Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

April 25, 2026

Info X Reporters

Seludup arak gagal, 7 PATI ditahan di Semporna

SEMPORNA: Cubaan menyeludup minuman keras tidak bercukai gagal apabila Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menahan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan di perairan Pulau Bohayen, pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, sepasukan anggota PPM yang menjalankan operasi risikan berjaya memintas bot berkenaan di perairan Pulau Bohayen. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Polis Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pemeriksaan lanjut menemukan enam kotak berisi 144 botol minuman keras jenis Tanduay Rhum Dark. “Semua minuman keras itu dipercayai baru dibawa masuk dari negara jiran dengan nilai rampasan dianggarkan RM51,320. “Juragan bot bersama seorang lagi individu turut ditahan bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan hari ini. Dalam operasi berasingan pada hari sama, katanya PPM Semporna bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Semporna menahan sebuah lagi bot di perairan Pulau Boheyan. Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat tujuh individu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah. “Semua mereka mengaku berasal dari negara jiran dan dipercayai cuba memasuki Malaysia secara haram. “Semua individu terbabit termasuk juragan bot ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya. Ahmad berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiat operasi pemantauan dan penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti penyeludupan serta kemasukan PATI di perairan negeri ini. – Info X

April 25, 2026

Info X Reporters

Kerjasama rentas negara diperkasa, PPM – Polairud tumpu ancaman di laut

TAWAU: Program Rendezvous (RV) antara Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dan Polairud Polda Kalimantan Utara memperkukuh kerjasama keselamatan di perairan sempadan Malaysia – Indonesia, khususnya di sekitar perairan Tawau dan Sungai Nyamuk, pada 22 April lalu. Program itu menyaksikan Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Polis (ACP) Ahmad Amri Abd Rahman mengetuai delegasi bersama pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah. Delegasi Polairud Polda Kalimantan Utara pula diketuai Direktur Polairud, Komisaris Besar Polisi (KBP) Tidar Wulung Dahono bersama lima pegawai. Pertemuan dua hala itu bertujuan memperkukuh hubungan strategik serta meneruskan kesinambungan kerjasama yang dipersetujui dalam program sama sebelum ini. Antara fokus utama adalah memperkasa operasi bersama dan perkongsian maklumat risikan antara kedua-dua agensi, selain memastikan setiap perancangan dapat dipertingkat ke tahap lebih tinggi untuk tindakan susulan. Kedua-dua pihak turut sepakat untuk meneruskan perbincangan secara berkala sama ada bersemuka atau melalui komunikasi maya bagi memastikan kerjasama terus relevan dan berkesan. Program itu juga dilihat penting dalam menangani jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan kontraban, dadah serta barangan kawalan yang sering menjadi ancaman di perairan kedua-dua negara. Selain itu, kehadiran pegawai Cawangan Khas dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Tawau turut memperkukuh jaringan perkongsian risikan keselamatan antara Malaysia dan Indonesia. PPM Wilayah 4 Sabah menegaskan komitmen berterusan dalam memperkasa kerjasama antarabangsa bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara. – Info X

April 25, 2026

Info X Reporters

Padah memandu mabuk, lelaki ditahan Op Mabuk di Penampang

PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk yang dijalankan di Jalan Penampang berhampiran SMK Bahang, awal pagi tadi. Dalam operasi itu, lelaki berkenaan ditahan selepas didapati memandu melebihi had kandungan alkohol yang ditetapkan. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, suspek ditahan di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. “Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dipenjara sehingga dua tahun dan didenda antara RM10,000 hingga RM30,000 selain hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini. Menurutnya, dalam operasi sama, pihak polis turut mengeluarkan tiga saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas. “Seramai 53 individu dan 48 kenderaan diperiksa sepanjang operasi dijalankan,” katanya. Beliau berkata, operasi itu diketuai Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Penampang, Inspektor Rozami Ahmad bersama enam anggota. Katanya, Op Mabuk dijalankan secara berterusan bagi memantau tahap pematuhan pengguna jalan raya terhadap undang-undang serta memastikan keselamatan semua pihak di jalan raya. – Info X

April 25, 2026

Info X Reporters

Cuaca panas tingkatkan risiko kebakaran, bomba ingatkan penduduk lebih waspada

KOTA KINABALU: Penduduk khususnya di sekitar daerah ini yang tinggal berhampiran kawasan hutan, belukar dan padang lalang diminta meningkatkan kesiapsiagaan susulan cuaca panas dan kering yang meningkatkan risiko kebakaran terbuka. Ketua Zon Kota Kinabalu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, PgKB I Johari Dzulkifli berkata, keadaan cuaca panas serta berangin ketika ini boleh menyebabkan api merebak dengan cepat, terutama di kawasan dipenuhi rumput kering dan bahan mudah terbakar. “Api kecil boleh bertukar menjadi kebakaran besar dalam masa singkat jika tidak dikawal, lebih-lebih lagi di kawasan berhampiran kediaman. “Sebagai langkah pencegahan, penduduk digesa membersihkan kawasan sekitar rumah daripada lalang, rumput panjang dan dahan kering yang boleh menjadi punca api merebak ke struktur bangunan,” katanya ketika ditemui pada Program Bersama Bomba di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, hari ini. Kira-kira 200 pengunjung hadir pada program berkenaan terdiri daripada Skuad Bomba, Bomba Komuniti, Pasukan Bomba Sukarela serta orang awam. Menurutnya, orang ramai juga diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka termasuk membakar sampah atau sisa kebun tanpa kawalan. “Pastikan juga peralatan elektrik dimatikan apabila tidak digunakan bagi mengelakkan litar pintas, terutama ketika suhu persekitaran tinggi,” katanya. Dalam masa sama, beliau menggalakkan penduduk menyediakan sumber air tambahan atau alat pemadam api sebagai persediaan awal menghadapi sebarang kecemasan. Johari turut menegaskan, orang ramai perlu segera menghubungi talian kecemasan 999 sekiranya mengesan asap atau kebakaran kecil di kawasan berhampiran. “Laporan awal sangat penting bagi membolehkan tindakan pantas diambil sebelum api merebak ke kawasan kediaman,” katanya. Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya memantau aktiviti anak-anak agar tidak bermain dengan mancis atau pemetik api di kawasan kering yang mudah terbakar. – Info X

April 25, 2026

Info X Reporters

Datuk Seri Abdul Halim Aman dilantik KP SPRM baharu

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdul Halim Aman dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu berkuat kuasa 13 Mei ini. Pelantikan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan selaras dengan subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694). Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam kenyataan hari ini memaklumkan, cadangan pelantikan itu dipersembahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Yang di-Pertuan Agong semalam. Menurutnya, kerajaan yakin Abdul Halim yang mempunyai pengalaman luas serta integriti tinggi mampu memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap usaha membanteras rasuah. “Pelantikan ini juga diyakini dapat memperhebat agenda pembanterasan rasuah demi kepentingan negara,” katanya. Beliau menggantikan Tan Sri Azam Baki yang tamat kontrak pada 12 Mei ini. Abdul Halim dijangka menggalas tanggungjawab besar dalam memastikan usaha memerangi rasuah terus diperkasa dan dilaksanakan secara berkesan. Semalam, Sultan Ibrahim bertitah akan memilih Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi menerajui suruhanjaya berkenaan. Baginda bertitah, jawatan berkenan amat penting dalam memastikan SPRM terus berperanan secara berkesan sebagai institusi utama negara dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. – Info X

April 25, 2026

Info X Reporters

Latihan helikopter altitud tinggi di Gunung Kinabalu uji kesiapsiagaan misi SAR

KOTA KINABALU: Keupayaan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan gunung dan berketinggian tinggi terus diperkukuh apabila Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan latihan penerbangan khas di sekitar Gunung Kinabalu, bermula 20 April dan berakhir semalam. TUDM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan latihan dikenali sebagai ‘Gayo Ngaran’ Siri 1/26 itu membabitkan dua helikopter jenis Eurocopter EC725 Caracal milik No. 5 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan. Latihan ini membabitkan dua helikopter EC 725 AP dan diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohd Asmil Faiq Adnan TUDM. Latihan ini memberi fokus kepada operasi di altitud tinggi, iaitu kawasan melebihi 10,000 kaki dari aras laut yang mempunyai cabaran tersendiri seperti udara nipis (kurang oksigen), suhu lebih rendah serta kesan kepada fizikal anggota dan prestasi pesawat. Pelaksanaan latihan itu juga mengambil pengajaran daripada dua insiden besar iaitu tragedi Low’s Gully pada 1994 dan gempa bumi Sabah pada 5 Jun 2015, yang memerlukan operasi menyelamat dalam keadaan mencabar di kawasan gunung. Sepanjang latihan, pelbagai prosedur operasi dipertingkat termasuk penggunaan peralatan sokongan pernafasan bagi membantu anggota berfungsi dengan lebih baik di kawasan kurang oksigen. Selain itu, latihan turut melibatkan simulasi kecemasan seperti perubahan tekanan udara secara tiba-tiba (rapid decompression) bagi memastikan anggota bersedia menghadapi situasi luar jangka. Keupayaan helikopter juga diuji dalam keadaan ekstrem termasuk kemampuan membawa beban lebih 1,000 paun dari lokasi strategik berhampiran puncak seperti Panalaban. Seramai 16 anak kapal, 12 juruteknik, empat anggota pasukan penyelamat udara (Combat Air Rescue) serta tiga anggota perubatan turut terlibat dalam latihan berkenaan. Latihan ini memastikan kesiapsiagaan aset dan anggota sentiasa berada pada tahap tinggi, khususnya dalam melaksanakan misi pemindahan mangsa dan bantuan kecemasan di kawasan sukar diakses seperti pergunungan. – Info X

April 24, 2026

Info X Reporters

Edar 22 kg syabu, pekerja restoran dipenjara seumur hidup

KOTA KINABALU: Seorang pekerja restoran dipenjara seumur hidup selepas didapati bersalah mengedar 22,053.8 gram dadah jenis syabu, empat tahun lalu. Tertuduh, Low Siew Yuen, 54, bagaimanapun dikecualikan daripada hukuman sebatan atas faktor usia. Hukuman itu dijatuhkan Hakim Datuk Celestina Stuel Galid pada prosiding di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, di sini, hari ini. Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Inanam pada 4 Januari 2022. Low disabitkan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah, jika tidak dihukum mati, disebat tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan. Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil seramai 10 saksi, manakala tertuduh yang diwakili peguam Rupilin Alik adalah satu-satunya saksi pembelaan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Dana Arabi Wazani. – Info X

April 24, 2026

Info X Reporters

Peruntukan segera RM300,000 bina semula titian Kampung Selamat Lok Urai

PUTRAJAYA: Kerajaan meluluskan peruntukan khas sebanyak RM300,000 bagi membina semula titian di Kampung Selamat Lok Urai, Pulau Gaya, Sabah, susulan insiden runtuhan yang membahayakan keselamatan penduduk. Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat dan Media Jabatan Perdana Menteri, peruntukan itu telah diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai langkah segera bagi memastikan keselamatan penduduk setempat terus terjamin. Kenyataan itu memaklumkan, kejadian pada 22 Mac lalu yang menyebabkan beberapa penduduk terjatuh ke laut ketika kunjungan Aidilfitri menuntut tindakan pantas bagi mengelakkan risiko berulang. “Peruntukan yang diluluskan ini akan digunakan sepenuhnya untuk membina semula titian pejalan kaki yang lebih kukuh dan selamat, sekali gus menggantikan struktur lama yang sudah uzur dan berisiko,” menurut kenyataan itu hari ini. Tambah kenyataan itu, keputusan pantas berkenaan mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kesulitan yang dihadapi penduduk serta keutamaan terhadap aspek keselamatan awam. Dalam pada itu, pelaksanaan projek berkenaan akan dipantau oleh Jabatan Perdana Menteri menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Sabah bagi memastikan ia dapat disiapkan dalam tempoh segera. Langkah tersebut selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menitikberatkan nilai ihsan, kesejahteraan dan pembangunan infrastruktur inklusif, khususnya di kawasan penempatan pesisir yang bergantung kepada kemudahan titian sebagai laluan utama harian. – Info X