April 27, 2026
Info X Reporters
Pemimpin muda masih tersekat sistem sedia ada — Salleh
KOTA KINABALU: Peralihan kepimpinan kepada generasi muda di Malaysia masih bergerak perlahan berikutan kekangan struktur parti politik yang lebih mengutamakan pengalaman, kata veteran UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak. Beliau berkata, walaupun terdapat tanda-tanda perubahan ke arah kepimpinan lebih muda, realitinya banyak negeri masih diterajui tokoh berpengalaman berusia lingkungan 60-an. Menurutnya, keadaan itu berpunca daripada hierarki parti yang kukuh, rangkaian naungan yang berakar umbi serta kebimbangan terhadap potensi ketidakstabilan sekiranya peralihan dilakukan secara mendadak. “Malaysia tidak kekurangan pemimpin muda yang berkaliber, namun sistem sedia ada masih memberi keutamaan kepada faktor pengalaman,” katanya dalam satu catatan di Facebook, semalam. Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata, hanya segelintir negeri memperlihatkan peralihan lebih jelas kepada kepimpinan muda. Antara contoh, katanya, ialah Amirudin Shari dan Onn Hafiz Ghazi yang masing-masing menerajui Selangor dan Johor. Bagaimanapun, beliau menegaskan secara keseluruhan landskap politik negara masih didominasi pemimpin berpengalaman sekali gus memperlahankan proses pembaharuan kepimpinan. Dalam pada itu, Salleh berpandangan Malaysia kini berada dalam fasa “peralihan separa” yang menyaksikan keseimbangan antara pemimpin lama dan muda, meskipun peralihan berkenaan belum menjadi arus utama. Beliau turut membuat perbandingan dengan landskap politik global yang menurutnya masih dikuasai pemimpin veteran seperti Xi Jinping, Narendra Modi, Vladimir Putin dan Donald Trump yang kesemuanya berusia dalam lingkungan 70-an. “Perubahan sedang berlaku, tetapi belum lagi menjadi trend dominan,” katanya. – Info X
April 27, 2026
Info X Reporters
Pembayaran pampasan Pan Borneo di Silam, Lahad Datu dilaksana berperingkat
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengesahkan pembayaran pampasan serta bayaran ihsan bagi projek Lebuhraya Pan Borneo di Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam dan Parlimen Lahad Datu sedang dilaksanakan secara berperingkat mengikut prosedur ditetapkan. Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata proses itu melibatkan tanah yang terjejas di bawah Pakej 19 hingga 23 projek berkenaan. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Dr Mohd Yusof Apdal (Warisan-Silam) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini. “Bagi tanah bergeran yang mempunyai hak milik sah serta telah dikenal pasti dan diwartakan, proses pengeluaran tawaran pampasan kepada pemilik sedang dilaksanakan selaras Ordinan Pengambilan Tanah Sabah (Bab 69). “Pembayaran akan dibuat oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah selepas semua dokumen persetujuan lengkap diterima daripada pemilik, dan ia dilaksanakan secara berperingkat,” katanya. Mengulas lanjut, beliau berkata bagi tanah kerajaan, pemberian pampasan tertakluk kepada pengeluaran perintah oleh Pejabat Penolong Pemungut Hasil Tanah Daerah. “Sehingga kini, perintah rasmi masih belum dikeluarkan, menyebabkan pembayaran bagi kategori ini belum dapat diproses,” katanya. Sementara itu, Joachim berkata tiada bayaran pampasan atau saguhati diberikan kepada struktur atau bangunan yang terletak dalam rizab jalan, selaras dasar dan arahan agensi pelaksana. Bagaimanapun, katanya, bagi struktur yang berada dalam rizab selain rizab jalan seperti rizab sungai, utiliti atau rizab agensi lain, pertimbangan bayaran saguhati boleh diberikan. “Ia tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan serta penilaian oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah berdasarkan garis panduan semasa,” katanya. Beliau turut menegaskan bahawa peruntukan bagi pembayaran pampasan kepada pemilik tanah dan struktur yang mempunyai hak milik sah telah disediakan kerajaan. “Peruntukan ini disalurkan kepada Jabatan Tanah dan Ukur Sabah bagi memastikan pembayaran kepada pemilik yang layak dapat dilaksanakan secara teratur, telus dan mengikut prosedur ditetapkan,” katanya. – Info X
April 27, 2026
Info X Reporters
Belum ada perancangan wujudkan Majlis Daerah Sook
KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah buat masa ini belum mempunyai perancangan untuk mewujudkan Majlis Daerah Sook yang tersendiri. Menterinya, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, berkata cadangan penubuhan pihak berkuasa tempatan (PBT) baharu itu memerlukan penelitian menyeluruh berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan kerajaan. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup (BN-Sook) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini. “Bagi pewujudan Majlis Daerah Sook, beberapa kriteria perlu dikaji dan diteliti terlebih dahulu bagi memastikan syarat pewujudan PBT dipenuhi,” katanya. Mohd Arifin menjelaskan, PBT terbahagi kepada tiga peringkat iaitu Majlis Daerah, Majlis Perbandaran dan Dewan atau Majlis Bandaraya, dengan setiap kategori mempunyai garis panduan tertentu berdasarkan Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Bilangan 2 Tahun 2025. Katanya, antara kriteria utama pewujudan Majlis Daerah termasuk mempunyai populasi kurang daripada 150,000 penduduk, hasil pendapatan tahunan melebihi RM5 juta tetapi kurang RM25 juta, serta kemudahan infrastruktur dan utiliti awam yang mencukupi. Selain itu, katanya, kawasan berkenaan juga perlu mempunyai struktur tadbir urus interim sekurang-kurangnya tiga tahun, kelulusan persempadanan semula serta pelan pembangunan yang jelas bagi merangsang pertumbuhan ekonomi setempat. Bagaimanapun, beliau berkata kementerian masih boleh mempertimbangkan penubuhan sesuatu majlis daerah walaupun belum memenuhi sepenuhnya semua kriteria berkenaan. “Pertimbangan utama adalah keupayaan majlis daerah baharu itu untuk berdiri sendiri dengan sumber kewangan yang kukuh,” katanya. – Info X
April 27, 2026
Info X Reporters
Tiga lelaki ditahan, syabu hampir 80 gram dirampas di Sipitang
SIPITANG: Tiga lelaki termasuk seorang warga asing ditahan selepas polis merampas dadah disyaki syabu seberat 77.9 gram bernilai kira-kira RM8,000 dalam serbuan di Kampung Tanjung Pagar, di sini, Sabtu lalu. Serbuan jam 4.15 pagi itu dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah serta Balai Polis Sindumin dan Sipitang. Ketua Polis Daerah Sipitang, Superintendan Awang Anak Suanda berkata, suspek pertama berusia 39 tahun ditahan selepas cuba melarikan diri ketika serbuan dijalankan. Menurutnya, pemeriksaan menemukan satu paket plastik mengandungi dua bungkusan berisi hablur jernih disyaki syabu. “Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine. “Siasatan awal juga mendapati suspek mengaku dadah yang dirampas adalah miliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, susulan tangkapan itu, dua lagi lelaki tempatan berusia 29 dan 27 tahun turut ditahan dalam serbuan berasingan di lokasi sama kira-kira jam 10.31 pagi. “Turut dirampas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux serta wang tunai berjumlah RM24,225 dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah. “Bagaimanapun, kedua-dua suspek didapati negatif dadah hasil ujian saringan awal,” katanya. Menurutnya, semua suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(a) akta sama. “Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan rangkaian pengedaran dadah terbabit,” katanya. – Info X
April 27, 2026
Info X Reporters
Hilux hilang kawalan, rempuh empat kenderaan di jambatan
BEAUFORT: Lima kenderaan terbabit dalam kemalangan di Jambatan Pekan Beaufort, Jalan Papar – Sipitang, di sini, petang semalam selepas sebuah Toyota Hilux dipercayai hilang kawalan. Dalam kejadian jam 6.50 petang itu, kenderaan pacuan empat roda terbabit dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah Isuzu D Max. Perlanggaran itu menyebabkan kenderaan yang dirempuh tersorong ke belakang lalu melanggar sebuah Perodua Viva di belakangnya. Situasi menjadi kelam – kabut apabila pemandu Hilux berkenaan dipercayai panik lalu mengundurkan kenderaan sebelum melanggar sebuah Toyota Vios. Akibat hentaman itu, Vios berkenaan turut tersorong ke belakang dan melanggar sebuah lagi kenderaan jenis Perodua Aruz. Kejadian itu turut tular di media sosial apabila orang awam merakam keadaan selepas kemalangan berkenaan, manakala pemandu Toyota Hilux terbabit dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian. Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika Toyota Hilux itu dalam perjalanan dari arah Sipitang menuju ke Papar. “Apabila sampai di lokasi, kenderaan berkenaan dipercayai gagal dikawal lalu memasuki laluan bertentangan dan menyebabkan pelanggaran berantai. “Bagaimanapun, semua pemandu yang terlibat dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, pemandu Toyota Hilux dibawa ke Hospital Beaufort untuk ujian darah. “Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. – Info X
April 26, 2026
Info X Reporters
Dapur rumah terbakar 45 peratus, tiga beranak termasuk kanak-kanak melecur
KENINGAU: Tiga beranak termasuk seorang kanak-kanak perempuan melecur selepas kebakaran memusnahkan hampir separuh dapur rumah mereka di Taman Adika 7B, di sini, petang tadi. Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, kebakaran membabitkan rumah jenis kekal berkeluasan kira-kira 93 meter persegi dengan kemusnahan dianggarkan 45 peratus di bahagian dapur. Mangsa terlibat ialah David Adam, 36, bersama isterinya, Evonith Paguia Ehip, 26, serta anak perempuan mereka, Galilee Georgia David Adam, 4, yang masing-masing mengalami kecederaan melecur. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum 10 anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi. Menurutnya, lelaki berusia 36 tahun itu dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan bomba, manakala isterinya dan anak mereka diberikan rawatan awal di lokasi. “Kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut selepas mengalami kecederaan melecur di beberapa bahagian badan. “Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan dua pancutan air yang diperoleh daripada jentera,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.39 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.20 petang selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi. “Punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X
April 26, 2026
Info X Reporters
Kerajaan Sabah bantu bawa pulang wanita koma di Vietnam
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengambil tindakan segera membantu membawa pulang seorang wanita dari negeri ini yang kini koma selepas diserang sawan ketika bercuti di Ho Chi Minh, Vietnam, baru-baru ini. Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim, berkata pihaknya sudah berhubung secara langsung dengan suami mangsa, Mohd Jamri Herry, bagi mendapatkan perkembangan terkini keadaan isterinya, Rohana Joseph, 34, yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Nhan Dan Gia Dinh. Beliau berkata, susulan kejadian itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) untuk segera menyantuni mangsa dan suaminya sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan mereka. “Pengarah YKS, Datuk Hajah Diyanah Abdullah, sudah menghubungi suami mangsa bagi membantu menguruskan proses membawa pulang Rohana ke Kota Kinabalu. “Ini termasuk penyelarasan keperluan perubatan serta pengiring pakar sepanjang penerbangan bagi memastikan keselamatan pesakit terjamin,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini. Menurutnya, berdasarkan keadaan kesihatan semasa mangsa, penerbangan pulang ke Sabah dijadualkan pada 30 April ini. Terdahulu, media melaporkan percutian pasangan itu bertukar tragedi apabila Rohana tiba-tiba diserang sawan pada awal pagi hari mereka dijadualkan pulang ke Malaysia sebelum dimasukkan ke hospital dan kini masih tidak sedarkan diri. Mohd Jamri yang juga kakitangan Majlis Sukan Negeri Sabah dilaporkan masih berada di Vietnam untuk menguruskan isterinya, selain berdepan kebimbangan terhadap kos rawatan yang dijangka tinggi. Azrul berkata, kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan kes berkenaan dan memastikan segala bantuan sewajarnya disalurkan. “Kita doakan agar segala urusan dipermudahkan dan mangsa diberikan kesembuhan serta dapat kembali ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat,” katanya. – Info X
April 26, 2026
Info X Reporters
Tanya barang, rupanya cabul ‘cashier’
TAWAU: Seorang juruwang wanita berdepan detik mencemaskan apabila didakwa dicabul lelaki tidak dikenali ketika sedang bekerja di sebuah pasar raya di bandar ini, semalam. Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, mangsa berusia 20 tahun pada awalnya didatangi suspek yang berpura-pura bertanyakan lokasi barangan. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa kemudian mengikut suspek ke bahagian rak sabun bagi membantu. “Bagaimanapun, ketika mangsa cuba beredar, suspek secara tiba-tiba menarik dan memeluknya sambil mendakwa mangsa adalah anak saudaranya. “Suspek turut bertindak tidak senonoh dengan menyentuh beberapa bahagian tubuh mangsa,” katanya dalam kenyataan, malam ini. Menurutnya, mangsa yang terkejut dengan kejadian itu segera membuat laporan polis. Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau menjalankan serbuan kira-kira jam 5.30 petang di sebuah rumah pekerja di Jalan Tanjung Batu Laut. “Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun yang disyaki terbabit dalam kes berkenaan. “Turut dirampas beberapa pakaian dipercayai digunakan semasa kejadian bagi membantu siasatan,” katanya. Beliau berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau. “Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut,” katanya. Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan segera melaporkan sebarang kejadian jenayah kepada pihak polis. – Info X