Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

March 9, 2026

Info X Reporters

Penunggang motosikal maut bertembung kenderaan masuk laluan bertentangan

LABUAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Rancha-Rancha, di sini, semalam. Dalam kejadian jam 12.20 tengah malam itu, mangsa berusia 33 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 dilaporkan mengalami kecederaan parah selepas bertembung dengan sebuah Toyota Harrier yang dipandu wanita tempatan berusia 44 tahun. Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila SUV yang datang dari arah Rancha-Rancha menghala ke Kerupang memasuki laluan bertentangan. Menurutnya, kenderaan itu kemudian bertembung secara hadapan dengan motosikal yang datang dari arah Pusat Bandar Labuan. “Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah sebelum dihantar ke Hospital Nukleus Labuan untuk mendapatkan rawatan. “Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1.15 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, pemandu SUV tidak mengalami sebarang kecederaan. Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Nukleus Labuan bagi tujuan bedah siasat. “Pemandu kenderaan terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat kemalangan jalan raya,” katanya. Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan memandu secara berhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – Info X

March 9, 2026

Info X Reporters

Orang awam kejar suspek, Land Cruiser dicuri dirampas semula

LABUAN: Tindakan orang awam mengejar seorang lelaki yang melarikan sebuah kenderaan membawa kepada penahanan suspek serta rampasan semula sebuah Toyota Land Cruiser yang dicuri di hadapan Balai Raya Kampung Sungai Miri, di sini, semalam. Dalam kejadian itu, suspek lelaki tempatan berusia 39 tahun dipercayai melarikan kenderaan milik seorang lelaki berusia 63 tahun sebelum kenderaan dipandunya terbabas dan melanggar tiang elektrik ketika dikejar orang awam. Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 10.29 pagi selepas pemilik kenderaan menyedari kenderaannya dicuri. Menurutnya, siasatan awal mendapati pengadu meninggalkan kenderaan berkenaan di lokasi kejadian sekitar jam 6.30 pagi dalam keadaan tidak berkunci sebelum pergi ke laut untuk menangkap ikan. “Dua orang awam yang berada berhampiran lokasi kemudian melihat seorang lelaki memasuki kenderaan tersebut dan melarikannya kira-kira jam 8 pagi. “Mereka bertindak mengejar suspek sehingga kenderaan dipandu suspek terbabas dan melanggar tiang elektrik,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, suspek kemudian cuba melarikan diri namun berjaya ditahan orang awam di kawasan Labuan International Golf Club sebelum diserahkan kepada pihak polis kira-kira jam 8.15 pagi. Menurutnya, kenderaan yang dianggarkan bernilai RM25,000 itu berjaya dirampas semula. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan. Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan kenderaan dikunci dengan sempurna dan tidak meninggalkan kunci di dalam kenderaan bagi mengelakkan kejadian kecurian. – Info X

March 8, 2026

Info X Reporters

Remaja lelaki cedera, dua rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Suang Parai

KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki cedera dalam kebakaran membabitkan dua buah di Kampung Suang Parai, Jalan Sepanggar, di sini, malam ini. Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 14 tahun itu dihantar ke Hospital Likas menggunakan ambulans Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan rawatan lanjut. Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.09 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu bersama bantuan BBP Lintas dikejarkan ke lokasi. Katanya, pasukan bomba dari BBP Kota Kinabalu tiba di tempat kejadian yang terletak kira-kira 15 kilometer dari balai bomba pada jam 7.26 malam. Komander Operasi, PBK I Awang Saiful Rahmat berkata, kebakaran melibatkan dua rumah jenis tidak kekal masing-masing berkeluasan kira-kira 25×30 kaki dan 25×25 kaki yang terbakar 100 peratus. “Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi pemadaman sejurus tiba di lokasi kejadian. “Operasi berjaya dikawal pada jam 7.43 malam dan tindakan pantas anggota bomba turut berjaya menyelamatkan dua buah rumah berhampiran daripada turut terbakar,” katanya dalam kenyataan, malam ini. Operasi pemadaman melibatkan seramai 29 anggota daripada dua balai iaitu BBP Kota Kinabalu dan BBP Lintas dengan kekuatan enam jentera termasuk dua Fire Rescue Tender (FRT), dua Emergency Response Motorcycle (ERMS), sebuah lori tangki air dan sebuah kenderaan pacuan empat roda. Setakat ini, punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba. – Info X

March 8, 2026

Info X Reporters

‘Tompok’ diselamatkan selepas dua hari terperangkap

KOTA KINABALU: Seekor kucing dikenali sebagai Tompok yang dipercayai terperangkap hampir dua hari di tingkat tiga bangunan kosong berhampiran Hotel Sheraton, di sini, berjaya diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), petang tadi. Operasi menyelamat terpaksa dilakukan menggunakan tangga kerana tiada laluan untuk naik ke bahagian belakang bangunan berkenaan. Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.41 tengah hari sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi. Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, pengadu memaklumkan terdapat seekor kucing berada di bahagian belakang bangunan kosong di tingkat tiga. “Dua anggota kemudian memakai peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap termasuk full harness sebelum menaiki bahagian belakang bangunan menggunakan tangga. “Kucing berkenaan berjaya diselamatkan sebelum diturunkan menggunakan tali dengan selamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, kucing kampung jantan berwarna putih dan hitam itu kemudian diserahkan kepada pengadu. Menurutnya, operasi berkenaan membabitkan seorang pegawai dan enam anggota lain-lain pangkat dari APM Kota Kinabalu. “Tiada kecederaan dilaporkan sepanjang operasi dan semua anggota selamat,” katanya. – Info X

March 8, 2026

Info X Reporters

60 tong gas bersubsidi cuba diseludup digagalkan

TAWAU: Cubaan menyeludup keluar 60 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi ke negara jiran berjaya digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tawau dalam operasi di perairan Tawau, semalam. Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan Op Pagar Laut dan Op Tiris menerima maklumat risikan mengenai pergerakan mencurigakan sebuah bot kargo di kawasan berkenaan. Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Ariffin Ghazali, berkata bot peronda kemudian diarahkan ke lokasi sebelum mengesan bot terbabit bergerak keluar dari Jeti Batu 3, Tawau menuju ke Pulau Sebatik. “Ketika cuba dipintas, juragan bot berkenaan bertindak berpatah balik ke pesisir pantai sebelum terjun meninggalkan bot bersama muatan bagi melarikan diri. “Hasil pemeriksaan ke atas bot kargo itu menemukan 60 tong gas LPG berisi yang dipercayai cuba diseludup keluar tanpa sebarang permit kebenaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, bot serta semua muatan kemudian dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk tindakan lanjut. Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. Katanya, keseluruhan rampasan membabitkan bot kargo, enjin bot serta muatan gas LPG dianggarkan bernilai RM53,800. Ariffin berkata, menjelang musim perayaan permintaan terhadap barangan tertentu di pasaran luar negara meningkat sekali gus mendorong sindiket menjalankan aktiviti penyeludupan. “Modus operandi sindiket adalah menjalankan aktiviti pada waktu sunyi bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa. “Maritim Malaysia memandang serius sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan dan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan di perairan Tawau,” katanya. Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah di laut diminta menyalurkannya kepada Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera. – Info X

March 8, 2026

Info X Reporters

Pencawang baharu atasi gangguan elektrik beberapa kampung di Papar

PAPAR: Gangguan bekalan elektrik disebabkan kesusutan voltan yang dialami penduduk beberapa kampung, di sini diatasi menerusi pembinaan pencawang baharu bagi menggantikan pencawang lama yang tidak mampu menampung beban permintaan tenaga. Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata sepanjang tahun lalu empat pencawang baharu disiapkan Sabah Electricity Sdn Bhd (SE), masing-masing di Pencawang di Kampung Beringgis, Sekayan, Kawakahan dan Sagang. Terkini, katanya pencawang baharu di Kampung Takis baru saja siap pada 26 Februari lalu dan dijangka dapat beroperasi sepenuhnya mulai April depan. Beliau berkata, pembinaan baharu pencawang di Kampung Takis adalah susulan aduan yang diterima berhubung isu kesusutan voltan di bawah paras nominal 216V bagi kediaman dan premis di sekitar kampung itu sejak sekian lama. Keadaan itu, katanya memberi kesan kepada kelancaran penggunaan elektrik harian, malah dalam beberapa keadaan menyebabkan kerosakan peralatan, selain risiko berlaku litar pintas hingga mengganggu aktiviti perniagaan dan urusan harian penduduk. “Dengan beroperasi sepenuhnya pencawang baharu ini kelak, isu-isu yang dinyatakan dijangka dapat diatasi sekali gus memastikan bekalan elektrik yang lebih stabil, memudahkan urusan harian penduduk serta dapat menampung kapasiti penggunaan elektrik yang semakin meningkat di kawasan sekitar. “Saya harap penduduk dapat menyambut Aidilfitri tahun ini dengan bekalan elektrik yang lebih stabil,” katanya dalam perkongsian di Facebook beliau. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata, beliau sendiri meninjau pelaksanaan projek pencawang bersama SE selepas pembinaannya dimulakan susulan aduan mengenai isu gangguan bekalan daripada penduduk. “Saya sendiri telah turun padang bersama kakitangan SE bagi meninjau pelaksanaan projek-projek ini serta memohon agar pembinaannya dapat disegerakan dan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan. “Sekiranya terdapat isu yang sama berlaku di kawasan kampung anda, mohon agar aduan rasmi disalurkan kepada pihak SE mahupun Pejabat Parlimen Papar agar semakan dan tindakan lanjut dapat dilakukan. “Saya merakamkan penghargaan kepada pihak SE atas komitmen dan kerjasama dalam memastikan keperluan asas rakyat seperti bekalan elektrik sentiasa diberi perhatian. “Usaha berterusan ini merupakan antara komitmen kerajaan memastikan kemudahan infrastruktur asas terus diperkukuh demi kesejahteraan bersama,” katanya. – Info X

March 8, 2026

Info X Reporters

APMM tahan bot pam disyaki guna bom ikan di perairan Kunak

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot pam yang disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan Kunak, semalam. Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, penahanan dilakukan kira-kira jam 1.15 pagi pada kedudukan satu batu nautika di timur laut perairan Kunak oleh anggota bot ronda yang sedang melaksanakan Op Pluto Timur 2/2023, Op Tiris 3.0 dan Op Khas Pagar Laut 1/2026. Katanya, pemeriksaan awal mendapati bot berkenaan dikendalikan dua kru lelaki suku Palauh berusia antara 18 hingga 23 tahun yang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri. “Hasil pemeriksaan lanjut mendapati vesel yang tidak mempunyai nombor pendaftaran itu disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan. “Tindakan itu adalah satu kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, pemeriksaan turut menemukan kira-kira 15 kilogram ikan serta beberapa peralatan menyelam termasuk hos udara di dalam bot berkenaan. Dzulfikhar menjelaskan bahawa aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan atau bom ikan adalah kesalahan serius kerana bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh memusnahkan habitat marin termasuk terumbu karang serta menjejaskan sumber perikanan negara. Sehubungan itu, katanya, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti bom ikan di perairan negara. “Kesemua kru, vesel serta hasil tangkapan kemudiannya dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya. Dalam masa sama, katanya, pihak Maritim Malaysia turut menggesa komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi undang-undang laut selain menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan melalui WhatsApp 016-9305727 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera. – Info X

March 8, 2026

Info X Reporters

Buaya dikesan di Pantai Tanjung Aru

KOTA KINABALU: Pengunjung di Pantai Tanjung Aru 2, di sini, dikejutkan dengan penampakan seekor buaya di perairan pantai berkenaan, pagi tadi. Dalam kejadian jam 7.50 pagi itu, reptilia berkenaan dikesan oleh anggota Menara Penyelamat Pantai (MPP) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ketika sedang menjalankan tugas memasang bendera di kawasan pantai. Pegawai APM Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, anggota bertugas ternampak satu objek bergerak di dalam air sebelum mendapati ia adalah seekor buaya. Menurutnya, susulan penemuan itu, anggota penyelamat pantai segera melakukan pemantauan berterusan di kawasan berkenaan bagi memastikan keselamatan pengunjung. “Bendera merah turut dipasang sebagai amaran dan pengunjung dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti di dalam air buat sementara waktu. “Hebahan mengenai penampakan buaya juga dilakukan di sekitar kawasan pantai bagi memaklumkan orang awam,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, maklumat berhubung penampakan reptilia berkenaan turut dimaklumkan kepada Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kota Kinabalu serta Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah untuk tindakan lanjut. Katanya, setakat ini pemantauan masih dijalankan oleh petugas MPP APM di kawasan berkenaan bagi memastikan keselamatan pengunjung pantai. – Info X