Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

May 18, 2026

Info X Reporters

Peluk, tarik tangan pelajar perempuan, buruh kasar dipenjara 12 bulan

PAPAR: Seorang buruh kasar dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 12 bulan dan denda RM5,000 selepas mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan melakukan kekerasan jenayah membabitkan lima pelajar perempuan di sekitar Kinarut, awal bulan ini. Tertuduh, Najir Kuati, 44, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret Papar, di sini, hari ini. Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan jenayah itu terhadap lima mangsa berusia antara tujuh hingga 14 tahun pada 4 Mei lalu, di beberapa lokasi sekitar SMK Kinarut, Klinik Kesihatan Kinarut dan Skim Penempatan Kinarut. Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menarik tangan kanan seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun tanpa kerelaan pada jam 10.30 pagi berhampiran Klinik Kesihatan Kinarut. Atas kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda RM1,000 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda. Bagi pertuduhan kedua, tertuduh sekali lagi didakwa menarik tangan kanan seorang lagi pelajar perempuan berusia 13 tahun di lokasi sama kira-kira jam 10.50 pagi sebelum dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda RM1,000 atau penjara sebulan jika gagal membayar. Menerusi pertuduhan ketiga pula, lelaki itu didakwa menarik tangan kiri seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di tepi jalan hadapan Skim Penempatan Kinarut pada jam 11.10 pagi, lalu dihukum penjara tiga bulan dan denda RM1,000 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda. Tertuduh turut didakwa memeluk seorang pelajar perempuan berusia 12 tahun tanpa kerelaan berhampiran SMK Kinarut pada jam 11.20 pagi dalam pertuduhan keempat dan dihukum penjara dua bulan serta denda RM1,000 atau penjara sebulan jika gagal membayarnya. Sementara itu, bagi pertuduhan kelima, tertuduh didakwa menarik tangan kanan seorang lagi pelajar perempuan berusia 13 tahun di simpang Taman Sri Juta Kinarut pada jam 10.50 pagi sebelum dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM1,000 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah dalam kelima-lima pertuduhan. Mahkamah turut memerintahkan semua hukuman penjara dijalankan secara berasingan. Pendakwaan dikendalikan Inspektor Amir Khuzairi Ahmad manakala kes disiasat oleh Inspektor Desmond Tanggapan bersama pasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Papar yang berjaya melengkapkan siasatan sehingga tertuduh didakwa dan dijatuhi hukuman hari ini. Terdahulu, tular di media sosial seorang lelaki didakwa mengganggu pelajar sekolah yang sedang menunggu bas di kawasan Kinarut sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai. – Info X

May 18, 2026

Info X Reporters

Penstrukturan semula Gagasan Rakyat ambil kira peralihan kepimpinan baharu – Masidi

KOTA KINABALU: Penstrukturan semula Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menerusi pindaan perlembagaan parti itu dilihat sebagai langkah penting bagi memastikan kelangsungan dan pembaharuan kepimpinan masa depannya. Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata pindaan perlembagaan yang dicadangkan bukan saja memperkukuhkan struktur organisasi parti, malah membuka ruang lebih luas kepada generasi baharu untuk tampil memimpin. Jelasnya, pemimpin sedia ada perlu menerima hakikat bahawa proses peralihan kepimpinan perlu dilakukan demi memastikan Gagasan Rakyat terus relevan dan mampu berkembang. “Kita mahu menyediakan masa depan untuk generasi seterusnya. Sebagai pemimpin, antara tanggungjawab paling penting ialah menyediakan pelapis kepimpinan kepada parti,” katanya. Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Persidangan Agung Khas Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad. Masidi yang juga Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, struktur baharu yang dicadangkan memberi penekanan kepada konsep pasukan kepimpinan bagi menghimpunkan semua bakat dan kekuatan pemimpin dalam satu organisasi yang lebih mantap. Katanya, pemimpin juga perlu bersedia memberi peluang kepada individu yang lebih berkebolehan demi memperkukuhkan parti. “Kalau ego menguasai kita, lambat-laun parti akan jatuh. Kita perlu berjiwa besar dan memberi ruang kepada mereka yang mampu memimpin bersama,” katanya. Beliau turut menegaskan bahawa parti itu kini berada dalam fasa lebih matang dan perlu melahirkan pemimpin yang mampu bersaing bukan saja di peringkat negeri tetapi juga di peringkat kebangsaan. “Kita mahu pemimpin kita mampu bersaing di peringkat negeri dan juga kebangsaan,” katanya. Dalam pada itu, Masidi berkata kestabilan politik, keharmonian kaum dan agama serta pengurusan kerajaan negeri yang baik menjadi faktor penting yang meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Sabah. “Apa yang lebih penting adalah membangunkan negeri serta memastikan setiap rakyat mendapat manfaat daripada pembangunan yang dilaksanakan. “Justeru usaha memperkukuhdan meningkatkan kualiti kepimpinan parti perlu diteruskan agar pentadbiran negeri dapat diurus dengan lebih berkesan dan teratur,” katanya. Masidi menegaskan, kerajaan negeri di bawah pimpinan GRS memberi tumpuan kepada kerja dan pencapaian sebenar berbanding retorik politik semata-mata. Pada Ahad, Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan pindaan perlembagaan parti itu bagi membolehkan bahagian parti ditukar mengikut 26 kawasan Parlimen di Sabah dan Labuan, berbanding 74 bahagian mengikut kawasan DUN sebelum ini disokong sebulat suara perwakilan Persidangan Agung Khas Gagasan Rakyat. – Info X

May 18, 2026

Info X Reporters

Chris Pereira lancar album sulung selepas lebih dua dekad warnai muzik Sabah

KOTA KINABALU: Selepas lebih dua dekad aktif mewarnai industri muzik tempatan, penggiat seni veteran Sabah, Chris Pereira atau lebih dikenali sebagai DecipherBKI, melancarkan album sulung berjudul Architect of Sound and Syntax dalam satu acara khas di Ruang Tamu Ekosistem, Alamesra, di sini, Jumaat lalu. Chris yang aktif sebagai penerbit, komposer dan penyanyi rap sejak 1999 disifatkan antara pengkarya multidisiplin paling lama bertahan dalam landskap muzik Sabah, dengan penglibatan merentasi pelbagai genre termasuk gospel, hip hop, alternatif, metal serta muzik eksperimental. Sepanjang perjalanan seninya, beliau bukan sahaja aktif menghasilkan muzik, malah turut bekerjasama dengan artis tempatan dan antarabangsa selain terlibat dalam pelbagai projek swasta, kerjasama bersama agensi kerajaan dan inisiatif kebajikan. Malah, sebahagian besar sumbangannya dilakukan secara sukarela tanpa imbuhan kewangan sebagai manifestasi komitmen terhadap pembangunan karya kreatif berasaskan komuniti di Sabah. Album Architect of Sound and Syntax menampilkan koleksi demo, rakaman mentah dan susunan instrumental yang memperlihatkan proses kreatif di sebalik penghasilan karya muziknya. Tidak sekadar menampilkan hasil akhir yang sempurna, album itu membuka ruang kepada pendengar untuk menelusuri asas pembinaan sesebuah karya daripada lakaran awal hingga berkembang menjadi susunan muzik lengkap. Sebagai penerbit dan penulis lirik, DecipherBKI membawa pendengar meninjau sisi kreatif penghasilan muzik yang menggabungkan ritma, bahasa dan idea dalam satu kerangka karya yang lebih mendalam. Menariknya, Chris turut mengetengahkan sisi kreatif lain menerusi bidang fotografi di bawah nama ChrisCanShoot, dengan kulit album berkenaan menggunakan hasil fotografi asli Gunung Kinabalu yang dirakamnya sendiri. Berbeza daripada pelancaran album konvensional, acara itu diadakan dalam format sesi bicara artis yang dikendalikan podcaster Harold Egn daripada The Sip Sip Show bersama Adi Haji dari kolektif seni terkenal Pangrok Sulap. Majlis berkenaan menghimpunkan pelbagai penggiat industri kreatif Sabah termasuk wakil organisasi seperti SCENIC dan IDS, selain kehadiran pemain gitar fingerstyle terkenal Roger Wang, artis hip hop veteran Arafah Ambrose daripada KamiKrazie, artis nasional Ordin.J dan Daisy Dreams serta ramai bakat baharu tempatan. Pelancaran album itu dilihat sebagai satu pencapaian penting dalam perjalanan seni Chris Pereira yang meraikan lebih 20 tahun sumbangannya terhadap gerakan kreatif bebas Sabah, selain terus merapatkan hubungan antara muzik, seni visual, penceritaan dan budaya komuniti. – Info X

May 18, 2026

Info X Reporters

Sambutan Kaamatan di Keningau, Shafie, Jeffrey cetus spekulasi baharu

KOTA KINABALU: Kehadiran Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ke sambutan Kaamatan atas jemputan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan di Keningau pada Ahad mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan ‘kerjasama baharu’ politik di antara kedua-dua pemimpin veteran itu. Meskipun kehadiran Ketua Pembangkang DUN Sabah itu disifatkan atas semangat Kaamatan yang dirayakan masyarakat Kadazandusun Murut, ramai pemerhati politik menghidu ada sesuatu di sebalik kemesraan kedua-dua pemimpin itu, lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang dijangka diadakan tahun depan. Shafie dalam perkongsian di akaun Facebook beliau hanya menyebut mengenai sambutan Kaamatan dan berterima kasih kepada Jeffrey atas jemputan ke sambutan itu, tanpa ada sebarang komen politik. “Terima kasih Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan atas jemputan ke Sambutan Kaamatan di Keningau hari ini. “Kaamatan sentiasa menjadi ruang untuk kita berkumpul, bertemu sahabat lama dan meraikan budaya serta tradisi yang menyatukan rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang. “Suasana yang cukup mesra dan meriah. Kotobian Tadau Tagayo Do Kaamatan,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau. Namun, kebanyakan komen terhadap hantaran itu menyebut soal politik, termasuk melihat kehadiran Shafie dan Jeffrey di pentas Kaamatan sebagai bibit kerjasama politik menjelang PRU16. Tidak menghairankan timbul spekulasi itu berikutan hubungan politik di antara STAR dan Warisan sebelum ini dilihat agak renggang, malah Jeffrey sering menjadi sasaran kritikan Shafie ketika perbahasan atau soal jawab di DUN ketika ADUN Tambunan itu menjadi Timbalan Ketua Menteri pada penggal DUN yang lalu. Sambutan Kaamatan itu turut dihadiri Pembantu Menteri Kewangan negeri, Datuk Mohd Ishak Ayub yang juga ADUN Bingkor. Meskipun tidak lagi bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas keluar dari gabungan itu menjelang PRN17 Sabah pada November lalu, STAR menyokong kerajaan pimpinan Hajiji yang dibentuk selepas pilihan raya itu. STAR hanya mempunyai dua kerusi DUN iaitu Bingkor dan Tambunan. – Info X

May 17, 2026

Info X Reporters

Lelaki warga asing ditahan kes amang seksual remaja 15 tahun

BEAUFORT: Seorang lelaki warga asing berusia 43 tahun ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di Kampung Limputong, Weston, di sini, hari ini. Suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort hasil tindakan pantas pihak polis susulan laporan diterima. Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan. “IPD Beaufort memandang serius sebarang bentuk jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan akan mengambil tindakan tegas bagi memastikan mangsa mendapat pembelaan sewajarnya serta pelaku dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

May 17, 2026

Info X Reporters

Dua lelaki ditahan memandu bawah pengaruh alcohol

SANDAKAN: Dua lelaki tempatan ditahan selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Operasi Mabuk yang dijalankan di Batu 4, Jalan Utara, di sini, awal pagi tadi. Operasi berkenaan dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan membabitkan seorang pegawai kanan bersama 11 anggota. Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, operasi itu dijalankan susulan maklumat dan aduan diterima daripada orang awam. Katanya, kedua-dua lelaki terbabit ditahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang dibenarkan. “Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun serta denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000. “Pesalah juga boleh hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, sepanjang operasi itu dijalankan, sebanyak 14 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas. Menurutnya, pemeriksaan menyeluruh dilakukan terhadap semua pengguna jalan raya bagi memastikan pematuhan undang-undang dan peraturan lalu lintas selain mengesan kesalahan lain. “Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas serta tidak memandu di bawah pengaruh alkohol demi keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya. – Info X

May 17, 2026

Info X Reporters

Gagasan Rakyat sedia hadapi PRU selaras pindaan perlembagaan – Hajiji

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang selaras pindaan perlembagaannya bagi menjadikan 26 kawasan Parlimen di Sabah dan Labuan sebagai bahagian baharu parti. Menjelaskan perkara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Presiden Gagasan Rakyat, berkata persediaan jentera parti itu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat. “Kita bersedia untuk menghadapi pilihan raya akan datang, menyusun strategi parti dan mengemaskan jentera mengikut Parlimen. Kebetulan kita akan menghadapi Pilihan Raya Umum Parlimen, ini amat sesuai dengan pindaan yang kita buat ini,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai Persidangan Agung Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad. Persidangan khas yang dihadiri perwakilan dari seluruh Sabah dan Labuan itu bertujuan untuk meminda perlembagaan parti bagi membolehkan bahagiannya ditetapkan mengikut kawasan Parlimen, berbanding Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini. Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata, usul itu disokong sebulat suara oleh semua pembahas dari sayap Wanita, Pemuda, Beliawanis dan Bahagian Gagasan Rakyat serta perwakilan yang hadir. Mengulas lanjut mengenai pindaan itu, Hajiji berkata usul yang diluluskan pada persidangan khas itu akan dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk kelulusan jabatan berkenaan. “Pindaan perlembagaan parti telahpun selesai dan diberi sokongan sebulat suara. Ini bererti pindaan kita daripada 74 bahagian kepada 26 telah diluluskan dan akan dikemukakan kepada ROS untuk kelulusan. Jadi, kita akan membuat pengemaskinian struktur parti kita selepas ini menggunakan kawasan Parlimen,” katanya. Mengenai kerjasama menghadapi PRU16, Hajiji berkata Gagasan Rakyat akan melihat seluas-luasnya kemungkinan untuk bekerjasama dengan parti lain jika membawa kebaikan kepada rakyat dan negeri. “Dalam politik semua kita mesti tengok seluas-luasnya. Kalau ia mendatangkan kebaikan kepada negeri, perpaduan rakyat, apa salahnya? Itu yang baik. Kerana matlamat kita, perjuangan kita ialah untuk bersatu padu dan membangunkan negeri kita,” katanya. Sementara itu, pada persidangan berkenaan, Hajiji berkata Gagasan Rakyat turut menerima kemasukan ahli baharu parti itu dari bekas ahli Parti Warisan di bahagian Keningau. “Saya amat senang hati, gembira kerana sempena dengan Perhimpunan Agung Khas ini, kita juga menerima kemasukan beramai-ramai ahli daripada Warisan di bahagian Keningau untuk sama-sama berjuang dengan Gagasan Rakyat,” katanya. – Info X

May 17, 2026

Info X Reporters

Gagasan Rakyat ambil langkah berani, progresif pinda struktur bahagian – Azrul Ibrahim

KOTA KINABALU: Pindaan perlembagaan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bagi menjadikan kawasan Parlimen sebagai bahagian baharu parti itu disifatkan sebagai langkah berani dan progresif dalam memperkukuh parti. Pemangku Ketua Pemudanya, Datuk Azrul Ibrahim, berkata pindaan itu juga adalah satu langkah strategik bagi memantapkan keupayaan Gagasan Rakyat menghadapi cabaran politik. “Gagasan Rakyat mengambil langkah berani dan progresif dalam memperkukuhkan parti melalui penyusunan semula struktur organisasi daripada 74 Bahagian kepada 26 Bahagian. “Langkah ini bukan sekadar perubahan pentadbiran, tetapi satu keputusan strategik demi memastikan parti terus tersusun, lebih fokus, mantap dan bersedia menghadapi cabaran politik masa depan. “Pemuda melihat keputusan ini sebagai bukti kematangan perjuangan parti dalam memastikan kekuatan akar umbi dapat digerakkan secara lebih efektif dan tersusun. “Perubahan struktur tidak pernah memadam nilai perjuangan mana-mana ahli, malah menjadi ruang untuk seluruh jentera bergerak lebih bersatu dan kuat sebagai satu pasukan,” katanya. Beliau mengulas pindaan perlembagaan Gagasan Rakyat yang diluluskan sebulat suara oleh perwakilan pada Persidangan Agung Khas parti itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad. Persidangan itu disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Presiden Gagasan Rakyat dan turut dihadiri semua pemimpin tertinggi parti berkenaan. Azrul berkata, saya Pemuda Gagasan Rakyat akan terus menjadi pemangkin kepada pemerkasaan parti, sejajar peranan anak muda yang bukan sekadar pelapis, malah menjadi tenaga penggerak utama perjuangan masa depan Sabah. “Kita mahu membina generasi muda yang berani, responsif, berfikiran progresif serta mampu mendepani cabaran dunia baharu termasuk teknologi AI, ekonomi digital dan persaingan global,” katanya. Jelasnya, kestabilan politik yang dibawa Kerajaan GRS membuka lebih banyak peluang pembangunan kepada rakyat melalui pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, pembangunan infrastruktur, pendidikan dan kebajikan rakyat yang lebih menyeluruh. Katanya, ia adalah asas perjuangan yang mesti terus dipertahankan dan diperkasakan. “Perjuangan ini bukan mengenai jawatan atau kedudukan semata-mata, tetapi memastikan Sabah terus dipimpin dengan stabil, bermaruah dan berpaksikan kepentingan rakyat. “Rumah perjuangan ini telah dibina dengan pengorbanan ramai pejuang di akar umbi dan rumah ini, kitalah yang akan terus jaga bersama,” katanya. – Info X