February 21, 2026
Info X Reporters
Mangsa banjir terus meningkat, 3,685 orang dipindah di Kota Marudu, Pitas, Paitan
KOTA KINABALU: Mangsa banjir dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kota Marudu, Pitas dan Paitan terus meningkat dengan seramai 3,685 orang berada di PPS setakat jam 8 pagi Sabtu. Subuh tadi, seramai 2,479 orang dilaporkan berada di PPS di ketiga-tiga daerah di utara Sabah itu. Ia membabitkan peningkatan jumlah keluarga kepada 1,593 di 18 PPS berbanding 1,185 keluarga di 15 PPS sebelum ini. Berdasarkan Perkembangan Harian Bencana yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negeri Sabah pada jam 8 pagi tadi, daerah Kota Marudu merekodkan jumlah mangsa banjir di PPS yang tertinggi dengan seramai 1,978 orang daripada 925 keluarga. Jumlah itu merangkumi 844 mangsa yang berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Teritipan dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandau (250 orang) yang baru dibuka, manakala dua PPS terdahulu, iaitu PPS SMK Tandek dan SMK Tandek II masing-masing kekal dengan 594 mangsa dan 290 orang mangsa. Angka itu mengatasi jumlah mangsa banjir di Pitas yang kekal seramai 1,515 orang daripada 593 keluarga sejak jam 4 pagi tadi, manakala di Paitan meningkat kepada 192 orang daripada 72 keluarga, berbanding 80 mangsa pada subuh tadi. Di Pitas, mangsa ditempatkan di lapan PPS iaitu PPS Dewan Majlis Daerah Pitas (573 orang), PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan II (303 mangsa), PPS SK Dandun (155 mangsa), PPS SK Salimpodon Darat (145 orang), PPS Dewan Kusilad (129 orang), PPS SK Rukom Ulu (78 orang) dan PPS Dewan Kebatasan (63 orang) dan PPS Dewan Kampung Senaja (22 orang). Daerah Paitan pula merekodkan peningkatan sekali ganda jumlah mangsa kepada 192 orang pada berikutan peningkatan pemindahan mangsa di enam PPS di daerah itu pada jam 8 pagi tadi. Setakat ini, seramai 62 mangsa berlindung di PPS Dewan Binsulung, diikuti PPS Rumah Pengerusi JKKK Kampung Cocos (36 orang), PPS Masjid Kaindangan (lima) dan PPS Dewan Kampung Sungai-Sungai (26), PPS Dewan Serbaguna Kampung Tangkarason (52) dan PPS SMK Pamol (11). – Info X
February 21, 2026
Info X Reporters
2,479 mangsa banjir dipindah di Pitas, Kota Marudu, Paitan
KOTA KINABALU: Mangsa banjir dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tiga daerah di utara Sabah meningkat kepada 2,479 orang setakat awal pagi Sabtu. Jumlah itu membabitkan 1,185 keluarga di 15 PPS yang dibuka di Kota Marudu, Pitas dan Paitan selepas bencana banjir diisytihar di ketiga-tiga daerah, semalam. Berdasarkan Perkembangan Harian Bencana yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negeri Sabah pada jam 4 pagi tadi, daerah Pitas merekodkan jumlah mangsa di PPS yang tertinggi seramai 1,515 orang daripada 593 keluarga, setakat ini. Jumlah itu merangkumi mangsa yang berlindung di lapan PPS iaitu PPS Dewan Majlis Daerah Pitas (573 orang), PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan II (303 mangsa), PPS SK Dandun (155 mangsa), PPS SK Salimpodon Darat (145 orang), PPS Dewan Kusilad (129 orang), PPS SK Rukom Ulu (78 orang) dan PPS Dewan Kebatasan (63 orang) dan PPS Dewan Kampung Senaja (22 orang). Sementara itu, di Kota Marudu, seramai 884 mangsa banjir daripada 562 keluarga berlindung di dua PPS di daerah itu iaitu PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek (594 orang) dan PPS SMK Tandek II (290 orang). Daerah Paitan pula hanya mencatat 80 mangsa banjir daripada 30 keluarga yang ditempatkan di empat PPS iaitu PPS Dewan Binsulung (62 orang), PPS Rumah Pengerusi JKKK Kampung Cocos (11 orang), PPS Masjid Kaindangan (lima) dan PPS Dewan Kampung Sungai-Sungai (dua). – Info X
February 20, 2026
Info X Reporters
2,181 mangsa banjir dipindah ke PPS di Pitas dan Kota Marudu
KOTA KINABALU: Seramai 2,181 mangsa banjir dipindahkan ke lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kota Marudu dan Pitas, setakat malam ini. Ia berdasarkan laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Seretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang mengumpul data mangsa banjir di PPS kedua-dua daerah. Daripada jumlah itu, seramai 1,401 mangsa direkodkan di tiga PPS di Kota Marudu, manakala seramai 780 mangsa di lima PPS di Pitas. Di Kota Marudu, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Taritipan merekodkan jumlah mangsa banjir paling ramai dipindahkan iaitu 815 orang, diikuti PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek (296 orang) dan PPS SMK Tandek II (290 orang). Di Pitas, PPS Dewan Majlis Daerah merekodkan jumlah mangsa banjir paling ramai dipindahkan iaitu 365 orang, diikuti PPS SK Salimpodon Darat (145 orang), PPS Dewan Kusilad (129 orang), PPS SK Rukom Ulu (78 orang) dan PPS Dewan Kebatasan (63 orang). Sementara itu laporan APM merekodkan sebanyak lapan kampung terjejas banjir di Kota Marudu iaitu Beliajung, Boruol (Damai), Tandek, Marasinsim, Morion, Sasayapon, Rasak Laut dan Asin-Asin. Daerah Pitas merekodkan paling banyak kampung terjejas banjir setakat ini iaitu 30 kampung, manakala sebanyak 18 kampung dilaporkan terputus hubungan. Kampung terjejas banjir di Pitas ialah Kesagaan Rukom Ulu, Salimpodon Laut, Salimpodon Darat, Kelumpang, Linggisan, Mantus Darat, Bilangau Besar, Gorib, Tambilidon, Luntuk, Marasimsim Laut, Kambau, Gailun, Pinggan-Pinggan, Pondoi, Sinasak Senaja, Gusung, Kalipuon, Kemiri, Kedayan, Desa Seberang, Bawang, Saab Darat, Kusilad, Sibaung, Kanibongan, Mendamai Bai dan Sosop Bai. Kampung yang terputus hubungan pula ialah Nunguh Mandurian Ulu, Sanitan Laut, Nibang, Mangkabusu, Kodundung Bersatu, Narandang Laut, Narandang Darat, Manduring, Botung, Ampungoi, Masin Besar, Simpang Empat, Simpang, Sulakolung, Layung, Pandan Mendamai dan Mandurian. – Info X
February 20, 2026
Info X Reporters
Banjir: Agensi keselamatan, jabatan berkaitan digerak bantu mangsa banjir – KM
KOTA KINABALU: Semua agensi keselamatan dan jabatan berkaitan sudah digerakkan bagi melaksanakan operasi pemindahan, penyelamatan dan penyaluran bantuan kepada penduduk terjejas banjir di utara Sabah dan Sandakan. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri juga memantau keadaan semasa bagi memastikan bantuan disampaikan dengan cepat dan berkesan. Beliau turut meluahkan rasa simpati atas musibah banjir yang dihadapi penduduk yang disifatkannya satu ujian, terutama bagi umat Islam yang sedang menjalani ibadah puasa Ramadan. “Di sebalik keberkatan bulan Ramadan ini, ada saudara-saudara kita yang sedang diuji dengan musibah banjir. “Saya merakamkan rasa simpati yang mendalam kepada semua mangsa yang terjejas. Keselamatan rakyat adalah keutamaan Kerajaan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau. Ketua Menteri turut merayu kepada semua penduduk di kawasan yang dilanda banjir di Kota Marudu, Pitas, Paitan dan Sandakan serta kawasan berhampiran supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga dan tidak sesekali mengambil sebarang risiko. “Dalam bulan Ramadan yang penuh rahmat ini, marilah kita saling mendoakan dan menghulurkan bantuan mengikut kemampuan masing-masing. Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan, ketabahan dan perlindungan kepada semua yang sedang diuji,” katanya. Ends
February 20, 2026
Info X Reporters
Lebih 40 kampung putus karan akibat banjir, tiang tumbang di Pitas, Kota Marudu
KOTA MARUDU: Hujan berterusan yang menyebabkan banjir di daerah ini turut menjejaskan bekalan elektrik apabila ada tiang talian voltan tinggi rebah ditimpa pokok tumbang disebabkan tanah runtuh pada Jumaat. Berdasarkan info dikongsikan Facebook Sabah Electricity Careline, sebanyak 13 kampung terputus bekalan elektrik akibat kejadian itu setakat ini. Kampung terbabit ialah Tondig, Togudon, Tinogu, Lugu Telugung, Kinangkaban, Bombong 4, Bombong 2, Samparita, Samparita Tengah, Bombong 1, Samparita Laut, Soniton Ulu dan Lingkobungan 1. Pemulihan bekalan dijangka selepas Sabah Electricity selesai melakukan pembaikan tiang tumbang. Sementara itu, di Pitas lebih 30 kawasan kampung terputus bekalan elektrik akibat banjir setakat ini. Antaranya, Kampung Kemiri, Sinasak Batu, Andap, Kebatasan, Kusilad, SMK Pekan 2, Kibulu, Rinasuk Bay, Sosop, Mandamai Bay, Rukom Laut, Rukom Darat, Layung 1, Layung 2, Layang, Loji Air Kanibungan, Kadayan, Ranggal, Pias, Kotuyon, Manduring, Narandang, Pangkalan Kanibungan, Boribi, Lihing, Celcom Kanibungan, Delima, Boboli, Pantai, Untang-Untang, Taradas dan Mapad. Sabah Electricity akan membuat pemulihan bekalan secara berperingkat selepas air banjir surut. – Info X
February 20, 2026
Info X Reporters
Ugutan suara WhatsApp, buruh warga asing ditahan
TAWAU: Tindakan seorang lelaki menghantar pesanan suara berbaur ugutan dan ancaman melalui aplikasi WhatsApp membawa padah apabila dia ditahan polis, semalam. Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berada di Hospital Tawau sebelum menerima mesej suara daripada lelaki dikenali yang menuntut sejumlah wang. Suspek dikatakan bertindak mengugut kerana mangsa enggan memenuhi permintaannya. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa tampil membuat laporan polis susulan menerima ugutan berkenaan. “Bertindak atas laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau menjalankan risikan dan berjaya menahan suspek. “Suspek seorang lelaki warga asing berusia 42 tahun yang bekerja sebagai buruh ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Baru Batu 2, Jalan Apas kerana disyaki terbabit dalam kes ugutan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang bentuk ugutan atau jenayah pemerasan dan segera membuat laporan kepada pihak berkuasa jika berdepan situasi sama. – Info X
February 20, 2026
Info X Reporters
Berang isu jaga anak, suami ditahan pukul isteri
TAWAU: Perselisihan faham berhubung urusan menjaga anak dipercayai menjadi punca seorang lelaki bertindak memukul isterinya dalam kejadian di Kampung Titingan, di sini. Mangsa yang cedera kemudiannya tampil membuat laporan di balai polis sebelum tindakan lanjut diambil pihak berkuasa. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian membabitkan pasangan suami isteri berkenaan sebelum siasatan dijalankan. “Susulan laporan kes pukul dan ugutan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau menjalankan siasatan serta mengesan suspek. “Lelaki tempatan berusia 28 tahun itu berjaya ditahan di kawasan Kampung Titingan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, suspek dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak di luar batas undang-undang dan menyelesaikan sebarang perselisihan secara berhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – Info X
February 20, 2026
Info X Reporters
Lapan termasuk warga emas terperangkap banjir, diselamatkan bomba
SANDAKAN: Lapan individu termasuk kanak-kanak dan seorang warga emas dipindahkan anggota bomba selepas terperangkap dalam kejadian banjir kilat di Batu 12, pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 pagi itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan menerima panggilan kecemasan memaklumkan berlaku kenaikan paras air di Lot 56, Peringkat 1, Batu 12. Ketua Balai BBP Sandakan, Jimmy Lagung berkata, sepasukan tujuh anggota digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai. “Setibanya di lokasi pada jam 8.32 pagi, komander operasi mengesahkan berlaku banjir kilat dan seramai lapan mangsa dilaporkan terperangkap akibat kenaikan paras air. “Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemindahan menggunakan bot penyelamat sebelum semua mangsa berjaya dipindahkan ke rumah ahli keluarga terdekat di kawasan tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini. Katanya, mangsa yang dipindahkan membabitkan tiga wanita dewasa, dua kanak-kanak perempuan, dua kanak-kanak lelaki serta seorang warga emas wanita. “Operasi ditamatkan pada jam 9 pagi selepas keadaan didapati terkawal dan tiada bahaya lain dikesan,” katanya. Sementara itu, dalam kejadian berasingan awal pagi tadi, BBP Sandakan turut menerima panggilan kecemasan pada jam 4.52 pagi berhubung kejadian banjir di Taman Merpati Batu 7. Jimmy berkata, lapan anggota bersama dua jentera bergegas ke lokasi sejauh 10 kilometer dan tiba pada jam 5.03 pagi. Menurutnya, pasukan menjalankan pemantauan dan mendapati paras air dalam keadaan terkawal serta tiada mangsa terlibat. “Tiada operasi pemindahan dijalankan, namun bomba menasihatkan penduduk supaya bersedia berpindah lebih awal ke kawasan selamat sekiranya paras air meningkat. “Operasi di lokasi itu ditamatkan pada jam 5.43 pagi selepas keadaan disahkan selamat,” katanya. – Info X