Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

February 14, 2026

Info X Reporters

Polis kesan dua lagi anggota tubuh mangsa

KOTA KINABALU: Selepas penemuan beberapa bahagian anggota tubuh wanita yang dibunuh kejam di sekitar Indah Permai, di sini, Khamis lalu, polis kini masih giat mengesan dua lagi anggota tubuh mangsa yang belum ditemui. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, mangsa dipercayai ditetak menggunakan parang di sebuah rumah di Manggatal sebelum mayatnya dipotong dan dibuang di beberapa lokasi berasingan. Bagaimanapun, katanya, lokasi pembuangan anggota tubuh itu masih belum dapat dinyatakan secara spesifik memandangkan suspek ketika ini berada di hospital untuk menerima rawatan dan proses soal siasat lanjut belum dapat dijalankan sepenuhnya. “Polis masih meneruskan pencarian dua lagi anggota tubuh mangsa termasuk mengesan parang dipercayai digunakan suspek. “Operasi pencarian dijalankan sepasukan polis termasuk Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di beberapa lokasi yang sudah dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Semalam, anak mangsa menerusi siaran langsung di TikTok mendakwa walaupun jenazah ibunya sudah dikebumikan, anggota tubuh mangsa masih tidak lengkap. “Yang belum ditemui ialah kaki kiri dan tangan kanan,” katanya. Jauteh berkata, pihak keluarga mangsa juga boleh berhubung atau berjumpa dengan pegawai penyiasat bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung siasatan kes. Katanya, siasatan masih diteruskan termasuk menyoal siasat suspek secara lanjut bagi melengkapkan kertas siasatan. “Proses soal siasat lanjut akan dijalankan selepas keadaan suspek mengizinkan dan mendapat kebenaran doktor,” katanya. Beliau turut meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau talian Hotline 019-2182728. “Maklumat juga boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau terus kepada pegawai penyiasat kes. “Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. Kelmarin, polis menahan lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an yang dikaitkan dengan kes pembunuhan kejam wanita yang mayatnya dikerat tujuh bahagian dan dibuang di beberapa lokasi di Indah Permai. Suspek diberkas di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) pada jam 8.10 malam dalam operasi membabitkan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Luyang, Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sabah serta Bantuan Teknikal D8 JSJ IPK dan Bukit Aman. Penahanan dilakukan dalam tempoh kurang 24 jam selepas penemuan bahagian anggota badan mangsa berusia lingkungan 40-an oleh seorang pekerja lori sampah kira-kira jam 6.30 pagi. – Info X

February 14, 2026

Info X Reporters

JSJN Sabah lupus dadah RM4.4 juta di Port Dickson 2025

KOTA KINABALU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah melaksanakan pelupusan barang kes dadah membabitkan 6,382 kertas siasatan dengan nilai keseluruhan lebih RM4.4 juta, Ogos lalu. Pelupusan itu dijalankan di Tapak Pelupusan Kualiti Alam, Port Dickson, Negeri Sembilan dan dihadiri Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil bersama pegawai serta anggota Bahagian Perundangan/Naziran JSJN Sabah. Turut hadir sebagai semak imbang proses ialah Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Kontinjen Sabah, Asisten Komisioner Haji Ahmad bin Haji Jawila. Menurut kenyataan hari ini, pelupusan itu dilaksanakan mengikut prosedur ketat dan teratur bagi memastikan semua dadah yang dirampas dimusnahkan sepenuhnya serta mengelakkan sebarang salah guna atau spekulasi awam. Antara jenis dadah yang dilupuskan ialah 95,732.446 gram syabu, 27,039.4 gram ganja, 2,395.078 gram Eramin 5, 4,857.9 gram ekstasi, 3,518.04 gram ketamin serta 174,205.1 gram mitragynine. Kesemua barang kes yang hendak dilupuskan dimasukkan ke dalam kontena bernombor siri sebelum melalui proses pengeluaran, penghancuran sehingga menjadi partikel kecil dan seterusnya dibakar sepenuhnya. Sebanyak dua pallet bersamaan 50 kotak barang kes dilupuskan dalam operasi berkenaan dengan anggaran nilai keseluruhan RM4,405,848.54. JSJN Sabah memaklumkan pelupusan barang kes dadah dilaksanakan setiap tahun dan akan diteruskan pada 2026 bagi memastikan integriti pengurusan barang kes sentiasa terpelihara. – Info X

February 14, 2026

Info X Reporters

Op Taring Alpha 3: 33 ditahan, rampasan peranti vape dan e-liquid cecah RM1.72 juta

KOTA KINABALU: Seramai 33 individu ditahan manakala puluhan ribu peranti rokok elektronik dan vape dirampas dalam Op e-CIG (e-Cigarette) Mega yang dilaksanakan serentak di tujuh daerah di Sabah, Selasa lalu. Operasi bersepadu dikenali sebagai Op Taring Alpha 3 itu dilancarkan Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sabah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sabah. Komander Briged Sabah PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Nor Omar Sappi berkata, operasi yang dijalankan antara jam 2 petang hingga 8 malam itu membabitkan tujuh daerah iaitu Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Lahad Datu, Beluran, Keningau dan Semporna. Menurutnya, seramai 278 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi berkenaan termasuk 164 dari PDRM, 53 (KKM), empat (JKDM) dan 55 (PBT). “Hasil operasi, seramai 33 individu berusia antara 20 hingga 47 tahun ditahan membabitkan 24 lelaki dan sembilan wanita, kesemuanya warga tempatan. Semua tangkapan tidak mempunyai rekod jenayah lampau. “Kita turut merampas 16,925 unit peranti rokok elektronik dan vape, 219,959 liter cecair e-liquid serta 95 unit lain-lain barangan dengan anggaran nilai keseluruhan RM1,728,034,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 10(1) Akta 852 (Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024) yang memperuntukkan denda sehingga RM20,000 bagi kesalahan pertama atau RM30,000 bagi kes kedua dan seterusnya, atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali. Selain itu, katanya siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15 dan Seksyen 8 akta sama berkaitan larangan pengiklanan, promosi dan tajaan produk tembakau, selain Seksyen 3(1) Ordinan Perlesenan Perdagangan 1948 Menurutnya, semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada agensi berkaitan untuk siasatan serta tindakan lanjut. “Operasi bersepadu seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi menangani isu kesihatan awam serta membanteras penjualan dan pengedaran vape secara haram. “Kita juga mahu melindungi golongan muda daripada terjerumus dalam penggunaan vape yang mungkin dicampur bahan terlarang seperti ganja,” katanya. Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penjualan serta pengedaran peranti rokok elektronik dan cecair e-liquid yang menyalahi undang-undang di Sabah. – Info X

February 14, 2026

Info X Reporters

Detik cemas dua keluarga, dewan roboh hempap rumah

SEMPORNA: Dua keluarga melalui detik cemas apabila sebuah dewan kayu dibina di atas air tiba-tiba roboh sebelum menghempap kediaman mereka di Kampung Air, di sini, malam tadi. Dalam kejadian itu, enam penghuni termasuk dua kanak-kanak sedang berada di dalam rumah masing-masing sebelum terdengar bunyi dentuman kuat disusuli gegaran pada struktur lantai dan dinding. Mereka bertindak pantas menyelamatkan diri sebaik menyedari dewan bersebelahan runtuh dan menimpa bahagian rumah. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna, Suheizan Sahak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.49 malam. Menurutnya, enam anggota dari BBP Atas Air Semporna kemudian digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai. “Setibanya di lokasi, pasukan mendapati sebuah dewan tidak kekal berkeluasan kira-kira 557 meter persegi roboh dan menghempap dua rumah masing-masing berkeluasan kira-kira 56 meter persegi serta 111 meter persegi. “Semua penghuni iaitu empat dewasa dan dua kanak-kanak berjaya keluar dengan selamat sebelum ketibaan bomba dan dipindahkan ke rumah keluarga berhampiran untuk perlindungan sementara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan cedera dan semua penghuni berada dalam keadaan selamat. “Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan menyeluruh di kawasan runtuhan bagi memastikan tiada mangsa lain terlibat selain mengalihkan serpihan secara berhati-hati berikutan struktur berada di atas air. “Operasi yang menggunakan sebuah bot aluminium itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.03 malam selepas keadaan disahkan selamat dan terkawal,” katanya. – Info X

February 14, 2026

Info X Reporters

“Mama sudah bayar RM7,000” – Luahan anak dalam live TikTok bongkar konflik sebelum tragedi

KOTA KINABALU: “Lelaki itu bersetuju putus, tapi dia minta RM7,000. Mama sudah bayar.” Demikian kata salah seorang anak mangsa ketika menceritakan konflik pertunangan mamanya yang dipercayai menjadi titik mula kepada tragedi pembunuhan itu. Dia yang berkongsi perkara itu menerusi siaran langsung di aplikasi TikTok berkata, sepanjang tempoh pertunangan kira-kira dua hingga tiga bulan, hubungan ibunya dengan lelaki terbabit sering berlaku pertengkaran mulut akibat perbezaan pendapat dan kurang sefahaman. “Bila sudah selalu bergaduh, mama buat keputusan untuk tidak teruskan. “Dia datang jumpa keluarga dan setuju putus, tapi minta RM7,000. Mama sudah bayar,” katanya. Dalam siaran langsung itu, anak mangsa mendedahkan, selepas pertunangan diputuskan, anak mangsa mendakwa dia sudah menasihati ibunya supaya tidak lagi mempunyai sebarang hubungan dengan lelaki berkenaan, walaupun sekadar berkawan. “Namun begitu, walaupun hubungan sudah berakhir, lelaki (pelaku) terbabit masih mengganggu ibu saya. Pelaku tidak menggunakan satu nombor telefon sahaja, sebaliknya menghubungi menggunakan enam nombor berbeza. “Dalam masa yang sama, saya ada menasihati ibu supaya tidak lagi mempunyai sebarang hubungan dengan lelaki terbabit. Walaupun sekadar berkawan. Saya meminta supaya ibu menjauhkan diri sepenuhnya daripada individu itu. “Ibu saya bersetuju dan berkata dia akan mengikut nasihat saya serta melakukan apa yang terbaik demi kebaikan bersama,” katanya. Sambung anaknya lagi, mamanya kemudian mengenali seorang lelaki lain dan tidak lama mereka berkahwin pada awal Januari lalu. Menceritakan sehari sebelum kejadian, anak mangsa berkata pada Selasa minggu terbabit, ibunya menghadiri majlis kenduri sebelum pulang ke rumah dan keluar semula pada sebelah petang selepas memaklumkan mahu berjumpa seseorang bagi urusan tertentu. “Pada jam 5 hingga 6 petang, ibu gagal dihubungi. Panggilan telefon dan mesej tidak berjawab, malah telefonnya tidak lagi aktif. “Kami mula risau sebab mama biasanya akan telefon kalau sudah lewat. Abang saya tidak tidur satu malam, setiap setengah jam dia cuba hubungi mama sampai pagi. “Keesokan harinya, keluarga dimaklumkan mengenai penemuan mayat seorang wanita. Hati mereka mula tidak sedap apabila melihat perkongsian di media sosial yang memaparkan sebahagian anggota badan mangsa. “Saya kenal tangan mama saya. Memang itu tangan dia,” katanya. Jelasnya, keluarga kemudian dipanggil ke balai polis untuk proses pengecaman sebelum mengesahkan mayat itu adalah ibunya. “Selepas keluarga memaklumkan kepada polis mengenai bekas tunang sebagai individu yang disyaki, pihak berkuasa menyerbu rumah lelaki terbabit dan menemui kesan darah dalam jumlah yang banyak selain beberapa barangan dipercayai milik mangsa. “Suspek akhirnya ditahan ketika mendapatkan rawatan di hospital, manakala anaknya turut dipanggil membantu siasatan. Menceritakan proses pengkebumian ibunya, dia berkata, mama kemudiannya dikebumikan walaupun anggota tubuhnya tidak lengkap. “Masih terdapat beberapa bahagian anggota badan yang belum ditemui, namun keluarga mengambil keputusan untuk meneruskan pengebumian bagi menghormati arwah. “Kami reda dan bersyukur mama sudah selamat dikebumikan,” katanya. – Info X

February 13, 2026

Info X Reporters

Polis, suspek cedera dalam pergelutan, satu das tembakan dilepaskan

TAWAU: Seorang anggota polis dan seorang suspek lelaki cedera selepas berlaku pergelutan ketika cubaan menahan individu terbabit dalam kejadian di kawasan pusat komersial Bazong, di sini, pagi tadi. Kejadian jam 10.45 pagi itu berlaku ketika dua anggota polis sedang tugas rondaan bit dan cegah jenayah di Jalan Persisiran Pantai sebelum menahan dan memeriksa sebuah Perodua Viva berwarna putih yang dipandu seorang lelaki. Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, ketika pemeriksaan dijalankan, lelaki berusia lingkungan 30-an itu bertindak melarikan diri dengan meninggalkan kenderaannya sebelum dikejar anggota bertugas. Katanya, usspek berjaya ditahan di kawasan pusat komersial Bazong Tawau. “Bagaimanapun, ketika proses pemeriksaan dan tangkapan dibuat, berlaku pergelutan apabila suspek enggan memberi kerjasama serta bertindak agresif. “Dalam keadaan itu, pistol milik anggota bertugas berada di tangannya dan terlepas satu das tembakan yang mengenai tangan kiri suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, seorang lagi anggota yang membantu melaksanakan tangkapan turut mengalami kecederaan di bahagian paha kanan ketika pergelutan berkenaan. “Kedua-dua yang cedera dibawa ke Hospital Tawau dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut dan keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya. Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan yang ditinggalkan suspek menemui serbuk disyaki dadah jenis syabu. “Pihak polis masih meneruskan siasatan dalam kes ini,” katanya. – Info X

February 13, 2026

Info X Reporters

JKDM kutip RM76.18 bilion hasil tahun lalu

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) terus memainkan peranan strategik dalam menyokong agenda reformasi fiskal negara serta memastikan kelestarian kewangan Kerajaan Persekutuan melalui peningkatan prestasi kutipan hasil dan pemerkasaan aspek penguatkuasaan. Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainuddin berkata, sebagai agensi utama dalam kutipan hasil negara, JKDM melaksanakan fungsi tersebut secara berterusan. Selain itu katanya, ia juga bagi memudah cara perdagangan yang cekap dan berintegriti selari dengan komitmen Kerajaan untuk memastikan kestabilan ekonomi negara serta kesejahteraan rakyat secara menyeluruh. “Dalam masa yang sama, JKDM turut memperkukuh peranan penguatkuasaan bagi melindungi masyarakat daripada ancaman penyeludupan, perdagangan haram dan aktiviti yang menjejaskan keselamatan serta hasil negara. “Pendekatan bersepadu ini mencerminkan keupayaan JKDM menyeimbangkan aspek fasilitasi dan penguatkuasaan secara berkesan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, di sini, hari ini. Anis Rizana berkata, bagi tahun 2025, JKDM mencatatkan prestasi cemerlang apabila berjaya merekodkan kutipan hasil berjumlah RM76.18 bilion. “Jumlah ini bukan sahaja melepasi unjuran awal yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia sebanyak RM67.25 bilion, malah turut mengatasi unjuran yang telah disemak semula kepada RM73.26 bilion. “Pencapaian itu juga menyaksikan lebihan kutipan sebanyak RM8.93 bilion, bersamaan 113.28 peratus berbanding unjuran awal tahun 2025, sekali gus membuktikan keberkesanan strategi pentadbiran, pematuhan cukai dan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh JKDM. Menurutnya, secara keseluruhan, kejayaan ini mencerminkan komitmen berterusan JKDM dalam memperkukuh tadbir urus fiskal negara, menyokong pembangunan ekonomi yang mampan serta memastikan hasil negara dipelihara demi kepentingan rakyat dan negara. – Info X

February 13, 2026

Info X Reporters

Dadah lebih 3 tan bernilai lebih RM240 juta dirampas dalam dua operasi berskala besar di Sabah

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang dipercayai terbesar dalam sejarah Sabah berikutan membabitkan rampasan dadah lebih tiga tan dengan nilai lebih RM240 juta. Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata rampasan itu dibuat menerusi dua operasi bersepadu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Kontinjen Sabah dan agensi penguatkuasaan lain. Katanya, Op Coleoptera dan Op Bayu 2 itu membabitkan beberapa serbuan di sekitar ibu bandar raya Kota Kinabalu, Penampang dan Sepanggar, selain turut membabitkan operasi di Selangor. Beliau berkata, operasi berkenaan yang turut membabitkan beberapa tangkapan ahli sindiket dilaksanakan berdasarkan risikan menyeluruh dan tindakan penguatkuasaan tegas bagi memastikan keselamatan awam dan memelihara kedaulatan undang-undang. Dalam Op Coleoptera, katanya PDRM dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta Lembaga Pelabuhan Malaysia berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa terbesar di Sabah bagi dekad ini. “Operasi bersepadu ini telah membawa kepada rampasan enam kontena di Pelabuhan Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu dan Pelabuhan Klang, Selangor serta penahanan lapan orang suspek berumur antara 23 hingga 45 tahun. “Sindiket ini dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah merentasi Laut China Selatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kepayan, di sini, pada Jumaat. Beliau berkata, jumlah keseluruhan dadah yang berjaya dirampas menerusi operasi itu membabitkan kuantiti yang amat besar dan membimbangkan, merangkumi 3,043.5 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine, 102.5 kg ketamin, 90 kg pil ekstasi, empat kilogram cecair vape disyaki mengandungi kokain serta 2.6 kg pil Erimin 5. “Nilai keseluruhan rampasan dadah ini dianggarkan berjumlah ratusan jutaan ringgit dan sekiranya bahan-bahan terlarang tersebut berjaya menembusi pasaran, ia berupaya memusnahkan kehidupan kira-kira 16 juta individu, sekali gus mengancam keselamatan negara, meruntuhkan kesejahteraan sosial serta mencetuskan kesan jangka panjang yang serius terhadap generasi masa kini dan akan datang. “Rampasan ini jelas membuktikan bahawa jenayah dadah adalah ancaman besar terhadap kestabilan dan masa depan negara, dan PDRM tidak akan berkompromi dalam memastikan rangkaian sindiket berbahaya seperti ini ditumpaskan sepenuhnya,” katanya. Op Coleoptera katanya bermula menerusi serbuan pertama pada 20 Januari lalu di sebuah rumah di Penampang yang membawa kepada penahanan dua lelaki warganegara tempatan, sebelum disusuli enam lagi serbuan di pelbagai lokasi sekitar Penampang dan Inanam, termasuk Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar dan Pelabuhan Klang, Selangor. Katanya, sindiket itu dipercayai menggunakan laluan laut sebagai kaedah utama pengangkutan dan menjadikan kontena di premis logistik sebagai tempat penyimpanan sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa dan dipercayai aktif sejak beberapa tahun lalu. Setakat ini, katanya empat suspek telah dituduh di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala seorang lagi ditahan di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, manakala dua suspek lain telah diberikan bon jaminan sebagai saksi pendakwaan. “Tindakan sitaan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 melibatkan harta bernilai RM1 juta, merangkumi beberapa jenis kenderaan yang digunakan sindiket itu,” katanya. Sementara itu, Mohd Khalid berkata menerusi Op Bayu 2, PDRM melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah berskala besar yang dijalankan di Penampang. Katanya, operasi dilaksanakan berpandukan maklumat risikan berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang mana sepasukan pegawai dan anggota JSJN IPK Sabah telah menjalankan pemantauan di sebuah tempat letak kenderaan di Penampang pada 5 Februari lalu. “Hasil pemerhatian membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan yang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna putih tanpa nombor pendaftaran dan kedua-dua suspek berjaya ditahan selepas gagal melarikan diri. “Pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut telah menemukan tiga kotak yang mengandungi 60 bungkusan dadah disyaki jenisMethamphetamine dengan anggaran berat kasar 101.7 kg dan nilai pasaran RM5.66 juta,” katanya. Hasil siasatan kes pertama itu, katanya telah membawa kepada lima siri tangkapan serta tindakan susulan di lokasi berasingan melibatkan pemeriksaan kenderaan dan serbuan ke atas beberapa premis kediaman di sekitar Penampang dan Kota Kinabalu. Katanya, antara rampasan utama melibatkan dadah jenis syabu, serbuk ekstasi, pil ekstasi, jus ekstasi, ketamin dan Eramin 5, selain peralatan pembungkusan, mesin penimbang, wang tunai serta beberapa kenderaan dan telefon bimbit. Jumlah dadah yang dirampas menerusi operasi itu katanya ialah 111.3 kg syabu (RM5.66 juta), 419.62 kg serbuk Ekstasi (RM62.94 juta), 6.787 kg Pil Ekstasi (RM1.02 juta), 71.03 gram ketamin (RM14,206) dan 25.62 gram Eramin 5 (RM25,000) dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan dadah adalah RM69.65 juta. Kedua-dua Op Cleoptera dan Op Bayu 2 itu, katanya mencerminkan komitmen PDRM dalam membanteras jenayah dadah secara menyeluruh tanpa sebarang berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah kerana mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat, selain mencemarkan imej dan maruah negara. “Kejayaan ini adalah hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam yang menyalurkan maklumat. Saya berterima kasih kepada orang ramai atas keprihatinan mereka untuk bersama dengan PDRM dalam membanteras jenayah ini,” katanya. – Info X