March 2, 2026
Info X Reporters
Penunggang maut dirempuh kenderaan di flyover
LAHAD DATU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Lahad Datu Bypass, Flyover Batu 6, Jalan Lahad Datu – Tawau, di sini, petang tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang itu, mangsa berusia 42 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah. Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah Nissan Navara dipandu lelaki berusia 34 tahun bersama tiga penumpang wanita berusia 42, 56 dan 11 tahun. “Kenderaan itu dalam perjalanan dari arah Tawau menuju ke Lahad Datu. “Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan terbabas dan terlanggar motosikal jenis Honda NSS250A yang berada di bahu jalan sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, ketika kejadian mangsa dipercayai berada di bahu jalan dalam keadaan berhenti dan berehat di atas motosikalnya. “Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. “Pemandu serta tiga penumpang kenderaan berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. “Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan. “Mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Lahad Datu, Inspektor Jafri Junat di talian 089-881255 atau hadir ke IPD Lahad Datu,” katanya. Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan berhemah ketika memandu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – Info X
March 1, 2026
Info X Reporters
Penutupan ruang udara Asia Barat jejas operasi penerbangan antarabangsa
PUTRAJAYA: Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) memaklumkan penutupan ruang udara di beberapa bahagian Asia Barat berpotensi menjejaskan operasi penerbangan antarabangsa tertentu ke dan dari negara ini. Dalam kenyataan hari ini, CAAM berkata, syarikat penerbangan yang beroperasi ke dan dari rantau terjejas mungkin berdepan kelewatan, penjadualan semula waktu penerbangan, perubahan laluan atau pembatalan susulan sekatan ruang udara yang sedang berkembang serta pertimbangan operasi semasa. Menurutnya, langkah berkenaan dilaksanakan demi kepentingan keselamatan dan selaras dengan keperluan penerbangan antarabangsa. “CAAM sedang memantau situasi dengan rapi dan mengekalkan komunikasi berterusan dengan syarikat penerbangan berkaitan bagi memastikan kepentingan penumpang terus terpelihara,” menurut kenyataan itu. Sehubungan itu, semua syarikat penerbangan yang mengendalikan penerbangan ke dan dari Malaysia diingatkan supaya segera memaklumkan penumpang mengenai sebarang perubahan jadual termasuk kelewatan, penjadualan semula, perubahan laluan atau pembatalan. Pada masa sama, syarikat penerbangan perlu menyediakan penjagaan, bantuan serta pilihan perjalanan yang bersesuaian kepada penumpang terjejas selaras dengan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC), selain memastikan komunikasi yang jelas, tepat pada masanya dan telus sepanjang tempoh gangguan. Bagi penumpang yang melakukan perjalanan ke, dari atau transit melalui rantau terjejas, mereka dinasihatkan supaya menyemak status penerbangan secara langsung dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum berlepas ke lapangan terbang. Penumpang juga digalakkan memastikan maklumat perhubungan dalam rekod tempahan adalah tepat dan dikemas kini bagi memudahkan penerimaan notifikasi. Sekiranya berlaku gangguan, penumpang disaran menghubungi syarikat penerbangan bagi mendapatkan pilihan penjadualan semula, bayaran balik atau bantuan lanjut. Menurut CAAM, penumpang yang merasakan hak mereka di bawah MACPC tidak dipatuhi perlu terlebih dahulu mendapatkan penyelesaian dengan syarikat penerbangan terbabit sebelum mengemukakan aduan melalui saluran rasmi pengguna pihak berkuasa itu untuk tindakan lanjut. CAAM berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan di rantau berkenaan dan bekerjasama rapat dengan pihak industri bagi memastikan operasi penerbangan kekal selamat serta hak pengguna terus dilindungi. – Info X
March 1, 2026
Info X Reporters
Lelaki maut tertembak ketika memburu
KOTA BELUD: Lelaki yang pada awalnya dipercayai maut akibat terjatuh dari pokok ketika memburu di Hutan Simpan Stesen Safoda, Ulu Kukut, di sini, semalam bagaimanapun disyaki terkena tembakan. Dalam kejadian jam 7.17 malam itu, mangsa berusia 44 tahun ditemui dalam keadaan terbaring kira-kira 5.2 kilometer dari Pejabat Ladang Safoda. Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian melalui MERS 999 sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi. “Hasil siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan badan yang disyaki akibat kesan tembakan. “Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya ketika dihubungi, malam ini. Menurutnya, siasatan lanjut mendapati mangsa keluar memburu bersama seorang lelaki berusia 35 tahun pada awal pagi hari kejadian. “Susulan itu, polis menahan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan. “Temu bual awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian terbabit,” katanya. Beliau berkata, polis turut merampas selaras senapang jenis bakakuk serta beberapa barangan berkaitan untuk tujuan pemeriksaan forensik dan analisis balistik. “Permohonan reman sudah dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. Sementara itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan. – Info X
March 1, 2026
Info X Reporters
10 ditahan pertaruhan lumba lari atas jalan raya
KENINGAU: Tindakan menjadikan sukan lumba lari sebagai medan pertaruhan wang membawa padah apabila digempur polis dalam Op Bersepadu di Bandar Baru Bataras, di sini, semalam. Malah lebih mengejutkan, dalam operasi itu turut dirampas bahan disyaki dadah jenis syabu dan air ketum selain beberapa individu ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah. Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, operasi yang bermula jam 11.30 malam hingga 3 pagi pada 28 Februari lalu itu dilaksanakan susulan maklumat awam dan hasil risikan berhubung penganjuran aktiviti lumba lari di atas jalan raya awam tanpa kebenaran pihak berkuasa. Katanya, seramai 36 pegawai dan anggota daripada beberapa bahagian terbabit dalam operasi berkenaan. “Antara yang terlibat ialah Bahagian Siasatan Jenayah, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Cawangan Khas serta KDNKA. “Ketika operasi dijalankan, didapati acara itu dihadiri sejumlah remaja dan belia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemukan bahan disyaki dadah jenis Methamphetamine serta minuman disyaki air ketum. “Seorang lelaki ditahan mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan siasatan lanjut sedang dijalankan. “Selain itu, 10 lelaki turut ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya. Beliau berkata, Bahagian Trafik turut mengeluarkan 25 saman atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi berkenaan. “Secara keseluruhan, 130 individu dan 105 kenderaan diperiksa dalam operasi ini,” katanya. Sementara itu, Yampil menjelaskan tindakan penguatkuasaan itu bukan bertujuan menghalang aktiviti sukan, sebaliknya bagi memastikan sebarang penganjuran program dilakukan secara sah dan mendapat kelulusan pihak berkuasa. “Polis sentiasa menyokong program sukan yang terancang dan mematuhi undang-undang. Namun dalam kes ini, aktiviti dijalankan di atas jalan raya awam tanpa kebenaran serta melibatkan unsur pertaruhan wang dan penyalahgunaan bahan terlarang. “Jalan raya awam adalah kemudahan untuk semua pengguna. Sebarang aktiviti yang mengganggu aliran trafik atau mendedahkan orang awam kepada risiko keselamatan adalah satu pelanggaran undang-undang dan perlu diambil tindakan,” katanya. Beliau berkata, operasi berkenaan juga bertujuan mencegah risiko kemalangan, penyalahgunaan dadah serta membendung pembudayaan aktiviti tidak sihat dalam kalangan remaja. “IPD Keningau komited melaksanakan tugas secara profesional, berhemah dan tanpa pilih kasih demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya. Terdahulu, tular di media sosial beberapa rakaman video memaparkan sekumpulan individu berkumpul di kawasan Bandar Baru Bataras dipercayai menyaksikan aktiviti lumba lari yang dijadikan medan pertaruhan. Rakaman berdurasi beberapa saat itu turut menunjukkan kehadiran anggota penguat kuasa di lokasi sebelum beberapa individu dilihat ditahan bagi membantu siasatan. – Info X
March 1, 2026
Info X Reporters
1,870 paket minyak masak bersubsidi dirampas
SANDAKAN: Cubaan menyeludup keluar 1,870 paket minyak masak bersubsidi gagal apabila dua bot ditinggalkan pemiliknya selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa dalam operasi di perairan Kampung Bokara Lama, di sini, semalam. Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Sandakan sedang menjalankan rondaan rutin sebelum mengesan dua bot dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan. Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, anggota penguat kuasa kemudian menghampiri kedua-dua bot terbabit untuk tujuan pemeriksaan. “Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, beberapa individu yang berada di lokasi bertindak melarikan diri ke kawasan berhampiran dan meninggalkan bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 1,870 paket minyak masak yang dipercayai cuba diseludup keluar tanpa kebenaran. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki menyeludup barang kawalan tanpa permit sah. “Semua rampasan termasuk dua bot berserta enjin dan minyak masak dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut. “Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM50,000,” katanya. Muhamad Suhairy berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti penyeludupan di perairan negara. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim diminta menyalurkannya melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 bagi tindakan segera,” katanya. – Info X
March 1, 2026
Info X Reporters
KTV diserbu, pengurus pusat hiburan positif syabu ditahan
KOTA KINABALU: Sebuah pusat hiburan karaoke (KTV) di pusat bandar raya ini diserbu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah awal pagi tadi. Dalam operasi kira-kira jam 1.30 pagi itu, seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun yang juga pengurus premis berkenaan ditahan selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine hasil ujian saringan awal air kencing. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, serbuan dijalankan susulan risikan dan pemantauan terhadap premis hiburan terbabit. “Seramai 17 pekerja dan pengunjung diperiksa dalam operasi berkenaan sebelum seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun ditahan selepas didapati positif methamphetamine dan amphetamine. “Tiada sebarang dadah dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku mengambil minuman disyaki mengandungi dadah di sebuah premis hiburan lain dua hari sebelum tangkapan. Menurutnya, tindakan risikan dan pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan pusat hiburan tidak dijadikan lokasi penyalahgunaan dadah. “JSJN Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X
March 1, 2026
Info X Reporters
Selesaikan isu MA63 sebelum PRU16 – Bobbey Suan
KOTA KINABALU: Isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu diselesaikan secara tuntas dan berani sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bobbey Suan, berkata penyelesaian isu itu bagi memastikan hak Sabah dan Sarawak terus terpelihara dalam kerangka Persekutuan. Beliau berkata, selepas lima tahun isu berkenaan berulang kali dibangkitkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, sudah tiba masanya keputusan muktamad dicapai. Katanya, ia selaras dengan semangat Perlembagaan dan seruan Yang di-Pertuan Agong agar perkara berkaitan hak wilayah diselesaikan secara menyeluruh dan harmoni. “MA63 adalah asas pembentukan Malaysia yang menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak dalam satu Persekutuan berdaulat, justeru hak-hak wilayah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati dan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. “Sebarang perbezaan pandangan berkaitan MA63 hendaklah diselesaikan secara matang melalui rundingan institusi dan saluran perundangan, dengan Kerajaan Persekutuan bersikap terbuka, profesional serta konstruktif demi perpaduan negara,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja pada persidangan Dewan Negara di Parlimen, Kuala Lumpur pada Khamis. Sementara itu, menyentuh isu petroleum, beliau berkata walaupun perkara itu tidak dinyatakan secara spesifik dalam MA63, ia tetap berkait rapat dengan kerangka pembahagian kuasa dan hasil antara Persekutuan dan wilayah. “Sabah dan Sarawak adalah penyumbang utama industri minyak dan gas negara. Apabila isu ini dibangkitkan, ia bukan ancaman kepada Persekutuan tetapi tuntutan berasaskan hak yang wajar dirunding secara matang dan berkerangka,” katanya. Beliau turut merujuk pendirian Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang menegaskan pelaksanaan 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah perlu dilaksanakan selaras Perkara 112C dan 112D serta Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan. Katanya, tuntutan itu berlandaskan prinsip keadilan fiskal dan pembangunan saksama, terutama ketika Sabah masih berdepan cabaran asas seperti bekalan air, elektrik dan infrastruktur jalan raya. Selain MA63, Bobbey turut menekankan kepentingan memperkukuh integriti, di samping menangani ancaman keselamatan digital termasuk jenayah penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan dan memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat. Mengulas aspek keselamatan, Bobbey berkata ancaman masa kini tidak lagi terhad kepada sempadan fizikal, sebaliknya semakin serius di ruang digital termasuk penyebaran maklumat palsu, manipulasi teknologi ‘deepfake’, ekstremisme dan jenayah siber. Katanya, kes penipuan dalam talian dan kegiatan scammer semakin membimbangkan apabila ramai rakyat kehilangan wang simpanan akibat taktik licik sindiket jenayah. Berikutan itu beliau menggesa kerajaan memperkukuh undang-undang berkaitan jenayah siber dan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi, termasuk menimbangkan hukuman muflis serta penjara mandatori terhadap pelaku yang disabitkan kesalahan. Selain itu, Bobbey mencadangkan langkah proaktif seperti memperluas literasi digital dan kewangan hingga ke peringkat akar umbi, mewujudkan pusat respons pantas bagi pembekuan segera akaun mencurigakan serta memperkukuh kerjasama antara bank, syarikat telekomunikasi dan agensi penguat kuasa bagi memutuskan rangkaian sindiket secara lebih bersepadu. “Keselamatan digital hari ini adalah sebahagian daripada keselamatan negara. Kita tidak boleh membiarkan rakyat terus menjadi mangsa,” katanya. Dalam perkembangan lain, Bobbey menyentuh polemik cadangan pembukaan konsulat India di Sabah yang menurutnya perlu dilihat secara rasional dan berasaskan fakta. Katanya, dalam amalan diplomatik antarabangsa, pembukaan konsulat adalah perkara lazim bagi memudah cara urusan perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan serta kebajikan warganegara. Pada masa sama, beliau menegaskan keperluan strategik pembukaan konsulat Filipina juga wajar dipertimbangkan memandangkan jumlah warganegaranya yang ramai di Sabah serta pelbagai isu dokumentasi dan sosial yang memerlukan penyelesaian rasmi melalui saluran kerajaan ke kerajaan. Sehubungan itu, beliau memohon Menteri Luar menjelaskan secara terbuka rasional, skop fungsi dan implikasi pembukaan konsulat berkenaan bagi mengelakkan salah faham serta persepsi negatif yang tidak berasas. Mengakhiri perbahasan, beliau berkata Titah Diraja menuntut komitmen berterusan terhadap reformasi institusi, pengukuhan integriti, jaminan keselamatan dan pelaksanaan semangat MA63 secara bertanggungjawab. “Negara hanya akan benar-benar progresif apabila kuasa diurus dengan amanah, institusi diperkukuh tanpa pilih kasih, rakyat dilindungi daripada ancaman baharu dan keadilan dilaksanakan secara seimbang antara Persekutuan dan wilayah,” katanya. – Info X
March 1, 2026
Info X Reporters
“Dia kata tidak lama…” – Ibu pilu anak ditemui tidak bernyawa
KOTA KINABALU: Suasana pilu menyelubungi tebing Sungai Kalansanan, Inanam, apabila seorang ibu tidak mampu menahan sebak melihat mayat anak lelakinya dibawa keluar dari sungai, kira-kira jam 1.20 tengah hari tadi. Mangsa dikenal pasti sebagai Jainal Hasim, 34, yang sebelum itu ditemui tidak bernyawa berhampiran Jalan Pintas Kingfisher, kira-kira jam 10 pagi. Ibu mangsa yang berada di lokasi kejadian berkata, anaknya ada meminta izin untuk keluar menemui rakannya, kelmarin. “Saya sudah melarangnya, tapi dia kata tidak lama saja. Saya tak sangka itu kali terakhir saya dengar suaranya,” katanya dalam nada sebak. Menurutnya, anak bongsunya itu adalah tulang belakang keluarga dan selama ini banyak membantu menampung perbelanjaan rumah. “Dialah yang selama ini memberi kami belanja. Sangat sedih… kenapa dia meninggalkan kami terlalu awal. “Lebih-lebih lagi kita tidak lama lagi hendak menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya sambil mengesat air mata. Terdahulu, mayat mangsa diangkat keluar dari air dengan bantuan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas sebelum diserahkan kepada pihak polis. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati mayat seorang lelaki berada kira-kira 30 meter dari jalan utama di tepi Sungai Kalansanan. Katanya, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu bersama Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah telah menjalankan pemeriksaan terperinci di lokasi. “Hasil pemeriksaan awal tidak menemui sebarang kesan kecederaan atau tanda-tanda perbuatan jenayah pada tubuh si mati. “Identiti si mati dikenal pasti lelaki tempatan berusia 34 tahun dan berstatus Pemastautin Tetap (pemegang Kad Pengenalan MyPR) dan setakat ini tiada unsur jenayah dikesan di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, mayat telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk tujuan bedah siasat bagi menentukan punca kematian secara rasmi. Sehubungan itu, katanya orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak berkuasa. – Info X