Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

May 25, 2026

Info X Reporters

Sabah amal model pertumbuhan seimbang, tolak pembangunan musnahkan alam sekitar – KM

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menggunakan model pertumbuhan seimbang dalam menangani isu alam sekitar dan pembangunan di Sabah. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan pimpinannya tidak mahu pembangunan yang memusnahkan alam sekitar negeri ini. Pada masa yang sama, beliau juga menegaskan Sabah tidak boleh menerima idealisme alam sekitar yang melambatkan kemajuan untuk rakyat. “Kita menolak kedua-dua pendekatan ekstrem ini. Kita tidak mahu pembangunan yang melulu. Tapi kita juga tidak mahu peralihan yang tidak realistik. “Jalan ke hadapan bagi Sabahialah model pertumbuhan seimbang. Itulah pertumbuhan dengan disiplin; pemuliharaan dengan nilai; pelaburan dengan tanggungjawab; peralihan tenaga dengan kemampuan dan kemampanan dengan keadilan,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang kemuncak Powering Green Growth: Sabah and Malaysia in the Age of Sustainability World Green and Sustainability (WGSS) di Shangri La Tanjung Aru Resort, dekat sini, pada Isnin. Katanya, Sabah mungkin sebuah negeri kecil dalam sebuah negara kecil, namun mempunyai kekuatan dan aset yang semakin bernilai dalam dunia hari ini. “Kita dikurniakan modal semula jadi yang kaya dan biodiversiti luar biasa. Kita mempunyai sumber daratan dan maritim yang luas. Kita mempunyai potensi tenaga, kedudukan geografi yang strategik dan kestabilan politik. “Yang paling penting, kitamempunyai generasi muda yang bersedia membantu membentuk ekonomi masa depan. “Peluang yang ada di hadapan Sabah amat besar. Sabah telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam melindungi kawasan hutan simpan yang luas, memelihara biodiversiti yang penting di peringkat global serta mengekalkan antara kadar tertinggi kawasan perlindungan di rantau ini. “Hari ini, Sabah diiktiraf sebagai pemimpin penting dalam pemuliharaan, bukan saja di Malaysia malah di seluruh Asia Tenggara. “Disebabkan itu, Sabah berada pada kedudukan terbaik untuk menjadi destinasi pelaburan yang bertanggungjawab dan mampan,” katanya. Hajiji berkata fasa pertumbuhan hijau Sabah seterusnya adalah bergerak kepada pemuliharaan yang mempunyai nilai. “Kita sedang beralih daripada melindungi sumber kepada membangunkan industri yang bertanggungjawab berasaskan sumber tersebut. Kita juga sedang beralih daripada hanya menjadi penyumbang hijau kepada peneraju ekonomi hijau. “Ini bermakna membangunkan pasaran karbon yang berwibawa dan memberi manfaat kepada Sabah. Ia juga bermakna menarik pelaburan hijau berkualiti yang mewujudkan nilai ekonomi sebenar dan mengembangkan industri berasaskan tenaga boleh diperbaharui, pertanian mampan, ekonomi biru, ekopelancongan dan inovasi berasaskan biodiversiti. “Ia juga bermakna memastikan syarikat tempatan, pekerja tempatan dan komuniti tempatan menjadi sebahagian daripada rantaian nilai,” katanya. Ketua Menteri berkata jauh sebelum kemampanan menjadi agenda antarabangsa, Sabah sudahpun melindungi hutan, lautan, hidupan liar dan sebahagian daripada ekosistem terkaya di rantau ini. “Hari ini, hampir 30 peratus keluasan tanah Sabah berada di bawah Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (Totally Protected Areas), dan itu bukan satu komitmen yang kecil,” katanya. Beliau berkata WGSS adalah platform penting untuk membincangkan isu kemampanan yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat dan masa depan generasi muda. Namun katanya, kemampanan bukan sekadar kedengaran baik di dewan persidangan tetapi ia juga mesti berfungsi di lapangan dan masuk akal kepada rakyat. “Peralihan hijau yang terlalu mahal untuk keluarga biasa bukanlah sesuatu yang mampan. Dasar yang melindungi masa depan tetapi membebankan masa kini perlu dinilai dengan teliti. “Model pembangunan yang kelihatan baik di peringkat antarabangsa tetapi melemahkan daya saing tempatan bukanlah model yang tepat untuk Sabah. “Bagi Sabah, kemampanan mesti bersifat praktikal. Ia mesti adil. Ia mesti mampu dilaksanakan dan paling penting, ia mesti memberi manfaat kepada rakyat,” katanya. – Info X

May 25, 2026

Info X Reporters

Rumah, kereta musnah dalam kebakaran di Manggatal

KOTA KINABALU: Sebuah rumah jenis separuh kekal dan sebuah kenderaan musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Jalan Kampung Taman Kemas, Kampung Dombung, Manggatal, di sini, pagi tadi. Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.38 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas digerakkan ke lokasi. Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi kejadian pada jam 7.46 pagi selepas yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari BBP. “Sebaik tiba di lokasi, pemeriksaan mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis separuh kekal berkeluasan kira-kira 30 x 40 kaki persegi yang sudah terbakar hampir keseluruhannya. “Turut terjejas dalam kejadian itu ialah sebuah kenderaan jenis Kia Citra yang diparkir berhampiran rumah berkenaan dan turut musnah sepenuhnya akibat kebakaran. “Operasi pemadaman segera dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air daripada tangki jentera bomba bagi mengawal api daripada terus marak,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin. Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.52 pagi sebelum operasi diteruskan bagi kerja-kerja pemadaman sisa kebakaran serta pemeriksaan keselamatan di lokasi. Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi risiko bahaya di kawasan kejadian. “Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu dan setakat ini, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa,” katanya lagi. – Info X

May 24, 2026

Info X Reporters

Mangsa terkorban insiden bangunan runtuh di utara Filipina berasal dari Pitas

KOTA KINABALU: Seorang rakyat Malaysia yang dilaporkan terkorban dalam insiden bangunan runtuh di Filipina pada Ahad dikenal pasti seorang ahli perniagaan berasal dari Pitas. Memetik hantaran di Facebook Pitas Hari ini, mangsa dikenali sebagai Ng Lai Thau @ Dusun, seorang ahli perniagaan yang turut aktif dalam politik di Pitas. Berdasarkan info yang dikongsikan Facebook Pitas Hari Ini, kematian mangsa akibat insiden itu disahkan anaknya. Dalam insiden di bandar Angeles, Pampanga, utara Filipina pada jam 3 pagi Ahad, sebuah bangunan sembilan tingkat yang masih dalam pembinaan dilaporkan runtuh. Sementara itu, laporan media antarabangsa menyatakan mangsa terkorban akibat terperangkap dalam sebuah hotel apartment yang terjejas akibat runtuhan bangunan terbabit. Dilaporkan seramai 26 individu berjaya diselamatkan selepas bangunan sembilan tingkat itu runtuh, masing-masing seramai 24 orang dikeluarkan dari struktur bangunan yang runtuh itu, manakala dua lagi diselamatkan dari hotel apartmen berhampiran yang turut terjejas akibat insiden berkenaan. Dalam pada itu, Wisma Putra dalam satu kenyataan menyatakan simpati kepada semua pihak yang terkesan akibat insiden berkenaan. “Kedutaan Besar Malaysia di Manila sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memantau keadaan warganegara yang selamat serta mengesahkan status dan keberadaan seorang lagi rakyat Malaysia yang terlibat. “Pada masa yang sama, segala usaha sewajarnya sedang diambil bagi mengesan dan menghubungi waris kepada kedua-dua individu berkenaan,” katanya. – Info X

May 24, 2026

Info X Reporters

13 ‘hiker’ sesat ketika mendaki ditemui selamat

SANDAKAN: Seramai 13 pendaki yang dilaporkan sesat ketika melakukan aktiviti mendaki bukit di Rainforest Discovery Centre (RDC) Sepilok, di sini, malam tadi, berjaya ditemui dalam keadaan selamat oleh pasukan bomba. Dalam kejadian itu, semua mangsa membabitkan 12 perempuan dan seorang lelaki dilaporkan sukar mencari jalan turun dari kawasan bukit berikutan keadaan gelap. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.38 malam. Katanya, sepasukan lima anggota bersama sebuah jentera Compact Rescue Tender (CRT) kemudian digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai. “Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati semua mangsa masih berada di atas bukit dan tidak dapat mencari laluan keluar. “Pasukan bomba kemudian berjaya menemui kesemua mangsa sebelum mengiringi mereka turun dengan selamat hingga ke pintu utama RDC,” katanya. Menurutnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.14 malam selepas semua mangsa dipastikan selamat. – Info X

May 24, 2026

Info X Reporters

13 ‘hiker’ dikhuatiri sesat ketika mendaki

SANDAKAN: Seramai 13 orang dikhuatiri tersesat ketika mendaki bukit dalam kejadian di Pusat Penemuan Hutan Hujan (RDC) Sepilok, di sini, hari ini. Difahamkan, operasi mencari dan menyelamat kesemua mangsa masih lagi dilakukan oleh sepasukan anggota bomba. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 7.38 malam menerusi talian kecemasan. Katanya, lima anggota bergegas ke lokasi itu yang terletak 20 kilometer daripada balai sebaik menerima laporan. “Berdasarkan laporan awal, semua 13 mangsa melakukan aktiviti mendaki bukit di situ dan dikhuatiri tersesat. “Kita masih lagi menunggu laporan daripada anggota di lapangan. Maklumat akan dikemas dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X

May 24, 2026

Info X Reporters

Remaja dicekup pecah rumah, larikan wang tunai RM3,630

TAWAU: Tindakan seorang remaja lelaki dipercayai memecah masuk sebuah rumah dan melarikan wang tunai lebih RM3,600 mengundang padah apabila dia berjaya diberkas polis, awal pagi tadi. Suspek berusia 15 tahun yang juga seorang pelajar ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 2.30 pagi di sebuah hotel di Jalan Haji Karim, di sini. Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, tangkapan dilakukan hasil maklumat dan risikan susulan laporan pecah rumah yang diterima pada 21 Mei lalu. Katanya, mangsa bersama ahli keluarga menyedari kehilangan tiga dompet mengandungi wang tunai yang disimpan di dalam almari pakaian di bilik rumah mereka di Kampung Bergosong Besar. “Siasatan awal mendapati almari berkenaan dipercayai sudah digeladah selain terdapat kesan umpilan pada lantai kayu di bahagian tandas dan dapur belakang rumah yang dipercayai menjadi laluan masuk suspek. “Jumlah kerugian membabitkan wang tunai milik mangsa dan ibu bapanya dianggarkan RM3,630,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah. Beliau berkata, polis kini giat mengesan semula barang kes selain menjalankan ujian saringan air kencing terhadap suspek bagi membantu siasatan lanjut. “Orang ramai dinasihatkan supaya memastikan rumah sentiasa berkunci selain tidak menyimpan wang tunai dalam jumlah besar di kediaman bagi mengelakkan menjadi sasaran penjenayah,” katanya. – Info X

May 24, 2026

Info X Reporters

Tegur buat bising, lelaki disyaki ugut jiran guna topi keledar

TAWAU: Hanya kerana ditegur membuat bising, seorang lelaki dipercayai naik angin sebelum mengugut jirannya menggunakan topi keledar dalam kejadian di Taman Ria 6, Jalan Utara, di sini, Jumaat lalu. Dalam kejadian itu, mangsa lelaki berusia 41 tahun dikatakan menegur suspek yang membuat bising di kawasan kejiranan sebelum berlaku pertengkaran mulut antara mereka. Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, suspek dipercayai tidak berpuas hati selepas mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit. “Suspek kemudian dipercayai mengeluarkan kata-kata ugutan untuk mencederakan mangsa menggunakan topi keledar. Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau menahan lelaki tempatan berusia 44 tahun yang bekerja sebagai mekanik kira-kira jam 11 malam pada hari sama di kawasan Taman Ria 6,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Katanya, polis turut merampas sebuah topi keledar yang dipercayai digunakan ketika kejadian. “Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes dadah. “Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya. Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak bertindak mengikut emosi atau mengeluarkan ugutan yang boleh mengancam keselamatan orang lain kerana tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang. – Info X

May 24, 2026

Info X Reporters

Guna LC ‘cantik’, rupanya nombor casis dan enjin meragukan

TAWAU: Taktik dua lelaki menggunakan motosikal Yamaha LC135 dipercayai ‘clone’ terbongkar selepas mereka ditahan polis dalam pemeriksaan di Batu 3 1/2, Jalan Apas, di sini, kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau menjalankan pemeriksaan terhadap dua motosikal di hadapan sebuah bengkel motosikal di Taman Sri Aman. Pemeriksaan kemudian mendapati nombor casis dan nombor enjin kedua-dua motosikal berkenaan dalam keadaan mencurigakan. Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, dua lelaki berusia 28 dan 29 tahun termasuk seorang warga asing terus ditahan bagi membantu siasatan. Menurutnya, pemeriksaan terhadap sebuah Yamaha LC135 hitam mendapati nombor casis motosikal itu sebenarnya didaftarkan kepada motosikal lain manakala nombor enjinnya pula menggunakan rekod kenderaan berbeza. “Pemeriksaan ke atas sebuah lagi Yamaha LC135 warna silver tanpa nombor pendaftaran pula mendapati nombor casis tidak mempunyai rekod selain nombor enjinnya dipercayai sudah diganggu. “Kedua-dua suspek juga gagal memberikan penjelasan munasabah berhubung pemilikan motosikal terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, kedua-dua motosikal itu kemudian dirampas untuk tindakan lanjut termasuk semakan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pemeriksaan teknikal berkaitan nombor enjin serta casis. “Kes disiasat mengikut Seksyen 22A Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah. “Polis akan terus mempergiat operasi bagi mengesan kegiatan penggunaan motosikal curi, ‘clone’ serta pengubahsuaian nombor casis dan enjin di daerah ini,” katanya. – Info X