Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

January 19, 2026

Info X Reporters

196 anggota polis undi awal PRK Kinabatangan, Lamag esok

KOTA KINABALU: Seramai 196 anggota polis akan menunaikan tanggungjawab mengundi awal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, esok. Proses pengundian awal dijadual berlangsung dari jam 8 pagi hingga 5 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan, melibatkan satu saluran mengundi. Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca baik pada sebelah pagi dan petang sepanjang hari pengundian. PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (bebas). Sementara itu, PRK DUN Lamag melibatkan pertembungan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan). PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Bung Moktar Radin, pada 5 Disember tahun lalu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian. – Info X

January 19, 2026

Info X Reporters

Anak ugut ibu dengan parang ditahan

TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas dipercayai mengamuk dan mengugut ibu kandungnya sendiri dengan menggunakan sebilah parang dalam kejadian di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Vietnam, Jalan Tanjung Batu Laut, di sini, semalam. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.20 tengah malam apabila suspek yang juga anak kepada mangsa bertindak agresif susulan perselisihan keluarga. Menurutnya, suspek berusia lingkungan 30-an membawa sebilah parang dan lastik selain bertindak merosakkan dinding rumah, menyebabkan ibunya yang berusia 60-an berasa takut dan terancam. “Ibu mangsa yang berusia 60-an kemudian tampil membuat laporan polis bagi mendapatkan perlindungan susulan ugutan yang diterima. “Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan suspek kira-kira jam 4.30 petang di hadapan sebuah rumah di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Katanya, polis turut merampas sebilah parang bersarung yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu. “Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. Jasmin menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak di luar kawalan ketika berdepan masalah keluarga dan segera membuat laporan polis sekiranya berlaku sebarang kejadian yang boleh mengancam keselamatan diri serta ahli keluarga. – Info X

January 19, 2026

Info X Reporters

Ugut bapa mentua dengan samurai dan parang, dua lelaki ditahan

TAWAU: Seorang lelaki bersama adiknya ditahan polis selepas mengugut bapa mentuanya dengan menggunakan pedang samurai dan parang dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Kampung Pengkalan Asli, Merotai Besar, di sini, semalam. Kejadian kira-kira jam 8 malam itu berlaku apabila kedua-dua suspek datang ke rumah mangsa sebelum bertindak agresif dan mengeluarkan ugutan. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek utama yang juga menantu mangsa dilihat memegang pedang samurai manakala adik lelakinya membawa parang, menyebabkan mangsa berusia 63 tahun berasa terancam. “Siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila isteri suspek utama, yang juga anak perempuan mangsa, ingin bermalam di rumah bapanya namun tidak dipersetujui suspek sebelum berlaku pertengkaran. “Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis bagi mendapatkan perlindungan dan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau berjaya menahan kedua-dua suspek kira-kira jam 12.10 tengah malam di hadapan sebuah rumah di Kampung Merotai Besar. Jasmin berkata, suspek utama berusia 39 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori didapati mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan ugutan dan pecah masuk, manakala suspek kedua berusia 27 tahun dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah. “Polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ugutan, keganasan atau penggunaan senjata berbahaya yang boleh mengancam keselamatan orang awam. “Orang ramai dinasihatkan supaya menyelesaikan sebarang perselisihan melalui saluran undang-undang dan segera membuat laporan polis sekiranya berdepan situasi berbahaya,” katanya. – Info X

January 18, 2026

Info X Reporters

Lelaki ugut cederakan adik, serang abang diberkas

TAWAU: Seorang lelaki diberkas polis selepas bertindak agresif dengan mengugut untuk mencederakan adik perempuannya serta menyerang abang kandungnya dalam kejadian di Kampung Rancangan Ranggu, di sini, pada Ahad. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi apabila suspek warga tempatan berusia 27 tahun dipercayai mengamuk selepas ditegur oleh bapanya. “Suspek kemudian mengambil sebatang penyapu dan melibas ke arah abang kandungnya berusia 41 tahun, namun tidak mengenai mangsa sebelum menumbuk lelaki itu ketika mangsa keluar untuk melihat keadaan bapa mereka. “Suspek turut mengeluarkan ugutan untuk membunuh adik perempuannya menyebabkan mangsa berasa terancam dan membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Jasmin berkata, siasatan awal mendapati suspek sering bertindak agresif dan mengamuk setiap kali ditegur ahli keluarga. “Susulan laporan itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau berjaya memberkas suspek kira-kira jam 6.15 petang di hadapan rumahnya. Beliau berkata, suspek dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya. Sementara itu, beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang mengancam keselamatan keluarga dan masyarakat, sambil menegaskan tindakan tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan awam terus terpelihara. – Info X

January 18, 2026

Info X Reporters

Ewon akan pertahan jawatan Presiden UPKO

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick menawarkan diri untuk meneruskan khidmat sebagai Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) pada pemilihan parti itu Ogos depan. Ahli Parlimen Penampang itu, berkata Kongres UPKO yang dijadual pada 8 dan 9 Ogos depan bakal menyaksikan pemilihan Majlis Tertinggi parti itu sejajar ketetapan perlembagaan UPKO. Beliau berkata, ahli UPKO mempunyai kebebasan penuh untuk memastikan proses demokrasi parti dijalankan dengan telus dan cekap di semua peringkat. Jawatankuasa Pemilihan UPKO itu, katanya akan dipengerusikan Datuk Philip Lasimbang yang akan memantau pemilihan di semua bahagian. “Saya berharap pemilihan ini terus menyatukan kita, bukan sebaliknya. Kita mesti memilih barisan pemimpin berasaskan merit dan potensi. Kita mesti berupaya menawarkan kepimpinan yang boleh diterima oleh rakyat, yang mahu bekerja untuk rakyat, yang mahu memimpin rakyat. “UPKO di bawah kepimpinan saya tidak sempurna dan pasti banyak kelemahan dan kekurangan. Yang pasti selaku teraju dan ketua, saya sentiasa ingin memastikan UPKO yang saya pimpin hari ini lebih baik dari UPKO yang saya pimpin kelmarin dan esoknya harus lebih baik. “Saya akan menawarkan kepimpinan saya semula sebagai Presiden UPKO untuk penggal yang seterusnya,” katanya pada Pelancaran Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 di SICC, di sini, pada Ahad. Ketika ini, katanya UPKO memiliki lebih 160,000 ahli di 26 bahagian, termasuk empat bahagian baharu iaitu Sandakan, Batu Sapi, Semporna dan Kalabakan. Ewon yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan negeri dan ADUN Kadamaian menerajui UPKO sejak September 2022 menggantikan Datuk Seri Madius Tangau yang kini Presiden Kehormat UPKO. – Info X

January 18, 2026

Info X Reporters

Ada pengerusi GLC dipegang menteri – Ewon

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick kekal dengan pendirian bahawa pelantikan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri wajar merangkumi pemimpin politik dan ahli korporat. Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan negeri menegaskan beliau sendiri memilih tokoh korporat mewakili industri, persatuan dan komuniti perniagaan. Bagaimanapun, katanya ada jawatan pengerusi GLC yang memang dikhususkan kepada menteri, sama seperti Perdana Menteri dan Ketua Menteri yang turut memegang jawatan pengerusi GLC tertentu. Berikutan itu, beliau mengingatkan supaya sebarang laporan media berhubung perkara berkenaan perlu merujuk kepada beliau sebagai sumber asal, termasuk kenyataannya sebelum ini berhubung pelantikan pengerusi GLC. “Apa kenyataan asal saya masih dalam laman rasmi saya iaitu saya meminta supaya pelantikan pengerusi GLC ini perlu diseimbangkan dari lantikan politik dan korporat. “Pengerusi ini selalunya dari kalangan ahli Yang Berhormat, tapi ada pelantikan itu yang memang atas kapasiti menteri, siapapun menteri di situ, dia juga pengerusi di GLC yang terbabit. “Sama seperti Perdana Menteri, dialah Pengerusi Khazanah Nasional, sama seperti Ketua Menteri dialah Pengerusi Yayasan Sabah. “Di peringkat saya, saya telah mengangkat beberapa tokoh-tokoh korporat untuk dilantik ke dalam GLC ini mewakili industri, mewakili persatuan, mewakili komuniti perniagaan tetapi harus ada proses, saya tahu apa yang saya lakukan,” katanya ditemui selepas pelancaran Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 di SICC, pada Ahad. Beliau berkata demikian sebagai mengulas gambaran tidak tepat berhubung pelantikannya sebagai pengerusi di sebuah GLC, baru-baru ini. Portal berita tempatan sebelum ini memaparkan beliau dilantik sebagai Pengerusi KKIP Sdn Bhd, sebelum ada pihak menuduh beliau membelakangkan kenyataannya sebelum ini mengenai pelantikan ahli korporat sebagai pengerusi. – Info X

January 18, 2026

Info X Reporters

UPKO mahu Kerajaan Persekutuan gugurkan rayuan

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menggesa Kerajaan Persekutuan menggugurkan rayuan berhubung ‘grounds of judgment’ keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025 berhubung semakan kehakiman mengenai hak 40 peratus Sabah. Presidennya, Datuk Ewon Benedick, berkata pendirian itu selari dengan perjuangan berprinsip parti itu yang mahu penyelesaian hak 40 peratus berasaskan kepada penghormatan dan keikhlasan sebenar melaksanakan hak Sabah. “Inilah inti Malaysia yang mesti terus diperjuangkan oleh UPKO. Inilah ‘soul searching’ – pencarian jiwa politik kita selama ini yang harus berani menoleh kebelakang samada Persekutuan yang ditubuhkan ini telah memberikan keadilan kepada perjanjian yang telah ditandatangani pada tahun 1963 tersebut. “Kita memerlukan pelaksanaan semula hak 40 peratus ini bagi menyelesai keperluan pembangunan, pembasmian kemiskinan, program-program ekonomi, perindustrian dan keusahawanan, kesejahteraan rakyat, biasiswa dan pembangunan modal insan serta pelbagai pembangunan lain untuk rakyat Sabah,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan pelancaran Persidangan perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17, di SICC, di sini, pada Ahad. Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III dan Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, berkata mesyuarat kedua jawatankuasa peringkat pegawai kanan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sepatutnya dibuat pada Disember lalu tetapi ditangguhkan. “Pendirian Sabah yang sepatutnya dibawa oleh delegasi pegawai kanan Sabah adalah bagi Kerajaan Persekutuan menggugurkan rayuan yang dibuat di Mahkamah Rayuan. Tetapi mesyuarat tersebut ditangguhkan. “Saya tidak boleh menjawab bagi Kerajaan Persekutuan mengapa mesyuarat tersebut ditangguhkan, boleh bertanya kepada mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas itu. Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang menyatakan akan mengambil bahagian dalam perbahasan di Parlimen dan akan mengulangi pendirian UPKO agar Kerajaan Persekutuan menggugurkan rayuan tersebut. “Kita tidak mahu menafikan wajah kemajuan Sabah hari ini lebih baik daripada sebelum tahun 1963. “Kita menghargai penyelesaian 13 perkara berkaitan hak Sabah dan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 setakat ini. Kita menghargai hubungan baik Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri telah memungkinkan penyelesaian 13 perkara tersebut dicapai. “Tetapi perkongsian hasil dengan pemberian semula 40 peratus hasil Persekutuan di Sabah kepada Kerajaan Negeri yang terhenti pelaksanaannya sejak tahun 1974 masih merupakan tuntutan utama rakyat Sabah yang masih belum diselesaikan,” katanya. Ewon berkata, UPKO menyertai rakyat Sabah, sama ada melalui gerakan Kerajaan, politik, perundangan, akademik, aktivistme mahupun media sosial akan terus menuntut penyelesaian hak 40 peratus itu. “Keberadaan kita dalam Kerajaan Persekutuan sejak Disember 2022 sehingga saya memutuskan meletak jawatan dalam Kabinet Persekutuan telah merekodkan pendirian-pendirian parti yang telah saya perjuangkan,” katanya. – Info X

January 18, 2026

Info X Reporters

Tangisan sunyi di ladang sawit, bayi lelaki ditemui masih bernyawa

KINABATANGAN: Tangisan bayi lelaki cukup sifat yang ditinggalkan di kawasan ladang kelapa sawit mengundang pilu apabila ditemukan masih bernyawa oleh seorang pekerja ladang di Ladang Karangan Agriculture Sdn Bhd, di sini, pada Sabtu. Dalam kejadian kira-kira jam 7.27 malam itu, bayi malang berusia dianggarkan antara tiga hingga lima hari ditemui ketika pekerja ladang terbabit sedang menjalankan tugas sebelum segera memaklumkan perkara itu kepada pihak pengurusan ladang. Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Ravi A/L Duraisamy berkata, bayi berkenaan kemudian dibawa ke klinik ladang untuk rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Kinabatangan bagi rawatan lanjut. “Pemeriksaan awal mendapati bayi lelaki itu masih bernyawa, cukup sifat, dengan berat kira-kira 2.4 kilogram serta berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang kecederaan. “Bayi berkenaan akan dirujuk ke Hospital Duchess of Kent untuk pemantauan lanjut dan tindakan susulan oleh pihak kebajikan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Ravi berkata, siasatan awal mendapati lokasi kejadian tidak mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan setakat ini tiada saksi mata tampil membantu siasatan. “Tiada sebarang tangkapan dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi, yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya. “Usaha mengesan individu yang bertanggungjawab terhadap perbuatan tidak berperikemanusiaan itu sedang giat dijalankan,” katanya. Sehubungan itu, katanya orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Polis Daerah Kinabatangan di talian 089-561890 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Syafiqah Binti Dahon di talian 014-5573735. “Kerjasama orang awam amat dihargai demi memastikan keselamatan serta kebajikan masyarakat, khususnya bayi tidak berdosa ini, terus terpelihara,” katanya. – Info X