Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

February 13, 2026

Info X Reporters

Polis tahan anak suspek utama

KOTA KINABALU: Polis menahan anak kandung kepada suspek utama kes pembunuhan kejam wanita yang mayatnya dikerat tujuh bahagian dan dibuang di beberapa lokasi di Taman Indah Permai, di sini, malam tadi. Lelaki berusia lingkungan 20-an itu ditahan di sebuah rumah di Sepanggar kira-kira jam 11 malam dalam operasi membabitkan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama Bukit Aman; Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah serta Bantuan Teknikal D8 JSJ IPK dan Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Luyang. Penahanan itu susulan tangkapan bapanya yang berusia lingkungan 70-an kira-kira jam 5 petang semalam, kurang 24 jam selepas penemuan mayat mangsa. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua tangkapan berkenaan. “Suspek kedua ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. “Sebelum ini, suspek utama lelaki tempatan berusia 70-an berjaya dikesan dan ditahan. Setakat ini motif kejadian dipercayai cemburu,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, dengan tertangkapnya kedua-dua suspek, kes berkenaan selesai namun siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan. Terdahulu, mayat wanita lingkungan 40-an ditemui dalam keadaan anggota badan dikerat dan dibuang berasingan di beberapa lokasi pembuangan sampah sekitar Taman Indah Permai. Penemuan awal membabitkan tangan dan kaki pada jam 6.30 pagi sebelum pencarian lanjut membawa kepada penemuan kepala serta badan mangsa pada jam 11.40 pagi di lokasi berhampiran. – Info X

February 12, 2026

Info X Reporters

Tidak sampai 24 jam, suspek bunuh wanita dikerat tujuh bahagian diberkas

KOTA KINABALU: Polis berjaya menahan suspek yang dikaitkan dengan kes pembunuhan kejam seorang wanita yang mayatnya dikerat tujuh bahagian dan dibuang di beberapa lokasi di Indah Permai, di sini, awal pagi tadi. Suspek lelaki berusia 71 tahun itu diberkas di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) jam 8.10 malam dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Luyang, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Bantuan Teknikal D8 JSJ IPK dan Bukit Aman. Tangkapan dilakukan dalam tempoh kurang 24 jam selepas penemuan bahagian anggota badan mangsa berusia lingkungan 40-an oleh seorang pekerja lori sampah kira-kira jam 6.30 pagi. Difahamkan, suspek dikenal pasti hasil petunjuk daripada mayat mangsa selepas penemuan kepala dan badan dalam operasi pencarian susulan dijalankan polis susulan penemuan awal tangan dan kaki mangsa di tong sampah. Petunjuk itu membolehkan polis menjejaki lokasi suspek sebelum berjaya menahannya. Berdasarkan maklumat diperoleh Info X, motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu dan tuntutan wang pertunangan yang membawa kepada pergaduhan antara suspek dan mangsa sebelum insiden kejam itu berlaku. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman bertindak atas maklumat dan risikan, kira-kira jam 4.30 petang semalam, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu menjalankan operasi di Kampung Sri Kenangan, Sepanggar. “Hasil keterangan saksi mendapati mangsa pernah dilihat berlari keluar dari sebuah rumah dalam keadaan cemas sebelum ditarik masuk semula oleh seorang lelaki. “Susulan itu, pada jam 8.10 malam hari sama, sepasukan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu bersama D7 dan D9 menahan seorang lelaki berusia 71 tahun di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Katanya, turut dirampas dalam tangkapan itu beberapa barangan termasuk telefon bimbit, pakaian dipercayai dipakai ketika kejadian serta sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail berwarna keemasan. “Hasil soal siasat awal mendapati suspek utama mengaku terlibat dalam kejadian tersebut dan nenyatakan motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan hubungan peribadi dan tuntutan wang pertunangan. “Siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. Difahamkan, suspek kini ditempatkan di hospital bagi menjalani pemeriksaan lanjut sebelum proses reman dijalankan. Terdahulu, mayat seorang wanita ditemui dalam keadaan terpisah apabila beberapa bahagian anggota badannya dijumpai di tempat pembuangan sampah di Taman Indah Permai, pagi tadi. Penemuan awal membabitkan kaki dan tangan manusia berhampiran tempat letak kereta bersebelahan pasar raya berkenaan kira-kira jam 6.30 pagi. Susulan itu, polis menjalankan pencarian lanjut dengan bantuan pekerja lori sampah. Hasil pencarian dan siasatan membawa kepada penemuan kepala serta badan mangsa kira-kira jam 11.40 pagi di satu lagi lokasi pembuangan sampah berhampiran Pasaraya Bataras Indah Permai. Bagaimanapun, setakat jam 12 tengah hari tadi, dua lagi anggota badan masih belum ditemui dan usaha pencarian diteruskan. – Info X

February 12, 2026

Info X Reporters

Cuba melarikan diri, lelaki ditahan bersama ketamin, serbuk ekstasi

PENAMPANG: Cubaan seorang lelaki yang disyaki pengedar dadah melarikan diri tidak berhasil apabila dia diberkas polis bersama dadah jenis ketamin dan serbuk ekstasi dalam serbuan di sebuah kondominium di daerah ini, semalam. Dalam serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang itu, suspek warga tempatan berusia 26 tahun berjaya ditahan tanpa sebarang insiden tidak diingini. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy bin Newton berkata, pemeriksaan lanjut menemui 10 paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki ketamin seberat 512.30 gram. “Turut dirampas 28 paket plastik mengandungi serbuk disyaki dadah jenis ekstasi dengan anggaran berat kasar keseluruhan 944.43 gram. “Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan seberat 1,456.73 gram dengan nilai pasaran kira-kira RM47,400,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, polis turut merampas wang tunai RM700, sebuah telefon bimbit dan beberapa kad akses premis dipercayai berkaitan kegiatan suspek. Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan ketamin. “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan. “Kes juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun,” katanya. Sementara itu, berkata orang ramai dinasihatkan supaya menjauhi najis dadah dan segera menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti pengedaran dadah. – Info X

February 12, 2026

Info X Reporters

Lelaki ditahan simpan anak beruang madu untuk tontonan awam

KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar Sabah menahan seorang lelaki selepas dipercayai menyimpan seekor anak beruang madu di sebuah lokasi tarikan awam untuk tujuan tontonan, dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan semalam. Tindakan itu diambil susulan aduan orang awam pada 11 Februari lalu berhubung satu video yang tular di Facebook memaparkan haiwan dilindungi berkenaan berada di premis terbabit. Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Soffian Abu Bakar berkata, operasi dijalankan pada 12 Februari di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 (EPHL 1997) “Hasil serbuan mendapati seekor anak beruang madu disimpan di dalam premis berkenaan bagi tujuan tontonan awam. “Seorang lelaki yang disyaki pemilik atau pengurus premis ditahan untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Dalam operasi berasingan di Lahad Datu, jabatan itu turut menahan seorang lelaki di sebuah premis kedai makan kerana disyaki memiliki tiga taring beruang madu yang dijadikan perhiasan. Katanya, semua barang kes dirampas dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. Beruang madu atau Helarctos malayanus diklasifikasikan sebagai spesies Dilindungi Sepenuhnya di bawah Jadual 1 EPHL 1997. Tiada sebarang lesen atau permit dikeluarkan kepada orang awam untuk memburu, memiliki, menyimpan atau mempamerkan spesies berkenaan. Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 serta hukuman penjara antara satu hingga lima tahun. Jabatan Hidupan Liar Sabah menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan hidupan liar dan merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat berhubung jenayah berkenaan. Orang ramai yang berhadapan situasi membabitkan spesies di bawah Jadual 1 seperti beruang madu dinasihatkan supaya segera melaporkan kepada pihak jabatan atau menyerahkan haiwan berkenaan bagi tujuan penyelamatan dan pengurusan selanjutnya. – Info X

February 12, 2026

Info X Reporters

Remaja maut motosikal terbabas rempuh penghadang simen

PAPAR: Seorang remaja maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum merempuh penghadang simen dalam kejadian di Labuhraya Pan Borneo berhampiran Kampung Andus, di sini, malam tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai sedang menunggang motosikal dari arah Benoni menuju ke Kimanis. Bagaimanapun katanya, motosikal jenis SYM terbabas sendiri sebelum merempuh penghadang simen di atas jalan. “Mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Papar. “Lokasi kejadian adalah di laluan Jalan Pan Borneo yang masih dalam pembinaan dan belum dibuka untuk kegunaan awam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, siasatan di lokasi mendapati, keadaan jalan pada waktu kejadian gelap dan kurang pencahayaan. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan proses bedah siasat akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian. Sehubungan itu, Heryan berkata, pihaknya ingin menasihati orang ramai agar sentiasa mengutamakan keselamatan serta tidak menggunakan laluan yang masih dalam pembinaan kerana ia boleh mengundang risiko yang tidak dijangka. “Polis Diraja Malaysia (PDRM) ingin merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa. “Kehilangan anak pada usia muda merupakan satu ujian yang amat berat, dan kami mendoakan agar keluarga diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi saat yang sukar ini,” katanya. – Info X

February 12, 2026

Info X Reporters

Wanita dikerat tujuh bahagian, anggota tubuh dibuang di beberapa lokasi

KOTA KINABALU: Seorang wanita dipercayai menjadi mangsa pembunuhan kejam berikutan penemuan mayatnya yang terpisah kepada tujuh bahagian dipercayai dipotong menggunakan senjata tajam. Lebih memilukan, bahagian anggota badan mangsa yang dikerat dibuang di beberapa tempat pembuangan sampah di Taman Indah Permai, di sini, hari ini. Mangsa dipercayai dikerat pada bahagian leher, badan, punggung, kedua-dua tangan dan kedua-dua kaki, sebelum anggota tubuhnya dimasukkan ke dalam plastik sampah dan dibuang berasingan. Kejadian terbongkar kira-kira jam 6.30 pagi apabila seorang pekerja lori sampah yang sedang menjalankan tugas rutin terkejut selepas satu anggota tangan manusia terjatuh dari tong sampah ketika dimasukkan ke dalam lori. Pemeriksaan lanjut menemukan satu lagi anggota badan iaitu kaki dalam tong sampah sama, sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis. Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) Kota Kinabalu bersama pekerja lori sampah kemudian menjalankan pencarian lanjut termasuk menyelongkar semula sampah di dalam lori serta memeriksa lokasi pembuangan sampah berhampiran. Turut berada di lokasi, bersama Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan Unit Anjing Pengesan (K9) IPK Sabah. Pada jam 11.40 pagi, hari sama, kepala dan badan mangsa ditemui di satu lagi tempat pembuangan sampah berhampiran Pasaraya Bataras Indah Permai. Bagaimanapun, setakat tengah hari tadi, dua lagi anggota tubuh mangsa iaitu tangan kanan dan kaki kiri masih belum ditemui dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan. Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat awal berhubung kejadian itu kira-kira jam 8 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut. Katanya, pemeriksaan awal mendapati beberapa bahagian anggota tubuh manusia ditemui di dalam tong sampah serta di sekitar kawasan rumah kedai Indah Permai. “Semua bahagian yang dijumpai dipercayai milik mangsa sama. Identiti mangsa setakat ini masih belum dapat dipastikan dan usaha sedang giat dijalankan untuk mengenal pasti identiti serta mengesan waris terdekat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Forensik HQE I serta K9 turut menjalankan pemeriksaan terperinci di lokasi bagi tujuan pengumpulan bahan bukti dan membantu siasatan. “Berdasarkan pemerhatian awal, polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum bahagian tubuhnya dibuang di kawasan rumah kedai berkenaan. “Siasatan sedang diteruskan bagi mengenal pasti punca kematian, modus operandi kejadian serta individu yang terbabit,” katanya. Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I dan bedah siasat dijadualkan dijalankan pada 13 Februari 2026 jam 8.30 pagi. “Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superientendan Polis (ASP) Rahman di talian 012-3106882 atau IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222. “Segala maklumat yang disalurkan akan dirahsiakan. PDRM memandang serius kejadian ini dan memberi jaminan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan profesional bagi memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan,” katanya. – Info X

February 12, 2026

Info X Reporters

Wanita 28 tahun dilaporkan hilang, keluarga rayu bantuan orang ramai

PENAMPANG: Seorang wanita berusia 28 tahun dilaporkan hilang selepas gagal dihubungi sejak Selasa lalu, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarganya. Mangsa, Julia Maning, yang menetap di Beverly Hills, Bundusan dan bekerja sebagai kakitangan di sebuah restoran francais popular, kali terakhir dapat dihubungi pada 10 Februari 2026. Menurut ahli keluarga, sebelum kehilangan, Julia memaklumkan hasrat untuk pulang ke Lahad Datu pada tarikh berkenaan. Bagaimanapun, selepas itu telefon bimbitnya tidak lagi dapat dihubungi dan segala usaha untuk menjejakinya setakat ini tidak berhasil. Keluarga turut memaklumkan bahawa sejak kebelakangan ini mangsa kerap memuat naik status berunsur sedih di media sosial, sekali gus menambah kebimbangan terhadap keselamatannya. “Kami amat risau kerana sehingga kini masih belum menerima sebarang khabar daripadanya,” kata seorang ahli keluarga ketika dihubungi. Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Julia diminta menghubungi keluarga di talian 016-2923329 bagi membantu usaha pencarian. Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu usaha pencarian dan menghormati privasi keluarga mangsa. – Info X

February 12, 2026

Info X Reporters

9 sekolah ditutup akibat banjir di Beaufort

BEAUFORT: Sembilan sekolah di sini, terpaksa ditutup pada Khamis akibat terjejas banjir dalam kejadian terkini bencana itu yang bermula sejak Rabu. Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Datuk Dr Raisin Saidin, berkata daripada jumlah itu, lapan sekolah ditutup selepas kawasan sekolah dinaiki air, manakala sebuah sekolah ditutup kerana jalan masuk tidak dapat dilalui. Katanya, lapan sekolah terjejas banjir Sekolah Kebangsaan (SK) Klias Baru, SK Suasa, SK Lago, SK Mempagar, SK Batu 60, SK Kabajang, SK Jabang dan Sekolah Menengah (SM) St Paul. “Sebanyak lapan sekolah terbabit dengan banjir, manakala satu sekolah tidak terbabit banjir tetapi tidak beroperasi kerana laluan banjir, iaitu SK Lupak. “Secara keseluruhan, sebanyak sembilan sekolah ditutup akibat banjir pada hari ini,” katanya ketika dihubungi, di sini. Sementara itu, katanya Jabatan Pendidikan terpaksa mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) bagi membawa pengawas peperiksaan yang terbabit dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ulangan. Katanya, ia berikutan laluan ke sebuah sekolah yang menjadi pusat peperiksaan, iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong, di sini, terjejas akibat banjir. Ia banjir kedua dalam tempoh sebulan melanda daerah ini hingga menyebabkan penutupan beberapa sekolah yang turut terjejas akibat bencana berkenaan. Sebelum ini, tujuh sekolah di daerah ini ditutup pada hari pertama sesi persekolahan 2026, iaitu pada 12 Januari lalu. – Info X