February 11, 2026
Info X Reporters
20 PATI termasuk kanak-kanak ditahan di Labuan
LABUAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Labuan menahan 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk kanak-kanak dalam operasi penguatkuasaan di sekitar wilayah ini, awal pagi tadi. Operasi yang bermula jam 12.30 tengah malam hingga 2.30 pagi itu dijalankan hasil maklumat awam serta risikan Unit Aduan, Risikan dan Operasi Bahagian Penguat Kuasa jabatan berkenaan. Pengarah JIM Wilayah Persekutuan Labuan, Raymond Entalai berkata, seramai 22 pegawai digerakkan ke empat lokasi penempatan bagi menjalankan pemeriksaan terhadap 46 individu. “Hasil pemeriksaan mendapati 20 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155). “PATI yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dewasa, enam perempuan dewasa, tujuh kanak-kanak perempuan dan empat kanak-kanak lelaki, semuanya warga Filipina berusia antara empat bulan hingga 59 tahun. “Selain itu, dua notis saman turut dikeluarkan kepada saksi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, semua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguat Kuasa JIM WP Labuan bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut. “Sepanjang operasi dijalankan, keadaan terkawal dan tiada kejadian tidak diingini dilaporkan,” katanya. Sementara itu, katanya operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan memindah warga asing yang melanggar undang-undang termasuk Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). “Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji atau melindungi PATI. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kehadiran PATI diminta menyalurkan maklumat kepada pihak Imigresen bagi membantu tindakan penguatkuasaan,” katanya. – Info X
February 11, 2026
Info X Reporters
Ketua Menteri iring Tun Musa ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengiringi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-271 di Istana Negara, Kuala Lumpur pada Rabu. Mesyuarat itu dipengerusikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. Terdahulu, pada Selasa, Hajiji menghadiri mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Ke-148 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. – Info X
February 11, 2026
Info X Reporters
Jangan politikkan kunjungan Miss World, tetamu wajar diraikan – aktivis
KOTA KINABALU: Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Nasrah menyelar tindakan segelintir penyokong pembangkang yang mempolitikkan kunjungan Miss World 2025 ke Sabah. Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai reaksi tidak matang, selain bertentangan dengan nilai murni masyarakat timur. Jelasnya, tradisi ketamadunan manusia sejak zaman lampau menyaksikan budaya menghormati tetamu sentiasa dijunjung tinggi, termasuk terhadap musuh yang datang sebagai tetamu. “Menghormati tetamu bukan sekadar adat tetapi nilai asas kemanusiaan. Jika dalam sejarah masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam pun tetamu dimuliakan, apatah lagi kita hari ini yang menjunjung nilai agama dan budaya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, pada Rabu. Rombongan Miss World sebelum ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu. Mereka terdiri daripada Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Miss World, Julia Morley CBE; Miss World 2025, Opal Suchata Chuangsri dan Miss World Malaysia, Taanusiya Chetty. Aksyah berkata, kecaman yang dilemparkan terhadap TYT susulan kunjungan hormat itu amat dikesali dan tidak mencerminkan kematangan berpolitik. “Apakah mereka tidak sedar bahawa kedatangan Miss World bukan lawatan kosong? Ia membawa mesej perpaduan, kebajikan dan jaringan antarabangsa yang memberi impak kepada negeri,” katanya. Menurut beliau, Miss World boleh dianggap sebagai ‘duta bebas dunia’ kerana pemegang gelaran berkenaan memikul tanggungjawab global dalam mempromosikan nilai kemanusiaan, kebajikan dan perpaduan sejagat. Katanya, Sabah seharusnya berbangga kerana dipilih sebagai salah satu destinasi lawatan rasmi sepanjang tempoh pemegang gelaran itu menjalankan tanggungjawabnya. Mengulas persoalan mengapa kunjungan itu melibatkan TYT, Aksyah berkata, Yang di-Pertua Negeri adalah simbol perpaduan dan institusi tertinggi negeri yang melambangkan kesatuan rakyat Sabah. “Sudah tentu rombongan bertaraf dunia akan bertemu simbol perpaduan negeri. Itu amalan biasa dalam mana-mana lawatan rasmi,” katanya. Aksyah turut menegaskan bahawa lawatan berkenaan membawa manfaat langsung kepada rakyat apabila Julia Morley CBE mengumumkan sumbangan RM300,000 bagi membantu pembinaan kelas Sabah Autism Society di Tuaran. Selain itu, sumbangan USD5,000 akan turut disalurkan kepada Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kota Kinabalu untuk membantu pelajar sekolah itu. “Ini bukti jelas bahawa kehadiran mereka bukan sekadar simbolik. Ada impak kebajikan yang terus dirasai oleh komuniti,” katanya. Beliau turut menyifatkan kunjungan itu sebagai peluang strategik mempromosikan Sabah di mata dunia, lebih-lebih lagi ketika negara meraikan Tahun Melawat Malaysia. “Imej Sabah akan lebih dikenali di peringkat antarabangsa. Dalam keadaan dunia yang kompetitif, publisiti seperti ini amat bernilai untuk sektor pelancongan dan ekonomi negeri,” katanya. Aksyah berkata, minat pihak pengurusan Miss World terhadap Sabah membuka kemungkinan negeri ini dipertimbangkan sebagai destinasi program berprestij itu pada masa depan. “Saya yakin Sabah mampu ‘mendonia’, dikenali di seluruh dunia jika peluang ini dimanfaatkan sebaiknya,” katanya. Beliau turut mencadangkan sekiranya Sabah berpeluang menjadi tuan rumah pertandingan Miss World, elemen kebudayaan tempatan seperti pakaian tradisional pelbagai kaum boleh diketengahkan di pentas antarabangsa, sekali gus memperkenalkan warisan unik negeri ini kepada dunia. Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak agar tidak terus memainkan isu berkenaan secara berlebihan, sebaliknya bersyukur kerana masih ada tokoh antarabangsa yang sudi berkunjung dan mengangkat nama Sabah. “Perkara baik tidak seharusnya dijadikan modal politik sempit. Rakyat lebih memerlukan naratif yang membina dan menyatukan,” katanya. – Info X
February 11, 2026
Info X Reporters
Ladang Nabawan agih hampir RM1 juta dividen kepada peneroka
NABAWAN: Ladang Nabawan Wilayah Barat mencatat rekod tertinggi sejak 2022 apabila mengagihkan hampir RM965,342 dividen kepada 175 peserta peneroka, bersamaan kira-kira RM5,516 seorang, hasil prestasi pengeluaran memberangsangkan sepanjang tahun lalu. Agihan dividen kepada peserta Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) itu adalah yang tertinggi dalam sejarah ladang berkenaan sejak ia mula diusahakan pada 2013 hingga 2015 melibatkan keluasan keseluruhan 441 hektar. Pada 2025, Ladang Nabawan berjaya menghasilkan sebanyak 5,599 tan buah, sekali gus membuktikan keberkesanan pengurusan ladang serta komitmen berterusan semua pihak termasuk peneroka, pekerja dan penyelaras. Pengerusi LKTNS yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin, berkata dividen yang diterima bukan sekadar pulangan kewangan, malah melambangkan kepercayaan dan kerjasama erat antara pengurusan dan peneroka. “Dividen ini adalah hasil kerja keras serta komitmen semua pihak. Ia membuktikan bahawa usaha bersama mampu menghasilkan pulangan yang boleh dinikmati secara adil oleh peneroka,” katanya ketika berucap pada majlis simbolik penyerahan dividen, di sini, pada Selasa. Sementara itu, Pengurus Besar LKTNS, Datuk Syaheddrul R Joddari, berkata kejayaan berkenaan turut mencerminkan keberkesanan strategi pembangunan ladang secara bersepadu yang dilaksanakan pihaknya. “Kami berbangga dengan dedikasi peneroka dan seluruh pasukan ladang. Kejayaan ini menunjukkan kerjasama erat dan perancangan tersusun mampu memberikan manfaat maksimum kepada komuniti ladang,” katanya. Beliau turut mengakui Ladang Nabawan berdepan pelbagai cabaran termasuk cuaca ekstrem serta kekangan peralatan, namun pencapaian dividen hampir RM1 juta membuktikan ketahanan dan keupayaan semua pihak dalam memastikan kelangsungan serta kejayaan pembangunan ladang. Majlis berkenaan turut dihadiri barisan pengurusan kanan LKTNS, pengurus ladang, penyelaras serta tetamu jemputan dari Wilayah Barat. “Dividen yang diagihkan diharap dapat membantu peneroka membuat persiapan menyambut Ramadan dan Aidilfitri, selain meningkatkan kesejahteraan keluarga serta ekonomi komuniti setempat,” katanya. – Info X
February 11, 2026
Info X Reporters
Tiga sekawan dipenjara 1-3 tahun kerana mencuri tong gas, beras
KOTA MARUDU: Dua lelaki dipenjara tiga tahun selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan, masing-masing mencuri tong gas dan beras pada Januari lalu. Tertuduh, Masli Asang, 29 dan Mohd Azuan Galpun, 30 membuat pengakuan itu selepas didakwa di Mahkamah Litar Kota Marudu, di sini, pada Selasa. Mereka masing-masing dipenjara setahun atas kesalahan mencuri 10 unit tong gas dan dua tahun penjara bagi kesalahan mencuri lima kampit beras. Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, A Akhiruddin Acho. Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu dibuat secara berasingan. Sementara itu, seorang lagi rakan mereka, Mohd Arif Jamal, 30, dipenjara setahun kerana terbabit mencuri tong gas. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis, Insp Seanhilary Miting Pakoi. Berdasarkan fakta kes, ketiga-tiga tertuduh sebelum ini diberkas polis pada 30 Januari lalu bersabit laporan polis mengenai kejadian kecurian tong gas dan beras di dua kedai runcit, di sini, pada 14 dan 28 Januari lalu. Pihak polis turut merampas sebuah kereta Perodua Axia, tujuh unit tong gas dan lima kampit beras bersabit kejadian itu. Berikutan itu, polis membuka dua kertas siasatan untuk dilengkapkan sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara dan ketiga-tiga suspek kemudiannya dituduh di mahkamah pada 10 Februari. Selain dua kes itu, ketiga-tiga suspek turut didakwa memiliki dan menggunakan dadah serta wang palsu, namun polis mengesahkan siasatan masih dijalankan. – Info X
February 11, 2026
Info X Reporters
PBT bincang dengan JHEAINS, MUIS buat surau sementara di Bazar Ramadan
KOTA KINABALU: Pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh berbincang dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bagi menyediakan kemudahan surau di Bazar Ramadan. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Mohd Arifin Arif, berkata kemudahan itu disarankan bagi Bazar Ramadan yang tiada masjid atau surau berdekatan. Katanya, pihak kementerian juga akan membawa perkara itu kepada pihak JHEAINS dan MUIS bagi memberi kemudahan kepada umat Islam yang berniaga atau berkunjung di Bazar Ramadan sepanjang Ramadan nanti. “Kita akan bawa perkara ini tetapi sebahagian daripada tempat bazar kita dekat dengan masjid, misalnya di Beaufort, sebelah masjid sahaja, jadi tidak perlu kita wujudkan. “Begitu juga di Membakut, sebelah masjid sahaja dan kebanyakannya (bazar) dekat dengan masjid, jadi tidak perlu kita wujudkan surau. “Tapi, bagi yang jauh daripada masjid mungkin kita akan bincang dengan JHEAINS, MUIS dan saya bersama mufti nanti, insyaAllah,” katanya pada satu majlis di sini, pada Selasa. Arifin yang juga EXCO Agama negeri diminta mengulas mengenai gesaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan supaya PBT menyediakan surau sementara di setiap Bazar Ramadan. Sementara itu, Arifin berkata pihaknya mengambil berat aspek kebersihan Bazar Ramadan dan makanan yang dijual di mana-mana bazar demi kepentingan pengguna. “Kita mesti jaga kebersihan bazar dan makanan, apa yang kita sajikan untuk orang ramaipun diberi perhatian oleh PBT masing-masing kerana ada syaratnya untuk kita sebagai peniaga melalui majlis daerah masing-masing,” katanya. Umat Islam dijangka menjalani ibadah puasa sepanjang Ramadan bermula pada 18 atau 19 Februari ini. – Info X
February 11, 2026
Info X Reporters
Lebih 2,300 unit cecair vape dirampas di Likas
KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merampas lebih 2,300 unit cecair vape pelbagai jenama dalam satu operasi bersepadu di sebuah premis di sekitar Likas, di sini, semalam. Operasi dikenali sebagai Op Taring Landai E-Cigarette Mega itu dilaksanakan hasil kerjasama bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKN Sabah) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, dalam serbuan berkenaan, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menemui 92 jenis perisa vape yang dipamerkan di kaunter jualan premis terbabit. “Pemeriksaan lanjut oleh PPM Wilayah 4 Sabah pula menemukan sebanyak 2,353 unit cecair vape pelbagai jenama disimpan di dalam premis berkenaan. “Semua rampasan disyaki melanggar peruntukan undang-undang mengikut Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852),” katanya. Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM75,825. Sementara itu, beliau berkata operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi membanteras penjualan dan pengedaran vape secara haram demi melindungi kesihatan awam. “Pihak berkuasa tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam penjualan dan pengedaran vape secara haram, khususnya yang boleh menjejaskan kesihatan orang awam. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti haram berkenaan diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X
February 11, 2026
Info X Reporters
Penunggang motosikal maut dirempuh lori
TAWAU: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Tawau – Bombalai, di sini, semalam. Dalam kejadian jam 3.15 petang itu, mangsa lelaki berusia 25 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah. Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 3.40 petang. Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah lori jenis Rigid dipandu lelaki berusia 34 tahun dan sebuah motosikal jenis Honda RS. “Hasil siasatan awal mendapati lori terbabit dalam perjalanan dari Kuari PBJ, Batu 9 Jalan Apas menuju ke Gudang Empat. “Selepas melalui Bulatan Jambatan Putih, pemandu lori meneruskan perjalanan ke Jalan Tawau – Bombalai dalam keadaan jalan basah akibat hujan renyai-renyai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Champin berkata, penunggang motosikal dari arah bertentangan iaitu dari Felda Umas menuju ke Tawau dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan kiri jalan. “Mangsa tercampak ke laluan lori sebelum terkena tayar belakang sebelah kanan lori berkenaan. “Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian. Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati terutama ketika keadaan jalan licin akibat hujan serta mematuhi peraturan lalu lintas. – Info X