February 12, 2026
Info X Reporters
Badan, kepala selain sebelah tangan dan kaki dipercayai dibuang di tempat lain
KOTA KINABALU: Polis bersama pekerja lori sampah cuba mencari anggota badan lain selepas penemuan kaki dan tangan manusia di sebuah tempat pembuangan sampah di Taman Indah Permai, di sini, pagi tadi. Info X dimaklumkan, pencarian itu dilakukan di satu lagi tempat pembuangan sampah berhampiran, selain menyelongkar semula sampah yang sudah dimasukkan ke dalam lori sampah. Tindakan itu bagi mencari kemungkinan anggota badan lain iaitu sebelah tangan dan kaki, badan serta kepala dibuang di tempat pembuangan sampah lain atau sudah dimasukkan ke dalam lori. Bagaimanapun, setakat jam 11 pagi ini, siasatan dan pencarian dilakukan polis dengan bantuan pekerja lori sampah tidak menemukan anggota badan lain. Terdahulu, seorang pekerja lori sampah terkejut apabila satu tangan manusia bermula dari tapak tangan hingga ke pangkal bahu tiba-tiba terjatuh dari tong sampah ketika dia mahu memasukkan sampah ke dalam lori. Kejadian berlaku pada kira-kira jam 6.30 pagi tadi, ketika pekerja lori sampah sedang menjalankan kerja rutin memasukkan sampah ke dalam lori dari pusat pembuangan sampah. Berikutan penemuan itu, pekerja terbabit bersama rakannya menghentikan kerja memasukkan sampah ke dalam lori untuk melihat apa yang terkandung dalam tong sampah sebelum menemuai satu lagi anggota manusia, iaitu kaki, bermula dari tapak kaki hingga ke pangkal paha. Anggota badan manusia itu dipercayai dipotong sebelum dibalut atau dimasukkan ke dalam plastik sampah hitam sebelum dibuang ke tong sampah. Polis setakat ini belum mendapat sebarang petunjuk mengenai penemuan itu dan siasatan masih dijalankan bagi mencari kemungkinan anggota badan lain dibuang di lokasi berasingan. Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan. Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan perkembangan terkini akan dimaklumkan. – Info X
February 12, 2026
Info X Reporters
Banjir di Beaufort dan Sipitang, 195 mangsa dipindah
KOTA KINABALU: Daerah Beaufort diisytihar berdepan bencana banjir pada Khamis selepas berlaku limpahan air Sungai Padas yang menjejaskan 18 kampung setakat ini. Pengisytiharan bencana itu dibuat Pegawai Daerah, Nazri Ajun pada jam 9 pagi tadi serentak dengan pembukaan Pusat Penempatan Kekal (PPK) Selagon bagi pemindahan mangsa. Kampung terjejas banjir setakat ini ialah Batu 60, Jempangah, Binunuk, Balibata, Lumatai, Bakalau, Luagan, Bingkul, Mempagar, Limbawang, Lubak, Selinsing, Betanduk, Beringin, Lawa, Lago, Suasa, Jabang dan Kangsa. Bencana banjir turut diisytihar di Sipitang bermula pada Rabu membabitkan 14 kampung dengan seramai 195 mangsa daripada 93 keluarga dipindah ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah itu, setakat ini. Banjir di daerah terbabit berpunca daripada hujan lebat berterusan di kawasan pedalaman negeri ini sejak Selasa. – Info X
February 12, 2026
Info X Reporters
20 gerai musnah terbakar, bunyi letupan sebelum api marak
TAWAU: Deretan 20 gerai tidak kekal musnah dalam kebakaran di Jalan Utara Apas Wakuba Batu 15, di sini, malam tadi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.37 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 26 kilometer dari balai. “Setibanya di lokasi, didapati kebakaran membabitkan dua blok gerai jenis tidak kekal dengan setiap blok mempunyai 10 unit. “Api dipercayai bermula dari lot tengah dan berdasarkan maklumat saksi, terdapat bunyi letupan dari lot berkenaan sebelum kebakaran berlaku dan merebak,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, satu unit gerai berkeluasan kira-kira 33.5 meter persegi dianggarkan terbakar 90 peratus dan api turut merebak ke unit lain dalam deretan berkenaan. “Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran dengan empat pancutan dari arah kiri dan kanan bangunan, menggunakan sumber air daripada jentera serta bantuan lori tangki. “Operasi berjaya dikawal pada jam 11.32 malam dan ditamatkan sepenuhnya pada tengah malam. “Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya. Terdahulu, operasi membabitkan 18 anggota BBP Tawau dengan kekuatan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Light Fire Rescue Tender (LFRT), satu Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah lori tangki. Turut membantu di lokasi ialah empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), dua anggota Bomba Komuniti, dua wakil Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) serta 12 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – Info X
February 11, 2026
Info X Reporters
Warga emas maut, kereta terbabas langgar tiang tanda jalan
KOTA KINABALU: Seorang wanita warga emas maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum melanggar tiang tanda jalan di susur Flyover Karamunsing, Jalan Kemajuan, di sini, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa berusia 77 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth I (HQE I). Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, kereta berkenaan dilaporkan dalam perjalanan dari arah Imago menuju ke Luyang Perdana sebelum hilang kawalan setibanya di lokasi kejadian. “Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah Proton Saga yang dipercayai terbabas sendiri sebelum melanggar tiang penanda jalan di susur berkenaan. “Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HQE I untuk tindakan lanjut termasuk bedah siasat. “Kenderaan terbabit ditahan bagi tujuan pemeriksaan teknikal dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memandu secara berhemah dan berhati-hati terutama ketika cuaca hujan atau keadaan jalan basah serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di talian 088-529222 bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X
February 11, 2026
Info X Reporters
Pemandu maut, anak parah nahas tiga kenderaan di Jalan Labuk
SANDAKAN: Seorang lelaki maut manakala anak perempuannya parah selepas kenderaan dinaiki terbabit dalam kemalangan tiga kenderaan di Jalan Labuk, Batu 9, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, mangsa, Ranchanna Hujang, 55, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sandakan akibat kecederaan dalaman. Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, kemalangan membabitkan sebuah lori Nissan UD, Proton Iriz dan Toyota Avanza. “Siasatan awal mendapati lori dipandu lelaki berusia 35 tahun dari arah Batu 8 menuju ke Batu 32. “Apabila tiba di lokasi berhampiran bulatan, pemandu dipercayai cuba memberhentikan kenderaan namun gagal sebelum merempuh bahagian belakang Proton Iriz,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, akibat pelanggaran itu, lori berkenaan memasuki laluan kanan dan melanggar Toyota Avanza yang berada di dalam bulatan. Beliau berkata, pemandu Toyota Avanza disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan Hospital Sandakan pada jam 3 petang ketika menerima rawatan. “Anak mangsa berusia 17 tahun yang berada di tempat duduk hadapan mengalami patah bahu kiri dan sedang menerima rawatan. “Pemandu lori serta pemandu Proton Iriz tidak mengalami kecederaan, manakala dua lagi penumpang Proton Iriz hanya cedera ringan,” katanya. Katanya lagi, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sandakan untuk bedah siasat yang dijadualkan hari ini. “Pemandu lori berkenaan sudah ditahan dan akan direman untuk membantu siasatan. “Siasatan lanjut masih diteruskan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Info X
February 11, 2026
Info X Reporters
Remaja 14 tahun dikhuatiri lemas ketika cari ketam
KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika menjalankan aktiviti mencari ketam di Sungai Darau, Menggatal, di sini, petang tadi. Mangsa dikenali sebagai Ifran Abdullah, 14, dilaporkan hilang selepas dipercayai lemas ketika cuba menyeberangi sungai berkenaan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian. Menurutnya, pasukan operasi menempuh perjalanan sejauh lapan kilometer ke lokasi kejadian termasuk berjalan kaki kira-kira empat kilometer kerana kawasan berkenaan tidak boleh dilalui kenderaan. “Menurut saksi yang juga abang mangsa, remaja terbabit tidak boleh berenang dan dipercayai lemas ketika cuba menyeberangi sungai. “Pasukan bomba terpaksa berjalan kaki sejauh kira-kira empat kilometer kerana lokasi kejadian tidak boleh dilalui kenderaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Sherriyana berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan menggunakan kaedah surface water rescue dengan bantuan bot milik penduduk kampung. “Seramai 18 anggota membabitkan BBP Lintas dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon 1 digerakkan dalam operasi berkenaan dengan bantuan dua anggota polis. “Setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR masih diteruskan,” katanya. Beliau berkata, maklumat terkini akan dikemas kini dari semasa ke semasa. – Info X
February 11, 2026
Info X Reporters
‘Pilihan raya’ JKKK di Kadamaian lancar, 31 kampung selesai – Ewon
KOTA BELUD: Sebanyak 31 kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian selesai mengadakan ‘pilihan raya’ atau pemilihan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) setakat Rabu. Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick, selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, berkata hanya 25 kampung belum melaksanakan pemilihan, manakala dua kampung menangguhkan proses itu berikutan ada musibah. Bagaimanapun, katanya sebanyak 17 kampung tiada pemilihan berikutan hanya seorang mencalonkan diri dengan keseluruhan proses pemilihan berjalan dengan teratur dan lancar. Beliau berkata, pemilihan peringkat kampung itu diadakan sejajar komitmennya selepas mendapat mandat baharu di Kadamaian pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) November lalu bagi memberi peluang kepada penduduk memilih sendiri Pengerusi JKKK dan Ketua Kampung mereka. “Selepas Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dilantik, saya mengarahkan supaya proses pemilihan Pengerusi JKKK dilaksanakan secara menyeluruh bermula dari pencalonan hingga pembuangan undi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, berkata UPPM Kadamaian bertindak sebagai urusetia pemilihan bagi proses itu yang bermula pada 6 Februari lalu dan dijadualkan berakhir pada 21 Februari ini. Beliau merakamkan penghargaan kepada PPM Kadamaian, seluruh urusetia UPPM dan penduduk kampung yang terlibat atas kerjasama dan mengambil bahagian dalam proses demokrasi di peringkat akar umbi. “Dalam masa terdekat, Ketua Daerah, Ketua-Ketua Anak Negeri dan Wakil-Wakil Ketua Anak Negeri DUN Kadamaian yang baharu akan menerima watikah pelantikan sebelum mengendalikan pemilihan Ketua Kampung di semua kampung di kawasan ini,” katanya. Ewon berkata, selain Kadamaian, wakil rakyat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) di Tamparuli dan Moyog juga melaksanakan pemilihan Pengerusi JKKK. Katanya, inisiatif itu adalah sumbangan UPKO dalam memperkukuh proses dan amalan demokrasi di peringkat kampung, selaras dengan komitmen yang dibuat pada kempen pilihan raya lalu. “Ini adalah sebahagian daripada semangat Sabah First yang terus kami perjuangkan demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – Info X
February 11, 2026
Info X Reporters
20 PATI termasuk kanak-kanak ditahan di Labuan
LABUAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Labuan menahan 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk kanak-kanak dalam operasi penguatkuasaan di sekitar wilayah ini, awal pagi tadi. Operasi yang bermula jam 12.30 tengah malam hingga 2.30 pagi itu dijalankan hasil maklumat awam serta risikan Unit Aduan, Risikan dan Operasi Bahagian Penguat Kuasa jabatan berkenaan. Pengarah JIM Wilayah Persekutuan Labuan, Raymond Entalai berkata, seramai 22 pegawai digerakkan ke empat lokasi penempatan bagi menjalankan pemeriksaan terhadap 46 individu. “Hasil pemeriksaan mendapati 20 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155). “PATI yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dewasa, enam perempuan dewasa, tujuh kanak-kanak perempuan dan empat kanak-kanak lelaki, semuanya warga Filipina berusia antara empat bulan hingga 59 tahun. “Selain itu, dua notis saman turut dikeluarkan kepada saksi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, semua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguat Kuasa JIM WP Labuan bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut. “Sepanjang operasi dijalankan, keadaan terkawal dan tiada kejadian tidak diingini dilaporkan,” katanya. Sementara itu, katanya operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan memindah warga asing yang melanggar undang-undang termasuk Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). “Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji atau melindungi PATI. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kehadiran PATI diminta menyalurkan maklumat kepada pihak Imigresen bagi membantu tindakan penguatkuasaan,” katanya. – Info X