March 17, 2026
Info X Reporters
Cadangan ubah 73 bahagian Gagasan Rakyat kepada 25 diterima baik
KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Api-Api menyatakan sokongan terhadap cadangan penstrukturan semula bahagian parti yang ketika ini berasaskan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). Ketua Bahagian PGRS Api-Api, Datuk Faisyal Diego, berkata penstrukturan itu bertujuan memperkukuh struktur organisasi dan meningkatkan kecekapan pentadbiran parti di semua peringkat. Katanya, cadangan untuk mengubah sistem bahagian mengikut kawasan DUN kepada kawasan Parlimen itu adalah langkah yang strategik dan sesuai untuk dilaksanakan. “Cadangan untuk menyusun semula bahagian daripada 73 bahagian kepada 25 bahagian dilihat sebagai satu langkah strategik yang mampu memperkemas penyelarasan kepimpinan, memperkukuhkan organisasi parti dan meningkatkan keberkesanan gerak kerja di peringkat akar umbi. “Langkah ini juga diyakini dapat mewujudkan satu struktur yang lebih tersusun, dinamik dan responsif terhadap keperluan semasa rakyat serta cabaran landskap politik masa kini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. Katanya, bagi bahagian Api-Api yang diketuainya, perkara itu dibincang pada Mesyuarat Bahagian dan Majlis Berbuka Puasa pada petang Isnin. Pada mesyuarat itu, katanya semua Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian sebulat suara bersetuju dan menyokong cadangan penstrukturan semula bahagian Gagasan Rakyat sebagai satu langkah yang tepat demi memperkukuhkan lagi organisasi parti. Pada masa yang sama, katanya Gagasan Rakyat Bahagian Api-Api merakamkan sokongan dan keyakinan penuh terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, untuk terus memimpin negeri dengan komitmen tinggi terhadap kestabilan politik, pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat. “Di bawah kepimpinan beliau, Sabah terus bergerak ke arah kemajuan yang lebih mampan melalui pendekatan pentadbiran yang inklusif, stabil dan berorientasikan masa depan. “Sehubungan itu, Gagasan Rakyat Bahagian Api-Api berdiri teguh menyokong sepenuhnya usaha penstrukturan semula ini serta komited untuk terus bersama kepimpinan parti dalam memperkukuhkan perpaduan, kestabilan politik dan pembangunan negeri demi kepentingan rakyat Sabah. – Info X
March 17, 2026
Info X Reporters
JPJ Sabah lancar Ops Khas Aidilfitri bermula 16 Mac
KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah melancarkan Operasi Khas sempena Hari Raya Aidilfitri 2026 yang bermula semalam hingga 29 Mac bagi memastikan perjalanan pengguna jalan raya lebih selamat sepanjang musim perayaan. Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, operasi itu turut diselaraskan bersama Kempen Keselamatan Jalan Raya “Pandu Cermat, Sampai Selamat” dengan memberi fokus kepada pengesanan kesalahan lalu lintas serta pemantauan di laluan utama negeri ini. “Antara sembilan kesalahan utama yang menjadi tumpuan penguatkuasaan ialah tidak mematuhi had laju, melanggar lampu isyarat merah, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan serta tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar. “Selain itu, kesalahan memotong barisan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, membawa lebih muatan serta membawa muatan secara berbahaya turut menjadi fokus penguatkuasaan sepanjang operasi ini,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam Operasi Khas Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2026 di Terminal Bas Inanam, di sini, semalam. Beliau berkata, JPJ Sabah juga melaksanakan larangan pemanduan kenderaan perkhidmatan barangan selama empat hari iaitu pada 19 dan 20 Mac serta 28 dan 29 Mac sempena sambutan Aidilfitri. Katanya, pemeriksaan teknikal turut dijalankan terhadap kenderaan perkhidmatan awam khususnya bas di terminal yang ditetapkan bagi memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan. “Pemeriksaan ini melibatkan aspek penggunaan tayar mengikut piawaian, sistem brek, lampu serta pemasangan Speed Limitation Device (SLD) pada bas ekspres dan bas persiaran,” katanya. Mohd Harris berkata, operasi khas berkenaan melibatkan 286 anggota penguat kuasa daripada semua bahagian JPJ Sabah termasuk di cawangan dan stesen penguat kuasa di seluruh negeri. Menurutnya, berdasarkan statistik Ops Hari Raya Aidilfitri 2025, sebanyak 28,281 kenderaan diperiksa, dengan 3,588 kenderaan diambil tindakan, 3,778 notis saman dikeluarkan dan 20 kenderaan disita. Dalam pada itu, beliau berkata JPJ Sabah turut mempergiatkan advokasi keselamatan jalan raya menerusi lebih 30 program kesedaran termasuk pameran, ceramah keselamatan, edaran kit keselamatan jalan raya serta kempen bersama Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Sabah (MKJR) dan rakan strategik termasuk pihak media. Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan serta memastikan kenderaan diselenggara dengan baik sebelum memulakan perjalanan. “Orang ramai juga digalakkan menyalurkan aduan berkaitan kesalahan lalu lintas melalui aplikasi MyJPJ, selain saluran SISPAA, emel [email protected] dan [email protected] bagi membantu JPJ mengambil tindakan pantas terhadap pesalah jalan raya. “JPJ Sabah juga akan meneruskan aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan semua pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang- undang dan peraturan jalan raya,” katanya. – Info X
March 17, 2026
Info X Reporters
Lelaki masuk kebun tidak pulang, operasi SAR digerakkan
KINABATANGAN: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar ke kawasan kebun berhampiran rumahnya di Kampung Meliau, Tongod, sejak kelmarin kini sedang dikesan pasukan penyelamat. Mangsa dikenali sebagai Mohd Nizam Dahlan, 32, dilaporkan keluar ke kawasan kebun kira-kira jam 11 pagi, namun tidak pulang semula sehingga mencetuskan kebimbangan keluarganya. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 4.17 petang, pada Ahad lalu. Menurutnya, sepasukan tiga anggota dari BBP Kinabatangan digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 148 kilometer dari balai bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR). “Menurut abang kandung mangsa, lelaki berkenaan keluar ke kebun berhampiran rumah sebelum dilaporkan hilang dan tidak pulang sehingga kini. “Mangsa juga difahamkan mempunyai masalah kesihatan mental,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira 7.25 malam sebelum mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian berkenaan. Namun katanya, operasi SAR ditangguhkan pada 8.10 malam berikutan keadaan gelap serta ketiadaan liputan komunikasi GIRN dan talian telefon di kawasan berkenaan. “Operasi akan disambung semula pada pagi ini bagi meneruskan usaha mengesan mangsa yang masih belum ditemui,” katanya. – Info X
March 17, 2026
Info X Reporters
Tegur rakan sekerja belum masak nasi, pekerja restoran ditetak
TAWAU: Hanya kerana menegur rakan sekerja yang belum memasak nasi, seorang lelaki cedera selepas ditetak menggunakan pisau pemotong ikan dalam kejadian di sebuah restoran di Kubota Sentral, di sini, pada Isnin. Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian tangan kiri sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Besar Tawau. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dan suspek berada di tempat kerja di restoran berkenaan. “Suspek dipercayai bertindak di luar kawalan selepas ditegur mangsa sebelum menetak tangan kiri mangsa menggunakan pisau pemotong ikan. “Susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat sebelum sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau menjalankan operasi mengesan suspek,” katanya dalam kenyataan, malam tadi. Beliau berkata, suspek lelaki berusia 21 tahun yang juga pekerja restoran berkenaan berjaya ditahan di sekitar tepi jalan Jalan Habib Hussein. Katanya, polis turut merampas sebilah pisau sepanjang kira-kira 33 sentimeter serta sekeping plastik putih yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan. “Suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya,” katanya. – Info X
March 16, 2026
Info X Reporters
Penunggang motosikal maut disyaki digilis kenderaan
KOTA BELUD: Seorang penunggang motosikal maut selepas dipercayai digilis sebuah kenderaan dalam kemalangan di Jalan Tamparuli – Ranau berhampiran simpang Kampung Kiau, di sini, petang tadi. Dalam kejadian jam 2.05 petang, mangsa lelaki tempatan berusia 20 tahun yang parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Belud, Asisten Superintendan Polis (ASP) Ahmad Fathie Md Salleh berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah Ranau menuju ke Kota Kinabalu sebelum dipercayai hilang kawalan ketika melalui laluan lurus menuruni jalan curam. “Mangsa kemudian terbabas dan terjatuh di atas jalan sebelum dipercayai digilis sebuah kenderaan yang datang dari arah bertentangan. “Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Kota Belud,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk tujuan bedah siasat. Menurutnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai atau mana-mana pihak yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan kemalangan berkenaan supaya tampil membantu siasatan. “Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Firdaus Che Mustafa di talian 013-2006086. “Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu, mematuhi undang-undang jalan raya serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik,” katanya. – Info X
March 16, 2026
Info X Reporters
Lelaki warga emas dipenjara 20 tahun, 10 sebatan rogol kanak-kanak OKU
LAHAD DATU: Seorang lelaki warga emas dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 10 kali sebatan selepas didapati bersalah merogol seorang kanak-kanak perempuan orang kelainan upaya (OKU) dua tahun lalu. Tertuduh warga Indonesia tanpa dokumen sah berumur 79 tahun itu dijatuhi hukuman berkenaan pada prosiding penghakiman di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Suhailla Selag, di Mahkamah Lahad Datu, di sini, pada Isnin. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang juga kanak-kanak perempuan OKU lembam berusia 10 tahun ketika kejadian di sebuah rumah tidak bernombor di Tungku, dekat sini, pada 2024. Berikutan itu, tertuduh berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 376(2) yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. Perbicaraan kes itu yang bermula 9 Februari lalu menyaksikan seramai lapan saksi dipanggil memberi keterangan bagi pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao. Tertuduh pula yang tidak diwakili peguam memilih membela diri secara bersumpah dengan memberi keterangan bagi pihak dirinya sendiri. Juhn Tao dalam hujahnya menjelaskan kepentingan awam perlu diberi pertimbangan utama oleh mahkamah dalam kes membabitkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak, lebih-lebih lagi mangsa adalah seorang OKU. Mahkamah memerintahkan hukuman penjara terhadap dikuatkuasa mulai tarikh sabitan hari ini, selain mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh hukuman mengikut Seksyen 26 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman penjara. Ends
March 16, 2026
Info X Reporters
Pemandu maut kereta bertembung pacuan empat roda
PAPAR: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah pacuan empat roda yang hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan di Kilometer 42.5 Jalan Kimanis – Keningau, petang tadi. Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang, kemalangan membabitkan Perodua Viva dan Isuzu D Max itu mengorbankan pemandu Viva berusia 41 tahun yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala. Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pacuan empat roda yang datang dari arah Keningau menuju ke Bongawan hilang kawalan ketika melalui selekoh menuruni bukit. “Kenderaan berkenaan dipercayai berpusing beberapa kali sebelum memasuki laluan bertentangan lalu melanggar Perodua Viva yang datang dari arah bertentangan. “Akibat perlanggaran itu, pemandu Perodua Viva mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Papar,” katanya ketika dihubung, hari ini. Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Papar untuk proses bedah siasat. “Pemandu Isuzu D Max berusia 32 tahun tidak mengalami kecederaan dan kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut. “Kedua-dua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu juga akan dihantar ke PUSPAKOM untuk pemeriksaan teknikal,” katanya. Heryan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memandu dengan lebih berhemah dan berhati-hati terutama ketika melalui laluan selekoh dan kawasan berbukit. “Pemandu juga dinasihatkan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan termasuk memeriksa sistem brek dan keadaan tayar. “Ketika melalui laluan menuruni bukit, pemandu disarankan menggunakan gear rendah bagi membantu mengawal kelajuan kenderaan dan mengurangkan tekanan kepada sistem brek,” katanya. Beliau turut mengingatkan bahawa keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama dan setiap pengguna jalan raya perlu mematuhi peraturan serta peka terhadap keadaan jalan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – Info X
March 16, 2026
Info X Reporters
PPM Sabah rampas barangan hampir RM665,000
KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merekodkan 23 kes pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan berjumlah RM664,847.67 dalam Op Taring Gelora Khas Aidilfitri yang dijalankan di seluruh perairan Sabah. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Amri Abdul Rahman berkata, kes berkenaan dikesan hasil operasi dan rondaan yang dilaksanakan oleh beberapa markas operasi PPM bermula 12 hingga 15 Mac lalu. Katanya, kes yang direkodkan membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Kastam 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Perhutanan 1968. “Operasi ini dilaksanakan bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta pelanggaran undang-undang di perairan negeri ini, khususnya menjelang Aidilfitri,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, PPM Sabah akan terus mempergiat operasi dan rondaan bagi memastikan kegiatan penyeludupan serta jenayah rentas sempadan dapat dibanteras dengan lebih berkesan. “Orang ramai juga digalakkan menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang bagi membantu usaha penguatkuasaan,” katanya. – Info X