January 9, 2026
Info X Reporters
Warga emas 105 tahun hilang ditemukan meninggal dunia di Pitas
PITAS: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak 4 Januari lalu ditemukan meninggal dunia di sebuah anak sungai berhampiran Kampung Pondoi, di sini, pagi tadi. Mangsa, Bakar Sampelit, berusia 105 tahun, ditemukan oleh pihak berkuasa kira-kira jam 10.52 pagi di kawasan anak sungai, lebih kurang 500 meter dari rumahnya. Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, laporan kehilangan mangsa diterima selepas ahli keluarga menyedari mangsa tidak berada di rumahnya pada jam 4.11 petang, 3 Januari lalu. Menurutnya, sebaik kehilangan disedari, ahli keluarga segera menjalankan usaha pencarian di sekitar kawasan kampung, namun usaha awal itu gagal menemui mangsa. “Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai keluar dari rumah ketika cuaca hujan dan mempunyai masalah nyanyuk. “Mangsa juga dilaporkan kebiasaannya keluar berjalan tidak jauh dari kediaman dan akan pulang sendiri atau dihantar pulang oleh penduduk kampung,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, operasi pencarian pagi tadi membabitkan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta penduduk kampung di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran Kampung Pondoi membawa kepada penemuan mayat mangsa. “Mayat mangsa disahkan oleh ahli keluarga sebelum dibawa ke Hospital Pitas untuk tindakan lanjut. “Kes dikalsifikan sebagai Orang Hilang (OH) dan dianggap selesai selepas mayat mangsa ditemukan,” katanya. – Info X
January 9, 2026
Info X Reporters
Bantuan banjir tiba di SK Rampayan hari ini
KOTA KINABALU: Bantuan segera yang diumumkan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib untuk Sekolah Kebangsaan (SK) Rampayan, Manggatal, yang terjejas akibat banjir baru-baru ini, tiba di sekolah itu pada Jumaat. Bantuan itu merangkumi peralatan penting seperti perabot bagi menggantikan petalatan yang rosak akibat banjir sebelum ini. Semua bantuan diselaraskan bersama Pejabat Pendidikan Negeri Sabah bagi memastikan pelajar dan guru dapat kembali menjalani sesi pembelajaran dengan selesa dan selamat mulai Isnin ini. Menerusi satu kenyataan hari ini, pejabat kementerian menjelaskan bantuan lain yang diumumkan sebelum ini akan disalurkan secara berperingkat dan dijangka menyusul dalam masa terdekat. Katanya, usaha itu selaras dengan komitmen kerajaan negeri bagi memastikan pemulihan sekolah terjejas akibat banjir dapat dilaksanakan secara menyeluruh. – Info X
January 9, 2026
Info X Reporters
Dua bot bertembung di Semporna, seorang kru hilang, empat cedera
SEMPORNA: Seorang kru dilaporkan hilang manakala empat lagi cedera selepas dua bot penumpang bertembung di kedudukan kira-kira 0.3 batu nautika timur Jeti Pelancong Semporna, awal pagi tadi. Dalam kejadian itu, kru bot dikenali sebagai Rosman Kandau, 24, disahkan hilang di lokasi kejadian, manakala empat mangsa lain termasuk juragan bot mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut. Sebuah lagi bot yang terlibat membawa dua kru dan dilaporkan selamat tanpa kecederaan. Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan melalui talian 999 kira-kira jam 11.30 pagi. “Hasil maklumat awal mendapati bot pertama yang membawa lima kru mengalami kerosakan teruk akibat pelanggaran itu, “Manakala bot kedua yang terlibat tidak mengalami sebarang kerosakan serius,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, susulan laporan diterima, operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) diaktifkan pada jam 1.50 petang bagi mengesan mangsa yang masih hilang. “Operasi itu melibatkan Bot Cenderawasih 09 milik APMM serta Bot PSC 58 milik Pasukan Polis Marin (PPM). “Operasi pencarian meliputi kawasan seluas tiga batu nautika persegi dan Carilamat masih diteruskan,” katanya. Sementara itu, beliau berkata komuniti maritim dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan keselamatan pelayaran bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. “Selain itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan pencarian mangsa diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di 014-7870624 untuk tindakan segera,” katanya. – Info X
January 9, 2026
Info X Reporters
Polis kejar dari Penampang ke Kota Kinabalu, suspek khianat kabel ditahan
PENAMPANG: Seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan selepas disyaki terlibat dalam kejadian kes khianat kabel Telekom Malaysia (TM) dalam satu operasi yang dijalankan, awal pagi tadi. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya berjaya mengesan sekumpulan lelaki yang sedang memotong kabel Telekom di Jalan Taman Bulan, di sini. Bagaimanapun katanya, sebaik cuba ditahan, kumpulan suspek yang menyedari kehadiran pihak berkuasa terus bertindak melarikan diri dengan menaiki kereta Proton Saga. “Susulan kejadian itu, pihak polis mengejar kenderaan suspek dari kawasan Penampang hingga ke Kota Kinabalu sebelum dibantu kenderaan peronda polis (MPV) daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu. “Kenderaan yang digunakan suspek berjaya ditahan namun beberapa rakan suspek lain berjaya meloloskan diri dan usaha mengesan suspek terlibat sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan suspek, pihak polis berjaya merampas beberapa barangan yang dipercayai berkaitan dengan kes berkenaan. “Antara yang dirampas ialah segulung kabel telekom dan pemotong besi. Manakala kenderaan berkenaan turut disita untuk tujuan siasatan lanjut. “Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan penyalahgunaan dadah mengikut Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. “Kes kini disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya. Sehubungan itu, Sammy berkata, pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti jenayah yang boleh menjejaskan kemudahan awam serta keselamatan masyarakat. Katanya, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini atau mana-mana kes jenayah lain diminta agar menyalurkan maklumat untuk tindakan segera. – Info X
January 9, 2026
Info X Reporters
Gangguan bekalan air di Kinarut ada unsur khianat, Armizan buat laporan polis
KOTA KINABALU: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali membuat laporan polis berhubung perbuatan khianat yang didakwa menjejaskan bekalan air kepada penduduk di sekitar Kinarut dan Kawang sejak akhir Disember lalu. Ahli Parlimen Papar itu membuat laporan di Balai Polis Kinarut, malam semalam selepas mendengar laporan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) berhubung punca gangguan bekalan air di Kinarut dan Kawang. Katanya, JANS menjelaskan punca gangguan bekalan air di kawasan itu pada mesyuarat khas bersama jabatan dan agensi khas berkaitan yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong. “Bersandarkan kepada laporan tersebut, malam semalam saya telah membuat keputusan untuk membuat laporan polis sendiri di Balai Polis Kinarut. “Tujuan laporan dibuat adalah untuk meminta PDRM membuat siasatan terhadap tindakan yang dilihat melibatkan unsur khianat dan sabotaj ke atas infrastruktur dan utiliti awam yang telah mendatangkan kemudaratan awam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Armizan berkata, JANS melaporkan dapatan pasukan khas yang mendapati berlaku gangguan ke atas injap pintu air (sluice valve) di dua Booster Pumps JANS yang membekalkan air ke Mukim Kinarut dan Kawang. Katanya, difahamkan ‘gangguan’ itu antaranya melibatkan alihan bekalan air ke kawasan luar dari Mukim Kinarut/Kawang sehingga ke luar sempadan Papar. ‘Gangguan’ itu katanya menyebabkan sumber bekalan air ke kawasan yang sedia ada dalam jadual catuan sehingga siap Loji Rawatan Air Kogopon 2 semakin berkurangan hingga mendatangkan kesulitan serius kepada penduduk. “Sungguhpun JANS telah membuat komitmen untuk membuat siasatan dalaman, namun saya berpendirian bahawa ia juga perlu serentak disiasat oleh PDRM kerana tindakan ini melibatkan unsur kesalahan jenayah. Saya berharap PDRM akan membuat tindakan susulan segera,” katanya. Sementara itu, Armizan berkata mesyuarat khas semalam mengenal pasti beberapa strategi mengatasi gangguan bekalan air yang akan dilaksanakan segera, selain memastikan penghantaran bekalan air melalui water tanker diteruskan dengan kerjasama pelbagai pihak seperti JANS, Jetama, PBT, Pejabat MP Papar dan ADUN Kawang. Antara strategi yang dikenal pasti katanya ialah melaksanakan penyambungan silang di antara rangkaian paip dari tangki utama Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon (P1) terus kepada rangkaian paip tangki utama Kawang (P3). “Ini untuk membolehkan bekalan air terawat disalurkan terus dari loji ke tangki utama P3 yang membekalkan sumber bagi Mukim Kinarut/Kawang tanpa perlu melalui rangkaian paip yang terlalu jauh termasuk melewati rangkaian paip tangki utama Melinsung (R22). “Kerja penyambungan ini akan dilaksanakan bermula hari ini, Jumaat, 9 Januari 2025,” katanya. Selain itu, katanya usaha juga diambil bagi meningkatkan kapasiti pemprosesan rawatan air LRA Kogopon 1 sedia ada sebanyak 10 peratus dari kadar kapasiti maksimum semasa 40 JLH sebagai langkah interim sehingga LRA Kogopon 2, yang sedang dalam pembinaan dengan kapasiti tambahan 40 JLH, siap pada suku keempat 2026. Jelasnya, peningkatan kapasiti LRA Kogopon 1 memerlukan naik taraf dan penggantian tiga buah pam rawatan air di LRA Kogopon. “Garis masa yang telah disasarkan kepada JANS untuk melaksanakan kedua-dua strategi di atas adalah dua minggu sebelum proses pengoperasian. “YB Setiausaha Kerajaan Negeri telah memberikan komitmen untuk turun ke lapangan untuk memantau sendiri pelaksanaan kerja-kerja berkaitan,” katanya. – Info X
January 9, 2026
Info X Reporters
APMM Sabah rampas hampir RM50 juta sepanjang 2025
KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan merekodkan 273 kes tangkapan dengan nilai rampasan dianggarkan RM48.5 juta sepanjang 2025 hasil penguatkuasaan berterusan dan operasi bersepadu di perairan negeri ini. Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Khairulanuar Abd Majid@ Razali berkata, rampasan itu membabitkan pelbagai kes berprofil tinggi termasuk penyeludupan dadah, minuman keras dan rokok, penahanan bot nelayan Vietnam, selain barangan kawalan seperti minyak masak, beras dan petrol. “Sepanjang tempoh sama, APMM Sabah dan Labuan turut melaksanakan 59,119 pemeriksaan serta 28,320 penggeledahan, sekali gus mencerminkan tahap kesiapsiagaan tinggi agensi itu dalam membanteras jenayah maritim dan pelanggaran undang-undang di perairan negara. “Keberkesanan operasi diperkukuh menerusi pelaksanaan pelbagai operasi dan latihan bersama antara agensi termasuk Op Naga Sabah, Op MARDOF, selain eksesais Search and Rescue Exercise (SAREX) dan Maritime Mass Rescue Operation (MMRO) bagi meningkatkan koordinasi serta keupayaan tindak balas terhadap ancaman keselamatan maritim,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Katanya, pendekatan bersepadu itu bertujuan mempertingkat koordinasi antara agensi, memperkukuh keupayaan tindak balas serta memastikan tahap kesiapsiagaan berterusan dalam menghadapi sebarang ancaman keselamatan maritim di perairan Sabah dan Labuan. Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) sepanjang tahun lalu merekodkan 23 kes dengan 244 mangsa berjaya diselamatkan. Menurutnya, operasi berkenaan turut melibatkan anggaran nilai harta diselamatkan berjumlah RM23.1 juta, sekali gus membuktikan kecekapan pasukan walaupun berdepan cabaran cuaca dan keadaan laut. “Beberapa pencapaian penting turut direkodkan sepanjang tahun lalu, termasuk penempatan kapal pemberian United States Coast Guard (USCG) iaitu Ex-USCG Cutter Steadfast di perairan Sabah. “Selain itu, APMM Sabah dan Labuan turut menerima kemudahan separa siap Kompleks Zon Maritim Semporna, selain melaksanakan pengambilan pertama Pasukan Kadet Maritim (PASKAM) Universiti Malaysia Sabah (UMS),” katanya. Beliau berkata, pelaksanaan Program Jelajah MADANI yang disempurnakan oleh Anwar Ibrahim turut menjadi antara pencapaian signifikan sepanjang tahun lalu dalam usaha memperkukuh hubungan kerajaan dengan komuniti maritim setempat. “Kejayaan yang direkodkan itu adalah hasil komitmen tinggi seluruh warga Maritim Sabah dan Labuan, disokong kerjasama erat agensi keselamatan lain serta sokongan padu masyarakat. “APMM akan terus memperkukuh kesiapsiagaan operasi, meningkatkan keupayaan aset dan modal insan, selain mempererat kerjasama antara agensi bagi memastikan keselamatan perairan, kesejahteraan komuniti maritim dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” katanya. – Info X
January 9, 2026
Info X Reporters
Lelaki meninggal dunia selepas kereta dihanyut arus deras
TAWAU: Seorang lelaki disahkan meninggal dunia manakala tiga lagi selamat selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka dan membawa dua motosikal dihanyutkan arus ketika cuba melalui jalan dinaiki air di Kampung Sungai Udin, di sini, malam tadi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.34 malam. Menurutnya, susulan panggilan itu, seramai lapan anggota digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 47 kilometer dan tiba di lokasi pada jam 10.47 malam. “Siasatan awal mendapati kenderaan berkenaan gagal menempuh arus deras ketika meredah laluan dinaiki air. “Seramai empat mangsa terbabit, membabitkan dua individu di dalam kenderaan pacuan empat roda serta dua penunggang motosikal yang menumpang di belakang kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan menggunakan kaedah pencarian permukaan (surface) di sepanjang tebing sungai dengan radius kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh. “Mangsa ditemui pada jam 7.15 pagi tadi oleh pekerja ladang kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian. “Mangsa lelaki berusia lingkungan 30-an disahkan meninggal dunia dan dibawa keluar menggunakan pengusung oleh pasukan bomba sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. Tambahnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.44 pagi selepas keadaan disahkan selamat. – Info X
January 9, 2026
Info X Reporters
Banjir hampir pulih, hanya di Beaufort masih terjejas
KOTA KINABALU: Situasi banjir semakin pulih dengan hanya 633 mangsa daripada 215 keluarga dilaporkan masih berada di pusat pemindahan setakat pagi Jumaat. Semua mangsa adalah di daerah Beaufort, masing-masing ditempatkan di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Residensi Prima Woodford Estate dan PPS Dewan Sri Dayang Shahbandar Padas Damit. Semalam seramai 563 mangsa banjir di Tenom dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dari lima PPS di daerah itu setelah banjir dilaporkan pulih. Ia menjadikan Beaufort sebagai daerah yang masih terjejas akibat banjir setakat pagi ini. Banjir sebelum ini turut menjejaskan penduduk di Kota Belud dan Kota Kinabalu, namun keadaan di daerah terbabit dilaporkan sudah pulih dan mangsa dibenarkan pulang pada Rabu. Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, pemindahan mangsa di Beaufort membabitkan sebanyak 12 kampung. – Info X