September 19, 2026
BERNAMA
Pengampunan bersyarat Najib tidak ubah status kes 1MDB yang sedang berjalan – SPRM
KAJANG: Status kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak kekal tidak berubah walaupun bekas perdana menteri itu diberikan pengampunan bersyarat, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abd Halim Aman. Abd Halim berkata setiap kes perlu dikendalikan secara berasingan mengikut isu dan siasatan yang terlibat. “Bagi pihak kami, kes-kes yang masih tertangguh akan kekal seperti biasa. Seperti yang ada sekarang, status quo kekal,” katanya pada sidang media di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pengampunan bersyarat yang diberikan kepada Najib akan memberikan kesan terhadap kes 1MDB dan rayuan yang masih berjalan. Abd Halim berkata sesuatu kes tidak boleh disamakan dengan kes yang lain kerana setiap siasatan melibatkan tuduhan dan isu yang berlainan. “Kita perlu faham bahawa setiap kes adalah berbeza antara satu sama lain. Ia tidak boleh dikendalikan sebagai kes yang sama dan kes-kes itu berbeza memandangkan sesuatu siasatan itu ditujukan kepada apa yang sedang disiasat, berhubung isu tertentu yang dibangkitkan atau aduan yang dibuat,” katanya. Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta. Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan perintah itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara.– BERNAMA
September 19, 2026
Info X Reporters
Duit tabung masjid pun ‘disapu’
TAWAU: Tidak cukup mencuri harta orang, wang tabung masjid berjumlah kira-kira RM350 turut menjadi sasaran seorang lelaki di Ladang Kapilit, Batu 8, Kalabakan, Khamis lalu. Perbuatan itu terbongkar selepas mandor ladang yang juga ahli jawatankuasa masjid menyedari wang berkenaan hilang dipercayai dilarikan individu yang memasuki masjid tidak berkunci. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, laporan dibuat penguat kuasa ladang kira-kira jam 9 pagi pada hari kejadian. Katanya, suspek warga asing berusia 30-an ditahan kira-kira jam 10.45 pagi semalam. “Tangkapan dilakukan sepasukan anggota Balai Polis Kalabakan dengan bantuan Polis Bantuan Sabah Softwood Berhad di hadapan sebuah bengkel di Batu 8, Kalabakan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Sementara itu, Rosdi menasihatkan pengurusan masjid dan premis awam supaya meningkatkan kawalan keselamatan terhadap wang tabung serta kawasan premis bagi mengelakkan kejadian sama berulang. – Info X
September 19, 2026
Info X Reporters
Cagar ‘kad kereta’ untuk pinjaman, lelaki warga asing ditahan
TAWAU: Seorang lelaki dipercayai mencagarkan dokumen kereta milik abang iparnya untuk mendapatkan pinjaman wang sebelum ditahan polis di hadapan sebuah stesen minyak di Bombalai, semalam. Suspek warga asing berusia 35 tahun itu turut disyaki membawa kereta berkenaan ke Tawau tanpa kebenaran pemiliknya serta mengugut mahu membakar kenderaan terbabit. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau bersama Balai Polis Bombalai kira-kira jam 2.30 petang. “Suspek mengaku terbabit dalam kes yang dilaporkan di Kinabatangan, manakala polis merampas sebuah Perodua Bezza bersama satu anak kunci dipercayai berkaitan kes berkenaan. “Siasatan awal mendapati kereta itu milik mangsa dan sebelum ini dipinjamkan kepada adik kandungnya yang juga isteri suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, selepas kematian adik mangsa, suspek dipercayai membawa kereta itu ke Tawau tanpa persetujuan pemiliknya. Katanya, mangsa kemudian menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang menuntut bayaran RM2,500 selepas dokumen kereta atas namanya didakwa dijadikan cagaran pinjaman. “Suspek juga pernah mengugut mahu membakar kereta terbabit sekiranya mangsa enggan memberikan pinjaman wang kepadanya. “Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. Sementara itu, Rosdi berkata pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membenarkan pihak lain menggunakan atau membawa kenderaan milik mereka tanpa kebenaran, termasuk menyerahkan dokumen berkaitan kenderaan kepada pihak lain. “Sekiranya menerima sebarang ugutan atau ancaman, segera laporkan kepada polis dan jangan mengambil tindakan sendiri,” tegasnya. – Info X
September 19, 2026
Info X Reporters
Tendang belakang, ketuk kepala isteri dengan hulu parang
TAWAU: Seorang wanita mengalami lebam dan kecederaan pada beberapa bahagian badan selepas dipercayai ditendang serta diketuk di kepala menggunakan hulu parang oleh suaminya. Kejadian dipercayai berlaku susulan perselisihan faham pasangan berkenaan di sebuah rumah di Kampung Muhibbah Raya, di sini, pada 11 September lalu. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek lelaki tempatan berusia 41 tahun ditahan kira-kira jam 3.25 petang semalam selepas mangsa membuat laporan polis. “Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menendang belakang badan mangsa sebelum mengetuk kepalanya menggunakan hulu parang. “Mangsa kemudian keluar dari rumah dan tinggal di kediaman adiknya sebelum membuat laporan polis selepas mendakwa masih diganggu suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. Sementara itu, Rosdi berkata polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membenarkan pihak lain menggunakan atau membawa kenderaan milik mereka tanpa kebenaran, termasuk menyerahkan dokumen berkaitan kenderaan kepada pihak lain. “Sekiranya menerima sebarang ugutan atau ancaman, segera laporkan kepada polis dan jangan mengambil tindakan sendiri,” tambahnya. – Info X
September 19, 2026
Info X Reporters
Masuk rumah mahu baiki telefon, lelaki ditahan kes rogol
TAWAU: Alasan mahu membantu membaiki telefon bimbit menyebabkan seorang lelaki dibenarkan masuk ke kediaman jirannya sebelum dipercayai merogol wanita berusia 19 tahun di Kampung Titingan, di sini, Selasa lalu. Suspek yang bekerja sebagai tukang gunting rambut itu ditahan di kediamannya kira-kira jam 10 malam, Khamis lalu, susulan laporan dibuat mangsa. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, lelaki tempatan berusia 24 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau. “Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 malam selepas mangsa membenarkan suspek yang dikenalinya masuk ke rumah untuk membantu membaiki telefon bimbit. “Suspek kemudian dipercayai membawa mangsa ke dalam bilik sebelum melakukan perbuatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Rosdi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, manakala siasatan lanjut masih dijalankan. Dalam pada itu, beliau berkata polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak membenarkan individu masuk ke dalam rumah sesuka hati, walaupun mereka adalah jiran atau kenalan, khususnya ketika bersendirian. “Pastikan keselamatan diri diutamakan dan elakkan berada bersendirian dengan individu yang boleh menimbulkan risiko. “Sebarang kejadian atau perlakuan mencurigakan hendaklah segera dilaporkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X
September 19, 2026
Info X Reporters
Lari masuk bakau, tinggal 850 liter petrol
SEMPORNA: Individu dipercayai terbabit dalam penyelewengan petrol bertindak melarikan diri ke kawasan bakau dan meninggalkan dua bot bersama 850 liter bahan api itu dalam dua operasi berasingan, semalam. Kedua-dua rampasan tanpa ‘tuan’ di perairan Kampung Halo dan Kampung Tobok Tobok itu kemudiannya diserahkan Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna. KPDN dalam kenyataan hari ini berkata, kes pertama membabitkan penemuan 300 liter petrol yang diisi dalam 12 gelen di dalam sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran di perairan Kampung Halo. Katanya, sebuah enjin sangkut Yamaha Enduro berkuasa 40 kuasa kuda turut dirampas, manakala individu dipercayai terbabit melarikan diri ke kawasan bakau ketika pemeriksaan dijalankan. “Dalam kes kedua, sebanyak 550 liter petrol yang diisi dalam 22 gelen ditemukan di dalam sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran di pinggir bakau Kampung Tobok Tobok. “Individu dipercayai terbabit turut melarikan diri ke kawasan bakau dan meninggalkan bot bersama sebuah enjin sangkut Yamaha Enduro berkuasa 40 kuasa kuda,” katanya. Menurut kenyataan itu, keseluruhan petrol yang dirampas dianggarkan bernilai RM3,714.50. “KPDN Semporna membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. “Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan penyelewengan barang kawalan menerusi WhatsApp 019-848 8000, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN,” katanya. – Info X
September 19, 2026
Info X Reporters
Masiung kepada PAS – jangan campur urusan politik Sabah, Sarawak
KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah mengingatkan pemimpin PAS di Semenanjung supaya tidak mencampuri urusan politik Sabah dan Sarawak berikutan persetujuan kerajaan Persekutuan berhubung penambahan nisbah kerusi Parlimen di kedua-dua wilayah itu. Beliau berkata, kenyataan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari pada Isnin lalu yang menyebut ‘jangan jatuh gaung bersama Anwar’ disifatkan memperkecil pemimpin Sabah dan Sarawak. Masiung berkata, Sabah dan Sarawak mempunyai hak ke atas tuntutan nisbah kerusi Parlimen kerana ia memang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang tertulis dalam lipatan sejarah ketika pembentukan Malaysia. “Tidak timbul siapa Perdana Menteri mengumumkan penambahan nisbah kerusi melibatkan pindahan Perlembagaan itu kerana blok Borneo sudah sekian lama menuntut hak tersebut menerusi MA63. “Parti politik di Sabah termasuk pembangkang menghormati semua parti politik bertapak di Semenanjung termasuk PAS, namun tindakan pemimpin parti itu mencampuri urusan politik Borneo tidak boleh diterima,” katanya. Masiung menegur Ahli Parlimen Pasir Mas itu supaya menjaga integriti parti beliau dan tidak bertindak menghulurkan ‘tangan ghaib’ sebagai penghasut dalam urusan politik Borneo. ADUN Kuamut itu berkata, pemimpin Sabah dan Sarawak matang dalam membuat keputusan sendiri tanpa perlu campur tangan orang luar. Katanya, sikap taksub dalam politik PAS tidak mendapat tempat di Sabah dan Sarawak kerana rakyat Borneo sudah terkenal dengan semangat perpaduan dan saling hormat-menghormati walaupun berlainan fahaman politik. Masiung berkata, kelancangan Ahli Parlimen Pasir Mas itu mencabuli perpaduan politik Sabah dan Sarawak, sedangkan pemimpin kedua wilayah Borneo itu tidak pernah berbuat demikian kepada PAS. – Info X
September 19, 2026
Info X Reporters
Hormati keputusan pengampunan, tumpu kestabilan politik – Mustapha
KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud menggesa semua pihak menghormati keputusan Lembaga Pengampunan Persekutuan dan menumpukan kestabilan politik dengan meneruskan dokongan kepada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau yang juga Ketua PKR negeri, berkata perkara itu perlu diberikan tumpuan dalam usaha meneruskan agenda reformasi dan pemulihan ekonomi, di sebalik perkembangan politik semasa, khususnya pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. “Bagi rakyat Borneo, kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim amat diperlukan agar fokus Kerajaan Madani memenuhi tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang belum selesai serta menambah baik peruntukan kewangan demi pembangunan Sabah dan Sarawak perlu terus dijayakan,” katanya. Ahli Parlimen Sepanggar itu menggesa semua pihak menghormati keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya berhubung pengampunan bersyarat terhadap Najib. Jelasnya, perkara itu kerana ia sudah dibuat mengikut kerangka Perlembagaan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong . “Penghormatan terhadap Perlembagaan tidak bermaksud kita menggadaikan prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang. “Sesiapa yang melakukan kesalahan jenayah terutamanya berkaitan salah laku kuasa dan rasuah hendaklah dipertanggungjawabkan mengikut peruntukan undang-undang tanpa mengira pangkat atau pengaruh,” katanya. Katanya, seperti ditegaskan Peguam Negara, pengampunan bersyarat Najib hanya terpakai dalam kes SRC sahaja, manakala kes-kes lain akan dibicarakan seadil-adilnya berdasarkan lunas undang-undang. “Malaysia mesti kekal sebagai negara hukum yang menjunjung integriti dan kebebasan institusi. “Keyakinan terhadap sistem perundangan dan pentadbiran negara adalah antara asas penting untuk memperkukuh kepercayaan rakyat serta mengekalkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang diyakini. “Justeru, seluruh kekuatan harus ditumpukan kepada kestabilan politik dengan meneruskan dokongan kepada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskan agenda reformasi dan pemulihan ekonomi,” katanya. – Info X