Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

August 11, 2026

Info X Reporters

115 pencari kerja, graduan hadiri Karnival Lindung Kerjaya MYFutureJobs di UMS

KOTA KINABALU: Seramai 115 pencari kerja, termasuk graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menghadiri Karnival Lindung Kerjaya MYFutureJobs x UMS 2026 yang diadakan di kampus universiti itu, di sini, baru-baru ini. Karnival anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Sabah dengan kerjasama Pusat Pembangunan Kerjaya dan Keusahawanan Pelajar (CEDeC) UMS itu turut dihadiri Timbalan Pengarah PERKESO Negeri Sabah, Salwati Abdul Karim. Pengarah CEDeC UMS, Prof Madya Dr Sidah Idris, berkata karnival itu menjadi platform yang membuka peluang kerjaya kepada graduan dan pencari kerja menerusi sesi temu duga serta padanan pekerjaan bersama majikan. Katanya, penganjuran karnival itu bertujuan meningkatkan kebolehpasaran graduan dengan menyediakan peluang pekerjaan, latihan industri serta ruang interaksi secara langsung di antara peserta dan majikan. “Penganjuran Karnival Lindung Kerjaya MYFutureJobs x UMS 2026 mencerminkan komitmen berterusan PERKESO Negeri Sabah dan CEDeC UMS dalam menyediakan platform yang menghubungkan graduan dengan industri. “Inisiatif ini sekali gus menyokong usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui peluang pekerjaan yang berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Karnival itu, katanya disertai 12 majikan daripada pelbagai sektor yang menawarkan peluang pekerjaan serta latihan industri kepada graduan dan pencari kerja lain. “Sepanjang karnival, seramai 107 peserta menghadiri temu duga dan seramai 17 peserta berjaya memperoleh tawaran pekerjaan, manakala 47 peserta dipanggil menghadiri temu duga peringkat kedua. “Sementara itu, 30 peserta lagi masih dalam proses penilaian oleh majikan, manakala 13 peserta tidak berjaya,” katanya. Selain temu duga secara walk-in, karnival itu, katanya juga menampilkan sesi Graduates Pitching yang memberi peluang kepada peserta memperkenalkan kemahiran, pengalaman dan aspirasi kerjaya mereka secara profesional di hadapan bakal majikan. Beliau berkata, MYFutureJobs x UMS 2026 juga dapat membantu meningkatkan keyakinan diri, mengasah kemahiran komunikasi serta memberi nilai tambah kepada peserta dalam menghadapi proses pemilihan pekerjaan. – Info X

August 11, 2026

Info X Reporters

Penunggang motosikal maut bertembung lori

TAWAU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori rigid di Jalan Timur, di sini, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa berusia 43 tahun yang bekerja sebagai kelindan lori mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kemalangan berkenaan sebelum anggota polis digerakkan ke lokasi kejadian. Katanya, kemalangan berlaku ketika lori rigid jenis Nissan dipandu lelaki tempatan berusia 62 tahun dari arah Air Panas menuju ke Eastern Engineering, Jalan Timur. “Siasatan awal mendapati motosikal jenis SYM yang ditunggang mangsa datang dari arah bertentangan sebelum memasuki laluan lori berkenaan. “Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini. Rosdi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Joseph Jelian ak Wilson Sigai di talian 016-806 7272 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. “Kerjasama daripada orang ramai amat dihargai bagi membantu melengkapkan siasatan,” katanya. – Info X

August 11, 2026

Info X Reporters

Tenaga kerja Sabah Electricity ditegah ambil butiran peribadi pengguna

KOTA KINABALU: Sabah Electricity menegaskan tidak pernah mengarahkan mana-mana anggota kerjanya untuk berkunjung ke rumah pengguna bagi mendapatkan maklumat atau butiran peribadi tanpa urusan rasmi yang dimaklumkan terlebih dahulu. Menerusi satu kenyataan pada Selasa, syarikat utiliti itu berkata penegasan berkenaan dibuat susulan terdapat kemungkinan pihak tidak bertanggungjawab menyamar sebagai anggota kerja Sabah Electricity dan berkunjung ke kediaman pengguna dengan alasan untuk mendapatkan maklumat berkaitan akaun atau butiran peribadi. “Sabah Electricity ingin menjelaskan bahawa pemeriksaan atau penyelenggaraan oleh anggota kerja rasmi adalah terhad kepada meter elektrik dan komponen berkaitan yang berada di luar rumah. “Anggota kerja juga tidak diarahkan untuk memasuki rumah atau premis pengguna bagi tujuan memeriksa pendawaian elektrik dalaman tanpa urusan rasmi yang telah dimaklumkan dan disahkan. “Anggota kerja rasmi Sabah Electricity akan memakai pakaian seragam berlogo Sabah Electricity dan membawa kad pengenalan pekerja yag sah dan pengguna berhak meminta pengesahan identiti sebelum sebarang urusan dijalankan,” katanya. Sabah Electricity turut menegaskan anggota kerjanya tidak dibenarkan membuat kutipan bayaran tunai atau deposit secara langsung di rumah pengguna. Kenyataan itu menyebut, sebarang bayaran berkaitan perkhidmatan elektrik hendaklah dibuat melalui saluran pembayaran rasmi yang disediakan oleh Sabah Electricity. “Sebarang urusan berkaitan akaun dan perkhidmatan elektrik hendaklah dibuat melalui saluran rasmi syarikat iaitu berkunjung ke pejabat Sabah Electricity, menghubungi talian 15444, 088 515000 atau dengan memuat naik aplikasi mySE+. “Sabah Electricity memandang serius perkara ini dan menyeru orang ramai agar sentiasa berwaspada serta tidak mudah mempercayai individu yang mendakwa sebagai wakil atau anggota kerja syarikat,” katanya. – Info X

August 11, 2026

Info X Reporters

Syabu lebih RM550,000 dirampas, suspek terjun laut

SEMPORNA: Dadah disyaki syabu seberat 11.06 kilogram (kg) bernilai lebih RM550,000 dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dalam operasi di perairan Kampung Terusan Hujung, Pulau Bum Bum, di sini, awal pagi semalam. Rampasan dadah itu dibuat selepas pasukan operasi PPM Wilayah 4 Sabah mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 1.45 pagi. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, operasi dijalankan berdasarkan maklumat risikan berkaitan kegiatan pengedaran dadah di kawasan berkenaan. Katanya, ketika pasukan cuba menghampiri bot berkenaan, seorang lelaki yang berada di atas bot bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri ke kawasan daratan. “Usaha mengesan suspek kemudian dijalankan, namun lelaki terbabit gagal ditemui. “Pemeriksaan terhadap bot yang ditinggalkan menemukan 11 bungkusan mengandungi ketulan hablur jernih disyaki syabu dengan anggaran berat kasar 11.06 kg,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Ahmad berkata, nilai dadah yang dirampas dianggarkan lebih RM550,000, manakala jumlah keseluruhan rampasan termasuk bot terbabit melebihi RM578,000. Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan usaha mengesan suspek masih diteruskan. Katanya, sepanjang tahun ini, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 15 kes mengikut akta berkenaan membabitkan 24 tangkapan dengan jumlah nilai rampasan keseluruhan melebihi RM718,000. “PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat risikan dan rondaan secara bersepadu bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah bagi membanteras kegiatan pengedaran serta penyeludupan dadah yang boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya. – Info X

August 10, 2026

Info X Reporters

KTI Group, UMS meterai kerjasama sedia penginapan luar kampus

KOTA KINABALU: KTI Group menerusi K.T.I Development Sdn Bhd memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi menyediakan pilihan penginapan luar kampus kepada pelajar, kakitangan Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) dan warga bersekutu universiti itu. Kerjasama berkenaan turut membabitkan penyediaan penginapan untuk pelajar pertukaran antarabangsa serta pelajar sedia ada UMS. Menerusi MoA itu, Kayana Heights di Ayuria Place, Alamesra akan berperanan sebagai rakan strategik penginapan kepada UMS. Kayana Heights yang terletak kira-kira dua kilometer dari kampus utama UMS menawarkan kediaman dilengkapi perabot asas, ciri keselamatan, sambungan Wi-Fi serta kemudahan praktikal bagi memastikan keselesaan penghuni. Pengurusan operasi kediaman berkenaan akan dikendalikan secara profesional oleh Belive Ventures Sdn Bhd menerusi konsep co-living yang menekankan gaya hidup komuniti moden, teratur dan berfokuskan keselesaan penghuni. Kayana Heights adalah sebahagian daripada pembangunan Ayuria Place yang merangkumi kira-kira 2,165 unit apartmen. Fasa pertama pembangunan itu membabitkan Blok A1 dan A2 dengan keseluruhan 866 unit yang disasarkan siap pada 2027. Pegawai Eksekutif Kumpulan KTI Group, Wilson Loke, berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen pihaknya dalam menyokong keperluan warga UMS, khususnya menerusi penyediaan pilihan kediaman yang bersih, selamat, selesa dan diurus dengan baik. “Kami menghargai kepercayaan yang diberikan oleh UMS kepada KTI Group.“Kerjasama ini bukan sekadar menyediakan penginapan, tetapi turut bertujuan menyokong perjalanan akademik dan kesejahteraan warga UMS melalui persekitaran kediaman yang selesa dan praktikal,” katanya. Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Hj Mansor, berkata kapasiti penginapan dalam kampus ketika ini hanya mampu menampung kira-kira 48 peratus daripada sekitar 8,000 kapasiti penempatan pelajar. Beliau berkata keadaan itu menyebabkan hampir 10,000 pelajar lain perlu mendapatkan penginapan di luar kampus, sekali gus menunjukkan keperluan terhadap pilihan penginapan seperti yang ditawarkan di Kayana Heights. Kerjasama berkenaan turut dilihat dapat memperkukuh hubungan antara industri dan institusi pendidikan tinggi, selain menyokong pembangunan komuniti pelajar yang lebih dinamik di Sabah. KTI Group berharap termeterainya MoA itu menjadi permulaan kepada kerjasama jangka panjang yang memberi manfaat kepada warga UMS serta kedua-dua organisasi.- Info X

August 10, 2026

Info X Reporters

‘Blok Borneo Warisan caturan terdesak cari talian hayat’ – Aksyah

KOTA KINABALU: Hasrat Parti Warisan (Warisan) membentuk Blok Borneo menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) disifatkan sebagai manipulasi politik dan caturan terdesak untuk mencari talian hayat ketika kedudukan parti itu dikatakan semakin mengecil. Aktivis politik, Aksyah Nasrah, berkata cadangan berkenaan, termasuk usaha mengadakan rundingan awal dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), lebih sebagai langkah oportunis berbanding perjuangan tulen untuk kepentingan Sabah dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Katanya, usaha membentuk jajaran politik berpaksikan parti tempatan sememangnya baik, namun ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengangkat slogan ‘Sabah First’ atau ‘Sabah for Sabahans’ semata-mata bagi meraih sokongan politik. “Pada saya, hasrat ini bukanlah bertujuan sebagai perjuangan suci untuk MA63, sebaliknya lebih kepada manipulasi dan caturan terdesak serta oportunis untuk mencari talian hayat kerana sedar Warisan sedang menuju ke arah kepupusan menjelang PRU16,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, pada Isnin. Aksyah berkata, cubaan Warisan mendapatkan kerjasama STAR dan KDM juga menimbulkan persoalan kerana sebelum ini parti berkenaan sering menampilkan keyakinan untuk bergerak secara solo atas alasan mempunyai akar umbi dan sokongan rakyat yang kukuh. Beliau mendakwa, sejarah pembentukan kerajaan Sabah selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 turut menunjukkan Warisan tidak pernah mampu membentuk kerajaan secara bersendirian, sebaliknya bergantung kepada sokongan wakil rakyat daripada parti lain selepas keputusan pilihan raya. Berbeza dengan keadaan itu, katanya, kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, membina Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berasaskan konsensus, setiakawan dan kestabilan politik jangka panjang, yang menurutnya menjadi antara asas penting kepada kesinambungan pentadbiran negeri. Aksyah turut mempersoalkan rekod pentadbiran Warisan sepanjang kira-kira dua tahun, khususnya dalam isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah dan pelaksanaan MA63 yang kini menjadi antara agenda utama politik negeri. Katanya, ketika Warisan mentadbir Sabah, pemberian khas interim kepada Sabah hanya sekitar RM53.4 juta, berbanding pentadbiran Hajiji yang berjaya melalui rundingan dengan Kerajaan Persekutuan sehingga jumlah pemberian khas meningkat kepada RM1.5 bilion. “Fakta menunjukkan jalan perundingan berjaya membawa balik RM1.5 bilion. Dalam keadaan ini, rakyat boleh menilai sendiri siapa yang benar-benar berjaya,” katanya. Pada masa sama, beliau mendakwa prestasi kewangan Sabah turut menunjukkan perbezaan ketara antara pentadbiran terdahulu dengan kerajaan GRS, dengan hasil negeri meningkat secara konsisten dan rizab kewangan negeri kini menghampiri RM9 bilion. Aksyah berkata, keadaan itu berbeza dengan kedudukan rizab negeri sekitar RM4 bilion ketika pentadbiran Warisan yang diketuai Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengambil alih kerajaan sebelum menurun kepada kira-kira RM3 bilion ketika pentadbiran berkenaan berakhir. Mengulas cadangan Blok Borneo, beliau berkata Sabah perlu berhati-hati agar percaturan politik sedemikian tidak melebarkan jurang persefahaman antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung, kerana kerjasama politik antara wilayah tidak semestinya bermaksud tunduk kepada mana-mana pihak. Katanya, kekuatan Sarawak menerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula terbina daripada kesatuan parti tempatan dan disiplin politik yang kukuh, justeru formula itu tidak boleh ditiru secara mudah tanpa mengambil kira realiti politik Sabah. Dalam isu air, elektrik dan jalan raya, Aksyah berkata pembangkang tidak seharusnya menjadikan kelemahan utiliti sebagai modal politik semata-mata kerana sebahagian masalah berkenaan asalah isu struktur yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu. Beliau berkata kerajaan GRS kini cuba menangani masalah itu menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dan reformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk Sabah Development Bank (SDBank), Sabah International Petroleum (SIP) dan SMJ Energy, selain menyalurkan sumber kewangan bagi pembangunan loji rawatan air, rumah pam dan pembaikan jalan raya. “Jajaran politik berpaksikan tempatan itu bagus, tetapi janganlah berlagak seperti seorang guru besar yang suci sekiranya tangan sendiri penuh dengan rekod kegagalan masa lalu. Rakyat Sabah hari ini sudah bijak menilai mana satu tindakan bertanggungjawab dan mana satu lakonan politik murahan,” katanya. – Info X

August 10, 2026

Info X Reporters

Polis siasat video tular individu dipukul di Kota Belud

KOTA BELUD: Polis membuka kertas siasatan berhubung rakaman video dan beberapa gambar tular di media sosial yang memaparkan kejadian pergaduhan sehingga menyebabkan seorang individu cedera di daerah ini. Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 5.30 petang, Sabtu lalu, dan polis kini sedang mengenal pasti individu yang terbabit serta mendapatkan keterangan saksi. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Belud, Asisten Superintendan Ahmad Fathie Md Salleh berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian berkenaan. Katanya, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca serta keadaan sebenar kejadian. “Susulan laporan diterima, polis membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan. “Polis turut menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti individu yang terbabit serta mendapatkan keterangan saksi bagi melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Ahmad Fathie berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau tuduhan serta menyebarkan maklumat yang belum disahkan. Katanya, orang ramai juga diminta tidak menyebarkan semula rakaman video dan gambar berkaitan kerana dikhuatiri boleh menjejaskan serta mengganggu proses siasatan. “Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil memberikan kerjasama kepada polis bagi membantu siasatan. “Siasatan akan dijalankan secara telus dan profesional berlandaskan undang-undang, manakala tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan,” katanya. Terdahulu, tular rakaman video seorang pemandu pelancong dipercayai diserang selepas menegur pengendali bot lain yang didakwa memberi makanan kepada monyet liar di tebing sungai, Sabtu lalu. Kejadian berlaku di hadapan sekumpulan pelancong termasuk kanak-kanak sebelum dileraikan orang awam. – Info X

August 10, 2026

Info X Reporters

Sabah, Sarawak ‘kingmaker’ tentukan Kerajaan Persekutuan, siapa jadi PM – Ewon

PENAMPANG: Sabah dan Sarawak mempunyai peranan penting dalam menentukan pembentukan Kerajaan Persekutuan termasuk siapa yang akan menjadi Perdana Menteri. Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, berkata kedudukan Sabah dan Sarawak perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar kerana kewujudan Persekutuan Malaysia tidak dapat dipisahkan daripada kedua-dua wilayah itu. “Saya melihatnya dalam konteks yang lebih besar. Persekutuan ataupun negara Malaysia ini tidak akan wujud tanpa Sabah dan Sarawak. “Sebab itu Sabah dan Sarawak harus menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan, harus menjadi sebahagian daripada tadbir urus negara ini dan boleh menjadi kingmaker sama ada mahu meneruskan Persekutuan ini,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, di sini, pada Isnin. Ewon berkata, peranan Sabah dan Sarawak, wilayah itu tidak seharusnya diperkecilkan. Jelasnya, kekuatan sebenar Sabah dan Sarawak adalah dalam menentukan sama ada Persekutuan Malaysia ini perlu diteruskan atau tidak. “Justeru jangan perkecilkan peranan Sabah dan Sarawak dalam memastikan siapa Perdana Menteri, siapa Kerajaan Persekutuan,” katanya. Dalam perkembangan berkaitan, Ewon berkata UPKO turut membuat persediaan awal menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang, termasuk memperkukuh struktur parti serta menggalakkan ahli yang berhasrat bertanding supaya memperhebatkan kerja di lapangan. Beliau berkata, bagi pembahagian kerusi, UPKO akan berunding dengan parti-parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) apabila tiba masanya. “UPKO akan menyampaikan pandangan dan pendirian, sekurang-kurangnya dua kerusi sedia ada UPKO untuk Parlimen iaitu Tuaran dan juga Penampang itu haruslah diberi ruang untuk parti ini bertanding. “Manakala perkara selebihnya itu, saya memilih untuk merunding melalui proses dalaman dalam GRS,” katanya. Ewon berkata, setakat ini belum ada rundingan rasmi mengenai pembahagian kerusi dan perkara itu akan dibincangkan pada masa yang sesuai bersama Ketua Menteri Sabah serta rakan-rakan dalam GRS. – Info X