January 16, 2026
Info X Reporters
Pemilihan JKKK, Ketua Kampung DUN Tamparuli diserah kepada rakyat
TAMPARULI: Pemilihan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Ketua Kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli akan dilaksanakan dengan memberi ruang kepada rakyat untuk terlibat secara langsung dalam proses pemilihan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Wilfred Madius Tangau berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan kepimpinan kampung yang dibentuk benar-benar mendapat sokongan dan penerimaan masyarakat setempat. Menurutnya, satu mesyuarat telah diadakan pagi tadi bersama Pegawai Daerah Kecil (ADO) Tamparuli, Penolong Pegawai Mukim (PPM) Tamparuli serta kakitangan Pejabat Daerah Kecil Tamparuli bagi membincangkan secara terperinci proses pemilihan JKKK dan Ketua Kampung di kawasan berkenaan. “Pembentukan JKKK dan pelantikan Ketua Kampung amat penting bagi memastikan pentadbiran kampung berjalan dengan teratur serta berfungsi sebagai penghubung berkesan antara rakyat dan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook hari ini. Beliau berkata, proses pemilihan akan mengambil kira pandangan, sokongan dan penerimaan penduduk kampung dengan penekanan terhadap integriti, keupayaan memimpin, penglibatan aktif dalam kerja kemasyarakatan serta komitmen berkhidmat kepada rakyat. Tambahnya, pendekatan ini diharap dapat memperkukuhkan pengurusan kebajikan rakyat, menangani isu kampung secara berhemah serta merancang pembangunan kampung secara lebih tersusun dan berperingkat. “Ini adalah sebahagian daripada usaha membina kepimpinan kampung yang benar-benar berfungsi demi kepentingan seluruh rakyat DUN Tamparuli,” katanya. – Info X
January 16, 2026
Info X Reporters
Tanah runtuh jejaskan dapur rumah di Sipitang, empat penghuni selamat
SIPITANG: Kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di Kampung PMP Baru, di sini, petang tadi semalam, namun tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian berkenaan. Dalam kejadian kira-kira jam 4.17 petang itu, runtuhan tanah menjejaskan bahagian dapur sebuah rumah kediaman berukuran yang didiami empat penghuni. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, Calvin Joe Jeafery, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai sebelum enam anggota digerakkan ke lokasi sejauh kira-kira sembilan kilometer dan tiba pada jam 4.27 petang. Menurutnya, rumah berkenaan dihuni dua lelaki dewasa dan dua wanita dewasa, namun kesemua penghuni berada dalam keadaan selamat dan tiada operasi menyelamat dijalankan. “Pasukan bomba hanya menjalankan pemantauan di lokasi kejadian dan menasihatkan penghuni supaya mengosongkan rumah sebagai langkah keselamatan. “Selain itu, penghuni turut diingatkan supaya sentiasa peka dengan keadaan sekeliling berikutan risiko berlakunya runtuhan susulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, pemantauan turut dilakukan bersama beberapa agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Electricity Sdn Bhd dan Pegawai Daerah. Selain itu, Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah, turut hadir ke lokasi kejadian bagi meninjau keadaan semasa. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.05 malam selepas keadaan disahkan selamat sebelum anggota dan jentera kembali ke balai. – Info X
January 16, 2026
Info X Reporters
Lelaki lemas dihanyut arus deras selepas jatuh sungai ketika berakit
NABAWAN: Aktiviti lasak berakhir tragedi apabila seorang lelaki ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika menjalankan aktiviti rafting di kawasan Kabulongou Earth, Sepulut, di sini, hari ini. Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari itu, mangsa berusia lingkungan 40-an, dipercayai terjatuh ke dalam sungai sebelum dibawa arus deras. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nabawan, Rudy Mekii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.40 tengah hari sebelum sepasukan 12 anggota digerakkan ke lokasi sejauh kira-kira 53 kilometer. Menurutnya, operasi menghadapi kesukaran apabila laluan ke lokasi kejadian sempit serta tidak berturap, menyebabkan jentera hanya tiba di lokasi kira-kira jam 2.45 petang. “Mangsa kemudiannya ditemui oleh orang awam di tepi sungai dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum pasukan bomba bertindak mengeluarkannya dari sungai. “Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.30 petang. Operasi menyelamat turut membabitkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan KKM. – Info X
January 16, 2026
Info X Reporters
UPKO Perkukuh Hubungan Erat Bersama SJA Menerusi Sukan Bola Sepak.
KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) terus memperkukuh hubungan erat bersama pengamal media menerusi penganjuran perlawanan bola sepak persahabatan yang berlangsung di Stadium Likas, di sini, malam tadi. Perlawanan yang menyaksikan pertembungan antara pasukan Exco Pergerakan Pemuda UPKO menentang pasukan Persatuan Wartawan Sabah (SJA) berlngsung dalam suasana penuh muhibah dan semangat kesukanan. Ia sekali gus mencerminkan hubungan baik yang terjalin antara parti politik itu dan rakan-rakan media tempatan. Ketua Pemuda UPKO Nasional, Felix Joseph Saang berkata, tujuan penganjuran perlawanan ini bukan sahaja sebagai aktiviti sihat yang menggalakkan gaya hidup aktif, malah menjadi platform santai untuk merapatkan silaturahim. Katanya, ia turut mengukuhkan kerjasama serta mempertingkatkan persefahaman antara UPKO dan pihak media. “Media memainkan peranan penting sebagai rakan strategik dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan seimbang kepada masyarakat, justeru hubungan yang erat dan saling menghormati perlu sentiasa dipelihara. “Melalui program seperti ini, kita dapat berinteraksi dalam suasana yang lebih santai dan terbuka, sekali gus mengukuhkan lagi kepercayaan serta kerjasama antara kedua-dua pihak,” menurut satu kenyataan. Felix berkata, penganjuran aktiviti seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha berterusan untuk memperkukuh jaringan kerjasama bersama media demi kepentingan rakyat dan pembangunan Sabah. Pengerusi Biro Sukan dan Rekreasi SJA, Fardy Bungga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Exco Pemuda UPKO atas inisiatif menganjurkan perlawanan bola sepak persahabatan bersama warga media. Katanya, program ini akan menjadi platform berkesan untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh kerjasama strategik antara UPKO dan rakan-rakan media. “Semoga hubungan baik ini terus diperkasakan demi penyampaian maklumat yang telus, seimbang dan berkesan kepada masyarakat Sementara itu, perlawanan yang berlangsung dengan penuh semangat kesukanan itu menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi bertenaga sebelum berakhir dengan keputusan seri 3-3. – Info X
January 16, 2026
Info X Reporters
Program kebajikan bantu warga emas di Kinarut
KOTA KINABALU: Keprihatinan terhadap kebajikan warga emas diterjemahkan menerusi penganjuran program Celebrating The Golden Heart, anjuran KDCA Youth Council (Majlis Belia KDCA) dengan kerjasama Kupi2 FM dan Info X. Program berkenaan bakal berlangsung di Rumah Warga Tua Sri Pritchard sebagai usaha mendekati serta membantu golongan warga emas yang memerlukan. Program berkonsepkan khidmat masyarakat itu bertujuan menyemai nilai kasih sayang, keprihatinan dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat. Ia turut memberi sokongan moral selain menyalurkan bantuan keperluan asas kepada penghuni rumah warga tua terbabit. Penganjur memaklumkan, orang ramai dialu-alukan untuk menyumbang barangan keperluan bagi menjayakan program berkenaan. Antara sumbangan diperlukan ialah lampin dewasa, kelengkapan pembersihan, barangan kebersihan diri serta keperluan harian rumah warga tua. Sumbangan boleh disalurkan ke KDCA sebagai lokasi pengumpulan dan akan diterima sehingga 4 Februari 2026. Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Jessica (012-830 0385) atau Travis (011-865 3535). Program itu diharap dapat menjadi platform memperkukuh nilai kemanusiaan dalam kalangan masyarakat. Ia sekali gus menyentuh hati orang ramai untuk terus mengingati dan menghargai jasa golongan warga emas. – Info X
January 16, 2026
Info X Reporters
KM bincang isu semasa bersama Ahli Parlimen Sabah
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengadakan pertemuan dengan beberapa Ahli Parlimen Sabah bagi membincangkan isu semasa, di sini, pada malam Khamis. Beliau berkata, pelbagai pandangan dan maklum balas disuarakan pada pertemuan itu yang berlangsung di kediamab rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya. “Saya mengambil maklum pandangan, maklum balas dan cadangan mereka mengenai perkara-perkara yang memberi kesan kepada akar umbi di bawah bidang kuasa Negeri dan Persekutuan. “Kami juga membincangkan perkara-perkara pentadbiran yang berkaitan dengan pihak berkuasa daerah dan tempatan,” katanya. Antara Ahli Parlimen yang bertemu dengan Ketua Menteri ialah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Shahelmey Yahya (Putatan), Datuk Matbali Musah (Sipitang), Lo Su Fui (Tawau) yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Riduan Rubin (Tenom). – Info X
January 16, 2026
Info X Reporters
858 warga asing diusir ke negara asal, 844 warga Filipina melalui laut
SANDAKAN: Seramai 858 warga asing dipindahkan pulang ke negara asal dalam Program Pemindahan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Siri 1/2026 yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina, semalam. Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, program yang dilaksanakan pada 15 Januari 2026 itu membabitkan 844 warganegara Filipina yang dipindahkan secara usir melalui laut menggunakan Vessel MV Antonia 1. “Semua tahanan terbabit dipindahkan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar, Sandakan dan Tawau, terdiri daripada 519 lelaki dewasa, 215 perempuan dewasa, 92 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah serta 18 bayi berumur 23 bulan ke bawah. “Purata umur tahanan yang terlibat adalah antara dua bulan hingga 72 tahun, dengan kanak-kanak dihantar pulang bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, selain warganegara Filipina, program sama turut menyaksikan enam warganegara Pakistan, seorang Vietnam dan seorang China berjaya dipindahkan ke negara asal masing-masing. “Ia menjadikan jumlah keseluruhan 858 orang warga asing dipulangkan sepanjang awal tahun 2026 melalui pengangkutan laut dan udara,” katanya. Dalam pada itu, beliau menegaskan JIM Sabah akan terus mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana majikan yang menggaji atau melindungi pekerja asing tanpa dokumen sah. “Majikan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara serta sebatan bagi kesalahan bersubahat atau melindungi PATI,” katanya. – Info X
January 16, 2026
Info X Reporters
Lelaki mengaku salah edar dadah 1 kg
TAWAU: Seorang lelaki mengaku salah atas pertuduhan mengedar dadah ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Tawau, di sini, hari ini. Tertuduh, Yusri Amsar, 19 yang membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Afiz Huzairi Ayob didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 1,009.47 gram. Bagaimanapun, prosiding kes itu ditangguhkan sementara menunggu keputusan ujian kimia. Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa polis, ASP Nur Intan Jamrin. Mahkamah kemudian menetapkan 16 Februari depan untuk sebutan semula kes. Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada jam 10.15 malam, 1 Januari lalu di hadapan Jin Hua Cold Storage, Jalan Lorong Tawau 1, di sini. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan rotan tidak kurang 12 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati. – Info X