March 12, 2026
Info X Reporters
BERSATU Beluran hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin, umum tinggalkan parti
KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Beluran menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selalu presiden parti itu. Menerusi satu kenyataan pada Khamis Setiausaha BERSATU Bahagian Beluran, Hamdan Tarawie, berkata parti itu pada asalnya diasaskan atas semangat perjuangan untuk mempertahankan kepentingan rakyat, memperjuang integriti politik dan membela nasib Bumiputera khususnya di Sabah. Bagaimanapun, katanya apa yang berlaku sejak kebelakangan ini menunjukkan parti itu semakin jauh daripada matlamat asal berkenaan. “Sebaliknya, parti kini dilihat lebih tertumpu kepada agenda peribadi untuk mengangkat Presiden sebagai ‘poster boy’ dan calon Perdana Menteri, sehingga segala keputusan dan tindakan dalam parti dilihat berpaksikan kepentingan itu. “Budaya perbezaan pandangan tidak lagi diraikan, malah dilihat sebagai ancaman kepada kedudukan kepimpinan,” katanya. Beliau berkata, pihaknya juga memandang serius pemecatan dan tindakan disiplin terhadap beberapa pemimpin utama parti, termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan terkini Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Wira Mas Ermieyati. Tindakan itu, katanya jelas memperlihatkan lembaga disiplin parti digunakan sebagai alat politik untuk menyingkirkan mereka yang dilihat tidak sehaluan dengan kepimpinan tertinggi. “Amalan ini bukan saja menjejaskan prinsip keadilan dalam parti, malah menghakis kepercayaan ahli terhadap ketelusan dan integriti proses disiplin yang sepatutnya bebas daripada pengaruh politik. “Lebih membimbangkan, dalam keghairahan mengejar agenda politik sempit ini, isu-isu perjuangan rakyat Sabah, khususnya Bumiputera Sabah, semakin diketepikan. “Perjuangan yang sepatutnya menjadi teras kepada kehadiran parti di Sabah kini tidak lagi diberikan keutamaan yang sewajarnya,” katanya. Jelasnya, sebagai pemimpin akar umbi yang bertanggungjawab kepada ahli di peringkat bahagian dan masyarakat, pihaknya tidak boleh terus berdiam diri melihat parti itu menyimpang daripada perjuangan asalnya. “Sehubungan itu, setelah mempertimbangkan keadaan ini dengan penuh tanggungjawab dan rasa berat hati, kami kesemua Ahli Jawatankuasa Bahagian Bersatu Beluran dengan ini mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan parti serta meletakkan keahlian kami dalam Parti Bersatu dengan serta-merta. “Keputusan ini bukanlah satu keputusan yang mudah, namun ia diambil demi mempertahankan prinsip perjuangan dan maruah politik yang kami pegang selama ini. “Kami percaya perjuangan untuk rakyat, khususnya Bumiputera Sabah, mesti diteruskan atas landasan yang lebih jujur, berprinsip dan bebas daripada kepentingan peribadi mana-mana individu,” katanya. – Info X
March 12, 2026
Info X Reporters
Kurangkan kebergantungan tenaga konvensional, tumpu sumber lestari – KM
TUARAN: Kerajaan negeri berhasrat mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga konvensional dan beralih kepada sistem tenaga yang lebih pelbagai, lestari, serta mesra alam. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata langkah itu selari dengan Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040), yang menjadi kompas strategik dalam merancang masa depan tenaga Sabah secara holistik. “Melalui usaha perluasan penggunaan tenaga boleh baharu seperti solar dan hidro, kita bukan saja mengimbangi campuran tenaga negeri, malah membina daya tahan yang kental dalam menghadapi cabaran global dan krisis iklim. “Usaha ini adalah pelaburan kita untuk memastikan Sabah kekal hijau dan makmur untuk dekad-dekad akan datang,” katanya pada majlis pelancaran projek solar skala besar 15MW Tuaran dan Iftar Ramadan SEC di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah di Kampung Lok Batik, di sini, pada Khamis. Ketua Menteri berkata pelancaran projek Solar Skala Besar 15MW itu adalah bukti jelas sinergi di antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC), terutamanya Sabah Energy Corporation (SEC) dengan visi dasar negeri. Beliau memuji SEC atas projek solar keduanya, menyusuli projek 5MW di Labuan yang membuktikan kredibiiti dan kemampuan teknikal serta komersial SEC dalam menerajui sektor tenaga boleh baharu. “Projek solar ini bukan sekadar menambah kapasiti 15 MW kepada sistem tenaga negeri, malah ia membawa signifikan yang lebih besar dalam transformasi struktur tenaga Sabah,” katanya. Hajiji berkata sepanjang fasa pembinaan, seramai 150 tenaga kerja terlibat secara langsung, termasuk tenaga kerja tempatan. Katanya, ia menjadi platform terbaik bagi anak tempatan menimba pengalaman industri dan menguasai pemindahan kemahiran dalam teknologi tenaga boleh baharu. “Lebih bermakna lagi, apabila projek ini beroperasi sepenuhnya, ia dijangka mewujudkan 50 peluang pekerjaan baharu merangkumi bidang operasi, penyelenggaraan, teknikal dan sokongan pentadbiran. “Inisiatif ini bukan saja mampu meningkatkan pendapatan isi rumah, malah memperkukuh ekosistem tenaga hijau di Sabah. “Inilah intipati pembangunan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 iaitu pembangunan yang bukan sekadar angka tetapi pertumbuhan yang menjana peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran rakyat dan memberi limpahan ekonomi terus kepada komuniti setempat,” katanya. Ketua Menteri berkata projek itu memberi isyarat jelas bahawa Sabah komited memperkukuh keselamatan tenaga negeri. Jelasnya, Sabah tidak boleh ketinggalan dalam arus perubahan itu dan ia harus memastikan pembangunan ekonomi berjalan seiring dengan pemeliharaan alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang. “Kerajaan negeri kekal komited dalam memperkasakan agenda pembangunan negeri kini di bawah kerangka Hala Tuju SMJ 2.0 dan dalam usaha menjayakan agenda besar ini, sektor tenaga berdiri sebagai nadi yang paling kritikal,” katanya. – Info X
March 12, 2026
Info X Reporters
Kerajaan negeri fail bantahan penangguhan perintah mahkamah berkaitan hak 40 peratus
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan memgemukakan bantahan terhadap permohonan difailkan Peguam Negara bagi mendapatkan penangguhan pelaksanaan Perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 17 Oktober 2025. Ia berkaitan semakan dan penentuan hak negeri Sabah terhadap 40 peratus daripada hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari negeri ini sejak 1974 hingga 2021 (tahun-tahun yang hilang). Perkara itu disahkan Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah menerusi satu kenyataan media hari ini. Menerusi kenyataan itu, Peguam Besar Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh, berkata Perintah Mahkamah Tinggi sebelum ini mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan semakan bersama Kerajaan Sabah bagi melaksanakan pemberian khas 40 peratus. Keputusan itu, katanya selaras dengan kerangka perlembagaan bagi tahun-tahun yang hilang dan untuk mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari, iaitu selewat-lewatnya pada 15 April 2026. “Sejak keputusan itu dikeluarkan, Kerajaan Negeri Sabah dengan sepenuhnya kekal komited mematuhi isi dan maksud keputusan Mahkamah Tinggi itu. “Kerajaan Negeri Sabah secara konsisten turut terbabit dalam proses libat urus bersama pihak berkuasa Persekutuan yang berkaitan dan beberapa mesyuarat serta perbincangan teknikal diadakan bagi sesi bertukar maklumat, membuat pengesahan data serta pertimbangan terhadap kaedah-kaedah yang sesuai bagi menentukan jumlah Pemberian Khas 40 peratus kepada Kerajaan Negeri Sabah,” katanya. Beliau berkata, kerajaan Sabah sudah melaksanakan semua sesi perbincangan itu secara konstruktif, telus dan dengan niat yang baik agar objektif untuk mencapai suatu penyelesaian yang adil, berprinsip serta boleh diterima secara bersama dalam tempoh masa ditetapkan Mahkamah Tinggi. Justeru itu, katanya Kerajaan Sabah juga mengemukakan beberapa cadangan dan kerangka kerja bagi membantu pihak yang berkaitan untuk mencapai persetujuan bersama. “Kerajaan Sabah tiada melakukan sebarang penangguhan kelewatan mahupun tidak memberi kerjasama dalam melaksanakan Perintah Mahkamah Tinggi. Sebaliknya, kerajaan negeri mengambil langkah yang aktif dan berterusan bagi memastikan proses diperintahkan Mahkamah Tinggi itu dapat dilaksanakan secara teratur dan produktif. “Sehubungan dengan itu, Kerajaan Sabah kekal bersedia, bersetuju dan berkeupayaan untuk terus berunding dengan pihak Kerajaan Persekutuan secara konstruktif dengan tujuan mencapai suatu keputusan yang dipersetujui bersama selaras peruntukan Perlembagaan yang mengawal Pemberian Khas serta terma Perintah Mahkamah Tinggi,” katanya. Dalam pada itu, Brenndon berkata Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan suatu mekanisme perlembagaan yang jelas sekiranya pihak-pihak gagal untuk mencapai persetujuan. Peruntukan itu, katanya menghendaki pelantikan seorang penilai bebas, yang mana syor-syor yang dikemukakan berhubung perkara itu hendaklah mengikat kerajaan dan dilaksanakan seolah-olah syor itu sudah menjadi persetujuan. “Jaminan perlembagaan ini memastikan proses semakan yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dapat diselesaikan secara teratur walaupun tiada persetujuan bersama dapat dicapai. “Memandangkan perbincangan masih berlangsung dan mengambil kira tempoh masa yang ditetapkan oleh mahkamah semakin hampir, Kerajaan Sabah berpendapat kedua-dua pihak perlu terus menumpukan perhatian serta mempergiatkan lagi usaha memenuhi terma Perintah Mahkamah Tinggi,” katanya. Kedua-dua pihak juga katanya perlu bekerjasama untuk mencapai suatu penyelesaian yang adil dalam tempoh masa yang ditetapkan. “Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah sentiasa mengambil langkah undang-undang yang sewajarnya bagi melindungi hak dan kepentingan Sabah. “Dalam masa yang sama menyokong prinsip kedaulatan undang-undang, prinsip perlembagaan dan semangat kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah,” katanya. – Info X
March 12, 2026
Info X Reporters
Lelaki ditahan jual bahagian hidupan liar dilindungi
TUARAN: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki menjual beberapa bahagian hidupan liar dilindungi di sebuah gerai di tapak Tamu Tenghilan, di sini, dalam Operasi KUKU yang dijalankan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, pagi tadi. Penahanan lelaki tempatan berusia 30 tahun itu dibuat dalam operasi pemeriksaan penguatkuasaan oleh pasukan Rapid Response Team (RRT) JHL Sabah, jam 8.05 pagi. Pengarah JHL Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar berkata, operasi berkenaan dijalankan hasil maklumat Unit Risikan JHL mengenai aktiviti penjualan bahagian hidupan liar di kawasan tamu berkenaan. Menurutnya, pemeriksaan di gerai suspek menemukan beberapa bahagian haiwan dilindungi yang dipercayai dipamerkan untuk dijual secara haram. “Antara yang dirampas adalah dua kuku beruang madu, satu bahagian tangan beruang madu, satu gigi beruang madu, satu keping sisik tenggiling, satu tanduk kijang serta 16 duri landak. “Suspek kemudian ditahan bagi membantu siasatan lanjut mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 (EPHL 1997),” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, di bawah enakmen berkenaan, sebarang aktiviti perdagangan hidupan liar yang dilindungi perlu mendapatkan lesen atau permit sah daripada Jabatan Hidupan Liar Sabah. Menurutnya, bagaimanapun tiada sebarang permit dikeluarkan bagi perdagangan, pemilikan atau penyimpanan spesies beruang madu dan tenggiling kerana kedua-duanya berada dalam kategori Dilindungi Sepenuhnya. “Mana-mana individu yang didapati memiliki, menyimpan, menjual atau memperdagangkan spesies berkenaan atau mana-mana bahagiannya tanpa kebenaran adalah melakukan kesalahan di bawah EPHL 1997. “Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 serta penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi lima tahun,” katanya. – Info X
March 12, 2026
Info X Reporters
ESSCOM tahan 20 PATI warga Filipina, China dalam operasi bersepadu di Semporna
SEMPORNA: Seramai 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dan China ditahan dalam Operasi Bersepadu Daerah Semporna yang diselaraskan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) pada 10 Mac hingga semalam. Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, operasi itu dijalankan susulan aduan orang awam mengenai penglibatan warga asing yang dipercayai mengendalikan aktiviti pelancongan serta perniagaan tanpa lesen di sekitar daerah berkenaan. Menurutnya, seramai 231 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguat kuasa terbabit dalam operasi berkenaan yang turut memeriksa 41 resort dan premis perniagaan di sekitar bandar serta perairan Semporna. “Hasil pemeriksaan ke atas 48 individu, seramai 20 dikenal pasti sebagai PATI sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Semporna untuk tindakan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah serta tinggal melebihi tempoh dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, operasi itu turut mengesan pelbagai kesalahan oleh agensi penguat kuasa dengan nilai keseluruhan hasil penguatkuasaan dan rampasan dianggarkan mencecah RM491,413.76. Katanya, operasi bersepadu berkenaan adalah sebahagian daripada pelaksanaan Operasi SANGGAH ESSCOM bagi memperkukuh kawalan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE). Victor menegaskan ESSCOM akan terus memperhebat operasi selaras dengan pendekatan ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’ bagi mengekang jenayah rentas sempadan serta memastikan keselamatan di Sabah Timur kekal terpelihara. Operasi itu diketuai Ketua Staf Bahagian Operasi Darat (BOD), Datuk Habibi Majinji dengan bantuan Senior Asisten Komisioner (SAC) Shariman Asri. – Info X
March 12, 2026
Info X Reporters
Pegawai AADK dituduh kemuka dokumen palsu dapatkan bayaran RM19,440
KOTA KINABALU: Seorang pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan bayaran berjumlah RM19,440, pada 2018 hingga 2019. Tertuduh, Bakri Bibi, 53, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Elsie Primus ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, di sini, pada Khamis. Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, Bakri didakwa dengan niat curang menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan bayaran perkhidmatan makan dan minum untuk program anjuran AADK di Kunak berjumlah RM9,700 pada Ogos 2018 hingga April 2019. Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa menggunakan dokumen palsu bagi tujuan yang sama untuk tuntutan makan dan minum program AADK di Tawau sebanyak RM4,500 pada 1 April 2019. Pertuduhan kelima dan keenam pula membabitkan dakwaan menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan bayaran perkhidmatan membekal bahan binaan aktiviti gotong-royong bersama komuniti di Tawau berjumlah RM5,240 pada 23 April 2019. Berikutan itu, Bakri berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 468 kanun sama. Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norsham Shaharom, manakala tertuduh diwakili peguam Zahir Shah. Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan RM4,000 sebagai deposit dan seorang penjamin tempatan. Selain itu, tertuduh turut diperintah melapor diri di pejabat SPRM dua bulan sekali, menyerahkan pasport antarabangsa dan pasport terhad serta tidak boleh mengganggu saksi dan proses perbicaraan. Mahkamah menetapkan 27 April ini untuk sebutan semula kes. – Info X
March 12, 2026
Info X Reporters
Misteri bau busuk bongkar penemuan mayat lelaki
KINARUT: Misteri bau busuk yang dihidu penghuni sebuah kondominium di kawasan Puncak Gloxinia, di sini, membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki di kediamannya, malam tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, lelaki tempatan berusia 32 tahun ditemui terbaring di ruang tamu kediaman berkenaan selepas pintu rumah dibuka dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai bau tidak menyenangkan yang dipercayai datang dari sebuah rumah di kawasan berkenaan. Menurutnya, susulan maklumat itu, polis bersama JBPM bertindak membuka pintu rumah yang berkunci sebelum menemui lelaki terbabit dalam keadaan tidak bernyawa. “Hasil pemeriksaan awal di lokasi kejadian tidak menemui sebarang tanda yang menunjukkan berlakunya unsur jenayah. “Selain itu, barang-barang peribadi milik si mati juga masih berada di dalam rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Papar untuk tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian sebenar. “Kes berkenaan setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih dijalankan. “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi IPD Papar atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X
March 12, 2026
Info X Reporters
Segerakan pelan tindakan tangani kesan ekonomi global akibat perang – Masiung
KOTA KINABALU: Kelab Penyokong Kerajaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mengingatkan kerajaan supaya menyediakan pelan tindakan segera bagi mendepani kesan ekonomi global berikutan ketegangan yang memuncak di Asia Barat. Pengerusinya, Datuk Masiung Banah, menegaskan sepatutnya kerajaan Pusat sepatutnya sudah mengariskan langkah jangka pendek dan sederhana menghadapi kenaikan drastik harga minyak mentah dunia. Beliau berkata, harga barangan keperluan termasuk bahan makanan pasti meningkat naik apabila harga minyak melambung. “Jika kerajaan lambat bertindak tanpa pelan tindakan awal, akhirnya peniaga akan mengambil kesempatan dan kenaikan harga barang keperluan harian menjadi tidak terkawal. “Kenaikan mendadak minyak mentah global berpotensi mencetuskan kesan inflasi berganda yang akhirnya meningkatkan kos sara hidup rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu berkata, ketegangan geopolitik dan perang di antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran turut menjejaskan laluan perdagangan utama dunia di Selat Hormuz, sekali gus menimbulkan kesan fiskal kenaikan bahan mentah di Malaysia. Masiung yang juga Wakil Rakyat Kuamut, mengesa Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi Malaysia melaksanakan dasar fiskal ekoran peperangan tersebut. “Kesan harga bahan api dan barang import sudah mulai terasa di kalangan rakyat. “Sekiranya peperangan berlanjutan, kerajaan harus bersedia dengan pelan fiskal tambahan bagi memastikan rakyat tidak terbeban,” katanya. Beliau menjangkakan tekanan kewangan kepada kerajaaan juga akan meningkat termasuk kemungkinan pertambahan defisit perbelanjaan kerajaan. Pengerusi Kumpulan SEDCO itu berkata, keadaan lebih kritikal apabila harga diesel meningkat, kos pengangkutan dan logistik turut meningkat dan akhirnya memberi impak kepada harga barangan di pasaran tempatan. – Info X