikutan banjir di daerah itu dengan sebuah PPS iaitu di Dewan Kompleks Sukan Tawau dibuka setakat ini. Secara keseluruhan, daerah Pitas kekal merekodkan jumlah mangsa banjir yang tertinggi dengan seramai 2,120 daripada 1,054 keluarga berlindung di 10 PPS sekitar daerah itu. Ia diikuti Kota Marudu dengan seramai 1,929 mangsa daripada 781 yang berlindung di empat PPS, manakala di Paitan, seramai 847 mangsa daripada 270 keluarga masih berlindung di 12 PPS. Pemindahan mangsa banjir di empat daerah membabitkan 80 kampung dengan Paitan merekodkan 37 kampung, diikuti Pitas (30 kampung), Kota Marudu (12 kampung) dan Tawau (satu). Laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah pagi ini turut merekodkan 50 mangsa daripada 16 keluarga terbabit dalam musibah kebakaran di daerah Kota Belud pada Sabtu. – Info X
February 22, 2026
Info X Reporters
Banjir kilat jejas beberapa kawasan di Tawau
TAWAU: Hujan sejak malam tadi mengakibatkan beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat. Antara lokasi terjejas ialah Kampung Tanjung Batu Keramat, Kampung Baru (SG Futsal), Kampung Rawa-Rawa, Kampung Ranggu, Taman Fujimart, Taman Setia, Jalan Shin Onn dan Jalan Takada. Turut dilaporkan kejadian hakisan tanah di simpang masuk Batu 9, Stone Quarry yang menimbulkan risiko kepada pengguna jalan raya. Ketua Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tawau Leftenan Muda (PA) Nurfarizt Izwan Sapsia berkata, seramai empat pegawai dan 24 anggota telah dikerahkan ke lokasi terjejas. “Pasukan kami menjalankan operasi penyelamatan dan pemantauan berterusan bagi memastikan keselamatan penduduk. “Pemantauan paras air turut dilakukan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan sebarang risiko tidak diingini,” katanya. – Info X