Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

February 20, 2026

Info X Reporters

Lapan termasuk warga emas terperangkap banjir, diselamatkan bomba

SANDAKAN: Lapan individu termasuk kanak-kanak dan seorang warga emas dipindahkan anggota bomba selepas terperangkap dalam kejadian banjir kilat di Batu 12, pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 pagi itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan menerima panggilan kecemasan memaklumkan berlaku kenaikan paras air di Lot 56, Peringkat 1, Batu 12. Ketua Balai BBP Sandakan, Jimmy Lagung berkata, sepasukan tujuh anggota digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai. “Setibanya di lokasi pada jam 8.32 pagi, komander operasi mengesahkan berlaku banjir kilat dan seramai lapan mangsa dilaporkan terperangkap akibat kenaikan paras air. “Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemindahan menggunakan bot penyelamat sebelum semua mangsa berjaya dipindahkan ke rumah ahli keluarga terdekat di kawasan tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini. Katanya, mangsa yang dipindahkan membabitkan tiga wanita dewasa, dua kanak-kanak perempuan, dua kanak-kanak lelaki serta seorang warga emas wanita. “Operasi ditamatkan pada jam 9 pagi selepas keadaan didapati terkawal dan tiada bahaya lain dikesan,” katanya. Sementara itu, dalam kejadian berasingan awal pagi tadi, BBP Sandakan turut menerima panggilan kecemasan pada jam 4.52 pagi berhubung kejadian banjir di Taman Merpati Batu 7. Jimmy berkata, lapan anggota bersama dua jentera bergegas ke lokasi sejauh 10 kilometer dan tiba pada jam 5.03 pagi. Menurutnya, pasukan menjalankan pemantauan dan mendapati paras air dalam keadaan terkawal serta tiada mangsa terlibat. “Tiada operasi pemindahan dijalankan, namun bomba menasihatkan penduduk supaya bersedia berpindah lebih awal ke kawasan selamat sekiranya paras air meningkat. “Operasi di lokasi itu ditamatkan pada jam 5.43 pagi selepas keadaan disahkan selamat,” katanya. – Info X

February 20, 2026

Info X Reporters

Banjir: 336 mangsa dipindah di Kota Marudu, Pitas setakat tengah hari

KOTA KINABALU: Seramai 336 mangsa banjir daripada 111 keluarga dipindahkan ke lima pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir di Kota Marudu dan Pitas, setakat tengah hari ini. Berdasarkan laporan Pusat Kawalan Bencana Negeri Sabah, mangsa paling ramai dipindahkan setakat ini ialah di Kota Marudu membabitkan seramai 274 mangsa daripada 83 keluarga. Kesemua mangsa dari lima kampung yang terjejas di Kota Marudu itu dipindahkan ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek 2. Sementara itu, di Pitas, seramai 62 mangsa daripada 28 keluarga dipindahkan ke empat PPS yang dibuka di daerah itu setakat ini. PPS terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Rukom, Dewan Majlis Daerah Pitas, Dewan Kusilad dan Dewan Kabatasan. Bagi daerah Pitas, sebanyak 19 kampung dilaporkan terjejas akibat banjir setakat ini. 6 Info X

February 20, 2026

Info X Reporters

Beberapa laluan di Kota Marudu dan Pitas terputus akibat banjir

KOTA KINABALU: Beberapa laluan utama di daerah Pitas dan Kota Marudu dilaporkan tidak dapat dilalui sebarang jenis kenderaan akibat banjir sejak pagi tadi. Berdasarkan Info Semasa Laporan Bencana dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR) di Facebook jabatan itu, tiga laluan terputus setakat ini ialah di Jalan Pinapak dan Kabatasan Dandun di Pitas, manakala Jalan Access Road III, Mini Kompleks Sukan di Kota Marudu. Jalan Pinapak, Pitas tidak dapat dilalui berikutan kenaikan paras air sungai, khususnya di laluan KM4.44, manakala banjir di Jalan Kabatasan Dandun bermula dari laluan KM2.0 – KM3.5. Sementara itu, banjir turut menjejaskan laluan di KM4.5 Jalan Kanibongan, Pitas, namun masih boleh dilalui kenderaan besar.

February 20, 2026

Info X Reporters

YPNM Sabah bimbang wujud kartel manipulasi bekalan dan naikkan harga

KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan wujud tindakan bersepakat atau kartel dalam kalangan peniaga untuk memanipulasi bekalan dan menaikkan harga barangan sepanjang Ramadan ini. Pengerusinya, David Chan, berkata kebimbangan itu khususnya terhadap bekalan makanan asas, khususnya makanan sejuk beku import dan tempatan. Katanya, jika amalan tidak beretika itu berlaku, ia memberi beban kepada pengguna, lebih-lebih lagi pada Ramadan apabila permintaan bahan makanan lazimnya meningkat. “YPNM Sabah menegaskan sebarang bentuk manipulasi harga atau kenaikan harga tanpa justifikasi adalah satu pelanggaran serius terhadap hak pengguna dan undang-undang negara. “Sehubungan itu, kita mengingatkan semua peniaga bahawa tindakan penguatkuasaan tegas boleh diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya dalam satu kenyataan. Beliau berkata, mengikut Seksyen 14 (Peruntukan Anti-Pencatutan) AKHAP 2011, peniaga yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda hingga RM100,000 atau penjara bagi individu dan denda hingga RM500,000 bagi syarikat. Bagi mengekang perkara itu, katanya YPNM menyokong penuh pelaksanaan Ops Pantau 2026 oleh KPDN dan menggesa pemantauan serta penguatkuasaan yang tegas bagi memastikan harga barangan kekal adil dan terkawal sepanjang tempoh Ramadan dan Aidilfitri nanti. “YPNM turut menggalakkan pengguna supaya sentiasa berwaspada dan melaporkan sebarang kenaikan harga yang mencurigakan atau amalan perniagaan tidak beretika kepada pihak berkuasa yang berkaitan. “Ramadan adalah bulan muhasabah, keprihatinan dan kebersamaan. Justeru, YPNM menyeru peniaga agar bertindak secara bertanggungjawab dan tidak mengambil kesempatan terhadap pengguna demi keuntungan berlebihan. “Harga yang adil bukan saja satu kewajipan undang-undang tetapi juga tanggungjawab moral kepada masyarakat,” katanya. Sehubungan itu, David menggesa semua peniaga supaya mengekalkan integriti dan keadilan dalam amalan perniagaan serta tidak membentuk kartel atau terbabit dalam aktiviti pencatutan, lebih-lebih lagi sepanjang Ramadan ini. – Info X

February 20, 2026

Info X Reporters

Banjir di utara Sabah, Sandakan

KOTA KINABALU: Tiga daerah di utara Sabah, manakala sebuah daerah di pantai timur dilanda banjir berikutan hujan lebat berterusan sejak semalam. Daerah Pitas, Kota Marudu dan Paitan diisytihar dilanda bencana banjir berkuatkuasa jam 6 pagi tadi, manakala di Sandakan banjir dan pokok tumbang dilapor di beberapa kawasan sekitar daerah itu. Berdasarkan laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), setakat ini seramai 213 mangsa dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek 2 di Kota Marudu. Sebuah PPS turut dibuka di Pitas iaitu di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Rukom dengan proses pemindahan dilaporkan masih giat dijalankan setakat pagi ini. Laporan Pusat Kawalan Bencana Negeri Sabah setakat ini menunjukkan empat kampung di Kota Marudu dan dua kampung di Pitas terjejas akibat banjir dan penduduknya terpaksa dipindahkan. Di Sandakan, hujan lebat berterusan yang melanda daerah itu mengakibatkan beberapa kawasan dilanda banjir, pokok tumbang dan beberapa jalan utama dinaiki air. Antara lokasi pokok tumbang yang dilaporkan ialah di SK St Monica dan Bandar Sandakan, selain di Taman Mutiara dan GIATMARA Batu Sapi. Banjir pula dilapor berlaku di Kampung Pangeran dan Taman Fajar, manakala beberapa jalan dilaporkan dinaiki air, antaranya Jalan Batu 7, Taman Nuri, Taman Fajar Lama, Jalan Mahkamah, Jalan Batu 8, Jalan Batu 9, kawasan Petronas Batu 6 dan Jalan Perhutanan. Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) semalam mengeluarkan amaran tahap waspada hujan berterusan di kawasan Sandakan, Kudat atau utara Sabah dan pantai barat, khhususnya di daerah Ranau dan Kota Belud yang berlanjutan hingga hari ini. Susulan amaran itu, MET Malaysia hari ini meningkatkan amaran hujan berterusan ke tahap buruk di daerah Beluran, Pitas dan Kota Marudu, manakala kekal tahap waspada di Ranau, Kota Belud, Telupid, Sandakan dan Kudat. – Info X

February 19, 2026

Info X Reporters

Jemaah meninggal dunia selepas selesai solat Isyak di Masjid Jamek Kg Likas

KOTA KINABALU: Seorang jemaah Masjid Jamek Kampung Likas dilaporkan meninggal dunia selepas selesai menunaikan solat Isyak di masjid berkenaan malam tadi. Berdasarkan perkongsian di Facebook masjid berkenaan, lelaki itu adalah jemaah yang rutin hariannya hadir ke masjid Jamek Kampung Likas, di sini, bagi menunaikan solat fardu. “Kami daripada pihak Masjid Jamek Kg Likas mengucapkan salam takziah kepada pihak keluarga atas pemergian ayahanda mereka. “Arwah merupakan salah seorang jemaah yang rutin harianya hadir ke masjid untuk menunaikan solat fardhu. “Pemergian almarhum ini adalah merupakan keuntungan yang besar menuju ke masjid, selepas menunaikan solat fardhu Isyak pada malam Jumaat dan bulan yang mulia bulan Ramadhan.. Semoga Allah menerima segala amal kebaikannya.. Al Fatihah,” katanya dalam perkongsian berkenaan. Ramai netizen mengucapkan takziah dan menyifatkan pemergian arwah sesuatu yang dicemburui kerana meninggal dunia di masjid ketika menunaikan solat, lebih-lebih lagi pada malam Jumaat dan hari pertama umat Islam berpuasa sempena bulan Ramadan. – Info X

February 19, 2026

Info X Reporters

Lelaki hilang ketika memukat ditemui lemas

PAPAR: Lelaki yang hilang sejak empat hari lalu ditemui meninggal dunia kira-kira 71 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang, petang tadi. Difahamkan, mangsa berusia 60 tahun itu ditemui terdampar di Pantai Kampung Sangkabok oleh orang ramai sebelum dimuatnaik di laman sosial TikTok pada jam 3.20 petang. Ahli keluarga yang menyedari maklumat berkenaan terus menghubungi pasukan bomba sebelum mangsa disahkan benar setelah pengecaman dilakukan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata, operasi pencarian hari keempat dimulakan pada jam 8.20 pagi, hari ini. Katanya, operasi pencarian dijalankan dari tempat kejadian hingga ke kawasan persisiran pantai Kampung Bundusan dan Muara Pengalat sejauh 4 kilometer dengan menaiki Bot. “Sebaik menerima maklumat, pasukan bomba seterusnya menjalankan operasi untuk mengesahkan identiti mangsa. “Mangsa seterusnya diserahkan pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan setelah memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 3.23 petang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Terdahulu, dalam kejadian Isnin lalu, mangsa yang dikenali sebagai Saimin Ongit dilaporkan hilang ketika aktiviti memukat bersama rakannya di kawasan Pantai Manis sebelum bot dinaiki karam. Bagaimanapun, rakan mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dilaksanakan bagi mencari mangsa hilang. – Info X

February 19, 2026

Info X Reporters

Jln Langkon – Pitas dinaiki air

KOTA MARUDU: Jalan Langkon – Pitas dilaporkan dinaiki air berikutan hujan lebat berterusan di daerah ini, petang Khamis. Info banjir kilat itu dikongsikan Jabatan Kerja Raya (JKR) menerusi Info Semasa Laporan Bencana yang dikeluarkan di laman Facebook jabatan itu. Bagaimanapun, berpandukan info itu, laluan di CH / KM : CH 51.700 – CH 52.000 itu masih boleh dilalui. Awal petang Khamis, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran tahap waspada hujan berterusan di kawasan Kudat atau utara Sabah, selain bahagian Sandakan dan pantai barat. Hujan berterusan itu diramal berterusan hingga Jumaat, 20 Februari 2026. – Info X