March 16, 2026
Info X Reporters
3 spesies baharu udang karang berduri ditemui di Sabah
KOTA KINABALU: Institut Marin Borneo (IMB), Universiti Malaysia Sabah (UMS), merekodkan tiga spesies baharu udang karang berduri (Panulirus spp) dari perairan Sabah. Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan UMS pada Isnin, daripada tiga spesies itu, dua adalah rekod baharu bagi Malaysia, manakala satu lagi rekod baharu bagi Sabah. Katanya, penemuan oleh Penyelidik IMB, Prof Madya Dr Chen Cheng Ann bersama pelajar Sarjana Sains, Ng Wei Ling itu mengukuhkan status Sabah sebagai kawasan kepelbagaian biodiversiti marin bertaraf dunia. Tiga spesies udang karang berduri terbabit ialah iaitu Panulirus homarus homarus dan P femoristriga yang dikenal pasti sebagai rekod baharu Malaysia, manakala satu lagi ialah P polyphagus rekod baharu bagi Sabah, masing-masing ditemui di perairan pesisir Sabah. Chen berkata, penemuan itu signifikan kerana ia mengemas kini rekod biodiversiti marin Malaysia serta menekankan keperluan untuk memperkukuh pengurusan sumber perikanan di Sabah. “Sebelum kajian ini, hanya tiga spesies udang karang berduri iaitu Panulirus ornatus, P versicolor dan P longipes diketahui terdapat di perairan Sabah sejak 2004. “Penyelidikan kami kini telah menggandakan jumlah itu kepada enam spesies, sekali gus menunjukkan bahawa masih banyak biodiversiti marin Sabah yang belum diterokai. “Dalam kajian berkaitan, pasukan kami turut merekodkan Panulirus stimpsoni dari Semenanjung, sekali gus memperluaskan senarai semak udang karang berduri di peringkat kebangsaan,” katanya. Katanya, penyelidikan lanjut diperlukan bagi menyokong usaha pemuliharaan serta pengurusan mampan spesies yang baharu direkodkan tersebut. Beliau turut memaklumkan bahawa kajian berkenaan dijalankan dalam keadaan mencabar ketika pandemik COVID-19 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta akses yang terhad ke tapak lapangan dan komuniti nelayan. “Walaupun berdepan pelbagai kekangan, kajian ini berjaya menggandakan kepelbagaian udang karang berduri yang diketahui di Sabah, termasuk dua spesies yang merupakan rekod baharu bagi Malaysia,” katanya. Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor memuji kejayaan pasukan penyelidik yang disifatkan sebagai satu pencapaian penting dalam bidang sains marin dan mencerminkan kecemerlangan penyelidikan negara. “Saya merakamkan penghargaan kepada Dr Chen dan Ng atas dedikasi serta ketabahan mereka dalam menjayakan penyelidikan ini,” katanya. Sementara itu, Dekan IMB, Prof Madya Dr Faihanna Ching berkata penemuan itu turut mencerminkan kualiti dan kekuatan penyelidikan yang dilaksanakan di institut berkenaan. Beliau berkata, IMB yang sebelum ini dikenali sebagai Institut Penyelidikan Marin Borneo (BMRI) dijenamakan semula kepada Institut Marin Borneo (IMB) pada Januari 2026 dan kini memperluaskan fokus penyelidikan melalui penubuhan beberapa pusat penyelidikan baharu termasuk dalam bidang oseanografi. Dalam pada itu, Pengarah Pusat Biodiversiti Sabah (SaBC), Ken Kartina Khamis berkata penemuan tiga rekod baharu udang karang berduri itu menekankan kepentingan penyelidikan dan pendokumentasian berterusan sumber biologi Sabah. “SaBC memberikan Lesen Akses bagi kajian ini di bawah nombor rujukan permit JKM/MBS1000-2/2 JLD13 (152) dan (153), dan kami berbesar hati melihat hasil yang begitu bermakna daripada penyelidikan ini. “SaBC menggalakkan lebih ramai penyelidik menjalankan kajian biodiversiti di Sabah kerana setiap penemuan baharu akan mengukuhkan usaha merangka strategi pemuliharaan yang lebih berkesan bagi melindungi warisan semula jadi negeri ini,” katanya. Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Datin Dr Shuhadah Mustapha, berkata penemuan itu penting bagi menyokong usaha pengurusan sumber perikanan negeri. “Udang karang berduri adalah antara kumpulan krustasea yang mempunyai nilai komersial tinggi dan peningkatan kepelbagaian spesies yang diketahui menunjukkan bahawa protokol pengurusan perikanan perlu dikemas kini. “Jabatan Perikanan Sabah akan mengambil kira penemuan ini dalam pelan pengurusan masa hadapan dan berharap dapat terus bekerjasama dengan UMS,” katanya. Pengarah Taman-Taman Sabah, Datuk Dr Maklarin Lakim, berkata penemuan itu memberikan justifikasi saintifik tambahan bagi memperkukuh strategi pemuliharaan di kawasan perlindungan marin utama seperti Taman Tun Mustapha dan Taman Tunku Abdul Rahman. Beliau turut menyatakan komitmen Taman-Taman Sabah untuk terus bekerjasama dengan UMS dalam usaha memelihara dan melindungi biodiversiti marin negeri ini. Sebelum ini, data mengenai kepelbagaian udang karang berduri di Sabah tidak dikemas kini sejak 2004 dan peningkatan jumlah spesies yang direkodkan menunjukkan lebih banyak biodiversiti marin berpotensi masih belum didokumentasikan di perairan pesisir dan pulau-pulau di negeri ini. Pasukan penyelidik turut mencadangkan agar tinjauan biodiversiti diperluaskan, termasuk penggunaan alat molekul seperti environmental DNA (eDNA), serta memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, institusi penyelidikan dan komuniti nelayan tempatan bagi memastikan sumber marin Sabah dapat diuruskan secara mampan untuk generasi akan datang. – Info X
March 16, 2026
Info X Reporters
Lima mangsa pemerdagangan orang diselamatkan Polis Sabah
KOTA KINABALU: Polis Sabah menyelamatkan lima individu, termasuk seorang kanak-kanak, yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan orang dalam operasi khas di beberapa kawasan ladang di negeri ini, baru-baru ini. Operasi dikenali sebagai Op Pintas Bilangan 2/2026 itu dijalankan Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah serta Bahagian Siasatan Jenayah daerah. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata operasi berkenaan dilaksanakan hasil risikan berkaitan eksploitasi pekerja ladang. Katanya, serbuan dijalankan pada 14 hingga 15 Mac lalu di beberapa kawasan ladang di daerah Kunak, Kinabatangan dan Beluran. “Dalam operasi ini, polis berjaya menyelamatkan lima mangsa pemerdagangan orang termasuk seorang kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi pekerjaan. “Pada masa sama, seramai 16 individu turut ditahan termasuk penyelia ladang, pekerja warga asing tanpa dokumen sah serta individu yang dipercayai terlibat dalam pengurusan pekerja di ladang terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, siasatan awal mendapati sebahagian pekerja yang ditemui bekerja tanpa dokumen perjalanan sah. Selain itu, katanya, terdapat juga unsur eksploitasi pekerjaan seperti pasport pekerja dipegang oleh majikan, kadar gaji rendah serta keadaan tempat tinggal pekerja yang tidak kondusif. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12 dan Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) selain beberapa peruntukan lain di bawah Akta Imigresen 1959/63. Jauteh berkata, mangsa yang diselamatkan dibawa untuk pemeriksaan kesihatan serta menjalani proses perlindungan lanjut, manakala semua suspek yang ditahan akan dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman untuk membantu siasatan. Beliau berkata, PDRM Sabah akan terus mempergiatkan operasi seumpama itu bagi memastikan aktiviti pemerdagangan orang dan eksploitasi pekerja dapat dibanteras. “Orang ramai juga dinasihatkan menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pemerdagangan orang bagi membantu usaha penguatkuasaan,” katanya. – Info X
March 16, 2026
Info X Reporters
PADUNEGERI platform penting perkukuh keharmonian kaum di Sabah
KOTA KINABALU: Jawatankuasa Tindakan Perpaduan Negeri Sabah (PADUNEGERI) memainkan peranan penting dalam memperkukuh keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sabah. Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata jawatankuasa itu menjadi platform untuk membincangkan isu berkaitan yang mungkin timbul. “Platform seperti PADUNEGERI membolehkan kita membincangkan isu yang mungkin timbul dalam kalangan masyarakat serta mengambil langkah proaktif bagi memastikan keharmonian dan persefahaman terus terpelihara,” katanya. Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat PADUNEGERI Sabah yang pertama bagi tahun ini, di sini, pada Isnin. Julita berkata usaha memperkukuh perpaduan tidak seharusnya dipikul sepenuhnya oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), sebaliknya memerlukan penglibatan serta komitmen pelbagai pihak berkepentingan. “Tanggungjawab memperkukuh perpaduan tidak terletak pada satu agensi sahaja. Ia juga perlu disokong oleh rakan strategik, pemegang taruh serta kepimpinan di peringkat akar umbi,” katanya. PADUNEGERI katanya berfungsi sebagai forum untuk membincangkan isu berkaitan perpaduan, menjelaskan perkara semasa yang mungkin timbul di peringkat akar umbi serta mencadangkan inisiatif bagi terus memperkukuh keharmonian dalam kalangan masyarakat. Jawatankuasa itu dianggotai wakil pelbagai agensi kerajaan, jabatan berkaitan serta pemegang taruh yang terlibat dalam inisiatif berkaitan perpaduan, dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sabah bertindak sebagai sekretariat. Julita turut berharap platform berkenaan akan terus memperkukuh penyelarasan antara agensi serta meningkatkan usaha memelihara keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sabah. Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Pembantu Menteri KWKKR, Datuk Rina Jainal dan Setiausaha Tetap, Datuk Maria Chong serta Pengarah JPNIN Sabah, Rina Ab Harun. – Info X
March 16, 2026
Info X Reporters
Suspek tetak anggota PGA ditahan selepas lebih tiga bulan diburu
KENINGAU: Selepas lebih tiga bulan diburu polis, seorang lelaki yang dikehendaki bagi kes mendatangkan cedera parah terhadap seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) akhirnya diberkas dalam serbuan di Kampung Pauh Tulid, Sook, Sabtu lalu. Suspek lelaki tempatan berusia 40 tahun itu ditahan jam 7.40 malam di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau. Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan kes serangan menggunakan senjata tajam yang berlaku pada Disember tahun lalu. Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya. “Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang pada 9 Disember 2025, mangsa seorang anggota polis lelaki berusia 39 tahun diserang dipercayai menggunakan pedang jenis samurai di tepi jalan Kampung Pauh Tulid, Sook. “Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan termasuk patah ibu jari kiri selain luka tetakan pada bahagian belakang badan dan lengan bawah tangan kanan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, mangsa yang cedera kemudian mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Sook sebelum laporan polis dibuat bagi memulakan siasatan. Menurutnya, hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku terbabit menyerang mangsa dalam kejadian berkenaan. “Semakan juga mendapati suspek mempunyai 11 rekod jenayah lampau berkaitan dadah, selain ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine. “Suspek kini direman selama lima hari bermula semalam hingga 20 Mac bagi membantu siasatan lanjut,” katanya. Yampil berkata, polis akan melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya. – Info X
March 16, 2026
Info X Reporters
Lelaki ditahan selepas gagal tunjuk dokumen pengenalan
KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditahan polis selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika pemeriksaan dalam operasi cegah jenayah di kawasan One Borneo Mall, Jalan Sulaman, di sini, semalam. Penahanan dilakukan kira-kira jam 3 petang, oleh sepasukan anggota Task force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang menjalankan Ops Cegah Jenayah susulan peningkatan kes kecurian di kawasan berkenaan. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, lelaki terbabit ditahan selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan ketika operasi dijalankan. “Hasil pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di Malaysia. “Suspek kemudian ditahan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, satu rakaman video berkaitan tangkapan itu turut tular di media sosial Facebook. “Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Imigresen Malaysia berhubung status kewarganegaraan suspek,” katanya. Beliau berkata, polis akan terus mempergiatkan operasi cegah jenayah di lokasi tumpuan awam bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman masyarakat sentiasa terpelihara. Sejak semalam, kejadian berkenaan mendapat perhatian selepas satu hantaran tular di media sosial mendakwa seorang pelajar sekolah alternatif berusia bawah 18 tahun, dikenali sebagai Niko, ditahan dan digari ketika sedang menjalankan aktiviti kebajikan membeli barangan Aidilfitri untuk golongan asnaf. Hantaran itu turut mendakwa surat kebenaran yang dibawa pelajar terbabit tidak diendahkan selain wakil penjaganya dihalau di ruang lobi IPD Kota Kinabalu, di Kepayan. Dakwaan berkenaan turut mencetuskan reaksi pelbagai pihak di media sosial yang menuntut penjelasan lanjut berhubung kejadian terbabit. – Info X
March 16, 2026
Info X Reporters
Askar hilang di Pulau Pandanan, polis mohon bantuan orang ramai
SEMPORNA: Seorang anggota tentera dilaporkan hilang selepas tidak ditemui di pos penempatan Pulau Pandanan, di sini, sejak pagi Jumaat lalu. Anggota tentera terbabit dikenali sebagai Fredenick anak Petrus, 21, berketurunan Iban dari Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (6 RRD), Kem Ulu Tiram, Johor. Kehilangan mangsa disedari kira-kira jam 7 pagi pada 14 Mac lalu ketika pemeriksaan barisan pagi di pos penempatan berkenaan. Menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi Polis Daerah Semporna, hari ini, pegawai renjer tentera, Mohd Azhar Sainuddin, memaklumkan bahawa anggotanya itu tidak berada di pos penempatan Pulau Pandanan semasa pemeriksaan dilakukan. “Susulan itu, usaha pencarian segera dijalankan oleh anggota di sekitar kawasan pos penempatan terbabit, namun mangsa masih gagal ditemui,” katanya. Katanya lagi, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau menemui mangsa diminta tampil membantu siasatan. “Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan (ASP) Mohammad Ali Amat di talian 013-2120852 atau hadir ke balai polis berhampiran. “Kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi membantu mengesan mangsa,” katanya. – Info X
March 16, 2026
Info X Reporters
PGA, KPDN tahan dua lelaki seleweng diesel, petrol di Semporna
SEMPORNA: Cubaan dua lelaki dipercayai menyeleweng minyak diesel dan petrol gagal apabila mereka ditahan dalam serbuan Operasi Bersepadu Intra/Inter (Op Taring Bravo 1) di sebuah stesen minyak di Kilometer 3, di sini, petang semalam. Serbuan kira-kira jam 2.40 petang itu dijalankan Cawangan Risik/Task Force Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna. Menerusi kenyataan di laman Facebook Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak pagi ini, operasi dijalankan hasil maklumat risikan sebelum pemeriksaan dibuat ke atas sebuah Toyota Hilux di lokasi berkenaan. Katanya, hasil pemeriksaan menemukan 13 gelen putih berisi diesel, empat gelen putih berisi petrol serta satu gelen kosong yang disimpan tanpa sebarang dokumen atau permit jual beli sah. “Dua individu yang berada di dalam kenderaan berkenaan turut ditahan untuk tindakan lanjut. “Siasatan awal mendapati suspek mengaku membeli minyak diesel dan petrol melebihi had yang dibenarkan tanpa permit sah sebelum dihantar ke sebuah resort di kawasan perairan Semporna,” menurut kenyataan itu. Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM131,025.75 merangkumi bahan bakar bernilai RM1,025.75 serta sebuah Toyota Hilux dianggarkan bernilai RM130,000. “Kes diserahkan kepada KPDN Semporna untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961. “Operasi itu sekali gus memperlihatkan ketegasan serta komitmen Task Force Perisikan Batalion 22 PGA dalam membanteras aktiviti penyeludupan minyak di kawasan tanggungjawab terutama di perairan dan sempadan Sabah. – Info X
March 15, 2026
Info X Reporters
Remaja jatuh sungai ditemui lemas
TUARAN: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dilaporkan terjatuh ke dalam sungai di Kampung Rangalau Lama, Jalan Kiulu, di sini, petang tadi. Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan terjatuh ke dalam sungai sebelum gagal timbul berdasarkan maklumat awal yang dimaklumkan oleh rakan mangsa. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba II, Kurong Anak Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.03 petang. “Sepasukan anggota kemudian digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 25 kilometer dari balai bagi menjalankan operasi. “Menurut maklumat awal, mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam sungai dan tidak timbul sebelum rakan mangsa memaklumkan kejadian itu kepada orang awam yang berada berhampiran,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, mangsa sudah berjaya ditemui oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke hospital bagi tindakan lanjut. “Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia. “Pasukan bomba kemudian mengambil maklumat di lokasi kejadian dan memastikan tiada lagi bahaya lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya,” katanya. Operasi berkenaan membabitkan tiga anggota BBP Tuaran yang digerakkan menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis D-Max. – Info X