Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

February 23, 2026

Info X Reporters

Hormati pengorbanan Alto Linus: Kritikan boleh, cercaan melampau tidak wajar

KOTA KINABALU: Ketika kecaman terhadap ketua pengendali Sabah FC terus bergema di media sosial, ramai seolah-olah lupa bahawa Alto Linus bukanlah individu yang membina musim ini atau musim lalu dari awal sebagai perancang utama pasukan. Hakikatnya, beliau berulang kali tampil sebagai ‘pemadam api’ iaitu mengambil alih pasukan dalam keadaan tidak stabil, bukan sekali, tetapi dua musim berturut-turut. Musim lalu, Alto tampil menggantikan Datuk Ong Kim Swee selepas bekas ketua jurulatih itu meninggalkan pasukan dan ketika itu, beliau bukan sahaja perlu menyesuaikan diri dengan tanggungjawab besar, tetapi juga berjaya membantu mengekalkan kedudukan Sabah FC dalam saingan liga pada tahap kompetitif yang baik sebelum jurulatih baharu diumumkan, di mana pasukan berada dalam kelompok atas carta liga musim 2024–25. Musim ini, situasi hampir sama berulang, selepas pemergian ketua jurulatih terdahulu, Jean‑Paul de Marigny, Alto sekali lagi dipanggil untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengganti dan sekali lagi beliau menerima amanah itu dalam keadaan bukan ideal iaitu ketika pasukan masih mencari kestabilan dan berdepan pelbagai cabaran dalaman. Persoalannya, adakah adil untuk terus meletakkan kesalahan sepenuhnya di bahu seorang jurulatih yang sekadar melaksanakan tanggungjawab dalam situasi peralihan? Sumber dalaman pasukan mendedahkan bahawa Alto tidak pernah menolak cabaran walaupun sedar tekanan bakal menimpa. “Beliau (Alto) tahu keadaan sukar, beliau tahu risiko, tetapi demi pasukan dan negeri, beliau tetap terima. Ini bukan kali pertama beliau ambil alih dalam keadaan genting,” kata sumber berkenaan. Apa yang jarang diperkatakan ialah pengorbanan peribadi yang dilakukan di mana Alto bukan sahaja berdepan tekanan keputusan perlawanan, malah terpaksa mengurus cabaran dalaman termasuk kekangan bajet dan isu operasi yang memberi kesan kepada keseluruhan pasukan. Dalam keadaan serba mencabar itu, beliau tetap memilih untuk berdiri di hadapan dan bukannya berundur. Menurut sumber sama, rutin hariannya berubah sepenuhnya setiap kali beliau mengambil alih. “Masa dengan keluarga sangat terhad, dari pagi sampai malam fikir pasukan… Tekanan bukan sedikit, tapi beliau tidak pernah salahkan pemain atau pihak lain secara terbuka,” katanya lagi. Dalam dunia bola sepak profesional, mudah untuk menuding jari. Apabila keputusan tidak memihak, jurulatih menjadi sasaran pertama. Namun dalam kes Alto, konteks perlu dilihat secara menyeluruh. Beliau bukan arkitek asal musim, sebaliknya individu yang dipanggil untuk memastikan struktur tidak runtuh ketika berlaku perubahan. Dua musim berturut-turut menjadi pengganti bukan sesuatu yang mudah. Ia menuntut kekuatan mental, kesetiaan dan keberanian untuk menerima risiko reputasi, tidak semua jurulatih sanggup berada dalam posisi itu. Kritikan adalah sebahagian daripada bola sepak. Namun menjadikan beliau kambing hitam tanpa mengambil kira hakikat bahawa beliau sekadar menjalankan amanah dalam situasi sukar adalah penilaian yang tidak seimbang. Alto Linus mungkin tidak sempurna, tapi pengorbanannya termasuk dari segi masa, tenaga dan reputasi selain demi memastikan Sabah FC terus berdiri ketika melalui fasa tidak menentu, wajar diakui. Dalam saat pasukan memerlukan kestabilan, mungkin yang lebih diperlukan bukanlah cercaan, tetapi kefahaman dan sokongan yang rasional. – Info X

February 23, 2026

Info X Reporters

PAS Sabah yakin Dr Sam mampu kukuhkan semula PN

KOTA KINABALU: PAS Sabah menyatakan keyakinan terhadap kepemimpinan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ke arah mengukuhkan semula gabungan itu. Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, berkata Menteri Besar Terengganu itu memiliki latar belakang kepemimpinan yang baik dan berpengalaman sebagai seorang teknokrat berwibawa. Katanya, latar belakang itu menjadi asas penting untuk Naib Presiden PAS itu yang turut dikenali sebagai Dr Sam memacu PN ke arah yang lebih tersusun, progresif dan diyakini rakyat. “Gabungan ilmu, integriti dan ketenangan beliau adalah aset besar dalam membina politik matang yang berteraskan prinsip dan solusi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Sambil mengucapkan tahniah atas pelantikan Samsuri, Aliakbar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, berkata PN memerlukan kepemimpinan baharu yang lebih menyeluruh dalam mendepani cabaran politik semasa. Jelasnya, dalam suasana landskap politik yang mencabar, PN memerlukan kepimpinan yang bukan saja tegas dalam pendirian tetapi juga bijaksana dalam merencanakan masa depan. Beliau berkata, perkara itu penting bagi menyatukan kekuatan, merapatkan ukhuwah dan memperkukuh muafakat demi kesejahteraan rakyat. “Saya mendoakan agar PN terus mara dengan langkah yang tersusun, kukuh dalam prinsip, luas dalam kebersamaan dan teguh dalam perjuangan. “Semoga Allah SWT memimpin setiap langkah dan keputusan demi agama, bangsa dan tanah air tercinta,” katanya. Aliakbar turut menyatakan penghargaan kepada bekas Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepimpinan beliau mengemudi PN sebelum ini. Beliau menyifatkan bekas Perdana Menteri itu memimpin dengan penuh kesungguhan, kebijaksanaan dan istiqamah dalam mendepani cabaran politik negara. – Info X

February 23, 2026

Info X Reporters

Penjawat awam ditahan disyaki letak nama bapa mentua, adik ipar penerima Rumah Mesra SMJ

SANDAKAN: Seorang penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dengan mengesyorkan dua ahli keluarganya sebagai penerima Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) walaupun tidak layak. Suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam 9.50 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sandakan. Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan pada 2022 dengan mengesyorkan nama bapa mentua dan adik iparnya sebagai penerima bantuan perumahan itu. “Rumah yang dibina atas nama kedua-dua penama berkenaan dilaporkan siap pada 2023. “Bagaimanapun, sehingga 2025 didapati rumah tersebut masih belum didiami, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kelayakan sebenar penerima dan berpotensi menjejaskan objektif program bantuan,” katanya. Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan suspek akan dituduh di Mahkamah Seksyen Sandakan dalam masa terdekat. – Info X

February 23, 2026

Info X Reporters

Ops Gempur Khas JSJN Sabah: Sembilan lelaki dicekup di Telipok Ria

TUARAN: Sembilan lelaki diberkas manakala dadah disyaki syabu seberat 1.27 gram dirampas dalam Ops Gempur Khas yang dijalankan di Perumahan Telipok Ria, di sini, pada Jumaat. Operasi bermula jam 3 petang hingga 10 malam itu dilaksanakan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tuaran dan Kota Kinabalu. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, operasi menumpukan kawasan perumahan berkenaan yang dipercayai menjadi lokasi aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah. “Hasil operasi, seramai 20 individu diperiksa dan disaring air kencing. “Daripada jumlah itu, lima lelaki ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah, manakala empat lagi ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama selepas didapati positif methamphetamine dan amphetamine,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah 1.27 gram dengan nilai anggaran RM250. Menurutnya, siasatan awal mendapati bekalan dadah dipercayai diperoleh daripada beberapa individu yang aktif di sekitar kawasan perumahan itu. “Hasil soal siasat juga mendapati suspek dipercayai bertukar-tukar waktu penjualan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan menggunakan ‘runner’ untuk menghantar dadah kepada pelanggan. “Kebanyakan pelanggan yang membeli dadah di kawasan itu adalah dari luar Telipok,” katanya. Dalam operasi sama, beliau berkata pasukan serbuan turut memeriksa sebuah rumah yang disyaki menjadi kediaman pengedar, namun suspek tidak berada di premis dan tiada barang salah ditemui. Katanya, usaha mengesan beberapa individu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran masih diteruskan. “Risikan dan pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan kegiatan ini dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya. – Info X

February 23, 2026

Info X Reporters

Tolak dengan tegas tindakan Filipina bangkitkan semula tuntutan ke atas Sabah

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) memandang serius kenyataan Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) yang membangkitkan semula tuntutan terhadap Sabah susulan perbincangan mengenai peta pentadbiran 2012 negara itu. Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim, berkata sebarang tuntutan oleh Filipina yang tidak mempunyai asas perundangan mahupun legitimasi sejarah perlu ditolak dengan tegas. Katanya, Sabah menjadi sebahagian yang sah dan berdaulat dalam Persekutuan Malaysia dan kedudukan itu dimuktamadkan melalui proses sejarah serta kerangka perundangan antarabangsa. “Pendirian ini selaras dengan kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, sebelum ini yang mengulangi ketegasan Sabah dalam mempertahankan kedaulatan negeri dalam Persekutuan Malaysia serta menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan melayan sebarang tuntutan sedemikian. “Kami berpandangan bahawa isu ini tidak seharusnya dibangkitkan semula kerana ia berpotensi menjejaskan hubungan baik serantau serta mencetuskan kegusaran antara negara terlibat,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin. Pemuda Gagasan Rakyat katanya menyeru seluruh rakyat Sabah khususnya anak muda untuk terus bersatu hati dan memperkukuh semangat kebersamaan dalam mempertahankan kedaulatan negeri ini. “Dalam menghadapi sebarang cabaran, perpaduan rakyat adalah kekuatan utama yang perlu dipelihara. “Sabah adalah tanah air yang dibina atas asas keamanan, keharmonian dan kedaulatan yang tidak boleh dikompromi,” katanya. Tegasnya, Pemuda Gagasan Rakyat kekal komited untuk terus menjadi suara yang mempertahankan kedaulatan Sabah dan menyokong segala usaha kerajaan dalam memastikan keselamatan serta kestabilan negeri sentiasa terpelihara. “Dalam soal kedaulatan, pendirian kita jelas tegas, konsisten dan tidak berkompromi. Sabah kekal bersama Malaysia, dulu, kini dan selamanya,” katanya. – Info X

February 23, 2026

Info X Reporters

Individu menyamar pegawai APM tipu tempahan baju korporat

KOTA KINABALU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, memberi amaran kepada orang ramai supaya berwaspada terhadap aktiviti penipuan melibatkan penyamaran individu sebagai pegawai agensi berkenaan khususnya berkaitan penempahan dan pembelian baju korporat. Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan agensi berkenaan, APM Sabah menerima beberapa aduan berhubung tindakan individu tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai pegawai jabatan berkenaan. Katanya, ia melibatkan tindakan mengemukakan tuntutan palsu kepada pengusaha jahitan serta pembekal pakaian korporat. “Modus operandi penipuan itu adalah dengan mendakwa pesanan dibuat bagi pihak APM Sabah, sekali gus menyebabkan kerugian kewangan yang besar kepada pengusaha yang terlibat. “APM Sabah dengan tegas menafikan ada membuat sebarang pembelian atau penempahan baju korporat pada masa ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, orang ramai turut diingatkan semua urusan perolehan rasmi APM hendaklah melalui prosedur kewangan dan saluran rasmi kerajaan yang sah serta disahkan oleh pegawai berautoriti. “APM Sabah memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan nama serta reputasi jabatan bagi tujuan penipuan. “Perbuatan itu merupakan satu kesalahan jenayah yang boleh disiasat mengikut undang-undang sedia ada, termasuk kesalahan pemalsuan dokumen dan penipuan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya. Sehubungan itu, APM Sabah menasihatkan mangsa yang terlibat supaya membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa. Katanya, pihaknya juga memberi jaminan tindakan tegas akan diambil bagi memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan. “Bagi mengelakkan kejadian sama berulang, semua pengusaha, pembekal dan orang awam dinasihatkan supaya membuat semakan terus dengan Pejabat APM Negeri Sabah sebelum menerima atau memproses sebarang pesanan yang menggunakan nama APM “Ia bagi memastikan kesahihan dokumen rasmi termasuk Pesanan Tempatan (LPO) melalui saluran komunikasi rasmi serta tidak memulakan kerja atau penghantaran barangan tanpa pengesahan rasmi,” katanya. Menurutnya, APM Sabah turut menyeru orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang bentuk penyamaran yang menggunakan nama jabatan kerajaan bagi tujuan memperdaya dan mengambil kesempatan ke atas pihak lain. “Sebarang pertanyaan atau pengesahan boleh dibuat terus melalui talian rasmi Pejabat APM Negeri Sabah,” katanya. – Info X

February 23, 2026

Info X Reporters

Lelaki ditahan disyaki jual, simpan air ketum di Kundasang

RANAU: Seorang lelaki tempatan diberkas selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan penjualan dan penyimpanan air ketum dalam serbuan di tepi jalan Kampung Sinisian, Kundasang, di sini, hari ini. Dalam operasi kira-kira jam 1.30 petang itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau menahan sebuah kenderaan yang mencurigakan. Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemukan sebuah beg hitam diletakkan di bahagian hadapan tempat duduk penumpang. “Hasil pemeriksaan lanjut menemui lima botol air mineral berkapasiti 1.5 liter setiap satu yang mengandungi cecair disyaki air ketum. “Anggaran harga pasaran bagi setiap botol ialah RM20,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, lelaki berusia 27 tahun yang berada di dalam kenderaan itu terus ditahan dan semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau. Mursalin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Beliau menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi membanteras kegiatan berkaitan ketum bagi memastikan kesejahteraan masyarakat di daerah Ranau terus terpelihara. Operasi berkenaan diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Ranau, Inspektor Abdul Fatah Qasim. – Info X

February 23, 2026

Info X Reporters

Dua lelaki dicekup jual daun, air ketum di Ranau

RANAU: Kegiatan penjualan daun dan air ketum di Kampung Bongkud, di sini, terbongkar selepas dua lelaki tempatan diberkas dalam dua serbuan berasingan, semalam. Dalam serbuan pertama kira-kira jam 2 petang, seorang lelaki berusia 37 tahun ditahan bersama satu karung guni berisi daun ketum seberat 1.4 kilogram. Turut dirampas dalam operasi itu ialah sebuah tong gas dan dapur masak yang dipercayai digunakan untuk memproses bahan berkenaan. Tidak sampai sejam kemudian, kira-kira jam 3 petang, seorang lagi lelaki berusia 49 tahun diberkas bersama 18 botol plastik berkapasiti 1.5 liter berisi cecair disyaki air ketum yang disimpan dalam peti sejuk. Polis turut merampas sebuah tong gas dan dapur masak dalam serbuan kedua berkenaan. Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, semua tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau yang diketuai Inspektor Abdul Fatah Qasim. “Pengambilan dan pemprosesan cecair ketum adalah kesalahan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. “Sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Sementara itu, beliau menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi membanteras aktiviti menyalahi undang-undang itu demi kesejahteraan masyarakat di daerah Ranau. – Info X