Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

September 21, 2026

Info X Reporters

Buat saringan awal penyakit vaskular, jangan abai tanda amaran – Julita

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah digesa menjalani saringan awal penyakit vaskular, khususnya mereka yang berisiko berikutan sesetengah penyakit boleh berlaku tanpa disedari sebelum menjadi serius atau mengancam nyawa. Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata pengesanan awal penting kerana penyakit vaskular tidak semestinya menunjukkan gejala yang jelas. “Antara tanda amaran yang tidak boleh diabaikan termasuk sakit atau kekejangan pada kaki ketika berjalan, kaki terasa sejuk atau kebas, perubahan warna kulit, bengkak serta luka yang lambat sembuh. “Jangan menganggap tanda-tanda ini sebagai sesuatu yang normal hanya kerana faktor usia. Sekiranya terdapat perubahan yang luar biasa, dapatkan pemeriksaan perubatan lebih awal,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kempen Kesedaran Penyakit Vaskular di Hospital Queen Elizabeth II, di sini, pada Isnin. Julita berkata, antara keadaan yang diberi perhatian menerusi kempen itu ialah aneurisma aorta abdominal (AAA), yang berlaku apabila bahagian dinding aorta yang lemah, iaitu salur darah utama yang membawa darah dari jantung ke seluruh tubuh, menjadi membesar atau mengembung. Beliau berkata AAA boleh berlaku tanpa menunjukkan gejala yang jelas, namun boleh mengancam nyawa sekiranya aneurisma tersebut pecah dan menyebabkan pendarahan dalaman yang serius. Kempen itu turut menyediakan aktiviti saringan bagi AAA dan penyakit arteri periferi (PAD), sebagai sebahagian usaha menggalakkan pengesanan awal. Julita berkata PAD berlaku apabila saluran darah yang membekalkan anggota badan, khususnya kaki, menjadi sempit atau tersumbat, dengan gejala termasuk sakit pada kaki ketika berjalan, kaki terasa sejuk atau kebas, perubahan warna kulit serta luka yang lambat sembuh. Beliau turut menggesa orang ramai mengurangkan risiko penyakit vaskular dengan berhenti merokok, mengawal tekanan darah, paras gula dalam darah dan tahap kolesterol, mengekalkan berat badan yang sihat, mengamalkan pemakanan seimbang serta kekal aktif secara fizikal. “Jangan tunggu sehingga keadaan menjadi serius. Kenali tubuh anda, kenal pasti tanda-tanda amaran dan ambil tindakan lebih awal,” katanya. Julita berkata Kerajaan Sabah akan terus menyokong usaha menyediakan maklumat kesihatan yang tepat, saringan yang bersesuaian serta perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti.Turut hadir Pengarah HQE II, Dr Ferro Firdaus Ibrahim dan Pakar Perunding Bedah Vaskular dan Endovaskular, Datuk Dr Benjamin Leong Dak Keung.-Info X

September 21, 2026

BERNAMA

Peletakan jawatan Loke: keputusan CEC muktamad, perlu dihormati – Hannah

PUTRAJAYA: Keputusan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke untuk menawarkan diri meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan adalah keputusan muktamad Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu dan perlu dihormati. Timbalan Setiausaha Agung CEC DAP Hannah Yeoh berkata mesyuarat CEC pada Sabtu lepas turut mendengar pelbagai cadangan dan pandangan sebelum keputusan itu dibuat. “CEC telah bermesyuarat lama dan pelbagai cadangan diberikan serta pendapat yang kami dengar. Keputusan akhir, iaitu keputusan muktamad CEC, sebagai badan pembuat keputusan tertinggi memutuskan Anthony Loke menawarkan diri untuk meletak jawatan. “.. dan itu adalah keputusan CEC. Perbincangan lain saya tak nak dedahkan kerana itu adalah dalam perbincangan CEC tetapi kami kena hormati keputusan yang dibuat CEC,” katanya pada sidang media mengenai Bazar Deepavali 2026 di sini, pada Isnin. Hannah berkata demikian sebagai reaksi terhadap keputusan CEC DAP selepas mesyuarat berhubung pendirian parti terhadap isu pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Pada Sabtu lepas, Loke menawarkan diri meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan pendirian DAP berhubung pengampunan bersyarat terhadap Najib. Loke berkata peletakan jawatan itu hanya melibatkan dirinya selaku ahli Jemaah Menteri manakala menteri dan timbalan menteri lain daripada DAP akan kekal dalam kerajaan bagi memastikan kestabilan politik negara terus terjamin.–BERNAMA

September 21, 2026

BERNAMA

Pastikan lepasan politeknik, kolej komuniti dapat pekerjaan sepadan kemahiran – Zambry

KOTA KINABALU: Kadar kebolehpasaran lepasan politeknik dan kolej komuniti (PolyCC) perlu dilihat melangkaui angka peratusan bagi memastikan lepasan tersebut memperoleh pekerjaan sepadan dengan kemahiran, tahap pendapatan serta mempunyai prospek kerjaya berkualiti. Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata lepasan PolyCC terus mencatatkan kadar kebolehpasaran melebihi 98 peratus pada tahun lepas namun institusi pendidikan itu tidak boleh berpuas hati hanya pada angka tersebut. “Apa yang lebih penting ialah memastikan lepasan (PolyCC) memperoleh pekerjaan sepadan dengan kemahiran, mempunyai prospek kerjaya dan menikmati pendapatan yang baik. Atas sebab itu, hubungan antara institusi pendidikan dengan industri mesti bergerak lebih jauh. “Industri perlu bersama-sama kita daripada peringkat pembangunan kurikulum, latihan dan pensijilan sehingga kepada peluang pekerjaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Sabah 2026 di Politeknik Kota Kinabalu di sini, pada Isnin. Zambry berkata kepesatan teknologi dalam bidang kecerdasan buatan (AI), automasi, robotik, teknologi hijau, keselamatan siber dan ekonomi digital turut mengubah landskap pekerjaan serta kemahiran diperlukan industri. Dalam dunia pekerjaan yang semakin berubah, Zambry berkata negara bukan sahaja memerlukan lepasan berpengetahuan tetapi juga mampu menyelesaikan masalah, menguasai teknologi, berfikir secara kreatif dan sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan. Beliau berkata TVET bukan lagi pilihan kedua sebaliknya perlu menjadi antara laluan utama kerjaya generasi muda negara memandangkan Agenda TVET 2.0 memberikan penekanan pada bidang masa depan seperti AI, robotik dan tenaga boleh baharu yang mempunyai permintaan tinggi. Justeru, Zambry berkata Kementerian Pendidikan Tinggi menjadikan PolyCC Pelopor TVET sebagai antara tujahan utama pendidikan tinggi negara yang diperkukuh menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 dan Pelan Strategik Politeknik dan Kolej Komuniti 2026-2035. Beliau berkata ekosistem PolyCC kini merangkumi 36 politeknik dan 106 kolej komuniti di seluruh negara dengan enrolmen melebihi 100,000 pelajar, dengan tiga politeknik serta sembilan kolej komuniti terletak di Sabah. Agenda pembangunan TVET di Sabah menurut beliau mempunyai kepentingan amat besar bagi menyokong pertumbuhan sektor ekonomi negeri termasuk tenaga, minyak dan gas, pelancongan, pertanian moden, pembinaan, ekonomi digital, logistik dan ekonomi biru. “Pembangunan ekonomi Sabah mesti bergerak seiring dengan pembangunan bakat anak tempatan. Kita mahu lebih ramai anak negeri ini mendapat pendidikan berkualiti, menguasai kemahiran tinggi dan seterusnya memperoleh peluang pekerjaan yang baik,” katanya. Sementara itu, Zambry ketika ditemui pemberita berkata lima lagi politeknik akan menawarkan program pengajian peringkat ijazah dalam tempoh terdekat sebagai usaha memperluas laluan pendidikan tinggi dalam bidang teknikal dan kejuruteraan. Setakat ini, beliau berkata terdapat empat politeknik telah menawarkan program itu. Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memenuhi keperluan tenaga kerja negara, selain memastikan pendidikan ditawarkan politeknik terus seiring dengan permintaan industri.–BERNAMA

September 21, 2026

BERNAMA

Jabatan Penjara nafi dakwaan Yasin kehidupan dalam penjara bergantung duit, pengaruh

KOTA BHARU: Jabatan Penjara menafikan dakwaan penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman bahawa kehidupan dalam penjara bergantung kepada wang dan pengaruh. Pengarah Kanan Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara Mohamad Rosidek Musa berkata pihaknya mempunyai prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani sebarang salah laku dan perkara negatif dalam kalangan penghuni penjara. “Dakwaan itu tidak benar kerana dalam konteks kepenjaraan, kita fokus kepada program pemulihan dan cuba atasi perkara negatif yang berlaku di penjara. “Kita akui mungkin ada perkara yang berlaku, tetapi ia tidak seperti didakwa. Ramai yang bebas daripada penjara berjaya membina kehidupan baharu, jadi kenapa kita mahu fokus kepada perkara negatif,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Program Bookathon Jabatan Penjara Malaysia 2026 di Penjara Pengkalan Chepa, di sini, pada Isnin. Beliau berkata setiap salah laku di dalam penjara akan ditangani mengikut peraturan dan prosedur ditetapkan, manakala SOP turut ditambah baik dari semasa ke semasa. Terdahulu, Yasin menerusi podcast AididitMyWay mendakwa wujud hierarki dalam kalangan banduan berdasarkan faktor kewangan dan pengaruh. Dalam pada itu, Mohamad Rosidek berkata keadaan kesesakan di Penjara Pengkalan Chepa masih terkawal, namun pihaknya mengambil pendekatan dengan mewujudkan penjara satelit dan program reintegrasi penghuni yang membolehkan mereka bekerja di luar penjara sekali gus membantu menguruskan jumlah penghuni. Sementara itu, Program Bookathon Jabatan Penjara Malaysia 2026 berkenaan menerima sumbangan 10,000 naskhah buku untuk kegunaan prospek di penjara seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak. Mohamad Rosidek berkata program yang dilancarkan Februari lepas itu dilaksanakan dengan kerjasama Boustead Holdings Berhad, Royal Chulan dan Syarikat Muda Osman Sdn Bhd (SMO) bagi menggalakkan masyarakat menyumbangkan buku baharu atau terpakai untuk kegunaan prospek. “Sumbangan itu merangkumi pelbagai bahan bacaan termasuk buku motivasi, fiksyen dan agama, manakala SMO turut menyediakan diskaun 20 peratus bagi pembelian buku yang disumbangkan menerusi kempen di 31 premisnya,” katanya.–BERNAMA

September 21, 2026

Info X Reporters

Kes pelancong China, resort di Semporna disemak segera

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengarahkan pihak berkuasa pelancongan negeri menyemak segera sebuah resort di Semporna susulan insiden membabitkan seorang pelancong wanita warga China, baru-baru ini. Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pemeriksaan itu merangkumi status lesen penginapan serta langkah keselamatan dan sekuriti yang dilaksanakan pihak pengurusan. Katanya, keselamatan setiap pelawat ke Sabah perlu kekal sebagai keutamaan, terutama ketika negeri itu bersiap sedia menyambut Visit Sabah 2027. “Saya memandang serius insiden yang dilaporkan membabitkan seorang pelancong China di sebuah resort di Semporna. “Saya mengalu-alukan tindakan pantas polis menahan seorang suspek dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh tanpa sebarang spekulasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Jafry berkata, agensi pelancongan berkaitan turut diarahkan berkoordinasi dengan agensi penguat kuasa sekiranya diperlukan. Menurutnya, sebarang kelemahan yang dikenal pasti menerusi pemeriksaan itu perlu ditangani segera. “Pengusaha pelancongan, khususnya penyedia penginapan, bertanggungjawab memastikan premis mereka menyediakan persekitaran yang selamat dan terjamin kepada tetamu. “Menjelang Visit Sabah 2027, kita tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan pelawat,” katanya. Beliau berkata, Sabah perlu terus diperkukuhkan sebagai destinasi pelancongan yang membuatkan setiap pengunjung berasa selamat, dihormati dan dialu-alukan. Sehubungan itu, beliau menyeru semua pengusaha sektor pelancongan supaya mengutamakan aspek keselamatan dan pematuhan syarat bagi menjaga imej serta keyakinan pelancong terhadap Sabah. Terdahulu, seorang pelancong wanita China berusia 25 tahun yang menginap di sebuah resort di Jalan Kamiri, Semporna, tersedar selepas mendapati seorang lelaki berada di dalam biliknya kira-kira jam 3 pagi. Mangsa bergelut dengan lelaki itu sebelum melarikan diri dan cedera di lutut akibat terjatuh selepas suspek menarik rambut mangsa manakala suspek berusia 18 tahun ditahan polis di resort berkenaan kira-kira jam 8 malam pada hari sama. – Info X

September 21, 2026

Info X Reporters

Prestasi sistem bekalan elektrik di Sabah meningkat dengan ketara – KM

KOTA KINABALU: Prestasi sistem bekalan elektrik di Sabah menunjukkan peningkatan yang ketara sejak kuasa mengawal selia sektor elektrik dan tenaga boleh baharu diambil alih kerajaan negeri. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pengambilalihan itu membolehkan kerajaan negeri melaksanakan sendiri projek peningkatan bekalan elektrik, berbanding menunggu kelulusan Suruhanjaya Tenaga (ST) Persekutuan sebelum ini. Katanya, sebelum ini, tempoh empat hingga lima tahun diambil untuk mendapatkan kelulusan permohonan daripada Suruhanjaya Tenaga Persekutuan. “Tapi, sejak kita mengambil alih, kita boleh melaksanakannya sendiri dan meningkatkan sistem bekalan elektrik kita dengan lebih cepat,” katanya. Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tenaga Sabah (MTS) di Menara Kinabalu, di sini, pada Isnin. Kerajaan negeri mengambil alih kuasa kawal selia elektrik dan tenaga boleh baharu berikutan kelulusan Enakmen Bekalan Elektrik 2024, Enakmen Tenaga Boleh Baharu Sabah 2024 dan Enakmen Pindaan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 3 Januari 2024. Setahun sebelum itu, Sabah mengambil alih kuasa kawal selia bekalan gas di negeri ini. Hajiji berkata, jidar simpanan penjanaan tenaga di Sabah dijangka mencapai 26 peratus menjelang akhir tahun ini. “Jidar simpanan tenaga di negeri ini meningkat daripada paras terendah lapan peratus pada 2024 kepada 19 peratus setakat Ogos tahun ini. “Pada masa sama, Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI) bertambah baik daripada 598 minit pada 2023 kepada 226 minit setakat Julai tahun ini,” katanya. Katanya, perkembangan itu adalah hasil pelbagai inisiatif penambahbaikan sistem grid yang dilaksanakan secara berterusan. Jelasnya, pengukuhan sektor tenaga Sabah perlu dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk kesiapsiagaan infrastruktur penghantaran dan pembahagian bagi meningkatkan daya harap dan keanjalan sistem. “Ini selaras dengan Sabah Energy Roadmap and Master Plan (SE-RAMP 2040) serta sasaran mencapai 50 peratus campuran kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2035,” katanya. Pada Mesyuarat Majlis Tenaga Sabah (MTS) di Menara Kinabalu, hari ini, beberapa perkara dibincang termasuk berkaitan semakan Kajian Unjuran Beban Jangka Panjang (LTDF 2026) dan Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik (PDP2026) untuk tempoh 10 tahun. Hajiji berkata, langkah itu bagi memastikan perancangan kapasiti sentiasa dapat memenuhi keperluan permintaan tenaga di negeri ini. Sementara itu, katanya bagi memperkukuh bekalan tenaga di Pantai Timur, pembangunan loji janakuasa gas di Sandakan dan Tawau turut dirancang bagi menggantikan loji berasaskan diesel dan Medium Fuel Oil (MFO) yang berkos tinggi. “Penambahan kapasiti Solar Berskala Besar (LSS) dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) yang dilaksanakan melalui proses bidaan kompetitif juga akan menyokong pengukuhan sistem penjanaan,” katanya. Katanya, projek LSS dan BESS dilaksanakan khusus untuk meningkatkan kebolehpercayaan penjanaan tenaga elektrik di Pantai Timur. Hajiji berkata, setiap keputusan MTS dibuat secara seimbang dan berhemah dengan mengutamakan keterjaminan bekalan, kos sistem yang optimum, keperluan industri serta kepentingan pengguna untuk menikmati bekalan elektrik pada kadar yang berpatutan. Beliau berkata Kerajaan Negeri melalui ECoS selaku badan kawal selia sektor tenaga negeri akan terus memantau pelaksanaan projek yang sudah diluluskan bagi memastikan ia disiapkan mengikut jadual dan memberi manfaat sebenar kepada kebolehpercayaan sistem. – Info X

September 21, 2026

Info X Reporters

Datuk Yahya Lampong meninggal dunia

KOTA KINABALU: Bekas Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Yahya Lampong dilaporkan meninggal dunia pada usia 86 tahun di Ampang Puteri Specialist Hospital (KPJ), Kuala Lumpur, pagi tadi. Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan anaknya, Masley Yahya menerusi perkongsian di Facebook, menyatakan ayahnya meninggal dunia pada jam 6 pagi tadi. Menerusi satu lagi hantaran selepas itu, Masley memaklumkan jenazah ayahnya dibawa ke Masjid Nurul Islam, Ampang untuk dimandikan dan disembahyangkan, sebelum dikebumikan selepas solat Zohor. Allahyarham menjadi Ahli Parlimen Kota Belud dari 1982 hingga 1986 dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk dari 1985 hingga 1986. Dalam tempoh itu, beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Persekutuan. Kerjaya politik Allahyarham bermula pada 1981 apabila dicalonkan Parti BERJAYA untuk bertanding di kerusi DUN Usukan, namun tewas. Cubaan keduanya atas tiket Bebas akhirnya berjaya menawan Parlimen Kota Belud pada Pilihan Raya Umum 1982, diikuti kejayaan memenangi kerusi DUN Tempasuk atas tiket USNO pada pilihan raya negeri 1985. Allahyarham juga pernah bertanding di kerusi Parlimen Marudu atas tiket UMNO-BN pada 1995 dan yang terakhir di kerusi Parlimen Papar atas tiket PKR pada 2013, namun kedua-duanya tewas. – Info X

September 21, 2026

Info X Reporters

Fairlady disita dalam Ops Samseng Jalanan

TAWAU: Sebuah kereta Nissan Fairlady dan kenderaan pacuan empat roda disita polis dalam Operasi Samseng Jalanan di beberapa lokasi, di sini, semalam. Operasi bermula jam 10.30 malam hingga 2 pagi itu turut menyaksikan 14 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di T2 Jalan Apas, One Arena, Jalan Chong Thien Vun serta sekatan jalan raya di Batu 2, Jalan Apas. Katanya, sebanyak 80 kenderaan diperiksa membabitkan 30 motosikal, 30 kereta, 18 kenderaan 4WD dan dua lori. “Seramai 64 individu terdiri daripada 45 lelaki dan 19 wanita turut diperiksa sepanjang operasi. “Antara kesalahan dikesan ialah tiada cermin sisi, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan, pengubahsuaian ekzos, tiada lesen memandu kelas B2 dan gagal mempamerkan tanda ‘P’,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Rosdi berkata, tindakan turut dikenakan terhadap kereta yang menggunakan lampu selain warna putih, manakala sebuah 4WD didapati tidak sesuai digunakan. Menurutnya, kedua-dua kenderaan disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sebelum diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tindakan lanjut menerusi Operasi Extreme. Katanya, empat pemilik kenderaan membabitkan sebuah kereta dan tiga motosikal turut diberikan nasihat bagi meningkatkan kesedaran mengenai pematuhan peraturan serta keselamatan jalan raya. “Tiada tangkapan atau kejadian tidak diingini dilaporkan sepanjang operasi. “Operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi membendung kegiatan samseng jalanan dan memastikan pengguna mematuhi peraturan demi keselamatan semua pihak,” katanya. – Info X