January 11, 2026
Info X Reporters
OP AGAS: Sindiket bunga ganja antarabangsa RM1.9 juta tumpas di Kelantan
KOTA BHARU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis bunga ganja bernilai hampir RM1.92 juta hasil pelaksanaan Op Agas menerusi risikan strategik selama hampir empat bulan. Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pada 3 Januari lalu, JSJN melancarkan dua siri serbuan terancang di sekitar Kuala Krai, Kelantan, yang turut membabitkan aksi kejar-mengejar berisiko tinggi sebelum tiga lelaki tempatan berusia 32 hingga 50 tahun ditahan. Menurutnya, serbuan pertama di Jalan Kota Bharu – Gua Musang membawa kepada penahanan seorang suspek selepas perlanggaran kenderaan, dengan rampasan 320 bungkusan plastik lutsinar berisi bunga ganja seberat kira-kira 52 kilogram. “Serbuan susulan di Taman Sri Guchil pula menyaksikan dua lagi suspek dicekup, dipercayai terlibat secara langsung dalam sindiket sama. “Jumlah keseluruhan dadah dirampas dianggarkan bernilai RM1.82 juta, manakala nilai keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah RM1.92 juta. “Dadah ini berpotensi merosakkan 104,000 orang, termasuk generasi muda, sekiranya terlepas ke pasaran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini. Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak September 2024 dengan modus operandi membawa bekalan dari kawasan sempadan sebelum dijadikan transit dan diedarkan ke pasaran tempatan serta antarabangsa. “Dalang utama disyaki seorang wanita yang beroperasi dari negara jiran dan usaha mengesannya sedang dipergiat melalui kerjasama pihak berkuasa luar negara. “Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala tindakan pelucuthakan harta diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya. Hussein menegaskan JSJN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak terbabit pengedaran dadah kerana jenayah itu mengancam keselamatan rakyat dan maruah negara. Orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah melalui Hotline JSJN 012-208 7222. – Info X
January 11, 2026
Info X Reporters
Lelaki hilang di Bukit Padang ditemui selamat di pekan Tuaran
KOTA KINABALU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti riadah di Taman Tun Fuad Stephen, Bukit Padang, di sini, berakhir apabila mangsa ditemui selamat di pekan Tuaran, kira-kira 40 kilometer dari sini, petang tadi. Mangsa, Adwin Janson, 20, sebelum itu dilaporkan hilang selepas terpisah daripada keluarganya kira-kira jam 6 petang, Sabtu lalu, selepas bergerak sendiri di laluan joging ketika aktiviti riadah keluarga berkenaan. Susulan laporan kehilangan, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas bersama Unit K9, dengan bantuan kakitangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) serta orang awam, menjalankan operasi SAR di kawasan berkenaan. Operasi pencarian dibahagikan kepada dua kumpulan meliputi laluan trek belakang SM St Francis Convent dan trek dalam kawasan Taman Tun Fuad Stephen. Menurut pihak bomba, pada jam 2.14 petang, keluarga mangsa memaklumkan menerima panggilan video daripada orang awam yang memaklumkan mangsa telah ditemui di pekan Tuaran dalam keadaan selamat. Keluarga kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada pihak bomba dan polis sebelum bergerak ke lokasi bagi menjemput mangsa. Selepas memastikan mangsa berada dalam keadaan baik dan selamat, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.25 petang. Kes sebelum ini turut dimaklumkan kepada polis selepas laporan dibuat oleh bapa mangsa. – Info X
January 11, 2026
Info X Reporters
Isu kesesakan Pelabuhan Sepanggar akan dibentang di Kabinet – Ewon
KOTA KINABALU: Isu kesesakan di Pelabuhan Sepanggar akan dibentangkan ke Kabinet negeri bagi mencari penyelesaian interim terhadap masalah itu yang dibimbangi menjejaskan aktiviti ekonomi negeri. Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick, berkata perkara itu akan dibawa ke Kabinet dalam masa terdekat termasuk cadangan penyelesaian interim yang perlu dilaksanakan segera. Katanya, penyelesaian interim penting kerana penyelesaian jangka masa panjang seperti projek peluasan Pelabuhan Sepanggar yang sedang dilaksanakan mengambil masa yang lama untuk disiapkan. “Susulan aduan mengenai isu kesesakan di Pelabuhan Sepanggar, hari ini saya menaiki sebuah prime mover dari depo di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) ke Pelabuhan Sepanggar untuk mengambil kontena yang akan dihantar kepada pelanggan, bagi meneliti sendiri aduan tersebut,” katanya. Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan di Pelabuhan Sepanggar, di sini, hari ini. Ewon yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah, berkata hasil tinjauannya mendapati aduan kesesakan yang disuarakan adalah berasas. Katanya, beberapa faktor turut dikenal pasti menyumbang kepada masalah itu, termasuk aspek kecekapan operasi yang perlu ditangani segera. “Saya dapati aduan yang disampaikan sememangnya berasas. Banyak faktor menyumbang kepada kesesakan di Pelabuhan Sepanggar, namun isu kecekapan mesti ditangani dan diperbaiki,” katanya. Beliau menegaskan isu kesesakan Pelabuhan Sepanggar kini menjadi keutamaan nombor satu di MINDET kerana pelabuhan berkenaan adalah pembolehubah utama kepada keseluruhan ekosistem perindustrian dan keusahawanan di Sabah. “Kesesakan di pelabuhan ini memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan, kos logistik serta daya saing industri dan usahawan di negeri ini. Oleh itu, ia menjadi keutamaan nombor satu saya di MINDET untuk diselesaikan,” katanya. Sehubungan itu, Ewon memaklumkan beberapa perbincangan akan diadakan bersama pihak berkepentingan berkaitan sebelum kertas Kabinet dibentangkan bagi mendapatkan kelulusan penyelesaian interim. Beliau turut memberi jaminan kerajaan Sabah komited untuk memastikan kelancaran operasi pelabuhan demi menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah secara mampan. – Info X
January 11, 2026
Info X Reporters
Dua remaja ditemui tidak bernyawa dalam sebuah kereta
SANDAKAN: Seorang pelajar perempuan yang dilaporkan hilang sebelum ini ditemui meninggal dunia dalam sebuah kereta bersama seorang lelaki dipercayai kekasihnya di kawasan parkir Bandar Sejati Walk, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, pelajar perempuan berusia 17 tahun ditemukan bersama lelaki berusia 18 tahun di bahagian penumpang belakang sebuah kenderaan. Kedua-duanya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri. Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan K Ramasamy berkata, pihaknya menerima maklumat awam sebelum sepasukan anggota polis bersama unit forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bergegas ke lokasi kejadian. Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati semua tingkap kereta tertutup rapat dan berkunci, manakala barang-barang berharga milik mangsa masih berada di dalam kenderaan. “Hasil siasatan awal mendapati mangsa lelaki keluar dari rumahnya untuk bertemu pelajar itu pada Jumaat lalu sebelum kedua-duanya gagal dihubungi. “Bapa mangsa kemudian menemui kereta miliknya di tempat letak kereta berkenaan dan menjumpai kedua-dua mangsa selepas membuka pintu menggunakan kunci pendua,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, pemeriksaan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah atau khianat. “Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk proses bedah siasat. “Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – Info X
January 11, 2026
Info X Reporters
Hamil dedah rahsia hitam, bapa saudara diberkas
TAWAU: Perbuatan terkutuk seorang lelaki yang dipercayai merogol anak saudara sendiri terbongkar apabila mangsa berusia 19 tahun disahkan hamil, sebelum suspek ditahan polis kurang 24 jam selepas laporan dibuat, Jumaat lalu. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, laporan polis dibuat oleh seorang wanita tempatan berusia 52 tahun selepas dimaklumkan mangsa yang juga anak saudaranya mengenai kejadian berkenaan. Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 malam di sebuah rumah di Taman Semarak ketika mangsa berada di kediaman wanita terbabit. “Mangsa mendakwa dirogol lelaki yang juga adik kepada suami wanita berkenaan sebelum dibawa ke klinik oleh ibu saudaranya untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, susulan laporan itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau berjaya menahan suspek warga asing berusia lingkungan 40-an di sebuah bilik sewa sekitar Bandar Sabindo kira-kira jam 3.50 petang, semalam. “Hasil siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan penyalahgunaan dadah. “Kes disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan kerana kesalahan rogol sumbang mahram serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. Dalam pada itu, beliau menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah seksual, khususnya yang melibatkan ahli keluarga, dan menasihatkan orang ramai supaya segera melaporkan kejadian seumpama itu bagi membolehkan tindakan tegas diambil. – Info X
January 11, 2026
Info X Reporters
Ugutan bunuh ibu mentua bawa padah, lelaki warga asing dicekup
TAWAU: Tindakan seorang lelaki warga asing mengugut untuk membunuh ibu mentuanya membawa padah apabila dia diberkas polis dalam kejadian di Kampung Haji Matahir, Jalan Merotai, di sini, Jumaat lalu. Kejadian itu berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika mangsa, seorang wanita tempatan berusia 61 tahun, sedang makan di kediamannya sebelum suspek bertindak agresif di dalam bilik. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek dipercayai mengeluarkan ugutan bunuh serta meracun mangsa. “Ugutan itu menyebabkan wanita berkenaan berasa bimbang akan keselamatan diri dan keluarganya sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Bombalai. “Susulan kejadian itu, sepasukan anggota polis menjalankan operasi dan menahan suspek jam 5.22 petang hari yang sama di hadapan rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Katanya, hasil semakan mendapati dokumentasi suspek berusia lingkungan 30-an itu telah tamat tempoh. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. Dalam pada itu, beliau menegaskan Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ugutan atau keganasan, khususnya yang melibatkan keselamatan ahli keluarga. Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya segera melaporkan kejadian seumpama itu bagi membolehkan tindakan tegas diambil. – Info X
January 11, 2026
Info X Reporters
Lelaki hilang akibat bot bertembung ditemui meninggal dunia
SEMPORNA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan hilang di perairan Seafest, di sini, berakhir apabila mangsa ditemukan meninggal dunia pagi tadi, selepas tiga hari operasi dijalankan. Mangsa, Rosman Kandau, 24, ditemukan oleh orang awam pada jam 8.37 pagi sebelum dimaklumkan kepada pihak berkuasa. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Semporna, Mohd Akhimullah Adan berkata, operasi SAR hari ketiga dimulakan pada jam 6.30 pagi dengan radius pencarian diperluaskan menggunakan aset sedia ada termasuk bot penyelamat. “Pada jam 8.37 pagi, pihak bomba menerima maklumat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna bahawa mangsa ditemui oleh orang awam. “Pasukan SAR bergerak ke lokasi pada jam 8.45 pagi sebelum mangsa dibawa ke Jeti Marin dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, operasi yang disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.44 pagi. Terdahulu, Rosman dilaporkan hilang selepas berlaku perlanggaran dua bot penumpang di perairan Seafest pada jam kira-kira 8 pagi, Jumaat lalu. Dalam kejadian itu, insiden berkenaan membabitkan tujuh individu, dengan enam mangsa lain dilaporkan selamat. – Info X
January 10, 2026
Info X Reporters
Banjir di Ranau, Masidi arah kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan disegerakan
RANAU: Kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan sistem saliran air sungai disegerakan berikutan kejadian banjir yang menjejaskan penduduk Kampung Mohimboyon dan Lipantai, di sini, pada Jumaat. Menerusi satu kenyataan, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata beliau sudah mengarahkan pihak yang berkaitan untuk mengambil tindakan segera sebagai langkah memastikan kejadian itu tidak berulang. “Antara tindakan yang dilaksanakan segera ialah pembersihan sistem perparitan, pemasangan paip pembetung baharu, penambahbaikan laluan air serta penyelenggaraan kemudahan awam yang terjejas bagi mengelakkan risiko banjir berulang. “Langkah berkenaan penting bagi memastikan keselamatan penduduk setempat sentiasa terjamin, khususnya ketika keadaan cuaca tidak menentu,” katanya. Dalam kejadian itu, sebanyak 19 kenderaan yang terperangkap akibat laluan dinaiki air berjaya diselamatkan sukarelawan pacuan empat roda dari Kundasang Highland Four Wheel Drive Club (KH4WDC), Kilimu Garage (KGR) dan Red Army 4X4. Pihak polis turut menjalankan pemantauan di kedua-dua kampung berkenaan bagi memastikan keadaan terkawal dan keselamatan penduduk sentiasa terjamin. Masidi yang juga ADUN Karanaan, berkata Pusat Khidmat DUN Karanaan sentiasa bersiap sedia untuk memantau dan memberi bantuan di kawasan yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh berikutan hujan lebat. – Info X