Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

May 17, 2026

Info X Reporters

Adik ditemui lemas, operasi SAR dua beradik tamat

KOTA BELUD: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua beradik yang dipercayai lemas di sungai berhampiran kawasan perkhemahan di Polumpung Melangkap Baru, di sini, tamat sepenuhnya petang ini selepas mangsa kedua ditemukan meninggal dunia. Mangsa, Daniel Abdullah, 18, ditemukan orang awam pada jam 12.04 tengah hari di Sektor A kira-kira 200 meter dari lokasi tempat mandi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba Elge Bakuk berkata, operasi SAR hari kedua dimulakan pada jam 8.50 pagi dengan pencarian dibahagikan kepada tiga sektor. Katanya, Sektor A membabitkan pencarian menyelusuri sungai dari lokasi mangsa dilaporkan hilang di Polumpung Melangkap hingga ke Sondot View Camp sejauh 3.4 kilometer. “Sektor B pula menjalankan pencarian dari kawasan SK Narinang hingga ke Sondot View Camp sejauh 5.2 kilometer. “Sementara itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Team Rafting melaksanakan pencarian di Sektor C menggunakan kaedah rafting bermula dari lokasi kejadian hingga ke Pekan Taginambur,” katanya ketika dihubungi hari ini. Menurutnya, sebaik ditemukan, mangsa disahkan meninggal dunia sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 12.30 tengah hari untuk tindakan lanjut. Katanya, operasi SAR kemudian ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.30 petang selepas pasukan penyelamat memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian. Operasi membabitkan 13 anggota BBP Kota Belud bersama bantuan PDRM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan NGO Team Rafting. Terdahulu, dalam kejadian semalam, abang mangsa, Zul Hakim Abdullah, 23, ditemukan pasukan bomba pada jam 10.18 pagi kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian sebelum disahkan meninggal dunia oleh KKM. – Info X

May 17, 2026

Info X Reporters

Ranjau politik Sabah kuatkan semangat perjuangan GRS – Hajiji

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengingatkan rakan pemimpin dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengenai ranjau politik dihadapi gabungan itu sejak mula-mula mengambil alih kerajaan pada 2020. Katanya, pada masa itu semua sedar aspirasi rakyat Sabah yang tidak mahu terus bergantung kepada percaturan orang lain untuk menentukan masa depan negeri ini. Jelasnya, Sabah pada masa itu memerlukan satu kekuatan tempatan yang mampu bercakap dengan suara sendiri, membuat keputusan sendiri dan mempertahankan kepentingan rakyat Sabah dengan lebih berani dan bermaruah. “Sebab itulah GRS ditubuhkan dan daripada perjuangan itulah, lahirnya Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sebagai tunjang utama untuk memastikan rumah politik Sabah ini terus kukuh, stabil dan dipimpin oleh perjuangan yang berpaksikan rakyat negeri ini,” katanya pada ucaptama Persidangan Agung Khas Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad. Bagaimanapun, Pengerusi GRS itu berkata rakyat menyaksikan realiti parti politik negeri ini yang tidak pernah kekal dalam perjuangan bersama berikutan ada pemimpin berubah arah ketika menjelang pilihan raya. Beliau yang juga Presiden Gagasan Rakyat menegaskan, peristiwa itu membawa pengajaran besar kepada GRS dan parti pimpinannya dalam mencorak perjuangan serta masa depan parti, terutama bagi mengekalkan kestabilan kerajaan negeri. “Dahulu, ada yang paling lantang bercakap tentang Sabah mesti kuat seperti Sarawak, merekalah yang berkobar-kobar menyeru supaya parti-parti tempatan bersatu, bercakap tentang satu hati, tentang maruah politik Sabah dan perjuangan tempatan untuk rakyat Sabah. “Tapi, apabila tiba musim ujian, pilihan raya semakin dekat, kuasa dan kedudukan mula menjadi pertimbangan, di situlah kita nampak warna sebenar perjuangan mereka. Ada yang mahu keluar, ada yang tiba-tiba mahu membawa haluan solo, malah ada juga yang meninggalkan perjuangan hanya kerana jawatan yang diharapkan tidak menjadi miliknya. “Kita hormati keputusan mereka, kita tidak marah, tidak berdendam Tetapi rakyat boleh melihat sendiri; siapa yang benar-benar berjuang untuk Sabah? Setiap peristiwa itu mesti menjadi pengajaran besar kepada kita semua. “Perjuangan sebenar diuji apabila kepentingan peribadi terpaksa diketepikan demi kestabilan dan kekuatan bersama. Kalau benar kita mahu Sabah kuat seperti Sarawak, maka kekuatan itu tidak boleh lahir daripada ego politik yang berpecah-pecah. “Sebab itu, setiap kali ada yang memilih untuk pergi; Gagasan Rakyat tidak boleh menjadi lemah. Sebaliknya kita mesti menjadi lebih kuat, ebih tenang dalam menghadapi cabaran, lebih matang membuat keputusan, lebih teratur dalam perjuangan dan lebih bersatu mempertahankan rumah kita ini,” katanya. Hajiji turut mengingatkan supaya pemimpin di negeri ini tidak terlalu sibuk berlumba menjadi siapa paling lokal, paling asli atau siapa paling hebat bersuara, kerana rakyat tidak hidup dengan retorik. Katanya, apa yang rakyat mahukan ialah pekerjaan, ekonomi yang bergerak, peluang untuk anak-anak mereka dan mahukan kerajaan yang stabil serta mampu menyelesaikan masalah. “Itulah ukuran politik yang sebenar. Kalau kita terlupa perkara ini, mungkin kita menang di pentas ucapan sahaja tetapi kalah dalam keyakinan rakyat. “Hari ini saya bercakap bukan sahaja sebagai Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah tetapi saya juga bercakap sebagai Pengerusi GRS dan Ketua Menteri Sabah. “Tanggungjawab ini amatlah besar, sebab itu keputusan parti tidak boleh dipandu oleh fikiran yang sempit atau pertimbangan jangka pendek. Ada waktunya, kita perlu menyusun semula kekuatan dan struktur perjuangan supaya rumah besar yang kita bina ini terus kukuh, stabil dan mampu diwariskan kepada generasi yang akan datang,” katanya. Ketua Menteri berkata, rakyat mesti menilai pencapaian kerajaan dengan adil dan berasaskan realiti memandangkan Kerajaan GRS bukan kerajaan yang mewarisi keadaan mudah. “Kita mengambil alih ketika ekonomi Sabah terkesan akibat pandemik, politik berada dalam keadaan tidak menentu dan banyak isu pembangunan telah lama tertangguh tetapi dalam keadaan yang mencabar itulah, kita memilih untuk bekerja, bukan mencari alasan. “Kita susun semula keutamaan kerajaan, pperkemaskan tadbir urus, kita fokus kepada kestabilan politik, pemulihan ekonomi dan asas pembangunan jangka panjang negeri. “Itulah disiplin Sabah Maju Jaya (SMJ) yang saya bawa. Kita tidak menjanjikan perubahan hanya di pentas ucapan. Kita mula membina perubahan itu melalui dasar, pelaksanaan dan hasil yang boleh dirasai rakyat,” katanya. – Info X

May 17, 2026

Info X Reporters

Persidangan Khas Gagasan Rakyat: 26 bahagian baharu kukuhkan lagi parti

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mengambil keputusan merombak struktur parti dengan menjadikan kawasan Parlimen berbanding Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai bahagian. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata perubahan itu yang akan dibuat menerusi pindaan perlembagaan parti akan menyaksikan Gagasan Rakyat mempunyai 26 bahagian baharu berbanding 74 bahagian termasuk Labuan sebelum ini. Beliau yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata, penstrukturan itu penting dalam usaha memperkukuh Gagasan Rakyat di semua bahagian, di samping memastikan bahagian yang kecil dapat disatukan untuk menjadi lebih besar dan kuat, selain memastikan kestabilan berterusan kerajaan negeri. “Sebagai Presiden Parti, saya yakin keputusan ini tepat, perlu dan bertanggungjawab kerana kalau kita mahu parti Gagasan Rakyat terus memimpin, parti kita tidak boleh sekadar kelihatan besar pada nama atau jumlah bahagian yang banyak semata-mata. Kita kena pastikan parti kita tersusun rapi, sentiasa bergerak sebagai satu pasukan, dan jelas arah perjuangannya. “Selama ini, kita mempunyai 74 Bahagian mengikut kawasan DUN, termasuk Labuan. Di atas kertas, ia nampak besar, nampak gah dan nampak lengkap tetapi realitinya, tidak semua Bahagian bergerak pada tahap yang sama. “Ada Bahagian yang gerak kerjanya sangat aktif, cawangannya hidup, ahlinya ramai, namun ada juga Bahagian yang cawangannya kecil, keahliannya nipis dan kekuatan jenteranya belum mencapai tahap yang diperlukan. “Kalau struktur terlalu banyak, tetapi kekuatannya tidak seimbang, maka sumber parti akan terpecah terlalu kecil,” katanya pada ucaptama Persidangan Agung Khas Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad. Hajiji berkata persidangan khas itu adalah satu titik penting dalam perjalanan parti pimpinannya untuk melaksanakan satu keputusan besar diputuskan Majlis Tertinggi parti, demi masa depan Gagasan Rakyat. Katanya, keputusan itu dibuat dengan penuh pertimbangan setelah melihat realiti politik semasa, kekuatan organisasi Gagasan Rakyat, kesiapsiagaan jentera dan tanggungjawab sebagai parti yang memimpin Kerajaan Negeri. “Majlis Tertinggi telah melihat perkara ini secara jujur dan matang. Kalau struktur lama tidak lagi memberikan kekuatan yang optimum, maka struktur itu mesti disusun semula. “Terus terang saya katakan, sesebuah parti tidak boleh dipimpin hanya dengan semangat emosi dan perasaan kerana akhirnya, parti kita bukan sekadar mahu wujud, parti kita ini mesti cukup kuat atau bertahan, cukup tersusun atau bergerak ke hadapan. “Cukup diyakini dan memimpin dan cukup bersatu untuk terus memenangi kepercayaan rakyat. Maka atas sebab itu pindaan ini diputuskan, bukan untuk menafikan jasa sesiapa atau mengenepikan pengorbanan sesiapa tetapi untuk memperkukuhkan Parti Gagasan Rakyat Sabah,” katanya. Hajiji mengakui tindakan penstrukturan parti itu daripada 74 Bahagian kepada hanya 26 Bahagian Parlimen, termasuk Labuan, pasti ada perubahan kedudukan, cara dan susunan gerak kerja parti. “Itu adalah hakikat dalam mana-mana proses penyusunan semula tetapi saya mahu tegaskan dengan jelas; bahawa yang berubah hanyalah struktur parti, bukan nilai perjuangan parti, bukan kepercayaan parti kepada ahli-ahlinya. “Jasa dan pengorbanan ahli parti tidak pernah terpadam hanya kerana struktur parti ini diperbaharui kerana nilai sebenar perjuangan tidak terletak pada gelaran atau kedudukan tetapi pada kesetiaan dan khidmat kepada parti serta rakyat,” katanya. Hajiji turut mengakui Gagasan Rakyat dapat berdiri hari ini kerana orang-orang kuat di bawahnya yang berjalan dari kampung ke kampung, dari rumah ke rumah dan dari majlis ke majlis dengan menggunakan masa dan tenaga sendiri, malah wang sendiri. “Saya nampak semua itu, saya tahu nilai pengorbanan itu dan saya menghargai semua itu. Sebab itu penyusunan semula ini bukan untuk memadam peranan sesiapa, sebaliknya, ia dibuat supaya semua kekuatan itu dapat diatur dengan lebih baik. “Kalau dahulu tuan-tuan memimpin di peringkat DUN, selepas ini peranan itu tetap penting dalam jentera Parlimen, cawangan, komuniti, gerak kerja pilihan raya dan struktur akar umbi parti. Jawatan boleh berubah, struktur boleh berubah, susunan boleh berubah tetapi perjuangan untuk Sabah tidak boleh berubah,” katanya. – Info X

May 17, 2026

Info X Reporters

Polis buru lelaki bantu siasatan kes dadah

KOTA KINABALU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berkaitan satu kes dadah yang dilaporkan di Penampang. Lelaki berkenaan dikenali sebagai Eric Leon Frankey, 27, dengan alamat terakhir di Taman Sri Kepayan, di sini. Dalam notis yang dikeluarkan JSJN Sabah, lelaki terbabit dikehendaki bersabit kes bernombor Penampang/000821/2026. Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Siti Norsaidah Mohamad Shah dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan lelaki terbabit supaya tampil membantu siasatan. Orang ramai boleh menghubungi talian 088-454650, 088-454222 atau terus menghubungi pegawai penyiasat di talian 012-8401695. Maklumat juga boleh disalurkan ke mana – mana balai polis berhampiran. – Info X

May 16, 2026

Info X Reporters

Penunggang maut motosikal dipercayai lawan arus

PAPAR: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda di kilometer (km) 20, Lebuhraya Pan Borneo, Papar – Kota Kinabalu, di sini, petang tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa lelaki berusia 23 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala. Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara terbabit sedang bergerak dari arah Kota Kinabalu menuju ke Beaufort. Katanya, sebuah motosikal dari arah bertentangan kemudian dipercayai masuk ke laluan kenderaan terbabit secara tiba-tiba. “Pemandu pacuan empat roda cuba mengelak namun gagal disebabkan jarak terlalu dekat sebelum berlaku perlanggaran. “Keadaan cuaca ketika kejadian dilaporkan hujan lebat dan permukaan jalan juga basah,” katanya ketika dihubungi, malam ini. Menurutnya, berdasarkan maklumat awal saksi awam di lokasi kejadian, motosikal berkenaan dipercayai melawan arus sebelum kemalangan berlaku. “Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. “Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Papar untuk tujuan bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Papar, Inspektor EL Najeeb Abdul Rhahman di talian 016-8813880 atau hadir ke balai polis berhampiran. “Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati terutama ketika cuaca buruk dan hujan lebat selain mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. “Elakkan melakukan tindakan berbahaya termasuk memotong secara melulu atau melawan arus kerana ia boleh mengancam nyawa sendiri serta pengguna jalan raya lain,” katanya. – Info X

May 16, 2026

Info X Reporters

Jualan produk Sabah cecah RM95.9 juta tahun lalu

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui pelbagai inisiatif pemerkasaan usahawan tempatan berjaya meningkatkan kebolehpasaran produk Sabah ke pasaran antarabangsa denganmencatatkan nilai potensi jualan mencecah RM95.9 juta sepanjang 2025. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pencapaian itu direkodkan menerusi penyertaan seramai 124 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dalam 18 ekspo perdagangan antarabangsa. “Prestasi ini menunjukkan peningkatan sebanyak 37.12 peratus berbanding RM60.4 juta pada tahun sebelumnya. Ini membuktikan produk keluaran Sabah mempunyai kualiti serta potensi besar untuk bersaing di pasaran global,” katanya. Beliau berkata demikian pada program Inspirasi Beli Barangan Malaysia di Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu. Ketua Menteri berkata bagi 2026 pula, Kerajaan Negeri akan terus memperluas akses pasaran antarabangsa dengan penyertaan dalam pelbagai ekspo perdagangan utama di beberapa negara termasuk Singapura, Thailand, Korea Selatan, Jepun dan Perancis. “Langkah ini bukan saja membuka peluang pasaran baharu kepada usahawan Sabah, malah turut memperkenalkan identiti serta keunikan produk tempatan ke peringkat dunia,” katanya. Beliau berkata, Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) telah diberikan mandat yang penting dalam memperkukuh pembangunan sektor keusahawanan dan industri tempatan. Hajiji berkata antara lain, penekanan kepada pembangunan kapasiti usahawan turut dilaksanakan melalui pelbagai program sokongan termasuk bantuan mesin dan peralatan perniagaan. Sehingga tahun 2025, seramai 5,879 usahawan tempatan telah menerima manfaat ini, khususnya dalam membantu meningkatkan produktiviti, kecekapan serta kemampuan perusahaan tempatan untuk terus berkembang. “Saya percaya, dengan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, agensi pelaksana dan pemain industri, agenda memperkukuh ekonomi domestik dan memartabatkan produk tempatan akan terus dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan demi manfaat rakyat dan kemajuan negeri Sabah secara keseluruhannya,” katanya. Hajiji menyeru usahawan Sabah untuk merebut peluang mengetengahkan produk yang berkualiti dan berpotensi tinggi berdasarkan kelebihan yang tidak dimiliki oleh banyak tempat lain untuk diketengahkan ke pasaran yang lebih luas. “Namun begitu, kita juga perlu mengakui bahawa masih ramai usahawan kita yang bergerak dalam skala kecil dan belum memanfaatkan sepenuhnya peluang yang tersedia. “Ada produk yang sangat baik, tetapi belum dipasarkan secara agresif. Ada yang berkualiti, tetapi masih lemah dari segi penjenamaan dan pembungkusan. “Ada juga yang mempunyai potensi besar, tetapi belum berani melangkah keluar daripada pasaran setempat,” katanya. Oleh itu, beliau mahu semua usahawan Sabah agar berani keluar daripada zon selesa. “Kalau kita mahu pergi lebih jauh, kita mesti berani berubah, berani belajar dan berani meneroka peluang baharu. Untuk menembusi pasaran global, kita mesti bersedia dari semua aspek. Kualiti produk perlu konsisten. “Pembungkusan atau packaging perlu memenuhi standard antarabangsa. Kita juga perlu memahami kehendak dan citarasa pengguna moden, termasuk pelancong yang datang ke negara kita,” katanya. Hajiji turut menyeru agar usahawan tempatan memanfaatkan peluang besar untuk memperkenalkan produk mereka sebagai duta kecil dalam sektor pelancongan Sabah yang telah mencatatkan kemasukan 10.67 juta orang pelancong dan jumlah perbelanjaan mencecah RM23.42 bilion pada tahun 2021 hingga 2025. “Jika diurus dengan baik, produk-produk tempatan ini mampu menjadi kekuatan ekonomi baharu yang membanggakan negara. Justeru, kepada usahawan di Sabah, manfaatkanlah juga peluang sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 untuk mempromosikan produk tempatan kepada pelancong yang datang ke negeri ini,” katanya. “Sehubungan itu, platform seperti Kempen Kita Beli Barangan Malaysia (KBBM) ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya. Menurutnya, pelaksanaan KBBM pada 2024 telah mencatatkan nilai jualan berjumlah RM7.4 bilion yang menunjukkan peningkatan berbanding RM6.5 billion pada tahun 2023 dan RM2.7 bilion pada tahun 2022. Katanya, dalam masa yang sama, pada tahun 2025, sektor perdagangan runcit dan borong negara terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila mencatatkan nilai jualan mencecah RM1.87 trilion, meningkat berbanding RM1.766 trilion pada 2024. Beliau berkata, pencapaian ini mencerminkan pertumbuhan aktiviti ekonomi domestik, peningkatan keyakinan pengguna serta perkembangan pesat sektor perdagangan negara. “Ini membuktikan bahawa usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem perdagangan domestik, termasuk melalui pelaksanaan kempen seperti KBBM, semakin memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhannya. “KBBM bukan sekadar ruang untuk menjual produk, tetapi peluang untuk membina jaringan, memperkukuh jenama dan membuka akses kepada pasaran yang lebih besar. “Saya amat menggalakkan usahawan Sabah untuk membina kerjasama strategik, bukan sahaja sesama usahawan di negeri ini, tetapi juga dengan rakan industri di Sarawak dan Semenanjung,” katanya. – Info X

May 16, 2026

Info X Reporters

Polis Marin Sabah rampas lebih RM20.6 juta menerusi Op Tiris 4.0

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merekodkan rampasan melebihi RM20.6 juta menerusi pelaksanaan Op Tiris 4.0 bagi tempoh Januari hingga April tahun ini. Sepanjang tempoh itu, sebanyak 54 kes direkodkan dengan 53 tangkapan dilakukan termasuk membabitkan 13 warga asing. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, kejayaan berkenaan hasil operasi berterusan dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan di negeri ini. Katanya, secara keseluruhan PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 994 kes membabitkan pelbagai jenis kesalahan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM51,811,372.79. “Menerusi Op Tiris 4.0 sahaja, nilai rampasan dicatatkan sebanyak RM20,660,390.50 termasuk barang kawalan, kenderaan dan peralatan yang digunakan dalam kegiatan itu. “Kes tertinggi membabitkan penyeludupan minyak subsidi petrol dan diesel dengan 43 kes direkodkan serta 46 tangkapan dilakukan termasuk 10 warga asing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, jumlah rampasan bahan api subsidi dianggarkan bernilai RM1,163,766.30 membabitkan 225,635 liter diesel dan petrol. Beliau berkata, turut direkodkan 11 kes membabitkan barang kawalan lain seperti minyak masak, gula dan tong gas LPG dengan nilai rampasan keseluruhan RM30,399.50. “PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat operasi dan penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti penyeludupan demi memastikan keselamatan serta kestabilan ekonomi negara terus terpelihara,” katanya. – Info X

May 16, 2026

Info X Reporters

Abang ditemukan lemas cuba selamatkan adik

KOTA BELUD: Percutian sebuah keluarga bertukar tragedi apabila seorang lelaki ditemukan lemas manakala adiknya masih hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus deras ketika mandi di sungai berhampiran kawasan perkhemahan di Polumpung Melangkap Baru, di sini, pagi tadi. Mangsa yang masih belum ditemui dikenali sebagai Daniel Abdullah, 18. Manakala abangnya, Zul Hakim Abdullah, 23, ditemukan meninggal dunia oleh penduduk Kampung Melangkap sebelum dimaklumkan kepada pihak bomba. Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang juga adik-beradik mengikuti percutian keluarga di lokasi berkenaan. Katanya, Daniel dipercayai dihanyutkan arus deras sebelum Zul Hakim cuba menyelamatkannya namun turut hilang dibawa arus. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 pada jam 9.26 pagi. Menurutnya, sepasukan sembilan anggota bersama jentera dari BBP Kota Belud dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 30 kilometer dari balai. “Setibanya di lokasi pada jam 10.01 pagi, pasukan bomba dimaklumkan terdapat dua mangsa dipercayai lemas di sungai berkenaan. “Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian dijalankan di permukaan sungai menggunakan kaedah water surface searching,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, mangsa pertama berjaya ditemukan pada jam 10.18 pagi kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian. “Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut serta proses pengecaman keluarga. “Operasi SAR bagi mengesan seorang lagi mangsa masih diteruskan di sekitar lokasi kejadian,” katanya. – Info X