January 8, 2026
Info X Reporters
PPM rampas lebih 95,000 liter petrol, diesel dalam serbuan di Bengkoka
PITAS: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menggagalkan kegiatan penyelewengan bahan api bersubsidi selepas menyerbu sebuah lori tangki dan sebuah kapal dalam operasi khas di kawasan Bengkoka, di sini, awal pagi tadi. Dalam serbuan itu, pemeriksaan mendapati sebuah lori tangki yang dipandu lelaki tempatan membawa kira-kira 13,900 liter petrol, manakala sebuah kapal didapati mengandungi anggaran 80,000 liter petrol serta kira-kira 1,350 liter diesel. Semua bahan api berkenaan disyaki diseleweng tanpa kelulusan sah sebelum dirampas untuk tindakan lanjut. Pemangku Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Superintendan Jaffri Bidin berkata, operasi itu dijalankan hasil maklumat risikan sebelum sepasukan pegawai dari Unit Risikan Marin melakukan pemantauan kira-kira jam 12.14 tengah malam. “Lori tangki berkenaan dikesan dan diekori sebelum didapati sedang memindahkan petrol ke kapal terbabit, lalu serbuan segera dilakukan. “Pemeriksaan ke atas kapal menemukan empat kru termasuk seorang juragan, dengan juragan merupakan warga tempatan manakala tiga lagi kru adalah warga asing tanpa sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, semua individu terbabit gagal mengemukakan dokumen kelulusan atau kebenaran aktiviti bunkering daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). “Dua individu bersama barang rampasan diserahkan kepada KPDN untuk tindakan lanjut, manakala tiga warga asing tanpa dokumen diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kudat bagi siasatan seterusnya. “Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969,” katanya. Sementara itu, Jaffri berkata pihaknya menegaskan komitmen berterusan untuk membanteras kegiatan penyeludupan dan penyelewengan bahan api bersubsidi demi kepentingan negara serta keselamatan perairan. – Info X
January 8, 2026
Info X Reporters
Projek tebatan banjir selamatkan pekan Beaufort daripada limpahan air Sungai Padas
BEAUFORT: Pekan Beaufort tidak terjejas akibat banjir walaupun limpahan air Sungai Padas melepasi paras bahaya sejak akhir minggu lalu. Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Ruslan Muharam, berkata situasi banjir kali ini berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini. Katanya, jika sebelum ini pekan lama Beaufort menjadi lokasi pertama dilimpahi air Su fai Padas dan sering terjejas teruk akibat banjir, namun keadaan itu tidak lagi berlaku. Beliau berkata perubahan itu adalah hasil projek tebatan banjir yang dilaksanakan di daerah ini yang terbukti berkesan menghalang banjir di kawasan pekan. “Projek tebatan banjir fasa pertama yang siap dibina tahun lalu berjaya menghalang limpahan air Sungai Padas, sekali gus mengelakkan kejadian banjir besar di kawasan pekan yang sebelum ini sering dinaiki air setiap kali paras sungai meningkat. “Keberkesanan projek itu dapat dilihat dengan jelas apabila air banjir hanya bertahan di kawasan kampung tertentu, manakala Pekan Lama Beaufort kekal selamat dan tidak terjejas berbanding kejadian banjir sebelum ini. “Biasanya apabila banjir berlaku, kawasan Pekan Lama Beaufort antara yang paling awal dinaiki air, namun kali ini, hasil pelaksanaan tebatan banjir fasa pertama, kawasan berkenaan tidak lagi ditenggelami air,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di beberapa Pusat Penempatan Sementara (PPS) dan menyerahkan bakul makanan kepada mangsa terjejas banjir, di sini, pada Rabu. Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, kejayaan projek tebatan banjir fasa pertama itu menjadi bukti bahawa usaha tebatan banjir mampu mengurangkan risiko serta impak bencana sekiranya dilaksanakan secara terancang dan menyeluruh. Sehubungan itu katanya, kerajaan akan meneruskan pelaksanaan fasa kedua projek tebatan banjir, tertakluk kepada peruntukan kewangan kerajaan memandangkan ia membabitkan kos yang tinggi dan tempoh pelaksanaan yang panjang. Beliau berkata, kerajaan juga akan terus mendapatkan sokongan dan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan bagi mempercepatkan pembinaan tebatan banjir berskala lebih besar bagi mengurangkan kejadian banjir berulang yang menjejaskan penduduk, sektor pertanian dan ekonomi setempat. “Keberkesanan tebatan banjir ini memberi keyakinan bahawa langkah pencegahan yang berterusan mampu melindungi keselamatan rakyat serta mengurangkan kerugian akibat banjir pada masa hadapan,” katanya. – Info X
January 8, 2026
Info X Reporters
Penduduk bukan warga negara turun 0.32 peratus di Sabah pada 2025 – DOSM
KOTA KINABALU: Sabah merekodkan penurunan penduduk Bukan Warganegara kepada 1,040.2 ribu (1.04 juta) orang pada 2025 berbanding 1,043.6 ribu(1.043 juta) orang pada 2024. Menerusi satu kenyataan pada Khamis, Jabatan Perangkaan (DOSM), berkata penurunan itu membabitkan pengurangan 0.32 peratus. Katanya, data itu berdasarkan penerbitan Statistik Migrasi Antarabangsa 2025 yang dikeluarkan DOSM pada 24 Disember 2025. Bagi tempoh 1991 hingga 2025, katanya Sabah merekodkan bilangan penduduk Bukan Warganegara tertinggi berbanding negeri lain dengan peratusan tertinggi dicatatkan pada 1991 iaitu 56.5 peratus (453.47 ribu). “Bilangan penduduk BukanWarganegara tertinggi direkodkan pada 2018 iaitu seramai 1,158.7 ribu orang. “Pada tahun 2025, bilangan penduduk Bukan Warganegara dianggarkan seramai 1,040.2 ribu orang, namun jumlah ini masih tidak melebihi bilangan yang dicatatkan pada 2018,” katanya. Menurut DOSM, tempoh 2020-2022 mencatatkan perubahan akibat pandemik COVID-19 dengan struktur penduduk yang berbeza berbanding sebelum pandemik. Jelasnya, bilangan penduduk Bukan Warganegara di Malaysia dan Sabah mencatatkan penurunan ketika pandemik iaitu masing-masing 2.56 juta orang dan 0.78 juta orang pada 2021 berbanding tempoh sebelum pandemik COVID 19. “Sandakan merekodkan bilangan penduduk Bukan Warganegara paling ramai pada 2025 iaitu 195.1 ribu orang diikuti Tawau (142.9 ribu) dan Kota Kinabalu (125.4 ribu). “Berdasarkan komposisi penduduk, Kinabatangan mencatatkan peratusan penduduk Bukan Warganegara tertinggi iaitu 72.9 peratus diikuti Kalabakan (69.3%) dan Kunak (53.4%),” katanya. DOSM berkata, kadar pertumbuhan tahunan bagi Kota Kinabalu pada 2025 meningkat kepada 2.9 peratus (jumlah penduduk Bukan Warganegara 125.4 ribu) berbanding 16.4 peratus (jumlah penduduk Bukan Warganegara 121.8 ribu) pada 2024. Peningkatan itu, katanya didorong pasca pandemik COVID-19 yang mana pembukaan semula sektor ekonomi dan pendidikan dengan kemasukan tenaga kerja serta pelajar antarabangsa. “Walaupun mencatatkan peningkatan, jumlah penduduk Bukan Warganegara di Kota Kinabalu pada 2025 masih rendah berbanding pada 2018 (144.7 ribu). “Anggaran penduduk semasa Bukan Warganegara bagi tahun 2025 disusun berdasarkan anggaran pertengahan tahun bagi tempoh Julai 2024 hingga Jun 2025 berasaskan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia, 2020 yang menggunakan konsep de jure di mana individu yang telah atau akan tinggal sebagai ahli biasa isi rumah selama enam bulan atau lebih dalam tahun rujukan berdasarkan tempat tinggal biasa mereka,” katanya. Katanya, konsep pengukuran bilangan penduduk di sesuatu kawasan tidak mengambil kira daytime dan nightime population iaitu individu yang berada di sesuatu kawasan pada waktu siang atau malam tanpa menetap di kawasan tersebut. Kehadiran daytime dan nightime population, katanya menyumbang kepada peningkatan bilangan penduduk khususnya di kawasan bandar bagi tujuan bekerja, perniagaan, membeli belah, berurusan dengan agensi kerajaan atau swasta, melancong, melawatsaudara mara atau sahabat dan lain-lain urusan harian. – Info X
January 8, 2026
Info X Reporters
Penolong jurutera didakwa guna jawatan dapatkan suapan RM218,000
KOTA KINABALU: Seorang penolong jurutera di sebuah Pejabat Daerah Kecil di Tuaran didakwa menggunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan berjumlah lebih RM218,000 berkaitan urusan perniagaan milik ahli keluarganya. Tertuduh, Aldey Kangit, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Elsie Primus ketika dihadapkan di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu atas dua pertuduhan, di sini, pada Khamis. Bagi pertuduhan pertama, Aldey didakwa menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM75,998.10 untuk sepupunya melalui sebuah syarikat perniagaan yang didakwa dilakukan di Pejabat Daerah Kecil Kiulu pada 22 Ogos 2023. Menerusi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM142,490.50 untuk individu yang sama melalui perniagaan terbabit yang didakwa berlaku di lokasi sama pada 13 September 2023. Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dengan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi. Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan deposit RM10,000 dan dua penjamin tempatan. Tertuduh diperihtah melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan, dilarang mengganggu saksi serta diarahkan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Al Hafidz Mohd Lokman. Mahkamah menetapkan 23 Februari depan sebagai tarikh pengurusan kes. – Info X
January 8, 2026
Info X Reporters
Polis atur gerak hampir 1,000 anggota kawal keselamatan PRK Kinabatangan
KOTA KINABALU: Polis Sabah mengatur gerak seramai 926 pegawai dan anggota bagi memastikan kelancaran serta keselamatan sepanjang proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan melibatkan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Lamag, Sukau dan Kuamut. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, daripada jumlah itu, seramai 837 pegawai dan anggota ditugaskan secara langsung di lapangan melibatkan kawalan keselamatan, trafik, pengiringan serta pemantauan sepanjang tempoh pilihan raya manakala selebihnya adalah bantuan dari pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah. “Penugasan merangkumi semua fasa utama PRK bermula hari penamaan calon pada 10 Januari, pengundian awal pada 20 Januari dan hari pembuangan undi pada 24 Januari. “Pada hari penamaan calon sahaja, seramai 646 pegawai dan anggota digerakkan bagi mengawal keselamatan dan memastikan proses berjalan lancar tanpa sebarang gangguan,” katanya semasa sidang media di IPK Sabah, di sini, hari ini. Beliau berkata, bagi memperkukuh kekuatan anggota, kita juga mendapatkan bantuan penugasan daripada daerah berhampiran. “Seperti sedia maklum, penugasan kawasan Kuamut adalah mengikut IPD Beluran, manakala kawasan Lamag dan Sukau daripada IPD Kinabatangan sendiri. “Bantuan tambahan turut melibatkan IPD Sandakan, Lahad Datu dan Semporna, termasuk penugasan Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sandakan,” katanya. Jauteh berkata, keadaan keselamatan di Kinabatangan berada pada tahap baik dan terkawal, selain menegaskan kawasan itu bukan lokasi panas dari sudut keselamatan serta tidak pernah mencatatkan sebarang insiden serius melibatkan ketenteraman awam. Katanya, insiden yang direkod sebelum ini hanya berlaku di dalam kawasan tertutup seperti dewan dan tidak menjejaskan keselamatan awam secara keseluruhan. Dalam pada itu, Jauteh turut menasihatkan semua parti politik serta individu terlibat agar menjalankan kempen secara berhemah, menjaga sensitiviti masyarakat setempat dan mengelakkan penggunaan isu berunsur provokasi terhadap mana-mana pihak. “Polis menegaskan tindakan tegas boleh diambil sekiranya terdapat sebarang perbuatan yang mengganggu ketenteraman awam atau menjejaskan kelancaran proses pilihan raya. “Masyarakat setempat juga perlu memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan PRK Kinabatangan berjalan dalam suasana aman dan harmoni,” katanya. – Info X
January 8, 2026
Info X Reporters
Sindiket sembunyi syabu dalam ‘sasaban’ tumpas
KOTA KINABALU: Taktik licik sindiket pengedaran dadah yang menyembunyikan syabu dalam papan pemotong (chopping board) atau ‘sasaban’ terbongkar apabila berjaya dikesan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah. Semua dadah yang dianggarkan seberat 39.5 kilogram itu dirampas hasil serbuan di sebuah rumah di Taman Donggongon, Penampang, Selasa lalu. Dalam serbuan kira-kira jam 11.30 malam itu, pasuskan operasi turut berjaya menahan dua lelaki berusia 28 dan 29 tahun yang dipercayai menjadi dalang penyeludupan dadah berkenaan. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, ketika serbuan, pasukan operasi menemui 40 bungkusan plastik lut sinar berisi ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis methamphetamine. Katanya, semua dadah yang dimasukkan ke dalam papan sasaban itu dipercayai bernilai RM1.26 juta berdasarkan harga pasaran semasa. “Hasil siasatan awal mendapati modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan menyeludup dadah ke negeri Sabah melalui jalan laut iaitu menggunakan perkhidmatan syarikat penghantaran sebelum dadah itu dihantar ke destinasi akhir. “Pihak berkuasa percaya kaedah penyamaran menggunakan barangan dapur harian seperti ‘chopping board’ digunakan bagi mengelakkan pengesanan ketika proses penghantaran dan pemeriksaan rutin,” katanya pada sidang media, di IPK Sabah, hari ini. Hadir sama, Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil. Menurutnya, hasil saringan awal ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis Benzo dan mereka ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Katanya, siasatan juga akan diteruskan bagi mengesan rangkaian sindiket yang dipercayai lebih besar dan beroperasi merentasi sempadan. “Kita akan mengadakan beberapa perbincangan dan kerjasama dengan agensi-agensi terlibat untuk memastikan pencegahan kemasukan dadah semaksima yang boleh. “Sekiranya kita mempunyai kelengkapan yang mencukupi di tempat-tempat masuk ini, sudah tentu pemeriksaan teliti dapst dilaksanakan ke atas semua item yang masuk menggunakan kargo,” katanya. Sementara itu, dalam kes berasingan, polis turut berjaya merampas dadah jenis ketamin dan ekstasi hasil penahanan seorang pengurus kelab malam dalam serbuan di Bundusan, 2 Januari lalu. Dalam serbuan berkenaan, lelaki berusia 39 tahun itu didapati memiliki dadah berat keseluruhan sebanyak 611.9 gram yang dianggarkan bernilai RM47,980. Sehubungan itu, Jauteh menegaskan komitmen polis untuk terus mempergiat usaha membanteras kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah di Sabah serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah berkenaan. Katanya, JSJN juga amat komited dalam usaha memerangi jenayah dadah demi melindungi generasi dan masa depan negara. “Sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi Hotline JSJN Sabah ditalian 012-208 7222,” katanya. – Info X
January 8, 2026
Info X Reporters
POIC Sabah serah RM4.17 juta kepada Kerajaan Negeri
KOTA KINABALU: POIC Sabah Sdn Bhd membayar RM4.17 juta sebagai sumbangan kepada kerajaan negeri dan bayaran balik pinjaman bagi tahun 2025. Daripada jumlah itu, sebanyak RM2 juta adalah sumbangan kepada Kerajaan Negeri, manakala RM2.17 juta bayaran balik pinjaman Persekutuan. Simbolik penyerahan itu disempurnakan Pengerusi POIC, Datuk Seri Madius Tangau kepada Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Chee Shok Ting di Menara Kinabalu pada Rabu. Majlis itu disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Thomas Logijin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan POIC Sabah, Datuk Fredian Gan. – Info X
January 8, 2026
Info X Reporters
Tujuh individu positif ketamin ditahan dalam Ops Tapis Narkotik
SANDAKAN: Seramai tujuh individu ditahan selepas didapati positif dadah jenis ketamin dalam Ops Tapis Narkotik yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan di sekitar kawasan Bandar Ramai-ramai, di sini, pada Rabu. Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, operasi bermula kira-kira jam 11 pagi bertujuan membanteras aktiviti pengedaran serta penagihan dadah di kawasan tumpuan awam. “Semasa penugasan, pasukan serbuan menahan dua wanita mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, selain tiga lelaki yang disyaki terbabit penyalahgunaan dadah. “Serbuan seterusnya dilakukan di bilik berasingan sebelum dua lagi wanita ditahan kerana disyaki melakukan perbuatan sama,” katanya. Beliau berkata, kesemua suspek dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sandakan untuk menjalani ujian saringan awal air kencing polis. “Hasil saringan mendapati semua suspek positif dadah jenis ketamin. “Susulan itu, kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ditempatkan di lokap IPD Sandakan bagi tindakan lanjut,” katanya. Katanya, pelaksanaan operasi ini selari dengan tekad dalam usaha berterusan membanteras jenayah dadah serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di daerah ini. – Info X