Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

April 30, 2026

Info X Reporters

Enam ditahan dalam kontena, syabu dirampas

TAWAU: Lima lelaki dan seorang wanita ditahan selepas disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah dalam serbuan di kawasan penyimpanan kontena di Taman Anson, di sini, tengah malam tadi. Dalam operasi susulan aduan orang awam itu, sepasukan polis Strike Team Balai Polis Tawau menjalankan rondaan cegah jenayah sebelum memeriksa sebuah kontena dalam keadaan mencurigakan, kira-kira jam 12.40 tengah malam. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pemeriksaan lanjut menemukan enam individu termasuk seorang wanita berada di dalam kontena berkenaan. “Pemeriksaan di dalam kontena itu membawa kepada penemuan empat paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.92 gram. “Kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada warga tempatan dan warga asing berusia antara 26 hingga 42 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, semua suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952. Katanya, polis turut mengingatkan orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat bagi membantu membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di daerah ini. – Info X

April 30, 2026

Info X Reporters

UMS, MKPUA perkasa literasi dan STEM melalui Program Eksplorasi Ilmu di sekolah

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Jabatan Perpustakaan dengan kerjasama Majlis Ketua Pustakawan Universiti Awam (MKPUA) menganjurkan Program Eksplorasi Ilmu @ Sekolah Kebangsaan (SK) Petagas sebagai sebahagian inisiatif Baca@Borneo 2026 bagi memperkasa literasi ilmu dan pendidikan STEM dalam kalangan komuniti sekolah. Majlis perasmian program itu disempurnakan Naib Canselor UMS Datuk Dr Kasim Haji Mansor yang diwakili Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Tiyunin. Dalam ucapan beliau yang dibacakan wakil, Kasim berkata universiti berperanan sebagai agen perubahan dalam menyebarluaskan ilmu kepada masyarakat serta memperkukuh budaya pembelajaran sepanjang hayat. “Universiti bukan sekadar institusi akademik, tetapi turut berperanan sebagai pemacu perubahan yang membawa ilmu terus kepada masyarakat, selaras dengan aspirasi UMS sebagai ‘The Brain of Borneo’,” katanya. Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama strategik bersama MKPUA, Perpustakaan UMS dan U-Science membuka ruang lebih luas dalam memperkukuh ekosistem pendidikan komuniti secara inklusif dan berimpak tinggi. “Pendekatan kolaboratif ini membolehkan ilmu disampaikan dengan lebih meluas, khususnya kepada pelajar di peringkat sekolah yang memerlukan pendedahan awal terhadap pembelajaran berasaskan sains dan teknologi,” katanya. Menurutnya, pembudayaan ilmu sejak usia muda amat penting dalam membentuk generasi yang berpengetahuan, kritis dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran masa depan. Program yang melibatkan kira-kira 500 peserta itu menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk pameran STEM, bengkel roket air, pengaturcaraan Scratch, aktiviti DIY STEM Kit, galakan membaca serta saringan kesihatan. Selain itu, inisiatif penambahbaikan Pusat Sumber SK Petagas turut dilaksanakan bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan mesra pelajar. Penglibatan U-Science UMS serta pelaksanaan program Professor@School melalui Zaleha Abd. Aziz yang juga alumni SK Petagas, turut memberi inspirasi kepada murid untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik. UMS berharap program seumpama ini dapat diperluaskan ke lebih banyak sekolah pada masa hadapan sebagai usaha berterusan memperkukuh ekosistem pendidikan serta melahirkan generasi berilmu, inovatif dan berdaya saing. – Info X

April 30, 2026

Info X Reporters

Cuti terapung tingkat fleksibiliti, produktiviti pekerja Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri disaran mempertimbangkan pelaksanaan konsep ‘cuti terapung’ bagi memberi fleksibiliti kepada rakyat Sabah memilih hari kelepasan yang lebih bermakna mengikut keperluan budaya, keagamaan dan peribadi masing-masing. Cadangan itu dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Hari Kelepasan (Pindaan) 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini. Beliau yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, pengenalan satu atau dua hari cuti terapung setahun bukan sekadar satu dasar pentadbiran, malah mencerminkan pengiktirafan terhadap kepelbagaian etnik dan budaya yang menjadi asas keharmonian di Sabah. “Sabah bukan wilayah satu wajah. Kita adalah kisah yang pelbagai dan harmoni. Namun realitinya, tidak semua hari kelepasan yang ditetapkan ketika ini membawa makna yang sama kepada semua rakyat. “Mengapa kita tidak memberi rakyat satu hak asas, iaitu memilih hari yang paling bermakna dalam kehidupan mereka?” katanya. Menurut beliau, cadangan itu relevan terutama bagi pekerja dari kawasan luar bandar yang sering berdepan dilema antara memenuhi komitmen kerja atau pulang menyambut perayaan tradisi bersama keluarga, termasuk sambutan Tadau Kaamatan. Mengulas kebimbangan terhadap kemungkinan gangguan produktiviti, beliau menegaskan bahawa fleksibiliti yang diurus secara sistematik tidak akan menjejaskan operasi organisasi, malah berpotensi meningkatkan motivasi serta kesetiaan pekerja. “Fleksibiliti yang diurus dengan baik bukan melemahkan sistem, sebaliknya menguatkannya. Pekerja yang dihargai akan memberi lebih, manakala pekerja yang didengari akan lebih setia kepada organisasi,” katanya. Beliau turut mencadangkan agar pelaksanaan cuti terapung disertakan dengan garis panduan jelas seperti permohonan awal serta had satu atau dua hari setahun bagi memastikan kelancaran operasi sektor awam dan swasta. Tambahnya, langkah itu berupaya meletakkan Sabah sebagai negeri yang progresif dalam menyesuaikan dunia pekerjaan dengan realiti masyarakat majmuk serta keperluan semasa yang lebih inklusif. Sehubungan itu, beliau menyatakan sokongan terhadap RUU Enakmen Hari Kelepasan (Pindaan) 2026, namun berpandangan penambahbaikan melalui konsep cuti terapung akan menjadikan undang-undang berkenaan lebih adil, seimbang dan “manusiawi” untuk seluruh rakyat negeri ini. – Info X

April 30, 2026

Info X Reporters

Penunggang maut terbabas masuk parit

PENAMPANG: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit di Jalan Kobusak berhampiran Lido Plaza, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa lelaki tempatan berusia 32 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah Nosoob menuju ke lampu isyarat Kobusak. “Bagaimanapun, setibanya di lokasi, motosikal itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan terjatuh ke dalam parit berhampiran selekoh. “Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu untuk bedah siasat. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik selain memandu dengan berhati-hati. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Penampang atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-809 5133,” katanya. – Info X

April 29, 2026

Info X Reporters

Kuarters guru SK Imbak terbakar

TONGOD: Empat kuarters guru dan kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Imbak, di sini, terbakar petang tadi. Turut dilaporkan musnah ialah sebuah kenderaan dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu. Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tongod, Adrian Dauli berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu dan bergegas ke lokasi untuk membuat pemantauan dan penilaian risiko. “Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Seramai 13 mangsa terjejas akibat kebakaran. “Kejadian disyaki berlaku akibat litar pintas elektrik, namun punca sebenar masih menunggu laporan rasmi dan siasatan,” katanya. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Hairi Utoh, berkata anggota bomba masih dalam perjalanan ke lokasi itu yang terletak kira-kira 167 kilometer (km) daripada balai. – Info X

April 29, 2026

Info X Reporters

Lelaki maut, motosikal bertembung kereta

SANDAKAN: Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggang bertembung dengan sebuah kereta Perodua Axia dalam kejadian di Batu 10, Jalan Sungai Batang, di sini, hari ini. Mangsa berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi dalam kejadian kira-kira jam 4.40 pagi. Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman, berkata siasatan awal polis mendapati motosikal ditunggang oleh mangsa datang dari arah Batu 8 menghala ke Batu 12, manakala kereta Axia dari arah bertentangan. Ketika tiba di lokasi, katanya, kereta terbabit terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal yang ditunggang mangsa. “Akibat kejadian itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa sudah dibawa ke unit forensik Hospital Duchess of Kent untuk proses bedah siasat. “Pemandu kereta cuma mengalami luka di dada dan mendapatkan rawatan di hospital yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. George turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – Info X

April 29, 2026

Info X Reporters

Budak 7 tahun maut dilanggar Navara

KOTA KINABALU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lingkungan tujuh tahun maut selepas dilanggar sebuah kenderaan jenis Nissan Navara di Jalan Nountun, Bukit Padang, di sini, petang semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 petang itu, mangsa dipercayai melintas jalan seorang diri sebelum dirempuh kenderaan berkenaan. Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu untuk bedah siasat. Sementara itu, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran. – Info X

April 29, 2026

Info X Reporters

Tiga mekanisme tangani isu pembangunan Sabah 2026 – Arsad

KOTA KINABALU: Tiga mekanisme dicadang bagi memacu pembangunan Sabah lebih inklusif dengan menumpukan aspek pentadbiran, ekonomi dan kebajikan rakyat. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari berkata, pendekatan itu merangkumi pemerkasaan kapasiti penjawat awam profesional setaraf Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), kajian industri ikan air tawar serta pelaksanaan Skim Pembaikan Rumah Daif. Katanya, kecekapan pentadbiran kerajaan banyak bergantung kepada keupayaan kumpulan profesional yang mampu menterjemah dasar kepada pelaksanaan berkesan. “Penjawat awam perlu dilengkapi kemahiran analisis dasar, ekonomi, data, komunikasi strategik serta tadbir urus digital termasuk teknologi kecerdasan buatan (AI). “Perkara ini penting untuk memperkukuh kecekapan pentadbiran negeri dalam mendepani cabaran baharu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Mengulas sektor ekonomi, beliau yang juga Pengerusi Sabah Softwoods Berhad (SSB) berkata industri akuakultur air tawar mempunyai potensi besar sebagai pemangkin keterjaminan makanan dan peluang pekerjaan, khususnya di luar bandar. Menurutnya, kelebihan geografi kawasan seperti Tempasuk boleh dimanfaatkan sepenuhnya dengan penglibatan komuniti dan golongan belia sebagai penggerak utama industri berkenaan. “Permintaan bekalan ikan air tawar semakin meningkat seiring pertambahan penduduk. Ini peluang besar untuk jana ekonomi tempatan,” katanya. Dalam pada itu, beliau turut menggesa kerajaan negeri mempertimbangkan Skim Pembaikan Rumah Daif bagi membantu golongan kurang berkemampuan yang tinggal di rumah uzur. Katanya, ramai penduduk memiliki rumah pusaka yang semakin usang namun tidak mampu menanggung kos pembaikan. “Skim ini penting supaya golongan ini dapat tinggal dalam keadaan lebih selamat dan selesa,” katanya. – Info X