Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

August 13, 2026

Info X Reporters

12 ditahan, sindiket tipu bomoh tumpas, kerugian cecah RM600,000

KOTA KINABALU: Helah menawarkan khidmat membuang sial dan menilik nasib digunakan sindiket ‘bomoh Cina’ untuk memperdaya mangsa sehingga menyebabkan kerugian keseluruhan kira-kira RM600,000. Kegiatan sindiket yang dipercayai aktif sejak awal tahun ini akhirnya terbongkar selepas polis menahan 12 individu termasuk warga China menerusi beberapa serbuan di Kota Kinabalu, Penampang, Keningau dan Kota Belud, Sabtu dan Ahad lalu. Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin berkata, operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) berkaitan. Katanya, keseluruhan tangkapan membabitkan 10 wanita dan dua lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan. “Dalam serbuan di Kota Kinabalu dan Keningau pada Sabtu lalu, polis menahan empat individu sebelum operasi diteruskan di Kota Belud pada keesokan harinya. “Dalam serbuan di Kota Belud, lapan lagi suspek termasuk tujuh wanita warga China ditahan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Mohd Azhar berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan menggunakan modus operandi dengan mendekati mangsa sebelum menawarkan bantuan berkaitan ubat tradisional, rawatan penyakit atau upacara sembahyang untuk membuang sial. Menurutnya, suspek kemudian memperkenalkan seorang lagi wanita yang mendakwa mampu menilik nasib, mengubat atau menjalankan upacara tertentu. “Mangsa kemudiannya dipujuk menyerahkan wang tunai atau barang kemas kononnya untuk tujuan doa, jampi atau sembahyang. “Wang atau barang kemas itu kemudian dilarikan atau ditukar dengan barangan lain yang dimasukkan ke dalam plastik atau beg,” katanya. Beliau berkata, mangsa biasanya diarahkan supaya tidak membuka plastik atau beg berkenaan dalam tempoh tertentu bagi memberi masa kepada suspek melarikan diri. Katanya, sindiket itu dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya lima hingga enam kes yang dilaporkan dan aktif sejak awal tahun ini termasuk di sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan Sandakan. “Jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan kira-kira RM600,000 dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. Dalam operasi itu, beliau berkata polis turut merampas 13 telefon bimbit, 13 kad SIM, tujuh pasport serta wang tunai dalam mata wang Ringgit Malaysia (RM), Renminbi (RMB) dan Baht Thailand dengan keseluruhan kira-kira RM20,000. “Turut dirampas lima kenderaan iaitu Perodua Alza, Proton X50, Toyota Corolla, Toyota Land Cruiser dan Honda HR-V,” katanya. Mohd Azhar berkata, suspek bagi kes di Kota Kinabalu direman sehingga 14 Ogos ini dan siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR). Katanya, pertuduhan bagi kes di Kota Kinabalu dijangka dibuat esok, manakala pertuduhan berkaitan kes di Sandakan dijadualkan minggu hadapan. Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan individu yang menawarkan khidmat rawatan, menilik nasib atau upacara membuang sial sehingga meminta wang tunai dan barang kemas. “Sekiranya mengesan sebarang aktiviti sedemikian yang mencurigakan, orang ramai diminta segera membuat laporan kepada pihak polis. “Mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa sindiket dengan modus operandi sama juga diminta tampil membuat laporan bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X

August 13, 2026

Info X Reporters

JBPM Sabah terima 15 kenderaan operasi ringan

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima 15 unit Light Operation Vehicle (LOV) pacuan empat roda bagi memperkukuh keupayaan operasi kecemasan di seluruh negeri. Timbalan Pengarah JBPM Sabah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Lizalman Abu berkata, semua kenderaan berkenaan akan diagihkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di seluruh Sabah berdasarkan keperluan operasi. “Kenderaan ini direka bagi menyokong pelbagai tugasan kecemasan, rondaan dan logistik, selain digunakan untuk tugasan sokongan di kawasan bandar serta luar bandar. “Aset ini juga dapat membantu operasi ketika berdepan situasi bencana dan kawasan yang mempunyai bentuk muka bumi mencabar. “Penerimaan 15 unit LOV ini menjadi langkah penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan dan mobiliti JBPM Sabah,” katanya pada majlis penyerahan dan agihan aset di Ibu Pejabat JBPM Sabah, di sini, hari ini. Lizalman berkata, penambahan aset berkenaan turut meningkatkan keupayaan respons pasukan bomba dalam menghadapi pelbagai cabaran operasi di negeri ini. Menurutnya, keluasan geografi Sabah serta keadaan bentuk muka bumi yang pelbagai memerlukan aset bersesuaian bagi memastikan pergerakan pasukan di lapangan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. “JBPM merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas kelulusan keperluan LOV bagi memperkasakan kesiapsiagaan serta keupayaan operasi jabatan, khususnya di Sabah,” katanya. – Info X

August 13, 2026

Info X Reporters

Tambang penerbangan mahal, pihak berkuasa digesa kaji semula mekanisme penentuan harga

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan menggesa pihak berkuasa yang berkaitan mengambil serius keperluan untuk mengkaji semula mekanisme tambang penerbangan yang ketika ini dilihat membebankan pengguna, khususnya dari Sabah. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api, Loi Kok Liang, berkata langkah itu perlu berikutan kadar tambang semasa, khususnya bagi penerbangan Kota Kinabalu-Kuala Lumpur dilihat semakin tinggi dan mahal. Beliau berkata, ramai anak Sabah melanjutkan pengajian di Semenanjung, selain golongan muda yang memilih bekerja di sana bagi mendapatkan pendapatan yang lebih baik, terbeban dengan kos penerbangan yang semakin naik. “Mereka yang belajar dan bekerja di luar Sabah bukan pelancong. Mereka adalah anak-anak kita yang mahu pulang bertemu ibu bapa dan berkumpul bersama keluarga, tetapi terpaksa berdepan dengan kos penerbangan yang semakin membebankan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Loi turut menyatakan sokongan terhadap kebimbangan yang dibangkitkan Presiden Gabungan Dewan Perniagaan Tionghua Sabah yang juga Presiden Dewan Perniagaan Tionghua Kota Kinabalu, Datuk Michael Lui Yen Sang, berhubung perbezaan ketara harga tiket penerbangan antara Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur. Katanya, beliau memahami syarikat penerbangan mempunyai pertimbangan komersial dan mengamalkan sistem harga dinamik yang ditawarkan kepada pengguna. “Namun, apabila tambang bagi laluan yang sama boleh meningkat daripada beberapa ratus ringgit kepada lebih RM1,600 dalam tempoh beberapa hari, pihak berkaitan perlu mendengar suara rakyat dan memahami beban yang mereka tanggung. “Saya menyokong seruan Datuk Michael Lui Yen Sang, pihak berkaitan perlu meneliti jumlah penerbangan, kapasiti tempat duduk serta mekanisme penetapan tambang supaya satu keseimbangan yang lebih munasabah dapat dicapai antara keperluan komersial syarikat penerbangan dengan kemampuan rakyat,” katanya. Loi menegaskan Sabah dipisahkan dari Semenanjung oleh Laut China Selatan dan rakyat Sabah tidak mempunyai pilihan untuk pulang dengan kereta api, bas atau memandu sendiri. “Bagi ramai rakyat Sabah, menaiki kapal terbang bukan satu kemewahan tetapi satu keperluan untuk pulang ke rumah. “Jangan sampai anak-anak kita yang belajar dan bekerja jauh dari Sabah terpaksa berfikir berkali-kali hanya kerana harga tiket apabila mereka mahu pulang bertemu keluarga,” katanya. – Info X

August 13, 2026

Info X Reporters

PPM bongkar stor petrol, diesel bersubsidi

KOTA MARUDU: Kegiatan mengumpul petrol dan diesel bersubsidi terbongkar selepas Pasukan Polis Marin (PPM) menyerbu sebuah premis di Kampung Tangkol, Jalan Marak Parak, di sini, petang semalam. Serbuan kira-kira jam 4 petang di itu dilakukan susulan maklumat dan risikan daripada kes tangkapan serta rampasan bahan api bersubsidi di Pitas sebelum ini. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pemeriksaan di bahagian belakang premis menemukan 33 tong dram berkapasiti 200 liter. Katanya, daripada jumlah itu, 10 tong disyaki mengandungi petrol manakala 23 lagi dipercayai berisi diesel. “Seorang lelaki berusia 42 tahun yang dipercayai pemilik premis turut ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen, lesen, permit atau kebenaran sah berkaitan penyimpanan bahan api berkenaan. “Kesemua barang kes turut dirampas dengan anggaran nilai keseluruhan melebihi RM33,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Ahmad Amri berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. Menurutnya, PPM Wilayah 4 Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau sindiket yang terbabit dalam penyelewengan serta penyalahgunaan subsidi kerajaan yang sepatutnya dinikmati rakyat. Katanya, risikan dan operasi susulan akan terus dipertingkatkan bagi mengesan rantaian kegiatan penyelewengan barang kawalan serta memastikan subsidi kerajaan tidak disalahgunakan untuk kepentingan pihak tertentu. – Info X

August 12, 2026

Info X Reporters

Dua lelaki melecur, lori dan forklift terbakar

LAHAD DATU: Dua lelaki melecur selepas sebuah lori 30 tan dan jentera berat terbakar di kawasan kilang pemprosesan culvert di Jalan Kampung Kokos, Batu 5 Segama, di sini, petang tadi. Dalam kejadian itu, mangsa berusia 20 tahun dilaporkan melecur 50 peratus, manakala seorang lagi lelaki berusia 40 tahun turut mengalami kecederaan melecur. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi MERS999 pada jam 3.49 petang sebelum enam anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi. Katanya, sebaik tiba, pasukan mendapati kebakaran membabitkan sebuah lori 30 tan yang terbakar kira-kira 70 peratus, manakala sebuah forklift musnah sepenuhnya. “Turut terjejas sebuah bangunan tidak kekal yang terbakar kira-kira lima peratus. “Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran ‘hose reel’ dengan sumber air daripada jentera bomba,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, kedua-dua mangsa sudah dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba. “Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.09 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.50 petang selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi. “Punca kebakaran dan jumlah kerugian belum dikenal pasti,” katanya. – Info X

August 12, 2026

Info X Reporters

Sindiket import ayam sejuk beku: SPRM reman 7 individu termasuk 4 penjawat awam

KOTA KINABALU: Tujuh individu termasuk empat penjawat awam direman bagi membantu siasatan berhubung sindiket mengimport ayam sejuk beku secara tidak sah menerusi sebuah pelabuhan di Sabah. Semua suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan rasuah bagi melepaskan ayam sejuk beku yang diimport tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa. Perintah reman selama tiga hari sehingga 15 Ogos ini dikeluarkan Majistret Marilyn Kelvin selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, pagi tadi. Terdahulu, menerusi ‘Op Chick’ yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sabah dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sabah, semalam, sebanyak 10 kontena ayam sejuk beku disita. Kontena berkenaan dipercayai membawa ayam sejuk beku yang diimport secara tidak sah dari China dan Poland. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan reman semua suspek berkenaan. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009. – Info X

August 12, 2026

Info X Reporters

MAFFI sokong tindakan SPRM terhadap import ayam sejuk beku tidak sah

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri (MAFFI) menyambut baik tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) berhubung kegiatan import ayam sejuk beku secara tidak sah di Sabah. Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, tindakan itu selari dengan arahannya ketika mengadakan lawatan ke Pelabuhan Sepanggar pada 19 Julai lalu. “MAFFI mengambil perhatian serius terhadap perkara ini dan akan memberi kerjasama penuh,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. Beliau mengulas laporan penahanan tiga individu dan rampasan 10 kontena ayam sejuk beku yang dipercayai diimport secara tidak sah dari China. Berdasarkan laporan sebelum ini, sebanyak 10 kontena berisi ayam sejuk beku disita dalam operasi yang dilancarkan SPRM menerusi Ops Chick di pelabuhan di Sabah pada 11 Ogos. Sementara itu, Jamawi menasihatkan semua pihak yang ingin mengimport produk makanan supaya mendapatkan permit import secara sah dan mematuhi prosedur ditetapkan. SPRM sebelum ini melancarkan Ops Chick dengan kerjasama AKPS dan JKDM, dengan tiga lelaki berusia antara 30-an hingga 50-an yang dipercayai berperanan sebagai ejen penghantaran dan pengurus syarikat ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009. Siasatan awal mendapati 10 kontena berkenaan, yang diimport dari China, diisytiharkan secara tidak benar dan tidak melalui proses pemeriksaan yang ditetapkan. SPRM juga sedang mengenal pasti individu lain yang dipercayai terlibat.- Info X

August 12, 2026

Info X Reporters

Yusof Apdal ‘berteka-teki’ sebelum membuat kenyataan berkaitan pampasan projek Pan Borneo

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal menimbulkan spekulasi apabila memuat naik hantaran di Facebook mengenai satu kenyataan yang akan dibuatnya pada Selasa. Hantaran berkenaan menimbulkan teka-teki, selain ditafsir sebagai sesuatu yang ‘besar’ bakal diumumkan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu, khususnya berkaitan politik. “Malam ini, ada sesuatu yang penting untuk saya sampaikan kepada seluruh rakyat. Nantikan kenyataan saya,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa. Ramai netizen tertanya-tanya dan membuat spekulasi mengenai perkembangan politik sejurus membaca hantaran itu, termasuk mengaitkannya dengan Warisan. Berikutan spekulasi itu, Yusof sekali lagi memuat naik hantaran di Facebook menafikan kaitan kenyataannya dengan hal lain selain berkaitan DUN Silam yang diwakilinya. “Ramai yang bertanya. Jangan risau ya. Kenyataan malam ini hanya melibatkan kawasan DUN N.62 Silam. Tiada apa yang perlu dibimbangkan dan jangan membuat sebarang spekulasi,” katanya. Setelah menimbulkan spekulasi, Yusof kemudiannya memuat naik kenyataan yang dimaksudkannya yang sebenarnya hanya berkaitan nasib penduduk yang terjejas akibat pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo. “Sepertimana yang saya janjikan petang tadi, inilah perkara yang saya mahu kongsikan. “Hati saya benar-benar tersentuh apabila menerima begitu banyak aduan daripada penduduk yang terlibat dengan Projek Pan Borneo di kawasan DUN N.62 Silam, khususnya penduduk yang berada di rizab jalan. “Malah, ada antara mereka yang telah menerima notis untuk mengosongkan dan merobohkan kediaman mereka pada 13 Ogos ini. Alangkah hibanya. “Bagi saya, pembangunan memang penting. Namun, kebajikan rakyat yang terkesan juga tidak boleh dipinggirkan. Mereka bukan menolak pembangunan, mereka hanya mengharapkan layanan yang adil,” katanya. Menerusi kenyataan itu, beliau yang juga ADUN Silam menuntut agar kerajaan negeri menyegerakan pembayaran pampasan ex gratia kepada semua penduduk yang terjejas. “Jangan biarkan mereka kehilangan kediaman tanpa pembelaan yang sewajarnya. Ini rakyat yang memandati kepada kamu sebagai kerajaan. “Saya akan terus menyuarakan tuntutan ini sehingga pembayaran pampasan ex gratia kepada semua yang terlibat benar-benar dilaksanakan. “Rakyat saya tidak boleh dibiarkan berdepan ujian ini bersendirian,” katanya. – Info X