Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

September 1, 2026

Info X Reporters

Jerebu: Empat daerah catat IPU tidak sihat di Sabah, bacaan di ibu negeri paling tinggi

KOTA KINABALU: Bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di bandar raya ini berada pada paras tidak sihat dengan catatan 171 setakat jam 11 pagi tadi, iaitu yang tertinggi berbanding tiga daerah lain. Secara keseluruhan, empat daerah mencatat bacaan IPU tidak sihat sehingga jam 11 pagi hari ini dengan tiga lagi ialah Kimanis (161), Keningau (158) dan Tawau (140). Berdasarkan data dikeluarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Wilayah Persekutuan Labuan turut mencatatkan bacaan IPU tidak sihat dengan catatan 169. Sementara itu, negeri jiran, Sarawak mencatat IPU berbahaya di enam lokasi berikutan bacaan melebihi 300, diikuti tiga lokasi sangat tidak sihat dengan bacaan lebih 200 dan empat lokasi mencatat bacaan tidak sihat. Peningkatan kadar IPU di Sabah dan Sarawak dikaitkan dengan jerebu rentas sempadan yang berpunca daripada pembakaran terbuka dan kebakaran hutan di wilayah jiran, Kalimantan, Indonesia. – Info X

September 1, 2026

Info X Reporters

UMS bantu penduduk Kinolosodon bangunkan projek akuakultur

PAPAR: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menggerakkan usaha menangani cabaran keterjaminan makanan di peringkat komuniti menerusi Projek Pemerkasaan Keterjaminan Makanan Komuniti Melalui Akuakultur Bersepadu di Kampung Kinolosodon, Kimanis, baru-baru ini. Projek di bawah dana UniMADANI (UniMD040) itu dilaksanakan Institut Marin Borneo (IMB) UMS dengan menggabungkan ternakan ikan tilapia dan udang galah bersama pengeluaran sayur-sayuran seperti sawi putih (pak choy) dan salad (lettuce) dalam satu sistem pengeluaran makanan bersepadu. Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata inisiatif berkenaan turut dirangka untuk membina keupayaan penduduk mengusahakan sumber makanan secara sistematik serta menjana pendapatan melalui potensi pengkomersialan lebihan hasil. Katanya, sistem akuakultur bersepadu yang diperkenalkan mengoptimumkan penggunaan ruang dan sumber melalui integrasi ternakan akuatik dengan tanaman sayur-sayuran, manakala teknologi akuaponik dan hidroponik membolehkan pengeluaran makanan dilaksanakan secara lestari dan saling melengkapi. “Pendekatan UMS melalui projek ini bukan sekadar memberikan bantuan secara one-off. Kita mahu pemindahan ilmu dan teknologi berlaku supaya komuniti mempunyai keupayaan meneruskannya dengan lebih berdaya saing,” katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian projek berkenaan yang disampaikan Dekan IMB, Prof Madya Dr Ching Fui Fui @ Faihana Ching Abdullah. Kasim berkata, pemindahan ilmu, latihan, bimbingan dan sokongan teknikal berterusan daripada penyelidik UMS menjadi antara komponen penting bagi memastikan komuniti mampu mengurus sistem berkenaan secara berdikari. “Hasil pengeluaran yang diperoleh bukan sahaja dapat memenuhi keperluan domestik penduduk, malah lebihan hasil berpotensi dipasarkan sebagai sumber pendapatan tambahan kepada komuniti D’Sosondoton. “Kejayaan sebenar ialah apabila projek ini terus hidup dan memberi manfaat melepasi tempoh pembiayaan asalnya,” katanya. Sementara itu, Faihana berkata UMS berharap Kampung Kinolosodon mampu menjadi model kepada kampung lain di daerah Papar dan seluruh Sabah dalam mengadaptasi pendekatan pengeluaran makanan yang menggabungkan teknologi, ilmu akademik dan kekuatan komuniti. “Harapan kami agar Kampung Kinolosodon menjadi contoh dan inspirasi buat kampung-kampung lain di daerah Papar dan seluruh Sabah dalam usaha merealisasikan pemerkasaan seumpama ini. “Projek ini secara langsung menterjemahkan gagasan University for Society dengan membawa kepakaran, ilmu dan teknologi UMS keluar dari kampus untuk dimanfaatkan masyarakat, khususnya dalam menangani cabaran keterjaminan makanan dan pembangunan sosioekonomi luar bandar Pada masa sama, katanya kerjasama melibatkan UMS, Jabatan Perikanan Negeri Sabah dan komuniti setempat memperlihatkan pendekatan bersepadu antara akademia, agensi kerajaan dan masyarakat dalam membangunkan penyelesaian yang bersesuaian dengan keperluan tempatan. Jelasnya, inisiatif berkenaan berpotensi menjadi asas pembentukan komuniti yang lebih berdaya tahan melalui penghasilan sumber makanan tempatan, pengurangan kebergantungan kepada bekalan luar serta penciptaan peluang ekonomi berasaskan hasil pertanian dan akuakultur. Turut hadir wakil Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sabah daripada Bahagian Pembangunan Akuakultur Marin, Anathasia Marcus; Pengarah Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat UMS, Prof Madya Dr Ag Sufiyan Abd Hamid; Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi IMB, Prof Madya Dr Mohd Tamrin Mohd Lal; Pengarah Pusat Penyelidikan Akuakultur, Prof Madya Dr Annita Yong Seok Kian dan Pengerusi JPKK Kampung Kinolosodon, Bonyface Benjamin. – Info X

September 1, 2026

Info X Reporters

Lelaki ditahan, polis rampas ekstasi bernilai RM20,150

PENAMPANG: Seorang lelaki ditahan bersama 31 peket plastik mengandungi serbuk disyaki dadah jenis ekstasi seberat 1,060.39 gram dalam operasi di daerah ini, tengah malam tadi. Suspek warga tempatan berusia 31 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Penampang di sebuah premis hiburan kira-kira 12.30 tengah malam. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, saringan awal air kencing mendapati suspek positif amphetamine, methamphetamine dan tetrahydrocannabinol (THC). Katanya, siasatan lanjut susulan penahanan itu membawa kepada penemuan sebuah beg di lokasi berasingan. “Pemeriksaan terhadap beg berkenaan menemukan 31 paket plastik mengandungi serbuk disyaki ekstasi seberat 1,060.39 gram. “Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM20,150,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Sammy berkata, IPD Penampang akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah demi keselamatan serta kesejahteraan masyarakat. – Info X

August 31, 2026

Info X Reporters

Tiga maut, kereta terjunam ke gaung

LAHAD DATU: Tiga lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di Jalan Hutan Simpan Bagahak, di sini, malam ini. Kereta jenis Proton Aeroback itu dipercayai terbabas ketika melalui selekoh sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira lima meter. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.38 malam. Katanya, pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati empat lelaki dewasa terbabit dalam kemalangan berkenaan. “Tiga mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian. “Seorang lagi mangsa yang cedera dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan. Menurutnya, mayat semua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. “Maklumat mengenai identiti mangsa belum diperoleh dan operasi ditamatkan pada 8.45 malam selepas keadaan di lokasi dipastikan selamat,” katanya. Operasi berkenaan turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM. – Info X

August 31, 2026

Info X Reporters

TYT, KM sertai ribuan rakyat pada sambutan Hari Sabah

KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyertai ribuan rakyat Sabah pada sambutan Hari Sabah yang penuh warna-warni di Dataran Bandaraya di sini, malam ini. Sambutan dimulakan dengan ucapan pengisytiharan oleh Tun Musa, diikuti upacara menaikkan bendera serta pelbagai persembahan. Antara persembahan yang diadakan ialah pertunjukan cahaya laser, nyanyian koir oleh kumpulan Male-Efficient serta persembahan pelbagai artis tempatan sebelum tayangan montaj khas dan persembahan lagu Sabah Tanah Airku. Turut diadakan perarakan dengan motif Hari Sabah. Yang di-Pertua Negeri diiringi isteri, Toh Puan Faridah Tussin, manakala Hajiji diiringi isteri, Datin Seri Juliah Salag. Turut hadir Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Masidi Manjun yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman dan anggota Jemaah Menteri Negeri serta wakil rakyat. – Info X

August 31, 2026

Info X Reporters

Masalah teknikal dipercayai punca bas hilang kawalan

TUARAN: Masalah teknikal dipercayai menyebabkan sebuah bas membawa 35 pelajar dan seorang guru pengiring hilang kawalan sebelum terbabit kemalangan di Kampung Bongol, Jalan Tamparuli-Ranau, hari ini. Dalam kejadian kira-kira 10.20 pagi itu, bas berkenaan memasuki laluan bertentangan dan bergesel dengan Perodua Alza sebelum melanggar lereng bukit lalu rebah serta terkena Toyota Hiace. Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, siasatan awal mendapati bas berkenaan membawa pelajar dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ranau menuju ke Sekolah Menengah Sains Sabah di Tuaran. “Ketika melalui kawasan selekoh dan menuruni bukit, bas berkenaan dipercayai mengalami masalah teknikal sebelum hilang kawalan lalu memasuki lorong bertentangan dan bergesel dengan Perodua Alza. “Bas itu kemudian bergerak ke bahu jalan dan melanggar lereng bukit sebelum rebah serta terkena sebuah van yang berada di lokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, seorang guru pengiring dan beberapa pelajar mengalami kecederaan ringan serta menerima rawatan di Hospital Kota Belud dan Hospital Tuaran. “Semua mangsa yang menerima rawatan sudah dibenarkan keluar dari hospital dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya. Noraidin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan. Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Gibil di talian 088-791966 atau 013-8626806. Beliau turut menasihatkan pengendali kenderaan membawa penumpang supaya sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat sebelum memulakan perjalanan. – Info X

August 31, 2026

Info X Reporters

Bengkel, tiga kenderaan musnah terbakar

KOTA BELUD: Sebuah bengkel dan tiga kenderaan musnah dalam kebakaran di Kampung Sembirai, di sini, petang tadi. Kebakaran membabitkan sebuah bengkel separuh kekal berkeluasan kira-kira 167 meter persegi yang musnah sepenuhnya. Tiga kenderaan terdiri daripada Isuzu pikap, Suzuki Jimny dan Nissan Patrol yang berada di bengkel berkenaan turut terbakar 100 peratus. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Kanan Penguasa Bomba Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.35 petang. Katanya, tujuh anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) tiba di lokasi tujuh minit kemudian. “Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan tiga pancutan. “Sumber air diperoleh daripada tangki jentera dan kebakaran berjaya dikawal pada 6.06 petang,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity (SE) dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pangkalan Abai. “Tiada mangsa dilaporkan terbabit dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.22 petang selepas keadaan dipastikan selamat,” katanya. – Info X

August 31, 2026

Info X Reporters

Penempatan semula Kampung Numbak perlu dibuat secara terancang, ambil kira keselamatan – Aliakbar

KOTA KINABALU: Kerajaan perlu mempunyai polisi yang jelas dan menyeluruh dalam menangani kawasan penempatan daif, termasuk perancangan jangka panjang yang mengambil kira aspek keselamatan, kebajikan, kemudahan asas dan kemampuan penduduk. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, berkata pendekatan yang tersusun lebih baik supaya penyelesaian yang dilaksanakan bukan sekadar bersifat sementara, sebaliknya mampu memberikan perubahan yang berkekalan kepada kehidupan masyarakat. “Antara langkah yang boleh dipertimbangkan ialah penempatan semula secara terancang, khususnya bagi kawasan yang dikenal pasti mempunyai risiko keselamatan, di samping penyediaan rumah kos rendah yang mencukupi dan mampu didiami rakyat, terutama kepada warganegara yang benar-benar memerlukan. “Kita percaya setiap keluarga berhak mempunyai tempat tinggal yang selamat. Rumah bukan sekadar tempat berlindung daripada panas dan hujan, tetapi menjadi asas kepada ketenangan sebuah keluarga dan tempat membina masa depan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin berhubung kebakaran yang memusnahkan penempatan atas air di Kampung Numbak. Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah itu menzahirkan rasa simpati dan dukacita kepada seluruh mangsa yang terjejas akibat kebakaran di kampung berkenaan. “Semoga semua keluarga yang terlibat diberikan ketenangan, kekuatan serta dipermudahkan segala urusan dalam menghadapi ujian yang berat ini. “Kejadian seperti ini pastinya meninggalkan kesan yang mendalam kepada mangsa, terutama mereka yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda. “Dalam keadaan sebegini, kita berharap segala bantuan dan sokongan dapat terus diberikan kepada keluarga yang terjejas agar mereka dapat melalui tempoh sukar ini dengan sebaiknya,” katanya. Pada masa yang sama, katanya kejadian itu juga mengingatkan pentingnya perhatian berterusan kerajaan terhadap keadaan dan kebajikan masyarakat, khususnya mereka yang tinggal di kawasan penempatan daif atau setinggan. “PN Sabah percaya bahawa masyarakat di kawasan sedemikian juga mengharapkan sebuah kehidupan yang lebih selamat dan selesa. “Justeru, keadaan penempatan, kemudahan asas serta faktor keselamatan wajar diberikan perhatian secara berterusan agar risiko yang tidak diingini dapat diminimumkan,” katanya. Sementara itu, Aliakbar merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah, semua agensi yang terlibat, badan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan serta semua pihak yang tampil menghulurkan bantuan dan sokongan. Katanya, keprihatinan dan kesediaan untuk bersama-sama membantu pada saat sukar amat dihargai. “PN Sabah berharap kejadian di Kampung Numbak ini dapat menjadi iktibar dan membuka ruang kepada semua pihak untuk memperkukuh usaha mencari penyelesaian terbaik terhadap isu penempatan daif di Sabah. “Kita yakin dengan perancangan yang baik, dasar yang jelas dan kerjasama semua pihak, kehidupan masyarakat dipertingkatkan secara berperingkat tanpa mengabaikan aspek kemanusiaan dan kebajikan mereka,” katanya. – Info X