Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

January 18, 2026

Info X Reporters

Polis minta waris tampil, mangsa terjatuh di Lido Four Seasons dikenal pasti

KOTA KINABALU: Polis Kota Kinabalu mengesahkan sudah mengenalpasti mangsa dalam insiden terjatuh di Lido Four Seasons, Lintas Jaya, Penampang, di sini, pada 13 Januari lalu. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Chong Wei Cheng yang dipercayai berasal dari daerah Sandakan. Katanya, siasatan turut mendapati mangsa telah menginap terakhir di D’New 1 Hotel yang terletak di Lorong Bundusan Square 1B, Bundusan, Penampang. “Rekod polis juga menunjukkan alamat terakhir mangsa adalah di Batu 10, Jalan Gereja, Peti Surat 1067, 90711 Sandakan, Sabah. “Sehubungan itu, mana-mana individu yang mengenali mangsa atau merupakan ahli keluarga dan waris mangsa diminta untuk tampil membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, sebarang maklumat boleh disalurkan dengan hadir ke balai polis terdekat atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kes yang juga Ketua Polis Balai Tanjung Aru, Sub Inspektor Razmi Omar di talian 013-9802326. “Pihak polis juga memohon kerjasama orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya. – Info X

January 18, 2026

Info X Reporters

Ops Imigresen: 24 PATI ditahan sekitar Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Seramai 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan bersepadu yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di sekitar bandar raya ini, pada Jumaat. Operasi melibatkan Ops Mahir, Ops Sapu, Ops Selera dan Ops Gegar itu dilaksanakan selama dua hari bermula 15 hingga 16 Januari lalu dengan penglibatan 29 pegawai penguat kuasa dari Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah. Sepanjang operasi, enam premis diperiksa membabitkan 111 individu terdiri daripada warganegara tempatan dan asing. Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan 24 PATI terdiri daripada 10 lelaki dewasa dan 14 perempuan dewasa. Menurut Imigresen Sabah, tangkapan membabitkan 15 warga Filipina dan sembilan warga Indonesia yang dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan pas yang sah. “Semua PATI yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Papar untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” menurut kenyataan itu. Imigresen Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berfokus dan berterusan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin di negeri ini. Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap undang-undang imigresen negara. – Info X

January 18, 2026

Info X Reporters

KM hargai sokongan rakyat Sabah terhadap kerajaan negeri

TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan penghargaannya atas sokongan seluruh rakyat Sabah terhadap kerajaan pimpinannya untuk terus mentadbir negeri ini. Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada jentera parti, penjawat awam dan semua pihak yang terus memberikan kepercayaan dan sokongan kepada kerajaan negeri dalam usaha membangunkan Sabah secara terancang, inklusif dan mampan. “Kestabilan politik dan pentadbiran negeri adalah prasyarat penting bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan demi kepentingan rakyat,” katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan dan Terima Kasih di Dewan Seri Sulaman, di sini, pada Sabtu. Hajiji yang juga ADUN Sulaman turut menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh tadbir urus kerajaan negeri dan memastikan agenda pembangunan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dapat dilaksanakan dengan lebih berfokus, menyeluruh dan berpaksikan keperluan sebenar rakyat. Sementara itu, Majlis Penghargaan dan Terima Kasih daripada Hajiji itu diadakan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada rakyat, jentera parti serta jentera pentadbiran yang terus berdiri teguh menyokong kepimpinan beliau dan Kerajaan Negeri dalam meneruskan agenda pembangunan negeri. Ketibaan Hajiji bersama isteri, Datik Seri Juliah Salag pada majlis itu disambut meriah dengan iringan persembahan kebudayaan, bacaan doa serta tayangan ucapan khas yang memaparkan mesej penghargaan dan komitmen berterusan Ketua Menteri kepada rakyat Sabah. Majlis berkenaan turut diserikan dengan persembahan hiburan daripada barisan artis tempatan dan artis jemputan dari Kuala Lumpur, sekali gus menjadikan program itu sebagai platform mendekatkan lagi hubungan antara pemimpin dan rakyat dalam suasana santai namun penuh makna. Antara artis yang membuat persembahan ialah Rozaimie, Marleynnie, Ray Kimara, MJ Abadey, Misha Omar dan Datuk Jamal Abdillah yang menghiburkan hadirin dengan pelbagai lagu popular sekali gus memeriahkan suasana majlis hingga ke penghujung acara. – Info X

January 17, 2026

Info X Reporters

Kakitangan Hospital Tambunan maut, seorang lagi parah dalam nahas dua kenderaan

TAMBUNAN: Seorang kakitangan Hospital Tambunan maut manakala seorang lagi cedera parah selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di hadapan Servay Jaya Supermarket, Jalan Dabata, di sini, petang semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa, Simon Jibit, 48, pembantu pergigian Hospital Tambunan, maut selepas tercampak keluar dari kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang dipandunya sebelum kenderaan berkenaan dipercayai terbalik beberapa kali akibat perlanggaran. kemalangan itu turut membabitkan sebuah Toyota Avanza yang dipandu seorang wanita berusia 38 tahun, pembantu tadbir Hospital Tambunan, yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala. Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, siasatan awal mendapati Toyota Avanza terbabit baru keluar dari simpang Servay Jaya Supermarket. Katanya, kenderaan itu kemudian dilanggar di bahagian sisi kanan penumpang oleh Perodua Alza yang datang dari arah jalan utama. “Akibat perlanggaran itu, Toyota Avanza terbabas ke bahu kiri jalan sebelum melanggar sebuah kenderaan lain yang sedang diparkir di lot parkir berhampiran. “Perodua Alza pula dipercayai terbalik beberapa kali menyebabkan pemandunya tercampak keluar dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, mangsa wanita kini masih menerima rawatan di Zon Kuning, Hospital Tambunan. “Manakala mayat mangsa lelaki dihantar ke Unit Forensik Hospital Keningau untuk proses bedah siasat. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Info X

January 17, 2026

Info X Reporters

Bot nelayan ‘tarik tepi’ ditahan APMM

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau menahan sebuah bot nelayan tempatan yang menangkap ikan kurang dua batu nautika dari daratan pada jam 9.15 pagi semalam. Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot berkenaan dikesan menjalankan aktiviti menarik pukat kira-kira 1.1 batu nautika timur laut Kalabakan, sekali gus melanggar syarat lesen. “Pemeriksaan mendapati bot dikendalikan seorang juragan dan dua awak-awak warga Indonesia berusia 28 hingga 46 tahun. “Bot, kru serta hasil laut ditahan untuk siasatan di bawah Akta Perikanan 1985, dengan nilai rampasan dianggarkan lebih RM58,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, APMM menegaskan operasi akan diteruskan bagi melindungi nelayan pantai dan ekosistem laut, serta meminta orang ramai menyalurkan maklumat ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di 089-750116 atau 999. – Info X

January 17, 2026

Info X Reporters

Shahelmey pengerusi baharu SOGDC

KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya dilantik sebagai pengerusi baharu Sabah Oil and Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) bertaraf menteri. Ahli Parlimen Putatan yang juga bekas Menteri Kerja Raya Sabah itu menggantikan bekas Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan. Sempena pelantikan itu, Shahelmey mengadakan lawatan rasmi dan menghadiri sesi taklimat Pengerusi di ibu pejabat SOGDC, pada Jumaat. Beliau disambut Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Pengarah Urusan SOGDC, Mohd Azmir Ramli bersama barisan pengurusan tertinggi SOGDC. Dalam ucapannya, Shahelmey menekankan kepentingan tadbir urus yang kukuh, pemantauan prestasi korporat yang berkesan dan pengurusan bersepadu SOGDC serta anak-anak syarikatnya. Beliau turut menyatakan hasrat untuk memperkukuh strategi pelaburan SOGDC dengan memberi tumpuan kepada peluang pelaburan strategik yang mampan, di samping memastikan pelaksanaan pelaburan sedia ada berjalan secara teratur dan menepati objektif yang ditetapkan. Sementara itu, Mohd Azmir berkata, pihak pengurusan dan seluruh warga kerja SOGDC menyambut baik pelantikan itu dan menyatakan komitmen penuh untuk bekerjasama secara profesional serta menyokong kepimpinan pengerusi dalam melaksanakan agenda korporat dan dasar-dasar strategik syarikat. Jelasnya, usaha berterusan juga dilaksanakan bagi mengekalkan budaya kerja yang berintegriti, harmoni dan berorientasikan prestasi. “SOGDC yakin kepimpinan baharu ini akan memperkukuh peranan syarikat sebagai entiti strategik negeri, seterusnya menyumbang secara berterusan kepada pembangunan sosioekonomi Sabah melalui pendekatan yang mampan dan berimpak tinggi. – Info X

January 17, 2026

Info X Reporters

Ketua Menteri, KPN bincang isu keselamatan Sabah

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menerima kunjungan Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, di sini, pada Sabtu. Pada pertemuan di Sri Gaya itu, Hajiji dan Mohd Khalid membincangkan isu semasa dan perkara berkaitan keselamatan Sabah. Mohd Khalid diiringi Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan pegawai kanan dari Bukit Aman. – Info X

January 17, 2026

Info X Reporters

23 ditahan, rokok elektronik, vape bernilai RM635,262 dirampas

KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah menahan 23 individu serta merampas ribuan peranti rokok elektronik, vape dan cecair e-liquid bernilai lebih RM635,000 menerusi Op Taring Alpha 3 yang dilaksanakan serentak di tujuh daerah di Sabah, kelmarin. Operasi bersepadu yang dijalankan dari jam 9 pagi hingga 6 petang itu melibatkan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT), dengan kekuatan seramai 170 pegawai dan anggota. Komander Briged Sabah PGA, Senior Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, operasi berkenaan dilaksanakan di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Lahad Datu, Beluran, Keningau dan Semporna bagi memperkasakan penguatkuasaan terhadap penjualan serta pemilikan rokok elektronik, vape dan cecair e-liquid secara haram. “Hasil operasi berjaya menahan 23 individu berusia antara 20 hingga 35 tahun, terdiri daripada 18 lelaki dan lima wanita, semuanya warga tempatan dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau. “Turut dirampas ialah 9,000 unit peranti rokok elektronik, 3,000 unit vape dan 1,915 unit cecair e-liquid dengan nilai rampasan dianggarkan RM635,262,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 10(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 bagi kesalahan pertama atau RM30,000 bagi kesalahan berulang, atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali. “Sebahagian kes turut disiasat mengikut Seksyen 15 akta sama, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM500 atau perintah khidmat masyarakat, selain siasatan di bawah Ordinan Perlesenan Perdagangan 1949 oleh PBT. “Semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada agensi berkaitan untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya. Sementara itu, Nor Omar berkata pihak polis akan terus komited dan konsisten membanteras aktiviti penyeludupan serta perniagaan haram di Sabah. Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan penjualan serta pengedaran rokok elektronik, vape dan cecair e-liquid yang menyalahi undang-undang. – Info X