Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

January 10, 2026

Info X Reporters

Budak 9 tahun maut, motosikal rempuh pikap di Batu 2 Tawau

TAWAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut, manakala bapanya parah selepas motosikal dinaiki mereka merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di persimpangan lampu isyarat Batu 2, Jalan Apas, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian jam 5.36 pagi itu, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah, manakala bapanya yang berusia 48 tahun mengalami kecederaan serius di bahagian dada dan perut. Seorang lagi pembonceng motosikal, abang mangsa berusia 13 tahun, dilaporkan cedera ringan. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah pikap Toyota Hilux dan motosikal jenis Husky 150 SE. “Motosikal itu ditunggang lelaki tempatan bersama dua anak lelakinya sebagai pembonceng dalam perjalanan dari Bandar Tawau menuju ke Pekan Kunak. “Pemandu pikap pula adalah seorang wanita berusia 63 tahun yang bergerak dari kediamannya di Jalan Pantai ke Pasar Sin On,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, setibanya pikap berkenaan di persimpangan lampu isyarat Batu 2, lampu isyarat ketika itu berwarna hijau dan pemandu sudah memasuki simpang Jalan Bunga Raya. “Secara tiba-tiba motosikal yang datang dari arah bertentangan dipercayai ditunggang dengan laju melanggar bahagian hadapan kiri pikap berkenaan. “Akibat rempuhan itu, pemandu pikap hilang kawalan sebelum terbabas ke lorong kanan, melanggar sebuah Proton Saga yang diparkir dan seterusnya merempuh sebuah kedai gunting rambut berhampiran,” katanya. Menurutnya, pembonceng motosikal berusia sembilan tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah Wad Kecemasan Hospital Tawau, manakala pemandu pikap dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu dengan melulu atau membahayakan. “Sehubungan itu, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, tidak memandu atau menunggang dengan laju terutama di persimpangan lampu isyarat, serta mengutamakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain,” katanya. – Info X

January 10, 2026

Info X Reporters

Kejohanan Karom Terbuka Parlimen Sepanggar meriah, hampir 100 pasukan berentap

SEPANGGAR: Kejohanan Karom Terbuka Parlimen Sepanggar 2026 berlangsung meriah dengan penyertaan hampir 100 pasukan melibatkan lebih 200 peserta dari dalam dan luar kawasan Parlimen Sepanggar di Dewan Terbuka Futsal Darau, hari ini. Program anjuran Belia Sepanggar itu mencatat sambutan luar jangka apabila seramai 296 peserta mendaftar, sekali gus mencerminkan minat tinggi komuniti terhadap sukan karom sebagai medium penyatuan masyarakat. Majlis perasmian disempurnakan Pengarah Parlimen Sepanggar, Ahsim Jamat, yang mewakili Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud, yang tidak dapat hadir berikutan komitmen tugas. Dalam ucapannya, Ahsim berkata penganjuran kejohanan itu sejajar dengan mandat Parlimen Sepanggar untuk memperkasa belia dan masyarakat melalui pembangunan sumber manusia. Menurutnya, program sukan dan riadah mampu mengeratkan silaturahim, selain menjadi medium berkesan mendekatkan wakil rakyat dengan komuniti. “Kejohanan ini satu permulaan yang baik. Dengan hampir 100 pasukan dan lebih 200 peserta, sambutan amat memberangsangkan dan menjadi asas kepada penganjuran program berskala lebih besar pada masa hadapan,” katanya, sambil memaklumkan perancangan untuk memperluas penganjuran kepada program bersifat kekeluargaan. Beliau turut berkata kejohanan itu membuka ruang penyertaan kanak-kanak dan remaja seawal usia 11 tahun, sekali gus memberi pendedahan awal kepada sukan berunsur strategi dan disiplin, selain mengisi masa lapang belia dengan aktiviti berfaedah. Pertandingan dibahagikan kepada kategori Winner Pool dan Loser Pool bagi memberi peluang semua pasukan terus bersaing hingga ke peringkat akhir. Bagi Winner Pool, johan menerima RM2,000, naib johan RM1,000, tempat ketiga RM800 dan keempat RM400, manakala pasukan kelima hingga kelapan menerima RM200. Kategori Loser Pool pula menawarkan RM500 kepada johan, RM300 (naib johan), RM200 (ketiga) dan RM100 kepada pasukan di tempat keempat hingga kelapan. Pada masa sama, penghargaan turut dirakamkan kepada penaja, penganjur serta pasukan keselamatan atas kelancaran kejohanan, selain kerjasama komuniti Kampung Darau sebagai tuan rumah. Kejohanan ini diharap dapat dijadikan acara tahunan bagi mencungkil bakat baharu serta memperkukuh hubungan masyarakat melalui sukan karom. – Info X

January 10, 2026

Info X Reporters

Rampasan minyak masak subsidi RM1.57 juta, sindiket bungkus semula untuk pasaran luar negara terbongkar

SANDAKAN: Aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi yang disyaki untuk pasaran luar negara terbongkar apabila Pasukan Polis Marin (PPM) merampas barangan bernilai RM1.57 juta dalam satu operasi di Batu 1/2, di sini, tengah hari semalam. Serbuan jam 12.35 tengah hari itu dilaksanakan menerusi Op Taring Landai Khas Kontraban/Operasi Bersepadu Inter Agensi, hasil maklumat risikan Unit Risikan Marin Sandakan. Pemangku Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah, Superintendan Jaffri Bidin berkata, pemeriksaan yang dijalankan ke atas sebuah gudang di kawasan berkenaan mendapati terdapat aktiviti mencurigakan sedang berlangsung. Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut menemukan kegiatan pembungkusan semula minyak masak bersubsidi kepada minyak masak eksport tanpa permit yang sah, dipercayai untuk diseleweng ke pasaran luar negara. “Operasi itu melibatkan sebuah lori kotak dan dua lori tangki, selain penemuan ratusan kotak minyak masak di lokasi. “Seorang lelaki warga Pakistan yang berada di gudang berkenaan ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, rampasan melibatkan 516 kotak minyak masak jenama Burung Puyuh dan 410 kotak jenama Mimosa, selain dua lori tangki serta sebuah lori, dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan RM1,576,402.00. “Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. Sementara itu, beliau berkata pihaknya menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat dan bekerjasama melaporkan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang. “PPM Wilayah Empat Sabah menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan serta kesejahteraan negara,” katanya. – Info X

January 10, 2026

Info X Reporters

Calon BN siap sedia berkhidmat untuk rakyat Kinabatangan, Lamag – Jafry

KINABATANGAN: Barisan Nasional (BN) menampilkan calon yang berwibawa dan bersedia berkhidmat di Kinabatangan dan Lamag pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kedua-dua kawasan itu, 24 Januari ini. Pengerusi BN Sabah, Datuk Jafry Ariffin, calon BN bagi PRK Parlimen Kinabatangan, Mohd Naim Kurniawan Moktar dan calon BN PRN DUN Lamag, Mohd Ismail Ayob atau Miha mampu menggalas cabaran BN. “Sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan Negeri Sabah, BN komited memastikan kestabilan politik, pembangunan berterusan, dan kesejahteraan rakyat. “Pemilihan calon dibuat teliti, mengambil kira kepimpinan, penerimaan masyarakat setempat dan kemampuan mereka berkhidmat dengan konsisten,” katanya dalam satu kenyataan selepas penamaan calon pada Sabtu. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah itu berkata, sepanjang tempoh kempen 14 hari, BN akan menumpukan pendekatan berorientasikan rakyat dan fakta, memberi peluang masyarakat berinteraksi terus dengan calon, memahami visi, misi dan rancangan pembangunan mereka. Pendekatan itu, katanya menekankan pendengaran aktif, penyampaian maklumat jelas dan penyelesaian konkrit bagi isu setempat, selaras dengan prinsip kepimpinan BN yang berkesan dan berwawasan. “Mohd Naim membawa tenaga generasi muda yang progresif dan dekat dengan aspirasi rakyat, manakala Mohd Ismail berpengalaman dan memahami keperluan masyarakat Lamag, memastikan suara rakyat di Dewan Undangan Negeri terus didengar. “Saya menyeru seluruh jentera parti dan rakyat Kinabatangan serta Lamag agar memberikan sokongan padu kepada calon-calon BN demi kesinambungan pembangunan, kestabilan politik dan masa depan yang lebih terancang serta sejahtera,” katanya. – Info X

January 10, 2026

Info X Reporters

PRK Kinabatangan, Lamag: Tiga penjuru di Kinabatangan, satu lawan satu di Lamag

KINABATANGAN: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan pada 24 Januari ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru, manakala satu lawan satu bagi PRK DUN Lamag. Calon bagi PRK Parlimen Kinabatangan ialah Mohd Naim Kurniawan Moktar dari Barisan Nasional (BN), Goldam Hamid (Bebas) dan Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan). Bagi PRK DUN Lamag pula calon yang bertanding ialah Mohd Ismail Ayob (Miha) mewakili BN dan Mazliwati Abdul Malek dari Warisan. Nama-nama calon bagi kedua-dua PRK itu diumumkan selepas tamat tempoh penamaan calon di Dewan Sri Lamag, di sini yang dibuka selama sejam bermula pada jam 9 pagi tadi. Setelah selesai penamaan calon, tempoh kempen kini bermula sebelum hari mengundi biasa pada 24 Januari ini, manakala pengundian awal pada 20 Januari. PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu. – Info X

January 9, 2026

Info X Reporters

Liga Super: Sabah, KL City kongsi satu mata di Likas

KOTA KINABALU: Perlawanan Liga Super di antara Sabah FC dan Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Likas, malam ini berakhir dengan keputusan seri 1-1. Kedua-dua pasukan dilihat menghadapi kesukaran mengawal bola dengan baik disebabkan padang licin akibat hujan lebat namun tetap berusaha mencipta peluang menjaringkan gol dengan penguasaan bola yang agak seimbang. Di pihak tuan rumah, kecekapan penjaga gol Damien Lim membaca pergerakan pemain lawan di hadapan gawang berjaya menghalang beberapa cubaan KL City untuk mencipta jaringan sepanjang babak pertama. Situasi yang sama dihadapi pemain Sabah ketika melakukan cubaan jaringan, ditambah keadaan padang yang licin menyukarkan kawalan bola sekali gus menyebabkan kedua-dua pasukan gagal mencipta sebarang jaringan. Beralih ke separuh masa kedua, pasukan pelawat dilihat bermula dengan agresif berbanding tuan rumah dalam persaingan mencipta gol. Strategi serangan awal KL City itu berjaya mencipta jaringan pertama perlawanan melalui penyerang Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-50, sekali gus menjadikan kedudukan berubah 1-0. Safawi berjaya mengambil peluang untuk menjaringkan gol selepas bola sepakan rakannya yang terkena tiang gol terpantul ke arahnya ketika penjaga gol Sabah, Damien Lim sudah tewas di tepi gawang. Skuad Sang Badak bagaimanapun bernasib baik dapat menyamakan kedudukan hasil kepantasan penyerangnya, Ajdin Mujagic mengambil peluang bola terpantul selepas terkena penjaga gol KL City, Quincy Julian Kammeraad pada minit ke-66. Kedudukan terikat 1-1 itu hampir berubah apabila pemain tengah Sabah, Miguel Angel Garrido Cifuentes mendapat peluang baik menjaringkan gol, namun dijatuhkan pemain lawan di kawasan kotak penalti. Bagaimanapun, tiada sepakan penalti diberikan kepada Sabah selepas semakan VAR oleh pengadil. KL City turut mencipta dua peluang baik untuk menambah jaringan pada minit kecederaan, namun kedua-dua cubaan pemainnya tersasar di tepi gawang, menjadikan keputusan kekal terikat satu sama hingga tamat masa kecederaan. – Info X

January 9, 2026

Info X Reporters

Dua lelaki curi kabel dicekup orang awam sebelum diserah kepada polis

KENINGAU: Cubaan meloloskan diri gagal apabila dua lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan khianat kabel Telekom Malaysia (TM) dicekup orang awam sebelum diserahkan kepada polis di Tambunan, pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, kedua-dua suspek berusia 32 dan 42 tahun ditahan di sebuah perhentian bas berhampiran stesen minyak di Kampung Karanaan selepas disyaki memotong kabel TM di kawasan berkenaan. Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, hasil maklumat awam membawa kepada tangkapan dua lelaki terbabit, manakala lima lagi rakan sejenayah mereka berjaya melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux sambil membawa gulungan kabel yang telah dipotong. Menurutnya, siasatan awal mendapati kumpulan terbabit memotong kabel TM sepanjang kira-kira 100 meter dengan anggaran kerugian sekitar RM3,000. “Hasil soal siasat awal mendapati kedua-dua suspek datang dari Kota Kinabalu bersama lima rakan lain sebelum menyasarkan kabel TM di Kampung Karanaan. “Ketika kejadian, penduduk kampung menyedari perbuatan mencurigakan sebelum bertindak menghalang laluan kenderaan suspek, menyebabkan dua daripada mereka gagal melarikan diri dan bersembunyi di kawasan semak,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, kedua-dua suspek kemudian keluar dari tempat persembunyian pada waktu siang dan cuba meminta bantuan di perhentian bas sebelum ditahan orang kampung dan diserahkan kepada polis. Menurutnya, semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai banyak rekod jenayah lampau termasuk kes jenayah dan narkotik, selain ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah. “Kabel yang dicuri dipercayai akan dijual ke premis barangan lusuh dengan hasil jualan digunakan untuk membeli dadah. “Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan permohonan reman ke atas kedua-dua suspek akan dibuat bagi membantu siasatan lanjut,” katanya. Sementara itu, Yampil berkata, usaha mengesan baki suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan. – Info X

January 9, 2026

Info X Reporters

Suami isteri maut dalam kemalangan di Tamparuli

TUARAN: Sepasang suami isteri maut selepas motosikal jenis yang dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 12.5, Jalan Tamparuli – Ranau, di sini, petang tadi. Dalam kejadian jam 3.20 petang itu, penunggang motosikal lelaki berusia 44 tahun serta isterinya yang juga pembonceng berusia 37 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala. Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, kemalangan membabitkan sebuah Ford Ranger Raptor yang dipandu lelaki berusia 30 tahun bersama seorang penumpang lelaki, serta sebuah motosikal Yamaha 135LC yang datang dari arah bertentangan. “Siasatan awal mendapati Ford Ranger Raptor yang datang dari arah Ranau menuju Kota Kinabalu dipercayai sedang memotong kenderaan lain sebelum bertembung secara hadapan dengan motosikal berkenaan. “Akibat pelanggaran itu, penunggang dan pembonceng motosikal tercampak ke atas jalan, manakala motosikal diseret ke laluan bertentangan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, pemandu Ford Ranger Raptor mengalami kecederaan luka dan telah dihantar ke Hospital Tuaran untuk rawatan lanjut, manakala penumpang kenderaan itu tidak mengalami kecederaan. “Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat, sementara kedua-dua kenderaan ditahan bagi membantu siasatan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran turut berada di lokasi kejadian. – Info X