February 23, 2026
Info X Reporters
4,348 mangsa banjir masih di PPS di Pitas, Paitan, Tawau
KOTA KINABALU: Seramai 4,348 mangsa banjir masih berlindung di Pusat Pemindahan Sementara di dua daerah utara Sabah dan Tawau, setakat pagi Isnin. Daerah Pitas kekal seramai 2,618 mangsa daripada 1,276 keluarga, diikuti Paitan yang menunjukkan peningkatan mangsa kepada 1,485 orang daripada 443 keluarga dan Tawau kekal seramai 245 orang daripada 55 keluarga. Mereka ditempatkan di 32 PPS, masing-masing 11 PPS di Pitas, 20 di Paitan dan satu PPS di Tawau. Selain di tiga daerah terbabit, banjir turut dilaporkan berlaku di Beaufort sejak Ahad berikutan limpahan air Sungai Padas, namun belum ada laporan pemindahan mangsa setakat ini. – Info X
February 23, 2026
Info X Reporters
Kuarters Klinik Kesihatan Tongod musnah terbakar
TONGOD: Dua unit kuarters Klinik Kesihatan Tongod musnah dalam kebakaran awal pagi tadi, namun tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian berkenaan. Dalam kejadian itu, sebuah rumah kuarters dua pintu jenis separuh kekal berkeluasan kira-kira 223 meter persegi dilaporkan terbakar 100 peratus, manakala sebuah lagi rumah jenis tidak kekal dengan keluasan sama terbakar 20 peratus. Turut terjejas sebuah kenderaan jenis Isuzu D-Max yang mengalami kerosakan kira-kira 10 peratus akibat bahang kebakaran. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan, Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.40 pagi sebelum menggerakkan enam anggota bersama dua jentera ke lokasi sejauh 172 kilometer dari balai. Katanya, jentera tiba pada jam 6.30 pagi dan kebakaran berjaya dikawal 18 minit kemudian. “Operasi pemadaman turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saguon Tongod yang menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 91 meter dengan satu pancutan menggunakan pam angkut serta sumber air daripada pili bomba berhampiran. “Pasukan BBP Kota Kinabatangan pula menggunakan satu aliran salur bantu mula bagi mengawal dan memadam kebakaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terlibat dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.58 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian. “Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X
February 23, 2026
Info X Reporters
Semua balai bomba Sabah giat laksana rondaan susulan gempa 6.8 magnitud
KOTA KINABALU: Semua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di negeri ini melaksanakan rondaan serta pemantauan di kawasan jagaan masing-masing susulan gempa bumi bermagnitud 6.8 yang menggegarkan perairan Kota Kinabalu, tengah malam tadi. Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan setakat ini tiada sebarang panggilan kecemasan diterima berkaitan kejadian berkenaan. Menurut kenyataan itu, langkah rondaan dijalankan sebagai tindakan awal bagi memastikan keselamatan orang awam serta keadaan persekitaran kekal selamat dan terkawal. “Di Kota Kinabalu, anggota BBP Kota Kinabalu membuat rondaan di kawasan tepi laut berhampiran Sabah International Convention Centre (SICC) bagi memantau sebarang kemungkinan kejadian susulan. “Di Kudat, pasukan bomba menjalankan pemantauan di kawasan perumahan PPR Taman Ehsan serta sekitar pesisir Pantai Bak-Bak, manakala keadaan di pekan Kudat dilaporkan normal,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, BBP Putatan turut melaksanakan rondaan di sekitar pesisir Pantai Lok Kawi dan Taman Teluk Villa sebagai langkah berjaga-jaga. “Pasukan BBP Kota Belud membuat rondaan di Pantai Kampung Buah Pandai bagi memastikan tiada insiden tidak diingini berlaku. “Setakat ini, tiada laporan kerosakan atau kecederaan diterima dan keadaan di semua lokasi yang dipantau berada dalam keadaan terkawal,” katanya. Terdahulu, gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 dilaporkan berlaku pada jam 12.57 tengah malam di perairan Kota Kinabalu, kira-kira 49 kilometer barat Kudat dengan kedalaman 678 kilometer. Gegaran dirasai di beberapa kawasan di Pantai Barat Sabah serta sebahagian Sarawak, namun tiada ancaman tsunami dikeluarkan. – Info X
February 23, 2026
Info X Reporters
‘Rasa macam kena ayun’ – Gempa 6.8 magnitud gegar Pantai Barat Sabah
KOTA KINABALU: Penduduk di sekitar Pantai Barat Sabah dikejutkan dengan gegaran kuat selama kira-kira 10 saat susulan gempa bumi bermagnitud 6.8 yang berlaku di perairan Kota Kinabalu, awal pagi tadi. Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan gempa berkenaan berlaku pada jam 12.57 pagi dengan koordinat 7.0 darjah Utara dan 116.4 darjah Timur, kira-kira 49 kilometer (km) barat dari Kudat pada kedalaman 678 kilometer (km). Gegaran dilaporkan dirasai di sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan beberapa daerah lain di Pantai Barat, selain turut dirasai di beberapa kawasan di Sarawak. Di Kepayan dekat sini, seorang penduduk Petrus Bius berkata, ketika kejadian dia sedang berehat sebelum tiba-tiba terasa rumahnya bergegar. “Saya masa itu sedang berehat, tiba-tiba rasa gegaran dalam 10 saat macam itu. Memang jelas terasa. “Anak saya pula sedang belajar dan terus beritahu jendela biliknya bergegar, manakala medal-medal yang digantung turut berhayun dan berbunyi,” katanya ketika dihubungi. Sementara itu di Sandakan, Azlan Adlan berkata, dia menyedari kejadian berkenaan ketika sedang baring di sofa. “Sekali rasa macam kena ayun, medal-medal pun berbunyi. Saya terus bangun dan tengok, memang ada gegaran,” katanya. Dalam pada itu, di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Serigai, Putatan, kebanyakan penghuni yang merasai gegaran bertindak keluar dari kediaman masing-masing dan berkumpul di dewan sebagai langkah berjaga-jaga. Malah, terdapat juga beberapa penghuni yang mengambil keputusan meninggalkan kawasan berkenaan dengan menaiki kenderaan bersama ahli keluarga bagi memastikan keselamatan. Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan kecemasan berkaitan kejadian gempa berkenaan. Bagaimanapun, pemantauan sedang dijalankan oleh pasukan bomba di sekitar perairan Kota Kinabalu bagi memastikan keadaan kekal selamat dan terkawal. “Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu turut membuat rondaan di kawasan tepi laut berhampiran Sabah International Convention Centre (SICC) susulan kejadian gempa bumi yang berlaku awal pagi ini,” katanya. METMalaysia memaklumkan tiada ancaman tsunami dikeluarkan dan pihaknya akan terus memantau keadaan semasa serta menasihatkan orang ramai mendapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi termasuk laman web mygempa.met.gov.my. – Info X
February 23, 2026
Info X Reporters
Gempa bumi kuat 6.8 magnitud gegar perairan Kota Kinabalu
KOTA KINABALU: Satu gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 dilaporkan berlaku di perairan Kota Kinabalu, pada jam 12.57 tengah malam tadi. Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan, gempa berkenaan berpusat pada koordinat 7.0 darjah Utara dan 116.4 darjah Timur. Menurut kenyataan itu, gegaran dikesan pada jarak kira-kira 49 kilometer (km) barat dari Kudat, Sabah dengan kedalaman 678 kilometer (km). “Gegaran dirasai di sekitar Pantai Barat Sabah dan beberapa kawasan di Sarawak. “Bagaimanapun, setakat ini tiada ancaman tsunami dilaporkan,” menurut kenyataan itu. METMalaysia memaklumkan pihaknya akan terus memantau keadaan semasa dan menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi jabatan berkenaan termasuk laman sesawang mygempa.met.gov.my. – Info X
February 22, 2026
Info X Reporters
Liga Super: Ondong selamatkan maruah Sabah meskipun tewas di tangan JDT
KOTA KINABALU: Penyerang baharu Sabah FC, Chris Marlon Ondong menyelamatkan maruah Sabah daripada tewas tanpa jaringan setelah dibolosi enam gol dalam aksi Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Likas, malam ini. Ondong berjaya mencipta jaringan tunggal untuk tuan rumah pada minit ke-88 bagi mengubah kedudukan perlawanan kepada 6-1. Meskipun tewas di tangan JDT, jaringan Ondong umpama bonus bagi pasukan Sabah kerana berjaya menidakkan kemenangan dengan jaringan tanpa balas oleh pasukan pelawat. Bagaimanapun, skuad Sang Badak dimalukan bekas penyerangnya sendiri, Ajdin Mujagic apabila dibolosi dua gol hasil jaringan pemain itu untuk menambah jaringan JDT. Mujagic yang baru menyertai JDT setelah dilepaskan Sabah FC pada akhir bulan lalu, menjaringkan dua gol pada minit ke-21 dan ke-39. JDT memulakan jaringan menerusi sepakan penalti Bergson Da Silva pada minit kelapan selepas semakan VAR mengesahkan beliau dijatuhkan pemain Sabah, Dane James Ingham dalam kawasan petak penalti dua minit sebelum itu. Selepas jaringan pembukaan itu, JDT tidak berlengah mengasak tuan rumah hingga mendapat gol kedua menerusi Mujagic pada minit ke-21, sebelum disusuli jaringan ketiga oleh Oscar Aribas pada minit ke-24 dan sekali lagi gol Mujagic pada minit ke-39. Sepanjang babak pertama, Sabah hanya berhasil melakukan dua atau tiga cubaan ke arah gawang JDT, namun tidak mampu untuk menjaringkan gol disebabkan halangan pertahanan lawan yang sukar ditembusi. JDT berjaya mengumpul empat gol tanpa balas pada babak pertama, sedangkan skuad Sang Badak kelihatan seolah-olah tiada ruang untuk mendapatkan jaringan. Bersambung ke separuh masa kedua, JDT tidak berlengah untuk menambah lagi jaringan, malah jaringan kelima muncul hanya beberapa saat selepas permainan bermula. Jaringan pada minit ke-45 itu dihasilkan Manuel Federico Hidalgo, sebelum disusuli jaringan keenam hanya berselang dua minit oleh Aribas pada minit ke-47, menjadikannya gol peribadi keduanya dalam perlawanan malam ini. Sepanjang babak kedua, pemain Sabah dilihat lebih banyak berada di kawasan sendiri dan hanya sesekali berjaya melakukan serangan balas, namun mudah dipatahkan pertahanan JDT. – Info X
February 22, 2026
Info X Reporters
Warga emas ditemukan lemas, selepas hanyut
BELURAN: Mayat seorang lelaki warga emas ditemukan selepas empat hari dilaporkan hilang di sungai dalam kejadian di Kampung Lubang Buaya, Paitan, dekat sini, hari ini. Mangsa, Abdul Kadir Sahman, 64, ditemui penduduk kampung kira-kira jam 10.30 pagi pada jarak dua kilometer (km) dari lokasi dia dilaporkan hilang. Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang Khamis lalu, mangsa bersama seorang rakan dipercayai menyeberangi sungai menggunakan sebuah kenderaan sebelum dihanyutkan arus deras. Bagaimanapun, rakannya sempat menyelamatkan diri. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.10 petang, Khamis lalu sebelum menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian. “Pasukan bomba tiba di kampung berkenaan kira-kira jam 7 malam berikutan jaraknya yang jauh, iaitu kira-kira 200 kilometer dari balai. “Namun, operasi tidak dapat diteruskan kerana paras air meningkat dan laluan ke lokasi tidak selamat untuk dilalui,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, usaha pencarian pada hari berikutnya juga terpaksa ditangguhkan kerana keadaan laluan masih ditenggelami air. “Mangsa ditemukan pada hari keempat oleh penduduk kampung sebelum ketibaan pasukan bomba. “Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. Tambahnya, selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 3 petang. – Info X
February 22, 2026
Info X Reporters
Ayob Khan menceritakan operasi senyap membebaskan mangsa culik Abu Sayyaf
KOTA KINABALU: Episod hitam penculikan seorang peraih ikan dari Semporna, Pang Choon Pong oleh kumpulan militan Abu Sayyaf Group (ASG) akhirnya terungkai menerusi satu operasi khas yang dilaksanakan secara sulit dan berisiko tinggi. Perkongsian mengenai operasi berkenaan dimuat naik Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay menerusi Facebook rasminya hari ini, bersempena imbas kembali kejayaan misi berkenaan. Mengimbau kembali peristiwa itu, Ayob berkata, Pang diculik pada 5 Oktober 2011 ketika berada di Pondohan Lok Angki, Sitangkai, Tawi-Tawi, selatan Filipina sebelum dibawa ke wilayah Sulu, Kepulauan Jolo – kawasan yang terkenal dengan aktiviti militan bersenjata dan penculikan rentas sempadan. Katanya, sepanjang tempoh ditahan, mangsa dipindahkan dari satu lokasi ke lokasi lain bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. “Awal September 2012, maklumat risikan mengesahkan mangsa masih hidup dan ditahan di sebuah kem ASG di Bukit Kepang, Indanan Municipality. “Beliau dikurung bersama beberapa warga asing lain dan dikawal kira-kira 30 anggota militan bersenjata lengkap,” katanya. Menurut Ayob, usaha membawa pulang mangsa digerakkan secara sulit bermula Disember 2012 hingga Mac 2013 oleh Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) @ E8. Katanya, lebih 20 siri rundingan sulit diadakan melalui rangkaian sumber dengan kumpulan penculik sebelum mencapai kata sepakat untuk pembebasan. “Pegawai operasi yang terlibat dalam misi khas itu ialah Reno, Jaybon dan Ariel. “Selepas hampir satu setengah tahun dalam tawanan, Pang akhirnya dibebaskan pada 5 Mac 2013, menamatkan penderitaan panjang yang menguji ketahanan dirinya serta kesabaran keluarga di tanah air,” katanya. Ayob Khan berkata, pada peringkat awal, operasi berkenaan dianggap hampir mustahil berikutan risiko keselamatan tinggi, pelaksanaan operasi sulit di luar negara serta kawalan ketat di perairan bergolak. Namun katanya, kejayaan misi itu membuktikan tiada operasi terlalu sukar jika dilaksanakan pegawai berdedikasi, proaktif dan berani memikul amanah. “Kecekalan, empati kemanusiaan dan kerjasama berpasukan menjadi kunci kejayaan. “Dedikasi serta keberanian pegawai Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) @ E8 mencerminkan semangat sebenar pengabdian kepada tugas demi melindungi nyawa rakyat tanpa mengharapkan pengiktirafan,” katanya. – Info X