April 27, 2026
Info X Reporters
Wanita dicekik, diugut lelaki warga asing
TAWAU: Seorang wanita dicekik dan diugut seorang lelaki ketika sedang menunggu rakannya dalam kejadian di Kampung Sungai Imam, di sini, awal pagi semalam. Dalam kejadian jam 1.45 pagi itu, mangsa berusia 36 tahun didatangi suspek dari arah belakang sebelum lelaki terbabit mencekik lehernya dan mengacukan objek tajam ke arah dagu. Mangsa turut diugut dengan kata-kata “kalau mahu selamat, ikut aku” namun bertindak melawan untuk mempertahankan diri. Akibatnya, mangsa dipukul dan ditendang oleh suspek sehingga mengalami kecederaan serta kesakitan pada bahagian muka dan badan sebelum membuat laporan polis. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas laporan itu, sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai menjalankan operasi mengesan suspek. “Suspek seorang lelaki warga asing berusia sekitar 20 tahun berjaya ditahan di perkarangan Balai Polis Bombalai. “Suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan. “Saya menasihatkan orang ramai khususnya wanita supaya sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan diri serta mengelakkan berada bersendirian di kawasan sunyi,” katanya. – Info X
April 27, 2026
Info X Reporters
Tergamak kau dera anak baru berusia setahun lebih
TAWAU: Seorang wanita ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes penganiayaan terhadap kanak-kanak perempuan berusia setahun tiga bulan di sebuah rumah di Taman Semarak, di sini, semalam. Kes itu terbongkar selepas ibu mangsa mendakwa melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan suspek melakukan perbuatan tidak wajar terhadap anaknya ketika berada di bawah jagaan wanita berkenaan. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa selepas rakaman itu diperoleh. “Rakaman CCTV berkenaan menunjukkan beberapa perlakuan yang dipercayai berlaku terhadap mangsa ketika dijaga suspek. “Kejadian dipercayai berlaku Khamis lalu ketika mangsa ditinggalkan di bawah jagaan suspek yang diupah sebagai penjaga anak sejak kira-kira setahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini. Menurutnya, suspek yang dianggap sebagai individu dipercayai keluarga itu menerima bayaran bulanan sekitar RM450 untuk menjaga kanak-kanak berkenaan. Katanya, bertindak atas laporan, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Tawau bersama Balai Polis Bombalai menjalankan operasi mengesan suspek. “Hasil tindakan pantas, suspek wanita tempatan berusia 57 tahun berjaya ditahan kira-kira jam 3.45 petang di Kampung Pangkalan Asli, Merotai Besar. “Suspek kemudian dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penganiayaan terhadap kanak-kanak. “Siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai dinasihatkan supaya segera melaporkan sebarang kes penganiayaan kepada pihak berkuasa. “Orang ramai yang mengesyaki sebarang kes penganiayaan boleh menghubungi talian 089-772121, menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) atau tampil ke balai polis berhampiran,” katanya. – Info X
April 27, 2026
Info X Reporters
Kerajaan Negeri perkukuh langkah tangani kos sara hidup, kekal subsidi bahan api
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengambil langkah segera dan bersepadu bagi melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat susulan ketidaktentuan harga minyak global akibat konflik antarabangsa. Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peningkatan harga minyak dunia serta gangguan rantaian bekalan tenaga, khususnya susulan konflik di Asia Barat, berpotensi memberi kesan besar kepada ekonomi negeri termasuk lonjakan kos operasi, logistik dan harga barangan. “Implikasinya, tekanan inflasi akan meningkat, sekali gus menjejaskan kuasa beli rakyat dan memperlahankan pertumbuhan ekonomi,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini. Menurut beliau, sebagai langkah segera, Kerajaan Negeri menyokong pendekatan Kerajaan Persekutuan mengekalkan harga bahan api bersubsidi, termasuk petrol RON95 pada RM1.99 seliter dan diesel bersubsidi pada RM2.15 seliter bagi Sabah, Sarawak dan Labuan. Katanya, kerajaan negeri juga konsisten memperjuangkan pengekalan subsidi diesel di Sabah kerana ia kritikal dalam mengawal kos pengangkutan serta mengelakkan beban kenaikan harga dipindahkan kepada pengguna. Dalam masa sama, Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) menubuhkan Pasukan Petugas Pengurusan Krisis bagi memantau bekalan tenaga dan merangka langkah mitigasi, termasuk memperkukuh kawalan harga serta membanteras penyeludupan. Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meringankan beban rakyat, termasuk bantuan kewangan bersasar menerusi Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang memberi manfaat kepada 100,000 penerima dan dijangka meningkat kepada 140,000 penerima dengan peruntukan RM339.16 juta. “Inisiatif ini dilaksanakan selari dengan bantuan Persekutuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang memanfaatkan lebih 800,000 penerima di Sabah dengan peruntukan RM1.25 bilion,” katanya. Selain itu, Hajiji berkata, usaha memperkukuh daya tahan isi rumah turut diperkasa melalui program Kebun Dapur bagi menggalakkan rakyat menghasilkan bekalan makanan sendiri, sekali gus mengurangkan perbelanjaan harian. Katanya, Kerajaan Negeri juga menggalakkan penggunaan produk tempatan yang lebih berpatutan dan mampu merangsang permintaan domestik serta menyokong industri tempatan. Bagi mengurangkan beban utiliti, katanya, kerajaan menyediakan rebat bil elektrik RM40 kepada Ketua Isi Rumah berdaftar dengan eKasih serta diskaun 10 peratus kepada rumah kebajikan, rumah ibadah dan institusi pendidikan, selain sektor pertanian, akuakultur dan perikanan. Tambag beliau, turut dilaksanakan ialah diskaun 20 peratus melalui Off-Peak Tariff Rider (OPTR) kepada pengguna komersial dan industri voltan rendah bagi mengurangkan kos operasi. Dalam jangka sederhana dan panjang, Hajiji berkata, kerajaan memberi tumpuan kepada sekuriti makanan dengan peruntukan lebih RM102.86 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi meningkatkan pengeluaran pertanian, ternakan dan perikanan. Beliau berkata, lima daerah dikenal pasti sebagai Lembah Pengeluaran Makanan iaitu Keningau, Tenom, Nabawan, Tongod dan Tambunan bagi mengoptimumkan pengeluaran makanan berskala besar. “Antara projek utama termasuk Pusat Ternakan Bersepadu Keningau (KILC) dan pembangunan industri tenusu di Sook, yang dijangka dapat mengurangkan kebergantungan kepada import serta menstabilkan harga pasaran,” katanya. Hajiji berkata, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada kecekapan logistik melalui kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam projek pembesaran Pelabuhan Sepanggar bagi meningkatkan kapasiti kargo dan mengurangkan kos pengangkutan. Pada masa sama, katanya, Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah bekerjasama dengan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) termasuk pelaksanaan kajian Pelan Tindakan Penstabilan Harga oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS). Dalam sektor perniagaan pula, beliau berkata, kerajaan komited memperkukuh Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bagi mengembangkan pengeluaran dan pengkomersialan produk tempatan. Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar mengamalkan perbelanjaan berhemah, mengelakkan pembaziran serta tidak menyalahgunakan subsidi demi memastikan kestabilan bekalan barangan dan bahan api terus terpelihara. – Info X
April 27, 2026
Info X Reporters
Pemimpin muda masih tersekat sistem sedia ada — Salleh
KOTA KINABALU: Peralihan kepimpinan kepada generasi muda di Malaysia masih bergerak perlahan berikutan kekangan struktur parti politik yang lebih mengutamakan pengalaman, kata veteran UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak. Beliau berkata, walaupun terdapat tanda-tanda perubahan ke arah kepimpinan lebih muda, realitinya banyak negeri masih diterajui tokoh berpengalaman berusia lingkungan 60-an. Menurutnya, keadaan itu berpunca daripada hierarki parti yang kukuh, rangkaian naungan yang berakar umbi serta kebimbangan terhadap potensi ketidakstabilan sekiranya peralihan dilakukan secara mendadak. “Malaysia tidak kekurangan pemimpin muda yang berkaliber, namun sistem sedia ada masih memberi keutamaan kepada faktor pengalaman,” katanya dalam satu catatan di Facebook, semalam. Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata, hanya segelintir negeri memperlihatkan peralihan lebih jelas kepada kepimpinan muda. Antara contoh, katanya, ialah Amirudin Shari dan Onn Hafiz Ghazi yang masing-masing menerajui Selangor dan Johor. Bagaimanapun, beliau menegaskan secara keseluruhan landskap politik negara masih didominasi pemimpin berpengalaman sekali gus memperlahankan proses pembaharuan kepimpinan. Dalam pada itu, Salleh berpandangan Malaysia kini berada dalam fasa “peralihan separa” yang menyaksikan keseimbangan antara pemimpin lama dan muda, meskipun peralihan berkenaan belum menjadi arus utama. Beliau turut membuat perbandingan dengan landskap politik global yang menurutnya masih dikuasai pemimpin veteran seperti Xi Jinping, Narendra Modi, Vladimir Putin dan Donald Trump yang kesemuanya berusia dalam lingkungan 70-an. “Perubahan sedang berlaku, tetapi belum lagi menjadi trend dominan,” katanya. – Info X
April 27, 2026
Info X Reporters
Pembayaran pampasan Pan Borneo di Silam, Lahad Datu dilaksana berperingkat
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengesahkan pembayaran pampasan serta bayaran ihsan bagi projek Lebuhraya Pan Borneo di Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam dan Parlimen Lahad Datu sedang dilaksanakan secara berperingkat mengikut prosedur ditetapkan. Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata proses itu melibatkan tanah yang terjejas di bawah Pakej 19 hingga 23 projek berkenaan. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Dr Mohd Yusof Apdal (Warisan-Silam) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini. “Bagi tanah bergeran yang mempunyai hak milik sah serta telah dikenal pasti dan diwartakan, proses pengeluaran tawaran pampasan kepada pemilik sedang dilaksanakan selaras Ordinan Pengambilan Tanah Sabah (Bab 69). “Pembayaran akan dibuat oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah selepas semua dokumen persetujuan lengkap diterima daripada pemilik, dan ia dilaksanakan secara berperingkat,” katanya. Mengulas lanjut, beliau berkata bagi tanah kerajaan, pemberian pampasan tertakluk kepada pengeluaran perintah oleh Pejabat Penolong Pemungut Hasil Tanah Daerah. “Sehingga kini, perintah rasmi masih belum dikeluarkan, menyebabkan pembayaran bagi kategori ini belum dapat diproses,” katanya. Sementara itu, Joachim berkata tiada bayaran pampasan atau saguhati diberikan kepada struktur atau bangunan yang terletak dalam rizab jalan, selaras dasar dan arahan agensi pelaksana. Bagaimanapun, katanya, bagi struktur yang berada dalam rizab selain rizab jalan seperti rizab sungai, utiliti atau rizab agensi lain, pertimbangan bayaran saguhati boleh diberikan. “Ia tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan serta penilaian oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah berdasarkan garis panduan semasa,” katanya. Beliau turut menegaskan bahawa peruntukan bagi pembayaran pampasan kepada pemilik tanah dan struktur yang mempunyai hak milik sah telah disediakan kerajaan. “Peruntukan ini disalurkan kepada Jabatan Tanah dan Ukur Sabah bagi memastikan pembayaran kepada pemilik yang layak dapat dilaksanakan secara teratur, telus dan mengikut prosedur ditetapkan,” katanya. – Info X
April 27, 2026
Info X Reporters
Belum ada perancangan wujudkan Majlis Daerah Sook
KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah buat masa ini belum mempunyai perancangan untuk mewujudkan Majlis Daerah Sook yang tersendiri. Menterinya, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, berkata cadangan penubuhan pihak berkuasa tempatan (PBT) baharu itu memerlukan penelitian menyeluruh berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan kerajaan. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup (BN-Sook) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini. “Bagi pewujudan Majlis Daerah Sook, beberapa kriteria perlu dikaji dan diteliti terlebih dahulu bagi memastikan syarat pewujudan PBT dipenuhi,” katanya. Mohd Arifin menjelaskan, PBT terbahagi kepada tiga peringkat iaitu Majlis Daerah, Majlis Perbandaran dan Dewan atau Majlis Bandaraya, dengan setiap kategori mempunyai garis panduan tertentu berdasarkan Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Bilangan 2 Tahun 2025. Katanya, antara kriteria utama pewujudan Majlis Daerah termasuk mempunyai populasi kurang daripada 150,000 penduduk, hasil pendapatan tahunan melebihi RM5 juta tetapi kurang RM25 juta, serta kemudahan infrastruktur dan utiliti awam yang mencukupi. Selain itu, katanya, kawasan berkenaan juga perlu mempunyai struktur tadbir urus interim sekurang-kurangnya tiga tahun, kelulusan persempadanan semula serta pelan pembangunan yang jelas bagi merangsang pertumbuhan ekonomi setempat. Bagaimanapun, beliau berkata kementerian masih boleh mempertimbangkan penubuhan sesuatu majlis daerah walaupun belum memenuhi sepenuhnya semua kriteria berkenaan. “Pertimbangan utama adalah keupayaan majlis daerah baharu itu untuk berdiri sendiri dengan sumber kewangan yang kukuh,” katanya. – Info X
April 27, 2026
Info X Reporters
Tiga lelaki ditahan, syabu hampir 80 gram dirampas di Sipitang
SIPITANG: Tiga lelaki termasuk seorang warga asing ditahan selepas polis merampas dadah disyaki syabu seberat 77.9 gram bernilai kira-kira RM8,000 dalam serbuan di Kampung Tanjung Pagar, di sini, Sabtu lalu. Serbuan jam 4.15 pagi itu dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah serta Balai Polis Sindumin dan Sipitang. Ketua Polis Daerah Sipitang, Superintendan Awang Anak Suanda berkata, suspek pertama berusia 39 tahun ditahan selepas cuba melarikan diri ketika serbuan dijalankan. Menurutnya, pemeriksaan menemukan satu paket plastik mengandungi dua bungkusan berisi hablur jernih disyaki syabu. “Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine. “Siasatan awal juga mendapati suspek mengaku dadah yang dirampas adalah miliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, susulan tangkapan itu, dua lagi lelaki tempatan berusia 29 dan 27 tahun turut ditahan dalam serbuan berasingan di lokasi sama kira-kira jam 10.31 pagi. “Turut dirampas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux serta wang tunai berjumlah RM24,225 dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah. “Bagaimanapun, kedua-dua suspek didapati negatif dadah hasil ujian saringan awal,” katanya. Menurutnya, semua suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(a) akta sama. “Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan rangkaian pengedaran dadah terbabit,” katanya. – Info X
April 27, 2026
Info X Reporters
Hilux hilang kawalan, rempuh empat kenderaan di jambatan
BEAUFORT: Lima kenderaan terbabit dalam kemalangan di Jambatan Pekan Beaufort, Jalan Papar – Sipitang, di sini, petang semalam selepas sebuah Toyota Hilux dipercayai hilang kawalan. Dalam kejadian jam 6.50 petang itu, kenderaan pacuan empat roda terbabit dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah Isuzu D Max. Perlanggaran itu menyebabkan kenderaan yang dirempuh tersorong ke belakang lalu melanggar sebuah Perodua Viva di belakangnya. Situasi menjadi kelam – kabut apabila pemandu Hilux berkenaan dipercayai panik lalu mengundurkan kenderaan sebelum melanggar sebuah Toyota Vios. Akibat hentaman itu, Vios berkenaan turut tersorong ke belakang dan melanggar sebuah lagi kenderaan jenis Perodua Aruz. Kejadian itu turut tular di media sosial apabila orang awam merakam keadaan selepas kemalangan berkenaan, manakala pemandu Toyota Hilux terbabit dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian. Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika Toyota Hilux itu dalam perjalanan dari arah Sipitang menuju ke Papar. “Apabila sampai di lokasi, kenderaan berkenaan dipercayai gagal dikawal lalu memasuki laluan bertentangan dan menyebabkan pelanggaran berantai. “Bagaimanapun, semua pemandu yang terlibat dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, pemandu Toyota Hilux dibawa ke Hospital Beaufort untuk ujian darah. “Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. – Info X