Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

April 16, 2026

Info X Reporters

Penunggang maut motosikal bergesel kereta memotong di garisan berkembar

RANAU: Seorang penunggang motosikal maut selepas bergesel dengan sebuah kereta yang memotong di garisan berkembar sebelum terperosok di bawah sebuah lori dalam kejadian di Jalan Ranau – Kota Belud, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, mangsa lelaki berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah. Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta Perodua Axia yang dipandu wanita memotong di garisan berkembar. “Ketika memotong, kenderaan berkenaan bergesel dengan motosikal yang berada di lorong bertentangan sebelum mangsa hilang kawalan. “Mangsa kemudian terbabas dan terperosok di bawah sebuah lori yang berada di laluan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, pemandu kereta dan pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian berkenaan. “Hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada tindakan pemandu kereta berkenaan yang memotong di garisan berkembar. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika memandu dan tidak melakukan tindakan berisiko seperti memotong di garisan berkembar yang boleh mengundang bahaya. – Info X

April 16, 2026

Info X Reporters

Lahad Datu lokasi pelancaran roket, satelit Asia Tenggara

LAHAD DATU: Lahad Datu berpotensi tinggi dijadikan sebagai lokasi strategik tapak pelancaran roket atau satelit di rantau Asia Tenggara. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata jika tiada halangan, perkara itu dijangka direalisasikan dalam beberapa tahun akan datang. “InsyaAllah dalam beberapa tahun akan datang, kalau tiada aral melintang, Lahad Datu inilah yang terbaik untuk dijadikan pusat pelancaran roket satelit dari Asia Tenggara. “Jadi ini berlaku dalam dua tiga tahun akan datang, Lahad Datu akan dikunjungi oleh ramai pelancong termasuk saintis-saintis angkasa akan datang ke daerah ini. “Ini sudah pasti akan menjadi pemangkin ekonomi kepada Lahad Datu,” katanya pada Majlis Kesyukuran dan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2026 Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan di Dewan Sri Perdana Lahad Datu, di sini, pada Khamis. Beliau berkata, Lahad Datu adalah daerah paling seuai sebagai tapak pelancaran roket atau satelit berdasarkan kajian akhir yang dibuat oleh kerajaan negeri dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia. “Banyak negeri yang melobi untuk jadi tempat ini (tapak pelancaran satelit), tetapi petunjuk atau kajian mendapati Lahad Datu adalah tempat yang paling sesuai untuk projek ini,” katanya. Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri bukan saja akan terus membawa pembangunan di Lahad Datu, tetapi juga kesejahteraan rakyatnya. “Saya sebenarnya mempunyai keinginan beberapa kali untuk melawat Lahad Datu, terutama sebelum pilihan raya lalu. “Tapi, disebabkan beberapa keadaan yang tidak dapatdielakkan, saya tidak dapat berkempen di sini. “Tidak apa, kita ada lagi pilihan raya Parlimen tahun depan. Apa yang penting, saya mahu rakyat kita di sini bersatu hati, pilih parti kerajaan untuk kebaikan kita. “Sebab kerajaan negeri sekarang ini telahpun melakukan yang terbaikuntuk rakyat dan negeri Sabah. Kita ada hala tuju yang jelas untuk rakyat dan banyak yang berjaya kita buat di negeri ini,” katanya. Atas sebab itu, Hajiji meminta rakyat tidak mendengar fitnah ditabur pihak yang tidak bertanggungjawab. “Sebagai umat Islam kita mesti berpegang lepada kebaikan dan kebenaran. Apa yang dibuat oleh kerajaan mesti dinyatakan kepada rakyat. “Saya minta juga agar rakyat tidak mudah percaya dengan segala tuduhan, tohmahan dan fitnah yang pastinya akan merugikan kita sendiri,” katanya. – Info X

April 16, 2026

Info X Reporters

Wanita disamun di dobi, suspek ditahan hari sama

KOTA KINABALU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun bagi membantu siasatan kes samun yang menyebabkan seorang wanita cedera dalam kejadian di sebuah premis dobi di Alamesra, di sini, semalam. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, suspek ditahan di kawasan Inanam pada hari sama kejadian selepas risikan dijalankan. “Kejadian samun berkenaan berlaku semalam dan mendapat perhatian ramai selepas video insiden itu tular di media sosial. “Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, pihak polis komited memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara dan akan terus mempergiat rondaan pencegahan jenayah di kawasan terlibat. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya. Beliau turut mengingatkan orang awam supaya tidak menyebarkan sebarang kenyataan tidak sahih atau kandungan mengelirukan di media sosial kerana tindakan tegas boleh diambil terhadap pihak yang berbuat demikian. Terdahulu, tular video memaparkan seorang wanita yang juga penuntut sebuah kolej disamun dalam kejadian di Alamesra. – Info X

April 16, 2026

Info X Reporters

Pegawai ladang didenda RM48,000 miliki haiwan dilindungi

SANDAKAN: Seorang pegawai ladang didenda RM48,000 selepas mengaku bersalah memiliki haiwan spesies dilindungi ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Sandakan, pada Khamis. Tertuduh, Hendry Rayner Endim, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan mengikut Seksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Roslinda Razali. Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki tiga bangkai ular sawa pendek (blood python), seekor ular sawa panjang (reticulated python), seekor bangkai musang dari spesies malay civet dan dua bangkai musang common palm civet. Semua haiwan itu adalah spesis yang dilindungi di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan memiliki haiwan dilindungi itu pada jam 2.10 petang, 24 Mei 2025 di jalan utama Paitan – Kanibongan kerana tidak mempunyai sebarang kebenaran sah di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997. Seksyen 41(2) enakmen sama memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM30,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya sekali. Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM48,000 atau penjara enam bulan jika tertuduh gagal membayarnya. Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Jabatan Hidupan Liar (JHL), Primus Lambut, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X

April 16, 2026

Info X Reporters

Waspada suhu sangat rendah di puncak Kinabalu – TTS

KOTA KINABALU: Taman-Taman Sabah (TTS) mengingatkan pendaki Gunung Kinabalu, termasuk malim gunung, porter dan petugas, khususnya yang berada berdekatan puncak di Panalaban supaya mengambil langkah sesuai berdepan suhu sejuk yang boleh mencapai tahap beku. Peringatan itu berikutan penemuan ais di sekitar Panalaban pada pagi Khamis, berpunca daripada suhu sangat rendah di kawasan itu. Menerusi satu perkongsian di Facebook Taman-Taman Sabah, pihak bertanggungjawab terhadap pengurusan Taman Kinabalu itu mengingatkan pendaki supaya memakai pakaian yang bersesuaian dengan cuaca sejuk, mengekalkan tahap hidrasi badan dan mematuhi arahan keselamatan pihak pengurusan dan petugas Taman-Taman Sabah. “Pihak Taman-Taman Sabah akan terus memantau perkembangan cuaca dan suhu di kawasan altitud tinggi bagi memastikan keselamatan pengunjung dan petugas sentiasa terjamin,” katanya. Taman-Taman Sabah mengesahkan berlaku pembentukan ais direkodkan di Substesen Panalaban, Taman Kinabalu yang berpunca daripada suhu sangat rendah pada Khamis. “Dimaklumkan bahawa satu kejadian pembekuan ais telah direkodkan pada 16 April 2026 di kawasan Substesen Panalaban, Taman Kinabalu, pada ketinggian kira-kira 3,272.7 meter dari aras laut. “Fenomena ini berlaku susulan keadaan cuaca kering dan kelembapan udara yang rendah di kawasan Gunung Kinabalu sepanjang minggu ini. “Keadaan tersebut menyebabkan penurunan suhu yang ketara di kawasan altitud tinggi, lalu mengakibatkan pembentukan ais pada permukaan tumbuhan dan persekitaran base camp Panalaban,” katanya. Taman-Taman Sabah berkata, pembentukan ais adalah fenomena semula jadi yang lazim berlaku secara berkala di kawasan altitud tinggi Gunung Kinabalu, terutama ketika cuaca cerah, kering dan suhu menurun dengan ketara pada waktu malam hingga awal pagi. – Info X

April 16, 2026

Info X Reporters

Sorok dadah dalam tin makanan, hantar ke Sabah guna kurier

KUALA LUMPUR: Taktik licik sindiket dadah menyembunyikan bahan terlarang dalam tin makanan sebelum dihantar ke Sabah menggunakan perkhidmatan kurier terbongkar dalam operasi besar-besaran Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN). Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kegiatan itu dikesan menerusi Op Icerya hasil kerjasama risikan antara agensi sebelum tiga siri serbuan dilancarkan di sekitar Seri Kembangan dan Bukit Jalil. “Dalam operasi ini, lima individu ditahan membabitkan seorang lelaki tempatan serta empat warga asing. “Polis turut merampas 61 kilogram methamphetamine bernilai kira-kira RM3.05 juta selain menyita harta berjumlah RM79,000,” katanya dalam sidang media, hari ini. Menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai menggunakan taktik menyembunyikan dadah dalam tin makanan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa sebelum dihantar ke Sabah melalui perkhidmatan kurier. Beliau berkata, operasi itu antara empat gerak gempur bersepadu dijalankan JSJN di Selangor, Kuala Lumpur, Kedah dan Perlis yang berjaya menumpaskan sindiket tempatan serta antarabangsa. Dalam Op Hemiptera, dua lelaki tempatan yang berperanan sebagai ‘transporter’ dan penjaga stor ditahan selepas sindiket dikesan menjadikan kenderaan sebagai stor bergerak. “Rampasan membabitkan 616.12 kilogram methamphetamine, 6.4 kilogram pil Erimin 5 serta 0.8 liter fentanyl dengan nilai keseluruhan RM31.57 juta,” katanya. Sementara itu, Op Langka menyaksikan 231 serbuan dilakukan dengan 191 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah termasuk membabitkan warga tempatan dan asing. Dalam Op Conops pula, tujuh individu ditahan selepas sindiket dikesan menggunakan kondominium sebagai pusat pembungkusan dan penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke dalam serta luar negara. “Rampasan melibatkan 170.74 kilogram bunga ganja dan 7.04 kilogram ganja bernilai RM13.68 juta,” katanya. Hussein berkata, keseluruhan operasi berkenaan mencatatkan jumlah rampasan dan sitaan mencecah RM49.2 juta. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika disabitkan kesalahan. Beliau menegaskan JSJN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah dan orang ramai diminta menyalurkan maklumat melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222. – Info X

April 16, 2026

Info X Reporters

8 rumah terbakar di Kudat, seorang lelaki melecur

KUDAT: Lapan rumah terjejas dalam kebakaran di Kampung Gumpa, di sini, pagi tadi dengan seorang lelaki berusia 46 tahun melecur di bahagian bahu belakang. Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, lima rumah separuh kekal terbakar 90 peratus, dua rumah tidak kekal musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi rumah jenis kekal hanya terbakar 10 peratus. Kebakaran turut melibatkan sebuah kereta Proton Satria dan dua motosikal yang musnah sepenuhnya. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Darikson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.38 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi. “Setiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan lapan rumah sebelum segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran dan tiga pancutan, dengan sumber air daripada jentera serta pili bomba berhampiran. “Terdapat seorang lelaki melecur di bahagian bahu belakang dan telah diberi rawatan awal oleh pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, kebakaran dapat dikawal pada jam 11.47 pagi dan tamat sepenuhnya jam 2.15 petang. “Operasi melibatkan 25 anggota. Ia turut dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Air Kudat, Polis Diraja Malaysia dan Sabah Electricity. “‎Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X

April 16, 2026

Info X Reporters

ADUN Warisan nafi terima peruntukan kerajaan

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan pada Khamis menafikan dakwaan yang mengatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili parti itu menerima peruntukan kerajaan. Menerusi satu kenyataan bersama, tujuh ADUN Warisan dari sekitar Kota Kinabalu, berkata mereka memandang serius penyebaran perkara tidak benar itu yang semakin berleluasa. “Kebelakangan ini, kami memandang serius penyebaran berita palsu yang semakin berleluasa dan secara terancang menyasarkan ADUN Parti Warisan, khususnya di kawasan bandar. “Terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa kononnya ADUN Warisan turut menerima peruntukan daripada kerajaan. “Kami dengan tegas menyatakan bahawa dakwaan tersebut adalah fitnah dan pembohongan yang disengajakan. ADUN Parti Warisan tidak menerima sebarang peruntukan seperti yang digembar-gemburkan. “Penyebaran maklumat palsu ini jelas merupakan satu taktik kotor dan berniat jahat untuk menghasut rakyat, menimbulkan kemarahan terhadap wakil rakyat pembangkang, serta mencemarkan reputasi kami. “Ia turut disebarkan secara aktif dalam kumpulan penduduk dan platform media sosial termasuk Facebook bagi mempengaruhi persepsi awam,” kata mereka. Tujuh ADUN Warisan dalam kenyataan bersama itu ialah Azhar Matussin (Darau), Edna Majimbun (Inanam), Tham Yun Fook (Likas), Loi Kok Liang (Api-Api), Samuel Wong (Luyang), Datuk Junz Wong (Tanjung Aru) dan ADUN Kapayan, Chin Tek Ming. Berikutan itu, mereka memberi amaran keras kepada pihak yang terlibat agar menghentikan segera penyebaran fitnah berkenaan. “Tindakan menyebarkan berita palsu bukan saja tidak beretika, malah boleh dikenakan tindakan undang-undang. “ADUN Warisan akan terus berkhidmat kepada rakyat dengan penuh komitmen, integriti dan tanggungjawab, walaupun tanpa sebarang peruntukan daripada kerajaan. “Kami tidak akan tunduk kepada politik kotor yang cuba melemahkan kepercayaan rakyat terhadap kami,” katanya. Dalam masa sama, katanya mereka juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu atau pihak yang terus menyebarkan fitnah dan maklumat palsu terhadap mereka. Mereka berkata, rakyat perlu lebih bijak menilai maklumat dan tidak mudah terpedaya dengan propaganda yang berniat jahat. – Info X