Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

September 17, 2026

Info X Reporters

Landasan KKIA ditutup sementara

KOTA KINABALU: Malaysia Airports mengeluarkan nota penutupan sementara landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) bagi melaksanakan kerja pembaikan. Nota itu dikeluarkan menerusi Facebook Malaysia Airports pada kira-kira jam 2 petang tadi, namun tidak dijelaskan bila penutupan itu bermula dan berapa lama ia dilaksanakan. Pihak berkuasa lapangan terbang itu hanya memaklumkan pembukaan semula landasan akan dibuat selepas kerja pembersihan dan pemeriksaan keselamatan selesai. Berikutan penutupan itu, Malaysia Airports menasihatkan penumpang untuk menyemak dengan syarikat penerbangan masing-masing mengenai status dan perkembangan terkini penerbangan. – Info X

September 17, 2026

Info X Reporters

Percikan air lopak cetus pergaduhan dua lelaki

BELURAN: Gara-gara terkena percikan air lopak, seorang lelaki Pakistan dan lelaki tempatan terbabit dalam pergaduhan di Kampung Kubambangan, Paitan, malam tadi. Kejadian kira-kira jam 8 malam itu berlaku selepas kenderaan dipandu lelaki tempatan berkenaan melalui lopak di tepi jalan hingga menyebabkan air terpercik mengenai lelaki Pakistan yang sedang berjalan kaki. Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid berkata, lelaki Pakistan terbabit kemudian menjerit ke arah pemandu berkenaan sebelum berlaku pertengkaran antara mereka. “Orang ramai yang berada di lokasi kemudian meleraikan pergaduhan itu. “Bagaimanapun, lelaki tempatan terbabit mendakwa dia ditumbuk oleh lelaki Pakistan berkenaan ketika pertengkaran berlaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 4.41 pagi tadi selepas rakaman pergaduhan berkenaan tular di media sosial. Hasan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh mengganggu siasatan polis dan ketenteraman awam. Katanya, saksi kejadian diminta tampil di balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mat Kimon di talian 013-9946265 bagi membantu siasatan. – Info X

September 17, 2026

Info X Reporters

17 syarikat ayam Thailand diaudit pastikan produk dihantar ke Sabah halal, selamat

KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah sedang melaksanakan audit terhadap 17 syarikat dan kilang ternakan ayam di Thailand bagi memastikan pematuhan terhadap pensijilan halal, keterjaminan makanan yang bersih dan selamat serta semua prosedur ditetapkan. Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar, berkata beliau berkesempatan mengikuti proses audit yang dilaksanakan DVS di Syarikat Betagro, Thailand, kelmarin. “Proses audit ini penting bagi memastikan syarikat dan kilang yang membekalkan produk ayam ke Sabah mematuhi keperluan ditetapkan, termasuk aspek pensijilan halal serta keterjaminan makanan yang bersih dan selamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. Katanya, syarikat Betagro mempunyai kapasiti melakukan sembelihan secara halal sehingga 600,000 ekor ayam sehari, dengan operasi kilang selama 16 jam. Jamawi berkata, berdasarkan statistik 2025, Sabah mengimport keratan ayam seperti sayap, paha dan dada sebanyak lebih 45 juta kilogram, dengan nilai pasaran kira-kira RM450 juta. “Bagi enam bulan pertama tahun ini pula, purata 200 kontena ayam keratan sejuk beku diimport dari Thailand setiap bulan,” katanya. Beliau berkata, angka itu menunjukkan potensi besar untuk industri ternakan ayam diperbesarkan di Sabah, termasuk melalui pembukaan kawasan baharu bagi penanaman jagung bijirin. Katanya, langkah itu penting bagi membantu mengurangkan kos makanan ternakan ayam pada masa akan datang. “Saya yakin potensi lebih besar untuk ternakan ayam di Sabah diperbesarkan dengan membuka kawasan-kawasan baharu bagi penanaman jagung bijirin untuk mengurangkan kos makanan ternakan ayam kelak. “Satu gerak kerja yang bukan mudah, tetapi insya-Allah boleh dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak,” katanya. Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Tetap III, Shariffah Aznoor Jap; Pengarah DVS, Dr Zul Bahar Abdul Rashid bersama pegawai serta Timbalan Pengurus Besar Lembaga Pemasaran Pertanian Sabah (SAMA), Datuk Shawn Davey. – Info X

September 17, 2026

Info X Reporters

Wujudkan Skim Rebat Elektrik bersasar untuk golongan berpendapatan rendah – Masiung

KOTA KINABALU: Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Sabah, mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan Skim Rebat Elektrik secara bersasar bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah berikutan kenaikan tarif elektrik ketika ini. Pengerusinya, Datuk Masiung Banah, berkata rebat itu wajar diberikan secara bersasar selari dengan kejayaan pelaksanaan BUDI Diesel yang terbukti berkesan. “Kita berharap cadangan ini dapatditerjemahkan menjelang mesyuarat khas, hari ini, bagi meneliti langkah mitigasi susulan kenaikan bil elektrik dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. “BBC berharap skim rebat itu boleh diterima pakai bagi memastikan subsidi elektrik sampai kepada golongan sasar,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan pada Khamis. Masiung berkata, jika mekanisme itu dipersetujui, pengguna domestik terutama penerima STR, eKasih serta kategori B40 dan M40 diberikan rebat automatik antara RM40 hingga RM100 sebulan mengikut penggunaan. Rebat itu katanya, hendaklah dikreditkan terus ke dalam bil elektrik atau secara tunai ke akaun penerima sama seperti pelaksanaan BUDI Diesel bagi memastikan tidak berlaku ketirisan. ADUN Kuamut itu mahu kerajaan mengkaji semula subsidi pukal yang diperkenalkan sebelum ini yang turut dinikmati golongan T20, sektor industri dan premis mewah yang menggunakan elektrik melebihi 600kWh sebulan. “Tidak adil apabila seorang nelayan yang hanya menggunakan satu kipas dan satu lampu rumah terpaksa membayar pada kadar yang sama dengan sebuah kondominium mewah yang menggunakan enam penyaman udara. “Subsidi elektrik wajar melindungi rakyat kurang berkemampuan, bukan turut dinikmati sama rata dengan golongan gaya hidup mewah. “Sudah tiba masanya kerajaan beralih daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar, membantu golongan kurang berkamampuan, manakalal golongan kaya, industri dan permis mewah bayar pada kadar biasa,” katanya. Masiung berharap Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Sabah Electricity dapat menterjemahkan cadangan itu dalam mesyuarat khas langkah mitigasi elektrik bersama Perdana Menteri pada hari ini. – Info X

September 17, 2026

Info X Reporters

BUDI Diesel: Pastikan rakyat akar umbi terima manfaat – Mustapha

KOTA KINABALU: Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta agensi berkaitan digesa bekerjasama dengan struktur kepimipinan akar umbi bagi menyebar maklumat dan membantu rakyat mendapatkan manfaat BUDI Diesel. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata langkah itu sejajar penambahbaikan dilakukan terhadap program BUDI Diesel seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sambutan Hari Malaysia di Kuching pada Rabu. Mustapha berkata, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di Sabah dan rangkaian Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Sarawak boleh digunakan untuk tujuan itu. “Jaringan kepimpinan akar umbi ini berada paling dekat dengan masyarakat dan boleh dimanfaatkan untuk menyampaikan maklumat, mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan serta membimbing rakyat dalam proses semakan kelayakan, permohonan, rayuan dan pemindahan kelayakan BUDI Diesel. “Kita tidak seharusnya bergantung kepada portal dalam talian semata-mata. Realiti geografi Sabah dan Sarawak, khususnya bagi masyarakat luar bandar dan pedalaman, memerlukan pendekatan yang lebih dekat dan bersifat hands-on,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis. Ahli Parlimen Sepanggar itu turut mencadangkan supaya program seperti Kaunter Bergerak BUDI Diesel diperluaskan dengan kerjasama UPPM di Sabah, KMKK dan JKKK di Sarawak, Pejabat Daerah, KPDN serta agensi berkaitan. Pendekatan itu, katanya penting supaya tiada rakyat yang tercicir hanya kerana kurang mendapat maklumat, tidak memahami prosedur permohonan atau menghadapi kekangan akses digital. Katanya, dasar yang baik hanya akan mencapai matlamatnya apabila rakyat di peringkat akar umbi dapat memanfaatkan kemudahan yang disediakan. “Sebagaimana yang telah diusahakan selama ini, maklum balas berkaitan pelaksanaan BUDI Diesel di Sabah dan Sarawak akan sentiasa saya bawakan ke peringkat Mesyuarat Jemaah Menteri agar perkara ini terus mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan,” katanya. Malam tadi, Perdana Menteri mengumumkan penambahbaikan program BUDI Diesel dengan memperluaskan kelayakan penerima, khususnya bagi Sabah dan Sarawak berkuatkuasa serta merta pada 16 September 2026. Mustapha berkata, penambahbaikan itu amat signifikan kepada Sabah dan Sarawak kerana mengambil kira realiti penggunaan kenderaan di kedua-dua wilayah, termasuk amalan kenderaan ‘sambung bayar’, pemilikan beberapa kenderaan diesel dalam sesebuah isi rumah serta kebergantungan yang lebih tinggi terhadap kenderaan jenis jip dan pikap. “Di bawah ketetapan baharu, pemilik berdaftar boleh memindahkan kelayakan BUDI Diesel kepada warganegara Malaysia yang layak dan menjadi pengguna sebenar kenderaan berkenaan. “Pemilik yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan diesel persendirian juga boleh memindahkan kelayakan kepada maksimum tiga individu lain, tertakluk kepada syarat ditetapkan,” katanya. Beliau berkata, penambahbaikan itu adalah bukti Perdana Menteri mendengar suara rakyat Sabah dan Sarawak. – Info X

September 17, 2026

Info X Reporters

Isuzu lancar empat model baharu GIGA Euro 5, tingkat kecekapan pengangkutan

KUALA LUMPUR: Isuzu Malaysia Sdn Bhd (IMSB) memperluaskan rangkaian trak tugas berat GIGA menerusi pelancaran empat model baharu penggerak utama (prime mover) berstandard Euro 5, yang menawarkan prestasi tinggi, kecekapan bahan api dan pelepasan lebih bersih. Pelancaran pada 14 September lalu itu membabitkan model EK5 410T (MT), EK5 410T (AMT), EW5 410 (MT) dan EW5 460 (AMT), sekali gus memenuhi permintaan pasaran terhadap trak yang lebih kukuh dan cekap bagi menyokong operasi pengangkutan muatan berat. Rangkaian GIGA 2026 berkenaan ditawarkan dalam pilihan transmisi manual (MT) dan transmisi manual automatik (AMT), bagi memenuhi keperluan pengendali armada dalam landskap industri logistik yang berdepan peningkatan kos operasi, persaingan pasaran dan peraturan kawalan pencemaran udara. Ketua Pegawai Eksekutif IMSB, Tomoyuki Yamaguchi, berkata pelancaran berkenaan mencerminkan komitmen syarikat untuk membantu pelanggan menangani cabaran operasi menerusi penyelesaian pengangkutan yang berprestasi tinggi dan lebih mampan. “Industri logistik mewakili satu aspek utama dalam ekonomi, namun ia menghadapi pelbagai cabaran baharu seperti peningkatan kos operasi, persaingan pasaran dan peraturan kawalan pencemaran udara. “Pelancaran trak penggerak utama GIGA EURO 5 baharu dan berprestasi tinggi ini merupakan respons kami untuk membantu para pelanggan mengatasi cabaran-cabaran tersebut demi perniagaan mereka,” katanya. Beliau berkata, Isuzu sebagai pengeluar trak global komited untuk terus mencipta nilai baharu dalam sektor pengangkutan menerusi penyelesaian inovatif yang menyokong perniagaan, memperkayakan masyarakat dan memelihara alam sekitar. Enjin 11 liter, teknologi SCR Semua model penggerak utama GIGA baharu dilengkapi enjin diesel Blue Power GH11 berstandard pelepasan Euro 5, yang mempunyai kapasiti 11 liter dan enam silinder. Enjin tugas berat berkenaan direka untuk menghasilkan kuasa tinggi, kecekapan bahan api serta tork dalam julat revolusi yang luas, selain disokong tangki bahan api berkapasiti 405 liter. Model transmisi manual (MT) dilengkapi kotak gear sembilan kelajuan, manakala varian transmisi manual automatik (AMT) menggunakan kotak gear 12 kelajuan. Antara ciri utama rangkaian berkenaan ialah penggunaan teknologi Selective Catalytic Reduction System (SCR), yang membantu mengurangkan pelepasan nitrogen oksida dan menyumbang kepada perlindungan alam sekitar. Teknologi itu turut menyokong kecekapan bahan api, kos pemilikan jangka panjang yang lebih rendah serta keperluan penyelenggaraan yang dikatakan lebih rendah. Cecair ekzos diesel AdBlue yang digunakan bersama teknologi SCR juga disediakan di pusat servis Isuzu di seluruh negara. Ciri keselamatan dipertingkatkan Dari aspek keselamatan, trak penggerak utama Isuzu GIGA baharu dilengkapi beg udara SRS dan tali pinggang keledar dengan pretensioner bagi memberikan perlindungan tambahan kepada pemandu. Sistem Brek Antikunci (ABS) dan Pengagihan Daya Brek Elektronik (EBD) pula berfungsi bersama untuk mengagihkan daya brek secara automatik kepada semua roda, berdasarkan berat muatan, keadaan jalan dan kelajuan kenderaan. Bagi model EK5 410T (AMT) dan EW5 460 (AMT), ciri Kawalan Kestabilan Kenderaan Elektronik (EVSC) disediakan sebagai sebahagian daripada sistem keselamatan aktif. Sistem itu memantau input stereng dan kelajuan roda bagi membantu mengelakkan kejadian terguling, tergelincir serta kehilangan kawalan, termasuk dengan mengurangkan kuasa enjin secara automatik dan mengaktifkan brek individu untuk menstabilkan kenderaan ketika pemanduan kritikal atau di jalan licin. Kabin utamakan keselesaan pemandu Selain prestasi dan keselamatan, reka bentuk kabin GIGA baharu memberi tumpuan kepada keselesaan pemandu menerusi ruang yang luas serta susun atur papan pemuka yang memudahkan pengendalian. Kelompok instrumen menyediakan maklumat masa nyata bagi membantu pemandu membuat keputusan berkaitan keselamatan dan kecekapan pemanduan, manakala reka bentuknya membolehkan maklumat difahami dengan lebih mudah dan pantas. Trak itu turut dilengkapi sistem navigasi 2DIN AV dengan skrin sentuh tujuh inci serta pelbagai ciri multimedia, termasuk Apple CarPlay, Android Auto melalui sambungan berwayar dan tanpa wayar, Bluetooth bebas tangan, port USB dan radio FM. Keselesaan pemandu dipertingkatkan menerusi sistem suspensi kabin berasaskan udara di bahagian bawah, yang menggunakan beg udara termampat di bahagian belakang kabin untuk menyerap getaran casis dan impak jalan. Ciri berkenaan membantu mengurangkan keletihan pemandu, selain meningkatkan keselesaan dan kestabilan ketika perjalanan. Trak penggerak utama GIGA baharu kini dibuka untuk tempahan di 46 cawangan pengedar sah Isuzu di seluruh Malaysia. Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman web rasmi Isuzu di www.isuzu.net.my atau dengan menghubungi talian 1-300-88-1133 bagi mendapatkan maklumat berkaitan penyelesaian trak yang ditawarkan.-Info X

September 17, 2026

Info X Reporters

Sorok senjata tajam di pinggang, warga asing ditahan

TAWAU: Perselisihan faham dua lelaki di hadapan sebuah pasar raya membawa kepada penemuan senjata tajam yang disembunyikan di pinggang seorang warga asing di Jalan Dunlop, di sini, semalam. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek berusia 30-an itu ditahan anggota Rondaan BIT Balai Polis Tawau kira-kira jam 1.30 petang. Katanya, anggota bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat mengenai perselisihan faham membabitkan dua lelaki. “Pemeriksaan terhadap lelaki pertama tidak menemukan sebarang barang menyalahi undang-undang. “Bagaimanapun, pemeriksaan terhadap lelaki kedua menemukan senjata tajam menyerupai pisau atau parang pendek berserta sarung kayu yang disembunyikan di bahagian belakang pinggangnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Rosdi berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. Menurutnya, polis merampas senjata tajam berukuran kira-kira 19 sentimeter bersama sarungnya, selain pakaian yang digunakan suspek untuk siasatan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. Beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memiliki atau membawa senjata berbahaya tanpa alasan sah. Katanya, tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan ketenteraman awam dan keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara. “Orang ramai turut dinasihatkan supaya segera menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengetahui atau mengesan sebarang kegiatan mencurigakan,” katanya. – Info X

September 17, 2026

Info X Reporters

PPM, SPRM bongkar penyeludupan rokok RM4.89 juta

SANDAKAN: Cubaan menyeludup 3.55 juta batang rokok tidak bercukai dari negara jiran tumpas dalam dua serbuan di Sungai Seguntur, di sini, membabitkan rampasan keseluruhan bernilai RM4.89 juta. Operasi Bersepadu Khas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 45 tahun. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah jeti tidak berdaftar kira-kira jam 1.30 pagi, 15 September lalu, hasil maklumat dan risikan. Katanya, pemeriksaan menemukan 1.82 juta batang rokok tidak bercukai pelbagai jenama yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran. “Pasukan turut menyita sebuah lori tiga tan, bot laju berukuran 9.1 meter panjang dan tiga meter lebar serta tiga enjin sangkut Yamaha 200 kuasa kuda. “Nilai keseluruhan rampasan pertama dianggarkan RM2.564 juta,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, maklumat susulan hasil tangkapan itu membawa pasukan ke sebuah lagi bot laju yang disembunyikan di celah pokok bakau di sungai sama. “Pemeriksaan bot berkenaan menemukan 1.73 juta batang rokok tidak bercukai pelbagai jenama. “Bot yang dilengkapi tiga enjin sangkut Yamaha 200 kuasa kuda itu bersama muatannya disita dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM2.326 juta,” katanya. Ahmad Amri berkata, kedua-dua bot dan semua barangan rampasan dibawa ke Jeti Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut. Dalam operasi berasingan sehari sebelumnya, beliau berkata, PPM Wilayah 4 Sabah menyerbu sebuah gudang tidak bernombor di Kampung Dambai, Jalan Tuaran Bypass, Kota Kinabalu. “Serbuan itu menemukan 43,200 tin minuman keras disyaki tidak bercukai bernilai RM478,506, sekali gus menjadikan keseluruhan rampasan dalam ketiga-tiga serbuan berjumlah RM5.36 juta. “Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya. Untuk rekod, sejak Januari hingga 15 September lalu, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 61 kes mengikut Akta Kastam 1967 dengan nilai rampasan RM8.38 juta serta 40 tangkapan. – Info X