April 14, 2026
Info X Reporters
Bawa ‘taji ayam’, lelaki ditahan
TAWAU: Tindakan seorang lelaki membawa senjata berbahaya mengundang padah apabila dia dicekup polis dalam operasi di Kampung Bukit Kukusan, Jalan Tanjung Batu, di sini, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, suspek berusia 59 tahun ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau yang menjalankan operasi di kawasan berkenaan. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pemeriksaan ke atas suspek menemui empat bilah taji ayam sepanjang kira-kira 15 sentimeter yang dipercayai miliknya. “Semasa operasi, seorang lelaki ditahan bersama empat bilah taji ayam yang disimpan dalam milikannya. “Pemeriksaan lanjut mendapati suspek juga merupakan warga asing yang tinggal di daerah ini tanpa dokumen perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, suspek bersama semua barang rampasan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – Info X
April 14, 2026
Info X Reporters
Aliakbar sedia platform digital terima aduan rakyat di Karambunai
KOTA KINABALU: Masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai kini boleh berurusan secara digital menerusi Pusat Aduan Rakyat Digital (Kara-Di) bagi mengemukakan sebarang aduan. Inisiatif itu yang dilancarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan melengkapkan peranan Pejabat Pusat Khidmat N16 Karambunai yang turut dilancarkan serentak pada Ahad. Katanya, dua kemudahan itu disasar bagi memudahkan urusan rakyat di kawasan Karambunai, khususnya dalam menyalurkan aduan berkaitan masalah setempat yang dihadapi penduduk. “Pusat Khidmat ini dibuka kepada orang ramai pada hari bekerja dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang bagi memudahkan penduduk menyampaikan sebarang aduan dan permasalahan. “Kita juga melancarkan Pusat Aduan Rakyat Digital (Kara-Di) yang memboleh orang ramai mengimbas kod QR sekiranya ingin berjumpa saya atau membuat aduan secara digital,” katanya. Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Sabah, berkata penggunaan teknologi digital mampu membantu mempercepatkan proses penyampaian aduan dan tindakan susulan oleh pihak berkaitan. “Kita gunakan teknologi, saya percaya tuan-tuan semua mempunyai telefon pintar dan boleh mengimbas kod QR yang akan diedarkan, khususnya bagi warga Karambunai berkaitan isu-isu dalam Karambunai. “Boleh imbas dan membuat aduan di sana. Insya-Allah, saya memberi jaminan bahawa kita akan mengambil tindakan dengan segera bersama staf bagi memudahkan urusan semua,” katanya. Ends
April 13, 2026
Info X Reporters
Jaujan sihat, dakwaan telah meninggal dunia tidak berperikemanusiaan – Shafie
KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menegaskan bahawa bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong, berada dalam keadaan sihat dan terus menjalankan tugas seperti biasa. Beliau berkata demikian bagi menafikan penyebaran berita palsu yang mendakwa Jaujan telah meninggal dunia, yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab serta tidak berperikemanusiaan. Menurutnya, dalam apa jua perbezaan politik sekalipun, terdapat batas yang tidak sepatutnya dilanggar oleh mana-mana pihak. “Penyebaran berita kematian palsu bukan sahaja keterlaluan, malah mencerminkan betapa rendahnya nilai dan etika pihak yang melakukannya,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook. Shafie turut menyeru semua pihak agar menghentikan penyebaran maklumat tidak sahih serta lebih bertanggungjawab dalam penggunaan platform media sosial. Beliau menegaskan, fokus utama semua pihak seharusnya tertumpu kepada usaha berkhidmat kepada rakyat, bukannya mencipta atau menyebarkan fitnah yang boleh mengelirukan masyarakat. Terdahulu, tular di media sosial dakwaan tidak berasas mengenai kematian Jaujan, sekali gus mencetuskan kekeliruan dalam kalangan orang ramai. – Info X
April 13, 2026
Info X Reporters
Minyak paket cuba diseludup, juragan ditahan Maritim Malaysia
TAWAU: Taktik penyeludupan secara kecil-kecilan tetapi berulang akhirnya terbongkar apabila sebuah bot kargo tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau, tengah hari tadi. Dalam kejadian jam 12.40 tengah hari itu, bot berkenaan dipintas di 1.5 batu nautika di utara Muara Sungai Aji Kuning ketika bergerak laju menuju ke Pulau Sebatik dalam keadaan mencurigakan. Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, hasil pemeriksaan menemukan 14 kotak minyak paket bersubsidi dan enam gelen bahan api dianggarkan 120 liter tanpa permit sah. “Bot itu dikendalikan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun. Pemeriksaan lanjut mendapati juragan berkenaan tidak berdaftar dalam lesen bot digunakan,” katanya dalam kenyataan hari ini. Katanya, situasi itu menimbulkan syak berlaku pelanggaran undang-undang berkaitan kawalan bekalan dan perkapalan tempatan. “Susulan itu, juragan bersama bot serta muatan ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat. “Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002,” katanya. Beliau berkata, pihaknya turut menyita bot kargo, enjin serta muatan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM43,000. Dalam pada itu, Ariffin menegaskan penguatkuasaan akan terus diperkukuh terutama di perairan Tawau yang dikenal pasti sebagai kawasan panas aktiviti penyeludupan. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah di laut diminta menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya. – Info X
April 13, 2026
Info X Reporters
Serah terima tugas Ketua Siasatan Jenayah Narkotik Lahad Datu
LAHAD DATU: Majlis Serah Terima Tugas Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Lahad Datu berlangsung di Bilik Gerakan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, hari ini. Majlis itu menyaksikan penyerahan tugas daripada Asisten Superintendan Polis (ASP) Bakar Jasa kepada Inspektor Romi Asparin yang kini memangku jawatan berkenaan, disaksikan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail. Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau bersama ketua bahagian, ketua polis balai, pegawai kanan serta anggota polis. Dalam majlis berkenaan, warga IPD Lahad Datu merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada ASP Bakar Jasa atas khidmat bakti serta komitmen sepanjang bertugas di daerah ini. Beliau kemudiannya akan menyandang jawatan baharu sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Penampang. Pada masa sama, warga IPD Lahad Datu turut mengucapkan tahniah kepada Inspektor Romi Asparin atas pelantikan sebagai Pemangku Ketua BSJN Lahad Datu yang baharu. Majlis itu mencerminkan kesinambungan kepimpinan dalam memperkukuh usaha membanteras jenayah narkotik di daerah ini. – Info X
April 13, 2026
Info X Reporters
MoU SOGDC-EA Gibson dan beberapa syarikat bangunkan hab tenaga di SOGIP
KOTA KINABALU: Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) pada Isnin memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan beberapa syarikat antarabangsa bagi membangunkan hab tenaga di Sipitang Oil & Gas Industrial Park (SOGIP). Ia berkaitan kerjasama strategik dan komersial pembangunan hab tenaga di SOGIP yang disasar mampu memperkukuh daya saing Sabah dalam industri minyak dan gas di rantau ini. Antara MoU itu ialah di antara SOGDC dan ACWA Power, Aboitiz Power Ltd dan WEC, masing-masing merangka kerjasama awal bagi pembangunan projek Hab Tenaga di SOGIP. Pemeteraian MoU itu disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Pengerusi SOGDC, Datuk Ir Shahelmey Yahya di Menara Kinabalu, dekat sini. Ia bersempena kunjungan hormat delegasi SOGDC bersama rakan strategiknya yang diketuai Shahelmey dan turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan SOGDC, Mohd Azmir Ramli ahli lembaga pengarahnya. Kunjungan itu pula bersempena cadangan projek kerjasama di antara SOGDC dan EA Gibson, sebagai langkah strategik memperkukuh kedudukan Sabah sebagai hab tenaga serantau. Hadir sama wakil rakan strategik antarabangsa iaitu Ketua Pegawai Operasi Aboitiz, Anton Perdises; Ketua Pegawai Eksekutif Negara ACWA, Matthew Chandapillai; Pengarah EA Gibson, Owen Bolton; Pengarah Eksekutif WEC, Mathew Lee; Pengarah Eksekutif Green Parrot (Abu Dhabi), Miran Sepich; dan Pengarah Projek Gas Department EA Gibson, Tonci Tokic. Menurut SOGDC, pembangunan projek hab tenaga di SOGIP merangkumi pembinaan hab penyimpanan dan pengagihan tenaga bersepadu di kawasan seluas kira-kira 275 ekar, termasuk kemudahan penyimpanan gas asli cecair (LNG), ammonia dan hidrogen, selain pembangunan infrastruktur petrokimia serta penjanaan tenaga. Katanya, sebagai komponen utama projek, kajian kebolehlaksanaan akan dilaksanakan bersama ACWA Power bagi pembinaan loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) berkapasiti antara 400 hingga 500 megawatt (MW). Selain itu, jelasnya Aboitiz Power Ltd sedang meneliti pembangunan sistem grid penghantaran tenaga, manakala WEC menimbangkan pembinaan jeti dan tangki simpanan. Sementara itu, Saudi Aramco turut menyatakan minat awal untuk menyertai projek berkenaan sebagai rakan strategik dan pembekal utama LNG bagi hab tenaga itu. Hajiji berkata, inisiatif berkenaan selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memperkasa sektor tenaga sebagai pemacu utama ekonomi Sabah. “Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan pembangunan hab tenaga ini kerana ia bukan saja berpotensi menarik pelaburan berkualiti tinggi, malah mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta merangsang pertumbuhan industri hiliran di Sabah. “Kita komited untuk menyediakan persekitaran kondusif kepada pelabur, di samping memastikan setiap pembangunan memberi manfaat langsung kepada rakyat dan negeri,” katanya. Jelasnya, pembangunan SOGIP sebagai hab tenaga bersepadu juga akan memperkukuh daya saing Sabah dalam industri minyak dan gas. “Inisiatif SOGDC ini dijangka meningkatkan kapasiti infrastruktur tenaga negeri, menarik pelaburan bernilai tinggi dan menyokong pertumbuhan industri jangka panjang khususnya di kawasan SOGIP,” katanya. – Info X
April 13, 2026
Info X Reporters
Dua maut motosikal langgar belakang kereta
KOTA KINABALU: Dua lelaki maut selepas motosikal dinaiki mereka merempuh bahagian belakang sebuah kereta dalam kejadian di Jalan UMS berhadapan Mini Putrajaya, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 pagi itu, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth II (HQE II). Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah Proton Saga dipandu lelaki tempatan berusia 27 tahun dan motosikal Yamaha Y15 yang dinaiki dua mangsa. “Kereta berkenaan bergerak dari arah Sepanggar menuju ke Alam Mesra sebelum membuat pusingan U di lampu isyarat Mini Putrajaya dan meneruskan perjalanan di lorong tengah. “Secara tiba-tiba, sebuah motosikal yang datang dari arah sama gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal terjatuh di lorong tengah manakala pembonceng tercampak ke bahu kiri jalan. “Identiti kedua-dua mangsa masih belum dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui dan usaha mengesan waris sedang dijalankan,” katanya. Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk tindakan lanjut. Katanya, pemandu kereta tidak mengalami kecederaan dan kedua-dua kenderaan terlibat sudah ditahan bagi pemeriksaan lanjut oleh polis serta agensi berkaitan. “Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Brymenedren Godon di talian 010-7768802 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan memandu secara berhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. “Penunggang motosikal juga diingatkan supaya tidak menunggang secara berbahaya atau berkumpulan dalam keadaan laju yang boleh mengundang risiko kemalangan,” katanya. – Info X
April 13, 2026
Info X Reporters
Projek ada keperluan mendesak diutamakan – Hajiji
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mahu keutamaan diberikan kepada projek keperluan mendesak dan boleh dilaksanakan dengan segera serta memberi manfaat cepat kepada rakyat, khususnya di bawah institusi pendidikan dan hospital. Berdasarkan laporan MyProjek, katanya Sabah menerima peruntukan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebanyak RM6.59 bilion meliputi 1,233 projek atau program yang menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi kerajaan bagi memastikan Sabah terus maju seiring dengan hasrat Kerajaan MADANI dan SMJ 2.0. “Saya juga mahu pemantauan lebih lebih kerap kepada projek-projek pembangunan yang dilaksanakan agar tidak berlaku kelewatan. “Isu dan masalah pelaksanaan projek perlu diteliti dan dirujuk kepada saluran yang tepat seperti agensi pusat yang berkaitan dan Kerajaan Negeri sekiranya terdapat masalah seperti peruntukan, isu tanah dan isu utiliti,” katanya. Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di Menara Kinabalu pada Isnin. Hajiji berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Mesyuarat Pembangunan Daerah Kota Kinabalu pada 15 Mac lalu memberi penekanan kepada pelaksanaan segera projek-projek kecil yang bersifat ‘low-hangingfruit’ atau mudah disiapkan yang boleh memberi impak segera kepada rakyat. “Projek-projek kecil ini perlu dilaksanakan dengan cekap, pantas, mengikut jadual dan penuh integriti agar ianya dapat segera dinikmati rakyat negeri Sabah. “Tidak sewajarnya projek-projek dalam kategori ini mengalami lewat jadual atau menjadi sakit, selalunya disebabkan isu-isu setempat seperti pemilikan tanah, utiliti dan sebagainya. “Saya mahu agar agensi pelaksana dan pemilik projek dapat membuat pemantauan yang kerap bagi pelaksanaan projek ‘low-hanging fruit’ ini,” katanya. Sementara itu, Hajiji berkata Program Menoktahkan Miskin Tegar Negeri Sabah 2026 adalah kesinambungan agresif daripada agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Jelasnya, pada 2026, kerajaan negeri melancarkan SMJ 2.0 (2026–2030) yang meletakkan usaha pembasmian kemiskinan sebagai tonggak utama untuk memastikan tiada rakyat yang terpinggir dalam arus pembangunan negeri. “Dengan peruntukan belanjawan yang mencatat rekod tertinggi (RM12.02 bilion bagi 2026), sebahagian besar dana dialirkan untuk projek infrastruktur asas (air, elektrik dan jalan raya) yang secara langsung akan memacu aktiviti ekonomi di seluruh daerah,” katanya. Selain itu, katanya bagi meningkatkan kualiti hidup dan memberi rasa selamat kepada rakyat yang berada dalam kategori rentan, banyak inisiatif kerajaan negeri dilaksanakan, antaranya Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR). “Kejayaan Pelan Pembangunan SMJ 1.0 telah memberikan kita keyakinan bahawa negeri ini berada pada landasan yang tepat. “Pelan Pembangunan SMJ 2.0 adalah lanjutan yang menuntut perubahan berterusan dalam meningkatkan keupayaan diri, merangkumi perubahan cara berfikir, bekerja dan mencipta nilai baharu untuk rakyat,” katanya. Ketua Menteri berkata dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 juga, fokus Kerajaan Negeri masih tertumpu kepada tiga sektor utama, iaitu sektor Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan, termasuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, modal insan danKesejahteraan rakyat, selain Infrastruktur dan Jaringan Hijau dalam mempercepatkan penyelesaian isu bekalan air, elektrik dan rangkaian jalan raya, terutama Lebuhraya Pan Borneo. Hajiji berkata pelaporan berkaitan projek-projek yang tertangguh dalam mesyuarat adalah penting bagi memastikan isu-isu pelaksanaannya dapat diselesaikan dalam tempoh masa yang ditetapkan. “Kerajaan negeri memandang serius perkara ini kerana kelewatan dalam penyiapan projek akan menyebabkan kenaikan kos dan merugikan pihak Kerajaan,” katanya. Selaku Ketua Menteri dan Pengerusi mesyuarat MTPNg, katanya beliau mahu agar semua pihak yang relevan terus komited untuk menyelesaikan isu-isu yang melibatkan kelewatan pelaksanaan projek-projek pembangunan di Sabah khususnya projek-projek‘low-hanging fruit’ yang boleh memberi impak terus kepada rakyat. – Info X