Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

March 8, 2026

Info X Reporters

Jafry sokong bekas ahli kembali ke pangkuan UMNO

KOTA KINABALU: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin menyokong kenyataan presiden parti itu berhubung penerimaan bekas ahli kembali ke pangkuan UMNO. Beliau berkata, kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu menunjukkan kematangan politik dan kerendahan diri UMNO dalam mengembalikan kekuatan parti itu. “Saya menyokong dan menyanjung tinggi kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membuka ruang kepada bekas ahli untuk kembali bersama parti. “Pendekatan ini bukan sahaja menunjukkan kematangan politik UMNO, malah mencerminkan kerendahan diri parti dalam usaha menyatukan kembali kekuatan dan perpaduan rakyat demi masa depan negara. “Dalam konteks politik semasa yang semakin mencabar, usaha penyatuan ini merupakan langkah penting untuk menguatkan organisasi serta menghimpunkan semula pengalaman dan kekuatan politik dalam UMNO,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menyatakan kesediaan UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada bekas ahli yang pernah dipecat dan digantung keahlian untuk kembali ke parti itu tanpa syarat. Keterbukaan UMNO itu katanya dibuat di bawah inisiatif ‘Rumah Bangsa’ yang turut dibuka kepada mana-mana individu yang mahu bersama dengan perjuangan parti itu. Mengulas lanjut, Jafry berkata bagi Sabah, kestabilan politik dan hubungan dengan parti nasional yang mempunyai pengalaman pentadbiran amat penting bagi memastikan kepentingan negeri terus dipertahankan dalam kerangka Persekutuan. “Pendekatan terbuka ini juga mencerminkan kematangan UMNO sebagai sebuah institusi politik yang sentiasa bersedia memperkukuh semula saf perjuangan secara matang, inklusif dan berpandangan jauh ke hadapan. “Saya berharap usaha ini dapat memperkukuh kesatuan dalam kalangan ahli serta memperluas peranan UMNO dalam agenda pembangunan negara,” katanya. Sabah adalah antara negeri yang mempunyai ramai pemimpin bekas ahli UMNO, termasuk yang pernah dipecat dan digantung. Ketika ini, dua pemimpin parti itu, iaitu Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy juga masih digantung. Penggantungan mereka bermula selepas kedua-duanya menyatakan sokongan kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ketika UMNO Sabah menarik sokongan kerjasama dengan gabungan itu pada 2023. Bagaimanapun, UMNO kembali menyokong kerajaan pimpinan GRS selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada 29 November lalu. – Info X

March 8, 2026

Info X Reporters

Klinik Kesihatan Tangkarason perlu pembaikan akibat banjir

PAITAN: Kerosakan dialami Klinik Kesihatan Tangkarason, di sini, akibat banjir baru-baru ini akan dibawa ke perhatian pihak yang berkaitan untuk diambil tindakan lanjut. Menjelaskan perkara itu, Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KWKKR), Datuk Julita Majungki, berkata pembaikan segera perlu dilaksanakan bagi memastikan komuniti di sekitarnya mendapat kemudahan kesihatan selesa. “Saya telah berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengenai kerosakan dan keperluan di klinik ini. “Perkara ini akan dibawa ke perhatian pihak berkaitan supaya bantuan yang sewajarnya dapat disalurkan,” katanya ketika tinjauan ke klinik berkenaan pada Sabtu. Pada tinjauan itu, Julita turut menyerahkan bantuan kepada klinik dan kakitangannya yang turut terjejas akibat banjir besar yang melanda daerah ini bulan lalu. “Sumbangan yang disampaikan hari ini adalah untuk membantu memenuhi keperluan segera di sini sementara usaha mendapatkan bantuan lanjut sedang dijalankan,” katanya. Julita juga menyampaikan pek makanan, bekalan perubatan serta keperluan asas lain kepada Pegawai Kesihatan Kawasan Beluran, Dr Nafsah Dulajis. Sumbangan itu termasuk barangan yang disalurkan melalui Kelab Kebajikan dan Sosial Hospital Queen Elizabeth. Lawatan kerja itu turut disertai Pengarah JKNS, Dr William Gotulis, pegawai dari ibu pejabat jabatan berkenaan serta wakil dari Pejabat Kesihatan Daerah Beluran. Julita turut memuji dedikasi petugas kesihatan di klinik itu yang terus berkhidmat kepada masyarakat walaupun laluan ke klinik tersebut terjejas akibat banjir. “Saya dimaklumkan laluan ke klinik ini terjejas ketika banjir, namun kakitangan di sini saling membantu dan terus menjalankan tugas masing-masing. “Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua atas ketabahan dan komitmen yang ditunjukkan,” katanya. Beliau juga memuji usaha Dr Nafsah yang mengendalikan kawasan perkhidmatan yang luas dan mencabar. “Untuk seorang doktor mengendalikan kawasan yang begitu luas sememangnya mencabar, lebih-lebih lagi di kawasan pedalaman seperti ini,” katanya. Tambah beliau, kerajaan negeri terus membangkitkan keperluan kesihatan Sabah ke pelbagai platform di peringkat Persekutuan, termasuk Jawatankuasa Kesihatan Kabinet serta perbincangan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). “Kerajaan Sabah akan terus memperjuangkan penambahbaikan supaya kemudahan yang ada di sini dapat ditingkatkan dan setanding dengan kemudahan di kawasan lain di negara ini,” katanya. Klinik Kesihatan Tangkarason memberi perkhidmatan kepada kawasan luar bandar yang luas di utara Sabah, dengan pekan utama terdekat beberapa jam perjalanan melalui jalan darat. – Info X

March 7, 2026

Info X Reporters

Enam belia terima motosikal baharu selepas insiden kereta api Tenom–Pangi

TENOM: Enam anak muda yang terlibat dalam insiden kereta api di laluan Tenom–Pangi, baru-baru ini menerima sumbangan motosikal baharu bagi menggantikan motosikal mereka yang rosak teruk dalam kejadian itu. Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar, berkata sumbangan enam motosikal itu disampaikan bagi pihak Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap kesukaran pengangkutan yang dihadapi masyarakat luar bandar. Beliau berkata bantuan itu diharap dapat membantu golongan belia terbabit meneruskan kehidupan harian serta mencari rezeki walaupun tinggal di kawasan pedalaman yang sukar diakses. “Hari ini kita menyampaikan enam buah motosikal kepada enam anak muda yang terlibat dalam peristiwa kereta api antara Tenom dan Pangi empat hari lalu. “Sumbangan ini disampaikan melalui saya oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor dan ini menunjukkan keprihatinan beliau terhadap nasib masyarakat di kawasan luar bandar,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan motosikal kepada penerima di sini. Jamawi berkata laluan antara Kampung Pangi dan Pekan Tenom sering terjejas terutama ketika musim hujan atau tengkujuh sehingga menyukarkan pergerakan penduduk. Menurutnya, dalam keadaan tertentu penduduk terpaksa berjalan kaki sehingga enam jam untuk sampai ke Pekan Tenom sekiranya laluan darat tidak dapat digunakan. “Setiap kali hujan atau musim tengkujuh, laluan ini memang terjejas. Dalam tempoh tiga hingga empat bulan tanpa laluan yang baik, mereka terpaksa berjalan kaki dari Kampung Pangi ke Pekan Tenom sehingga enam jam. “Inilah kesulitan yang mereka hadapi dan perkara ini difahami oleh Ketua Menteri,” katanya. Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya Sabah supaya mempercepatkan proses pembinaan jalan yang menghubungkan Tenom dengan Kampung Pangi. Beliau berkata cadangan pembinaan jalan sepanjang kira-kira 9.2 kilometer itu dijangka mengambil masa antara tiga hingga empat tahun untuk disiapkan selepas projek dilaksanakan. Menurutnya, pihak juruperunding yang dilantik dijangka menyiapkan kerja berkaitan pada Mei tahun ini. “Sepanjang tempoh itu, penduduk masih memerlukan pengangkutan bagi menjalankan aktiviti harian dan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan kereta api,” katanya. Jamawi berkata, projek jalan Tenom–Pangi memberi harapan baharu kepada penduduk pedalaman kerana ia telah dimasukkan dalam program pembangunan JKR Sabah. Enam penerima motosikal berkenaan ialah Sarudi Siden, Julintoh Landan, Lewi Rani, Mike Yulon, Leinto Landan dan Tunih Rani. – Info X

March 7, 2026

Info X Reporters

Kantoi bakar kabel curi

KOTA MARUDU: Kegiatan tiga lelaki yang dipercayai asyik membakar kabel curi di Kampung Tagas, di sini, terbongkar selepas mereka dicekup polis dalam serbuan, hari ini. Dalam operasi kira-kira 10.30 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu menahan tiga suspek tempatan berusia antara 21 hingga 25 tahun. Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat orang awam yang melihat ketiga-tiga suspek sedang membakar kabel dipercayai kabel curi di kawasan berkenaan. Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut menemukan longgokan kabel yang sudah dibakar serta sebuah kereta Proton Iswara yang dipercayai digunakan oleh suspek. “Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek yang berasal dari Kampung Bengkongan dan Kampung Ranau, Kota Marudu mempunyai rekod kesalahan lampau. “Hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, semua suspek akan direman bagi membantu siasatan lanjut. Simiun turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada penahanan suspek. “Orang ramai digesa terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada PDRM Kota Marudu bagi membantu membanteras jenayah di daerah ini,” katanya. – Info X CaptionTiga lelaki ditahan ketika sedang membakar kabel dipercayai kabel curi.

March 7, 2026

Info X Reporters

Majlis makan malam tahunan peminat Manchester United kembali ke Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Majlis Makan Malam Tahunan anjuran United Malaysia, kelab penyokong rasmi Manchester United di negara ini, akan kembali dianjurkan di sini pada 27 Jun depan selepas dua tahun diadakan di luar Sabah. Majlis yang bertemakan “United Unite!!! The Next Chapter” itu dijadual berlangsung di Hakka Hall Kota Kinabalu, sekali gus menandakan penganjuran kali kelapan acara berkenaan. Acara itu dijangka menghimpunkan ribuan penyokong kelab berkenaan dari seluruh negara, sekali gus menjadi antara perhimpunan terbesar peminat Manchester United di Malaysia. Presiden United Malaysia, Batholomew Jingulam, berkata majlis makan malam di Kota Kinabalu sentiasa dinantikan oleh ahli dan penyokong kelab itu. Katanya, penganjuran sebelum ini di Kota Kinabalu pernah mencatatkan kehadiran lebih 1,000 orang. “Seperti biasa, majlis makan malam di KK amat dinanti-nantikan oleh ahli dan penyokong Red Devils di Malaysia. “Dalam majlis makan malam sebelum ini di KK, kami menerima kehadiran lebih daripada 1,000 orang dan kami menjangkakan jumlah yang tidak kurang daripada itu pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Sementara itu, Pengerusi penganjur, Bryan Faurillo, berkata Kota Kinabalu mempunyai nilai sentimental kepada komuniti penyokong Manchester United di Malaysia. Beliau berkata, majlis makan malam pertama United Malaysia pernah dianjurkan di bandar raya ini pada 2016. “KK akan sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati peminat Manchester United di Malaysia kerana di sinilah majlis makan malam pertama United Malaysia diadakan. “Saya menggesa para peminat untuk terus mengikuti pengumuman mengenai tiket kerana jualan tiket makan malam ini akan dibuka tidak lama lagi dan kami menjangkakan ia akan habis dijual dengan sangat cepat,” katanya. Menurutnya, antara tarikan utama pada majlis makan malam itu ialah cabutan bertuah yang menawarkan hadiah pakej perjalanan yang ditanggung sepenuhnya untuk menyaksikan perlawanan secara langsung di Old Trafford, gelanggang keramat Manchester United. Edisi kali ini juga akan menampilkan pelbagai aktiviti bertemakan Manchester United, penjualan barangan eksklusif serta peluang kepada penyokong untuk berkumpul dan meraikan minat bersama terhadap kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu. Maklumat lanjut termasuk butiran penjualan tiket dan program pada malam berkenaan akan diumumkan melalui akaun media sosial United Malaysia dalam masa terdekat. – Info X

March 7, 2026

Info X Reporters

Polis siasat insiden penguatkuasa dipukul penjual rokok

SANDAKAN: Seorang pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) cedera selepas dipercayai dipukul sekumpulan lelaki ketika membuat rondaan di Pasar Batu 8, di sini, petang semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa bersama rakan sekerjanya dikatakan menjalankan rondaan bagi memantau aktiviti perniagaan dan menegur seorang lelaki yang dipercayai menjual rokok tanpa cukai secara terbuka di kawasan pasar itu. Teguran itu bagaimanapun mencetuskan perselisihan faham sebelum berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dan beberapa individu, sebelum mangsa mendakwa diserang oleh beberapa lelaki tidak dikenali. Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman, berkata akibat kejadian itu, mangsa yang berusia 50 tahun mengalami lebam di beberapa bahagian badan dan dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk mendapatkan rawatan. “Kita siasat insiden sejurus menerima laporan daripada mangsa dan sudah mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu. “Setakat ini, satu tangkapan sudah dibuat dan polis masih menumpukan usaha untuk mengesan beberapa lagi suspek,” katanya. Sebelum ini, satu rakaman video berdurasi kira-kira satu minit tular di laman sosial yang memaparkan mangsa dipukul beramai-ramai sehingga ke kawasan tempat letak kenderaan pasar. George berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan bagi menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas, serta Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. Sementara itu, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Fairuz Renddan dalam kenyataannya memberi amaran tegas kepada penjual rokok haram untuk menghentikan kegiatan itu. Beliau berkata, walaupun kesalahan rokok seludup berada di bawah bidang kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), kementeriannya akan meningkatkan usaha membanteras aktiviti berkenaan di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). “Kita tidak akan memberi ruang kepada penjual rokok haram di semua kawasan PBT. “Kita tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menjual rokok haram, terutama yang bertindak seperti samseng dan mengganggu pegawai yang menjalankan tugas,” katanya. Fairuz berkata, kerajaan komited memastikan kawasan awam kekal selamat, aman dan tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa yang mengganggu ketenteraman atau menyerang pegawai yang menjalankan tugas. – Info X

March 7, 2026

Info X Reporters

Lapan ditahan kes gaduh di Bazar Ramadan Sabindo

TAWAU: Polis menahan tiga lagi lelaki dipercayai terbabit dalam pergaduhan di Bazar Ramadan Sabindo Plaza, menjadikan lapan individu keseluruhan diberkas setakat ini susulan insiden yang mencetuskan kekecohan di kawasan tumpuan orang ramai itu, semalam. Tangkapan terbaharu itu dibuat selepas lima lelaki terlebih dahulu ditahan malam tadi dalam operasi dijalankan polis susulan video pergaduhan berdurasi kira-kira 20 saat yang tular di aplikasi WhatsApp. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata bertindak atas maklumat dan video tular itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan operasi bagi mengesan suspek. Menurutnya, polis pada awalnya menahan lima lelaki kira-kira jam 9 malam di tepi Jalan Taman Kuhara Jaya. “Dalam tangkapan itu, polis turut merampas seutas rantai motosikal yang diubah suai dipercayai digunakan semasa kejadian pergaduhan berkenaan. “Siasatan awal mendapati pergaduhan dipercayai berpunca daripada salah faham antara dua kumpulan lelaki sebelum tercetus pergaduhan sehingga mengganggu ketenteraman orang awam di kawasan bazar berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, polis kemudian menahan tiga lagi lelaki kira-kira jam 9.30 malam di hadapan sebuah premis di Kampung Batu 2, Jalan Apas kerana dipercayai turut terbabit dalam kejadian itu. Menurutnya, semua suspek termasuk seorang warga asing yang ditahan berusia antara 17 hingga 34 tahun. “Hasil semakan awal mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau. “Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata atau objek berbahaya,” katanya. Jasmin berkata, polis memandang serius kejadian pergaduhan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam terutama di kawasan tumpuan ramai seperti bazar Ramadan. Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang pergaduhan atau provokasi kerana tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang. – Info X

March 7, 2026

Info X Reporters

Bekas penolong akauntan ditahan kes dokumen palsu RM90,000

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang bekas penolong akauntan sebuah agensi kerajaan kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu. Perbuatan itu dipercayai membabitkan kerja naik taraf dan penyelenggaraan bernilai kira-kira RM90,000. Menurut sumber, suspek wanita berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira 1 tengah hari semalam, dalam satu operasi dijalankan SPRM di sekitar Kota Kinabalu. “Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu sekitar 2025 dengan mengemukakan dokumen pesanan kerajaan, invois dan sebut harga syarikat yang mengandungi butir matan palsu berkaitan pembekalan serta kerja naik taraf dan penyelenggaraan di jabatan tempatnya bekerja. “Suspek juga disyaki membuat lantikan terus kepada syarikat milik ahli keluarganya bagi mendapatkan suapan,” katanya. Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Fuad Bee Basrah, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – Info X