Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

February 13, 2026

Info X Reporters

Suspek tidak puas hati mangsa putuskan pertunangan

KOTA KINABALU: Suspek kes bunuh dan kerat dipercayai tidak berpuas hati dengan mangsa kerana memutuskan pertunangan mereka dan berkahwin dengan individu lain. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, mangsa seorang wanita berusia 44 tahun yang merupakan warga asing yang memegang dokumen IMM13. Katanya, mangsa dipercayai berada di lokasi kejadian untuk berjumpa dengan suspek di rumah keluarga lelaki yang berusia 70 tahun itu. “Jadi kita percaya, motif kepada kes bunuh ini adalah lebih kepada motif cemburu dan tidak berpuas hati dengan mangsa. “Mangsa telah berkawin dengan orang lain menyebabkan suspek cemburu sehinggalah kepada pertengkaran yang membawa kepada pembunuhan ini,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, hari ini. Menurutnya, sepanjang tempoh pertunangan, mangsa juga didakwa menggunakan wang suspek yang dianggarkan sebanyak kira-kira RM7,000. Sementara itu, Jauteh berkata, siasatan mendapati suspek mengaku mengerat mangsa menggunakan senjata parang tajam seorang diri. Manakala katanya, suspek kedua yang juga anak suspek pula ditahan untuk membantu siasatan kerana berada di luar rumah tempat kejadian ketika pergaduhan berlaku. Terdahulu, Info X melaporkan mayat wanita lingkungan 40-an ditemukan dalam keadaan anggota badan dikerat dan dibuang berasingan di beberapa lokasi pembuangan sampah sekitar Taman Indah Permai. Penemuan awal membabitkan tangan dan kaki pada jam 6.30 pagi sebelum pencarian lanjut membawa kepada penemuan kepala serta badan mangsa pada jam 11.40 pagi di lokasi berhampiran. – Info X

February 13, 2026

Info X Reporters

Kerajaan negeri sumbang kereta pacuan empat roda kepada Polis Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyumbangkan dua kenderaan pacuan empat roda untuk kegunaan operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Sabah. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan replika kunci kepada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail sebagai simbolik penyerahan sumbangan dalam satu majlis di Padang Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan, pada Jumaat. Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun serta pegawai-pegawai kanan polis dari Bukit Aman. – Info X

February 13, 2026

Info X Reporters

86 resort, premis pelancongan di Semporna beroperasi tidak sah

KOTA KINABALU: Sebanyak 86 premis pelancongan dan resort yang beroperasi di Semporna dikesan berdepan pelbagai isu pematuhan syarat operasi termasuk tiada sijil menduduki (OC). Perkara itu didedahkan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Arifin menerusi satu kenyataan pada Jumaat. Katanya, jumlah itu berdasarkan rekod semasa yang dimaklumkan kepada beliau ketika mempengerusikan mesyuarat Task Force di Majlis Daerah Semporna pada Khamis. Mesyuarat itu katanya untuk meneliti status penguatkuasaan terkini, cabaran pematuhan dan tindakan segera yang diperlukan untuk menangani operasi pelancongan tanpa lesen di Semporna. “Berdasarkan rekod semasa, sebanyak 190 premis pelancongan dikenal pasti beroperasi, bagaimanapun hanya 45 premis mempunyai lesen yang sah. “Sebanyak 59 premis pula masih dalam proses kelulusan dan 86 premis didapati tidak mengambil apa-apa inisiatif atau berdepan pelbagai isu pematuhan. “Isu utama yang dikenal pasti termasuk gagal mendapatkan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) atau Sijil Menduduki (OC), selain isu yang berkaitan dengan status tanah,” katanya. Berikutan itu, beliau berkata kementeriannya mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menghentikan pengeluaran lesen sementara kepada mana-mana premis yang tidak mematuhi syarat sedia ada. Pada masa sama, katanya tindakan tegas, termasuk pemberhentian operasi akan diambil terhadap premis yang terus beroperasi tanpa pematuhan yang sah. “Pihak kementerian memberikan tambahan tempoh tiga bulan kepada operator untuk memohon lesen sejak pembentukan Task Force pada akhir Disember lalu. “Dengan kurang daripada dua bulan tempoh ditetapkan, saya menggesa operator pelancongan untuk mengambil tindakan segera dan mematuhi peraturan serta undang-undang sedia ada bagi memastikan keselamatan pengunjung dan integriti industri pelancongan,” katanya. Langkah itu, katanya penting untuk meningkatkan piawaian keselamatan, pematuhan peraturan, kemapanan alam sekitar dan imej pelancongan Sabah. Beliau menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang membahayakan keselamatan pelancong atau reputasi industri pelancongan negeri. “Kementerian saya bersama dengan agensi berkaitan yang lain akan terus menguatkan koordinasi penguatkuasaan sambil membantu operator untuk mematuhi peraturan bagi memastikan industri pelancongan Semporna terus berkembang secara teratur, bertanggungjawab dan mampan,” katanya. – Info X

February 13, 2026

Info X Reporters

Inisiatif Kebun Dapur dilancar di Tuaran Ahad ini

KOTA KINABALU: Inisiatif Kebun Dapur di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri akan dilancarkan di Padang Istiadat Pekan Tuaran, pada Ahad ini. Pelancaran program itu yang akan disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dimaklumkan menterinya, Datuk Jamawi Jaafar pada Khamis. Beliau menyatakan perkara itu ketika ditemuramah deejay KupiKupi FM ketika segmen Morning Kinabalu bersama Felix dan Dee Dee pada Khamis. Jamawi berkata, inisiatif itu dijangka disertai kira-kira 5,000 ketua isi rumah (KIR) yang bakal melaksanakan inisiatif Kebun Dapur sebagai antara usaha kerajaan bagi menangani kos sara hidup rakyat. Katanya, inisiatif itu juga disasar untuk memperkasa ekonomi isi rumah menerusi pengeluaran makanan sendiri di peringkat komuniti. “Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran rakyat Sabah supaya memanfaatkan ruang di sekeliling rumah bagi aktiviti bercucuk tanam dan penternakan berskala kecil, di samping memelihara ternakan seperti ayam, itik atau ikan sekiranya mempunyai ruang. “Kita menyasarkan penyertaan 5,000 KIR di seluruh negeri pada tahun ini, namun penglibatan rakyat dijangka melebihi sasaran ditetapkan,” katanya. Jamawi berkata, Inisiatif Kebun Dapur dilaksanakan di bawah program Revolusi Ekonomi Pertanian Luar Bandar dengan memanfaatkan halaman rumah, kawasan lapang dan bekas terpakai bagi aktiviti pertanian berskala kecil. Kebun Dapur katanya, merangkumi subsektor tanaman, perikanan dan ternakan, selain menggalakkan penggunaan teknologi pertanian moden bagi meningkatkan pengeluaran hasil pertanian serta keterjaminan makanan. Jelasnya, pelaksanaan inisiatif itu mengambil kira pelbagai keadaan kediaman rakyat dengan penyediaan beberapa model kebun dapur yang bersesuaian, sama ada bagi rumah yang mempunyai ruang terhad mahupun kawasan yang lebih luas dan akan dilaksanakan secara berterusan sepanjang tahun ini. Jamawi berkata, kerajaan negeri turut merancang penganjuran jelajah ke semua kawasan Parlimen di Sabah bagi mempromosikan inisiatif berkenaan untuk memudahkan rakyat mendapatkan bahan tanaman dan ternakan melalui agensi berkaitan. “Agensi seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan, Ko-Nelayan, SAFMA dan Lembaga Industri Getah bukan saja terlibat dalam penjualan input pertanian, malah memberi tunjuk ajar secara langsung kepada rakyat mengenai kaedah penanaman dan penternakan,” katanya. Katanya, pendekatan rantaian lengkap itu diyakini dapat membantu meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) negeri Sabah, sekali gus memperkukuh keterjaminan makanan dan pertumbuhan ekonomi Sabah secara mampan. – Info X

February 13, 2026

Info X Reporters

Sambutan Tahun Baharu Cina simbolik perpaduan Sabah – Shahelmey

PUTATAN: Sambutan Tahun Baharu Cina wajar menjadi wadah terbaik kepada semua lapisan masyarakat bagi mendalami kepelbagaian budaya dan mengeratkan silaturahim. Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata sambutan diraikan masyarakat Cina itu juga menjadi simbolik perpaduan di Sabah yang terkenal dengan keharmonian kaum. Katanya, asas perpaduan itu boleh dijadikan pemangkin kemajuan negeri sejajar hasrat kerajaan di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam melaksanakan aspirasi hala tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0). “Sudah tentu dengan adanya perayaan Tahun Baharu Cina yang diraikan oleh masyarakat Cina di Sabah memberikan gambaran kepada nilai perpaduan kepada kita di negeri ini. “Seperti di Putatan ini, kita sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan kepada semua lapisan kaum baik bumiputera mahupun masyarakat Tiong Hua, tiada yang ketinggalan. “Satu daripada agenda utama hala tuju SMJ 2.0 adalah agenda membangunkan sumber manusia secara berterusan, jadi ini menunjukkan begitu menitikberatkan pembangunan sumber manusia melalui pendidikan dan melalui pelbagai latihan secara berterusan,” katanya. Shahelmey yang juga Pengerusi Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC) berkata demikian selepas merasmikan Karnival Tahun Baharu Cina 2026 SJKC Hwa Shiong, di sini, pada Khamis. Hadir sama Presiden Gabungan Dewan Perniagaan Tionghua Sabah (SUCCC), Datuk Micheal Lui Yen Sang; Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah SJKC Hwa Shiong Putatan, Chung Wan Kiong dan Guru Besar SJKC Hwa Shiong Putatan, Chung Tek Fei. Mengulas mengenai program itu, Shahelmey berkata, kesinambungan sumbangan komuniti menjadi teras ikatan kepelbagaian kaum di Putatan melalui aspek pendidikan. “Saya menerima maklumat bahawa jumlah pelajar yang ada di sekolah ini dipelopori oleh anak-anak Bumiputera Sabah dan hanya 10 peratus sahaja terdiri daripada anak-anak masyarakat Cina. “Perkembangan ini adalah perkembangan positif yang membuktikan bahawa keluarga Bumiputera sedar kepentingan mendapat pendidikan aliran Cina ini, kelebihan-kelebihan yang dapat diterima murid ini,” katanya. – Info X

February 13, 2026

Info X Reporters

Kupikupi FM radio rasmi Lampoopalooza 2026

KOTA KINABALU: Kupikupi FM diumumkan sebagai radio rasmi bagi penganjuran Lampoopalooza 2026 yang akan bermula esok, 14 Februari, di Gaya Street, di sini. Acara seni cahaya berskala besar itu dijadual berlangsung bermula jam 5 petang hingga 11 malam, bertempat di Bangunan Lembaga Pelancongan Sabah. Lampoopalooza 2026 dijangka menjadi tumpuan warga kota dan pelancong apabila menampilkan instalasi seni bercahaya setinggi 15 kaki yang bakal mencuri perhatian pengunjung. Selain itu, bangunan bersejarah Lembaga Pelancongan Sabah akan ‘dihidupkan’ menerusi persembahan pemetaan video berskala besar atau projection mapping yang dipancarkan ke seluruh fasad bangunan berkenaan. Penganjuran acara itu turut dimeriahkan dengan konsert terbuka secara percuma sepanjang malam, menampilkan artis-artis berbakat dari Sabah. Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai pilihan trak makanan dan gerai jualan di sepanjang Gaya Street bagi menambah kemeriahan suasana. Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai bagi menyaksikan sendiri keunikan Lampoopalooza 2026 yang dijangka menerangi pusat bandar raya dengan limpahan cahaya dan kreativiti. – Info X

February 13, 2026

Info X Reporters

Pelajar Sabah perlu ambil tahu usaha kerajaan, tidak terpengaruh cerita luar – KM

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meminta pelajar Sabah, khususnya yang menuntut di luar negeri ini supaya mengambil tahu apa yang dilaksanakan kerajaan pimpinannya. Beliau berkata, mereka perlu mengambil tahu perkara itu secara peribadi dan tidak terpengaruh dengan cerita di luar yang bercakap perkara tidak betul mengenai kerajaan negeri. Katanya, pelajar perlu mengetahui perkara sebenar yang dilakukan kerajaan negeri dalam membawa pembangunan dan menyelesaikan masalah yang dihadapi di Sabah. “Saya bersyukur kerana kita dapat membentuk semula kerajaan negeri dan kita akan meneruskan dasar pembangunan yang kita rancang dan laksanakan. “Dalam hal ini, kita mahu penuntut tahu apa sebenarnya yang dilakukan oleh kerajaan. Kita mesti ketahui secara peribadi, jangan kita terpengaruh dengan cerita di luar yang menyatakan bermacam-macam, sedangkan kerajaan bersungguh-sungguh melaksanakan program untuk rakyat kita di Sabah. “Percayalah, saya tahu ramai di sini datang dari pedalaman seperti Keningau, selain Tawau, Sandakan dan seluruh Sabah, pastikan kita dapat maklumat tepat dan betul mengenai program dan juga pembangunan yang sedang dilaksanakan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Bantuan Graduan Rindu Sabah atau Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS SubFly) 2026 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, di sini, malam Khamis. Inisiatif GRS SubFly Tahun 2026 itu akan memberi manfaat secara langsung kepada 2,772 pelajar Sabah yang menuntut di UPSI pada masa ini. Ketua Menteri turut mengingatkan pelajar Sabah yang menamatkan pengajian sama ada di institut pengajian tinggi (IPT) tempatan di Semenanjung atau luar negara supaya kembali berkhidmat di Sabah. “Jika ada peluang, baliklah untuk berkhidmat di Sabah, sumbangkan kepakaran sama ada yang diperolehi di dalam atau luar negara kepada Sabah,” katanya. Terdahulu, Hajiji menyatakan kebanggaannya berikutan ramai pelajar dari Sabah melanjutkan pengajian di UPSI dengan seramai 2,772 orang sedang menuntut di universiti itu ketika ini. “Saya dimaklumkan bahawa rupanya penuntut di sini begitu ramai dari Sabah 2,772 orang, ini hebat sekali. Jadi apa yang penting pelajar dari Sabah di sini tumpukan perhatian khusus dalam bidang pembelajaran kerana inilah kunci untuk berjaya pada masa akan datang. “Kerana itulah saya beri tumpuan khusus kepada pendidkan kerana bagi saya inilah kunci utama untuk kita majukan negeri dan negara kita pada masa akan datang. “Saya yakin penuntut kita di sini rupanya anak Sabah banyak terlibat dalam aktiviti yang bukan saja melonjakkan nama universiti, tapi juga Sabah, rupanya anak Sabah serba boleh, ini amat membanggakan saya. “Saya pun tidak tahu bahawa begitu ramai rupanya, ada yang menjadi wakil negara kita dalam bidang sukan, kebudayaan dan bidang lain, inilah yang harus kita teruskan, bukan saja untuk individu atau anak kita sendiri, tapi juga untuk negeri dan negara kita,” katanya. Dalam ucapannya, Hajiji turut menerangkan sedikit sebanyak mengenai usaha yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri, termasuk untuk menyelesaikan masalah air, jalan raya dan elektrik yang dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh setahun dua dari sekarang. Ketua Menteri juga menjelaskan mengenai usaha meningkatkan kutipan hasil negeri yang membolehkan kerajaan memulangkan semula manfaat kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif seperti bantuan pendidikan dan kebajikan rakyat. – Info X

February 13, 2026

Info X Reporters

Konflik peribadi, tuntutan wang pertunangan punca pembunuhan, suspek utama mengaku terbabit

KOTA KINABALU: Suspek utama kes pembunuhan wanita yang mayatnya dikerat dan dibuang di beberapa lokasi sekitar Indah Permai, mengaku terbabit dalam kejadian itu, dengan motif dipercayai berpunca daripada perselisihan hubungan peribadi serta tuntutan wang pertunangan. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pengakuan itu diperoleh hasil soal siasat awal selepas suspek lelaki tempatan berusia 71 tahun ditahan bagi membantu siasatan. “Suspek mendakwa pembunuhan itu berkait konflik hubungan peribadi antara dia dan mangsa, termasuk isu tuntutan wang pertunangan selepas pertunangan mereka dipercayai putus kerana mangsa telah berkahwin dengan individu lain. “Keadaan itu dipercayai mencetuskan pertengkaran antara suspek dan mangsa sehingga membawa kepada kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, hasil soal siasat awal mendapati suspek utama mengaku terlibat dalam kejadian tersebut dan nenyatakan motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan hubungan peribadi dar tuntutan wang pertunangan. “Siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan. Menurutnya, hasil maklumat saksi mendapati mangsa pernah dilihat berlari keluar dari sebuah rumah dalam keadaan cemas sebelum ditarik masuk semula oleh seorang lelaki, sekali gus menjadi petunjuk penting kepada siasatan. “Susulan itu, pada jam 8.10 malam tadi, polis menahan suspek utama di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) bagi membantu siasatan lanjut. “Polis kemudian menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 19 tahun pada jam 10.30 malam di sebuah unit kediaman di Taman Seri Maju Apartment, Sepanggar, kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian,” katanya. Dalam operasi berkenaan, beliau berkata polis turut merampas beberapa barangan termasuk telefon bimbit, pakaian dipercayai dipakai semasa kejadian serta sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail berwarna keemasan untuk tujuan siasatan forensik. “Kedua-dua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. Terdahulu, Info X melaporkan mayat wanita lingkungan 40-an ditemukan dalam keadaan anggota badan dikerat dan dibuang berasingan di beberapa lokasi pembuangan sampah sekitar Taman Indah Permai. Penemuan awal membabitkan tangan dan kaki pada jam 6.30 pagi sebelum pencarian lanjut membawa kepada penemuan kepala serta badan mangsa pada jam 11.40 pagi di lokasi berhampiran. – Info X