Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

November 20, 2026

Info X Reporters

Dua anggota TUDM direman tujuh hari bantu siasatan kes dadah

TAWAU: Dua anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes rampasan dadah di Pangkalan Udara Subang, Shah Alam, Selangor, pada 17 November lalu. Perintah reman terhadap kedua-dua suspek berusia 28 dan 48 tahun itu dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum di Mahkamah Majistret Tawau, hari ini, selepas membenarkan permohonan pegawai penyiasat, Inspektor Hamka Ab Rashid. Reman bermula hari ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. Kedua-dua suspek yang masing-masing berpangkat Koperal dan Pegawai Waran II itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Berdasarkan keterangan kes, kedua-duanya ditahan kira-kira jam 7 pagi tadi di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, untuk pemeriksaan lanjut berhubung laporan polis yang dibuat di Bukit Jelutong, Selangor. Siasatan awal mendapati kedua-dua anggota berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes rampasan dadah yang berlaku kira-kira jam 6.50 petang, 17 November lalu, di ruang legar Ketibaan Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang. Polis turut merampas dua telefon bimbit milik suspek bagi membantu siasatan lanjut.-Info X

November 20, 2026

Info X Reporters

Dua beradik termasuk OKU autisme rentung dalam kebakaran

TAWAU: Dua beradik termasuk seorang kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) autisme ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Ria, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa perempuan berusia 10 tahun dan abangnya berusia 13 tahun ditemukan meninggal dunia di sebuah bilik di tingkat atas rumah berkenaan. Empat lagi penghuni rumah terbabit bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri sebelum ketibaan pasukan bomba. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Timbalan Penguasa Bomba II Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.13 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian. Katanya, sebaik tiba sembilan minit kemudian, pasukan bomba mendapati sebuah rumah teres dua tingkat jenis kekal berkeluasan 20 x 30 kaki sedang terbakar. “Kebakaran menyebabkan kira-kira 70 peratus struktur rumah musnah, manakala empat daripada enam penghuni berjaya keluar menyelamatkan diri. “Bagaimanapun, dua lagi mangsa masih terperangkap di dalam rumah dan usaha menyelamat segera dijalankan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Jemishin berkata, kedua-dua mangsa akhirnya ditemukan dalam keadaan rentung di sebuah bilik di tingkat atas rumah berkenaan pada jam 6.43 pagi. “Mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. “Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran dengan tiga pancutan air daripada tangki jentera serta pili bomba berhampiran,” katanya. Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.07 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.06 pagi. Katanya, operasi membabitkan 20 anggota bomba bersama jentera pemadam kebakaran, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan lori tangki air. “Operasi turut dibantu lapan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih belum diketahui. – Info X

November 20, 2026

Info X Reporters

Lima pegawai antara 11 ditahan, sindiket seludup syabu guna aset TUDM terbongkar

KUALA LUMPUR: Lima pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) antara 11 individu ditahan selepas polis membongkar sindiket pengedaran dadah rentas sempadan yang dipercayai menggunakan aset tentera untuk menyeludup syabu dari Semenanjung Malaysia ke Sabah. Sindiket yang dipercayai aktif sejak Julai lalu itu menjadikan Sabah sebagai lokasi transit sebelum bekalan dadah diedarkan ke pasaran antarabangsa, khususnya Filipina dan Indonesia. Kegiatan berkenaan terbongkar menerusi beberapa siri operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di sekitar Lembah Klang dan Labuan, pada 17 November lalu. Operasi hasil kerjasama risikan strategik JSJN Bukit Aman bersama Cawangan Provos Marsyal TUDM itu membawa kepada penahanan lima pegawai tentera berkenaan dan enam orang awam. Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi berkenaan turut membawa kepada rampasan 96.64 kilogram syabu bernilai RM4.83 juta selain 6.98 kilogram cecair bahan kimia. Katanya, siasatan awal mendapati sindiket terbabit dipercayai mengeksploitasi kemudahan pengangkutan udara ketenteraan bagi menjalankan kegiatan penyeludupan dadah. “Risikan mendapati sindiket ini dipercayai aktif sejak Julai 2026 dengan menggunakan kemudahan penerbangan TUDM untuk membawa dadah dari Semenanjung Malaysia ke Sabah. “Bekalan dadah itu kemudian dipercayai diedarkan ke pasaran antarabangsa khususnya Filipina dan Indonesia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Hussein berkata, siasatan lanjut mendapati dua daripada enam orang awam yang ditahan dipercayai bertindak sebagai koordinator bagi mengatur dan menyelaraskan kegiatan pengedaran dadah sindiket berkenaan. Menurutnya, polis kini giat mengesan seorang lagi lelaki warga Malaysia yang dipercayai menjadi ketua sindiket terbabit. “Usaha mengesan individu berkenaan sedang dijalankan bagi membongkar keseluruhan struktur organisasi sindiket serta mengenal pasti pihak lain yang mungkin terbabit. “Modus operandi ini memperlihatkan bagaimana sindiket mengeksploitasi kemudahan strategik kerajaan dan memperalatkan individu yang mempunyai akses serta kedudukan tertentu bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa,” katanya. Beliau berkata, semua lima pegawai TUDM yang ditahan direman selama tujuh hari bermula 18 hingga 24 November ini bagi membantu siasatan. Sementara itu, enam individu awam yang ditahan pula direman antara dua hingga lima hari. Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati dua individu awam positif methamphetamine, manakala seorang lagi mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah. “Rampasan syabu berkenaan dianggarkan mampu menjejaskan seramai 483,000 individu sekiranya berjaya diedarkan ke pasaran. “Polis turut menyita tiga kenderaan iaitu Honda CR-V, Toyota Vios dan Toyota Land Cruiser bernilai keseluruhan RM172,062 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya. Hussein berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan. Menurutnya, JSJN memandang serius sebarang penyalahgunaan kedudukan, kuasa atau kemudahan rasmi untuk kepentingan jenayah kerana perbuatan itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menjejaskan integriti institusi keselamatan negara. “Tiada kompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah tanpa mengira pangkat, jawatan, kedudukan atau organisasi yang diwakili. “Tiada individu yang kebal daripada undang-undang dan tiada sindiket yang terlalu berpengaruh untuk ditumpaskan,” katanya. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada TUDM khususnya Cawangan Provos Marsyal atas kerjasama yang membawa kepada kejayaan operasi berkenaan. Katanya, JSJN akan terus memperkukuh kerjasama risikan dan penguatkuasaan bagi menumpaskan dalang utama, memutuskan rangkaian pengedaran serta melumpuhkan sumber kewangan sindiket dadah. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah boleh menyalurkannya menerusi Hotline JSJN di talian 012-208 7222,” katanya. – Info X

November 19, 2026

Info X Reporters

Lebih 10,000 PATI dihantar pulang dari Sabah tahun ini

SANDAKAN: Lebih 10,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) pelbagai warganegara dihantar pulang ke negara asal masing-masing dari Sabah sepanjang tahun ini, termasuk 767 orang yang dipindahkan, hari ini. Daripada jumlah keseluruhan 10,006 tahanan PATI yang dihantar pulang setakat ini, warga Filipina mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 7,670 orang, diikuti Indonesia seramai 1,960 orang. Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam kenyataan malam ini memaklumkan, seramai 755 PATI warga Filipina dihantar pulang menerusi Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina, hari ini. Katanya, pemindahan menerusi kapal MV Antonia 1 itu membabitkan tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar dan Sandakan. “Kesemua tahanan terdiri daripada 669 lelaki dewasa, 63 wanita dewasa, 14 kanak-kanak lelaki dan sembilan kanak-kanak perempuan berusia antara enam bulan hingga 69 tahun. “Kanak-kanak yang terbabit dalam program pemindahan ini turut diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing,” menurut kenyataan itu. JIM Sabah memaklumkan, pada hari sama, seramai 12 lagi PATI dipindahkan melalui udara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum meneruskan perjalanan ke negara asal. Pemindahan itu membabitkan 10 lelaki warga Pakistan, seorang lelaki warga India dan seorang wanita warga Vietnam. Menurut kenyataan itu, selain Filipina dan Indonesia, tahanan yang dihantar pulang sepanjang tahun ini turut membabitkan 156 warga China, 153 warga Pakistan, 30 warga Vietnam serta 37 warga negara lain termasuk India. “Semua tahanan yang dipindahkan sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan. “Mereka juga memiliki dokumen perjalanan atau Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) yang sah bagi membolehkan proses penghantaran pulang dilaksanakan,” katanya. Sementara itu, JIM Sabah berharap kerjasama Kedutaan Filipina dapat dipertingkatkan khususnya dalam mempercepatkan pengeluaran dokumen perjalanan bagi melancarkan proses penghantaran pulang. Katanya, langkah berkenaan penting bagi mengurangkan kesesakan di depot imigresen seluruh Sabah. Dalam perkembangan sama, JIM Sabah turut menggesa majikan menyertai program pendataan digital warga asing yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi merekod dan mengurus keberadaan pekerja asing, khususnya dalam sektor perladangan. “Inisiatif itu dijangka membantu menangani isu dokumentasi serta lambakan PATI di negeri ini. “JIM Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang didapati melindungi atau menggaji pekerja asing tanpa permit dan dokumen sah. “Majikan yang melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 termasuk denda RM50,000, hukuman penjara dan sebatan bagi kesalahan tertentu berkaitan perlindungan atau persubahatan membabitkan PATI,” katanya. – Info X

November 19, 2026

Info X Reporters

Raime cadang Muafakat Sabah kukuhkan kerjasama BN-GRS

KOTA KINABALU: ‘Muafakat Sabah’ dicadang diwujudkan di Sabah sebagai platform kerjasama baharu politik di antara Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Idea itu dikemukakan Ketua UMNO Tenom, Datuk Raime Unggi sebagai landasan baharu kerjasama politik menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). Bekas Ahli Parlimen Tenom itu berkata, pendekatan itu bermatlamat memperkukuh kestabilan politik dan memastikan pembangunan negeri ini terus menjadi keutamaan. Katanya, Muafakat Sabah bukan sekadar kerjasama menghadapi pilihan raya, sebaliknya satu usaha membina persefahaman politik yang lebih kukuh bagi memastikan pentadbiran negeri kekal stabil dan kepentingan rakyat terus terpelihara. “Sudah tiba masanya kita melihat politik Sabah dalam kerangka yang lebih besar. Saya membawa idea Muafakat Sabah kerana percaya BN dan GRS mempunyai asas kerjasama yang boleh diperkukuh demi masa depan negeri. “Pengalaman Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Januari lalu menjadi contoh jelas. “Jentera GRS turut membantu calon BN sehingga menyumbang kepada kemenangan besar dalam kedua-dua pilihan raya itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini. Raime yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, berkata kerjasama antara parti penting bagi memastikan kestabilan politik dapat dikekalkan. Perkara itu, katanya penting bagi membolehkan pentadbiran negeri berjalan lancar, mabakala agenda pembangunan dilaksanakan tanpa gangguan. Beliau berkata, Muafakat Sabah juga boleh menjadi asas hubungan yang lebih erat di antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, khususnya dalam mempercepat pembangunan, menyelesaikan isu kemudahan asas dan memperjuangkan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). “Muafakat Sabah yang saya ketengahkan bukan sekadar untuk menghadapi PRU16. Matlamat lebih besar ialah memastikan Sabah mempunyai kestabilan politik, pentadbiran yang kukuh dan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan. “Kemenangan pilihan raya hanya permulaan. Kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat adalah matlamat sebenar Muafakat Sabah,” katanya.-Info X

November 19, 2026

Info X Reporters

Dua lagi remaja 14 tahun ditahan, polis bongkar kes curi motosikal

KENINGAU: Polis menahan dua lagi remaja lelaki masing-masing berusia 14 tahun bagi membantu siasatan kes curi motosikal susulan penahanan seorang remaja berusia 16 tahun di daerah ini, Isnin lalu. Kedua-dua remaja terbabit ditahan di sebuah rumah di Kampung Marasak, di sini, kira-kira jam 3.30 petang, semalam. Tangkapan terbaharu itu menjadikan keseluruhan tiga remaja berusia antara 14 hingga 16 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam kejadian curi motosikal di daerah berkenaan. Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, penahanan itu adalah hasil perkembangan siasatan kes kehilangan sebuah motosikal Honda RS berwarna merah yang dilaporkan pada 16 Ogos lalu. Katanya, motosikal berkenaan dilaporkan hilang selepas pemiliknya menyedari kenderaan itu tiada di hadapan sebuah premis perniagaan di Keningau. “Susulan siasatan dijalankan, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau membuat pemeriksaan di sebuah rumah di Kampung Binacong pada 16 November lalu. “Pemeriksaan membawa kepada penemuan satu rangka motosikal bersama enjin serta empat komponen enjin yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes kecurian berkenaan,” katanya dalam kenyataan media. Erwansyah berkata, susulan penemuan itu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan pada 18 November lalu bagi membantu siasatan lanjut. Katanya, polis turut merampas sekeping plat nombor pendaftaran kenderaan di kawasan Jalan Padang Tembak, di sini, yang dipercayai dapat membantu siasatan. “Siasatan awal mendapati ketiga-tiga remaja terbabit dipercayai mempunyai peranan masing-masing dalam kejadian kecurian motosikal berkenaan. “Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan bagi mendapatkan keterangan sokongan serta menentukan penglibatan sebenar setiap individu termasuk kemungkinan kaitan dengan kes lain,” katanya. Menurutnya, semakan awal nombor casis dan enjin terhadap barang rampasan menunjukkan terdapat komponen yang mempunyai kaitan dengan motosikal dilaporkan hilang. “Jumlah kerugian dialami pengadu dianggarkan RM5,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. “Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta boleh dikenakan denda,” katanya. Beliau berkata, memandangkan semua suspek masih di bawah umur, proses siasatan dan tindakan perundangan dilaksanakan dengan mengambil kira peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001. Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemilik motosikal supaya menggunakan kunci keselamatan tambahan dan meletakkan kenderaan di kawasan selamat bagi mengelakkan kejadian kecurian. “Ibu bapa dan penjaga juga perlu sentiasa memantau aktiviti serta pergaulan anak-anak supaya tidak terjebak dalam kegiatan jenayah. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes curi motosikal diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran,” katanya. – Info X

November 19, 2026

Info X Reporters

SPRM beri 3 syor tambah baik tatakelola Sabah Electricity

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah mengemukakan tiga syor penambahbaikan tatakelola membabitkan amalan, sistem dan tatacara kerja pengurusan Jadual Harga Tetap (JHT) kenderaan milik Sabah Electricity. Pengarahnya, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, berkata syor itu dikemukakan menerusi Cawangan Penyiasatan Tatakelola SPRM Sabah dan dibentangkan beliau di Ibu Pejabat Sabah Electricity, di sini, pada Isnin lalu. Katanya, syor pertama ialah mewujudkan satu garis panduan berkaitan pelantikan vendor secara tender atau sebut harga di bawah seliaan Fleet Management Unit, termasuk mengemas kini JHT secara berkala mengikut harga pasaran semasa dan memperluas skop item alat ganti yang kerap digunakan. “Syor kedua ialah memastikan semua kerja pembaikan dilaksanakan selepas sebut harga diterima, semakan dibuat dan Pesanan Belian (PO) diluluskan, di samping melaksanakan semakan silang yang ketat terhadap invois, alat ganti dan rekod pembaikan. “Manakala syor terakhir ialah menilai semula beban tugas pegawai penyelia kenderaan di Kawasan Tawau bagi memastikan pengasingan tugas dapat dilaksanakan dengan berkesan demi memperkasakan kawalan dalaman dan tadbir urus syarikat,” katanya. Pembentangan syor itu diadakan sempena majlis menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola di antara Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir Mohd Yaakob Jaafar dan Mohd Fuad. Turut hadir Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sabah, Alexander S Kunghi; Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola SPRM Sabah, Hamsia Abdul Ham; Ketua Pegawai Operasi Presiden Sabah Electricity, Ir Mohd Riza Zalmee Mohd Chazali; Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat Sabah Electricity, June Francisca Abbie@Junainah Abbie; dan Ketua Pegawai Integriti dan Tadbir Urus Sabah Electricity, Hamizah Hussain. Syor penambahbaikan yang dikemukakan SPRM itu disambut baik Sabah Electricity dalam usaha menambah baik sistem tatakelola syarikat utiliti berkenaan.-Info X

November 19, 2026

Info X Reporters

Abdul Fuad terima tugas Komander ESSCOM

KOTA KINABALU: Komander ESSCOM, Datuk Abdul Fuad Abdul Malek secara rasmi memulakan tugas mengetuai pasukan keselamatan itu selepas menerimanya daripada bekas penyandangnya, yang juga Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Victor Sanjos, di sini, pada Khamis. Majlis Serah Terima Tugas jawatan itu diadakan di hadapan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, di Menara Kinabalu. Abdul Fuad sebelum ini adalah Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, manakala Victor adalah bekas Komander ESSCOM sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah berkuatkuasa 11 November lalu. Pada majlis itu, Hajiji menyaksikan acara pemakaian pangkat Deputi Komisioner Polis kepada Abdul Fuad oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk SeriMohd Yusri Hassan Basri. Sementara itu, Hajiji turut menerima kunjungan hormat Panglima Armada Timur, Markas Pemerintahan Armada Timur (MPA Timur), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Datuk Ahmad Shafirudin Abu Bakar. Ahmad Shafirudin adalah Panglima Armada Timur ketujuh yang mengambil alih kepimpinan MPA Timur secara rasmi pada 20 Oktober lalu, menggantikan Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris. – Info X